Wednesday, February 17, 2021

Mengembalikan hak peneroka demi masa depan FELDA -K/Pemuda PN

 

PEMUDA Perikatan Nasional (PN) tuntas prihatin terhadap langkah-langkah pemulihan FELDA oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan reputasi dan menjana prestasi FELDA di samping memastikan pembangunan sosioekonomi yang mampan dan memberi manfaat kepada masyarakat peneroka.

Usaha ini menuntut Kerajaan Persekutuan memberdaya FELDA untuk mengambil alih semula FGV dengan memiliki kesemua baki saham dalam FGV; termasuk semua saham FGV di bawah pelan insentif jangka panjang FGV demi mengembalikan hak peneroka.

Mutakhir, FELDA telah membeli 857,300 unit saham dalam FGV Holdings Bhd bernilai RM1.11 juta daripada pasaran terbuka dengan harga RM1.30 sesaham pada 11 Februari 2021. Setakat 10 Februari 2021, jumlah saham yang dipegang oleh FELDA dan PAC dalam FGV berjumlah 2.62 bilion saham, bersamaan dengan 71.95 peratus kepentingan dalam syarikat itu.

FELDA mula berhadapan dengan cabaran yang memberi kesan negatif kepada peneroka dan prestasi kewangan selepas penyenaraian FGV di Bursa Malaysia serta pelaburan dalam sektor bukan perladangan. Sebelum penyenaraian FGV, dalam tempoh 2007 hingga 2011, prestasi kewangan Kumpulan FELDA adalah memberangsangkan dengan purata pendapatan sebanyak RM3.1 bilion setahun. 

Walau bagaimanapun, prestasi kewangan Kumpulan FELDA mula terjejas pada tahun 2013 dengan kerugian mencecah RM2.0 bilion berbanding keuntungan sebanyak RM5.9 bilion pada tahun 2012. Kerugian terus meningkat kepada RM4.9 bilion pada tahun 2017. Jumlah hutang FELDA telah meningkat dengan ketara sebanyak 1,100 peratus daripada RM1.2 bilion pada tahun 2007 kepada RM14.4 bilion pada tahun 2017 berbanding dengan kenaikan nilai aset yang mencatatkan hanya 107 peratus. Manakala, keuntungan FELDA jatuh sebanyak 590 peratus dalam tempoh yang sama. 

Antara punca utama kejatuhan FELDA adalah kedurjanaan tadbir urus korporat serta ketidakcekapan perancangan dalam pelaburan. FELDA turut dibelenggu dengan isu integriti dan akauntabiliti yang menjejaskan keseluruhan operasi sehingga menyebabkan FELDA berada dalam kedudukan kewangan yang meruncing, kekangan aliran tunai dan keberhutangan yang tinggi.

Pemuda Perikatan Nasional amat kritikal terhadap pemerintah terdahulu yang telah menyebabkan FELDA menanggung liabiliti yang tinggi ini. Walaupun terdapat beberapa dakwaan jenayah melibatkan kepimpinan terdahulu yang telah dibawa ke muka pengadilan malah ada yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah, namun fokus untuk memperbaiki kebejatan yang melanda institusi FELDA lantaran perbuatan mereka harus dilipat gandakan. Pendakwaan tersebut juga memberi mesej yang jelas bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mencampuri urusan badan kehakiman dan tidak akan berkompromi dengan kesalahan penyelewengan serta salah guna kuasa.

Pemuda Perikatan Nasional optimis dengan langkah pemulihan FELDA yang berteraskan usaha-usaha yang lebih gigih dan progresif demi menjamin industri perladangan yang mampan sekali gus melahirkan generasi baru FELDA yang mandiri, kreatif serta inovatif mencipta rangkaian nilai ekonomi negara. Pemuda Perikatan Nasional juga akan terus mendukung setiap usaha kerajaan untuk menjana kemajuan FELDA sebagai institusi yang berdaya dan dinamik ke arah kelestarian FELDA.

YB SENATOR IR. TS. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ahli Dewan Negara
Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 17/2/2021

1 comment:

Anonymous said...

Sembang blh la..apa pun xtau..gi buat survey kat peneroka felda baru tau la.

Yaa..kami puas hati!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails