Monday, April 05, 2021

Ladang kontrak: MAFI sasar jualan RM60 juta tahun ini

 

Foto daripada Facebook Che Abdullah Mat Nawi - DCL.

BACHOK: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyasarkan nilai jualan hasil pertanian menerusi Program Ladang Kontrak mencecah RM60 juta pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata program di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu dapat membantu meningkatkan pengeluaran pelbagai sayur-sayuran dan buah-buahan negara.

Beliau berkata MAFI menerusi FAMA turut menyasarkan seramai 1,000 peserta di seluruh negara akan menyertai Program Ladang Kontrak sepanjang tahun ini.

“Menerusi program ini, ia dapat membantu golongan petani memasarkan hasil tanaman dengan lebih baik secara borong mahupun runcit dan ia juga satu usaha berterusan yang diadakan oleh FAMA bagi membantu para petani.

“Malah, golongan petani yang menyertai program ini akan dibantu bermula dari awal proses penanaman sehingga pemasaran produk tanaman secara domestik dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Projek Usahawan Ladang Kontrak FAMA Kelantan di Pasar Tani Borong Runcit, Kampung Teluk Kemunting di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah FAMA Kelantan, Wan Nora Wan Ahmad.

Terdahulu, Che Abdullah menyerahkan replika cek bernilai RM7,000 kepada seorang usahawan Mhd Jasni Abd Rahman, 46, yang mengusahakan tanaman timun hijau dengan kaedah fertigasi gantung menggunakan sebanyak 1,100 polibeg.

Sementara itu, Mhd Jasni berkata beliau akan menggunakan peruntukan FAMA itu bagi mengusahakan tanaman timun hijau dengan konsep fertigasi gantung di tanah berkeluasan 0.2 hektar.

Katanya, tanaman itu bermula sejak Mac lepas dan hasilnya dijangka dapat dituai pada akhir bulan ini dengan sasaran pengeluaran sebanyak 5.5 metrik tan.

“Hasil tuaian kelak akan dipasarkan di Pasar Tani Borong Runcit, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) FAMA Kelantan dan pasar raya Mydin Kubang Kerian,” katanya. – BERNAMA

1 comment:

Anonymous said...

Dan Dialah yang menjadikan kebun-kebun yang berjunjung dan yang tidak berjunjung, pohon kurma, tanam-tanaman yang bermacam-macam buahnya, zaitun dan delima yang serupa (bentuk dan warnanya), dan tidak sama (rasanya).
Makanlah dari buahnya (yang bermacam-macam itu) bila dia berbuah, dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya (dengan dikeluarkan zakatnya);
dan janganlah kamu berlebih-lebihan.
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.

Dan jika Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya tentulah mereka akan melampaui batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendaki-Nya dengan ukuran.
Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui (keadaan) hamba-hamba-Nya lagi Maha Melihat.

ramai maknusia suka melampau dalam banyak hal

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails