Saturday, January 02, 2021

W/Persekutuan Ke Arah Bandar Mentropolitan Setahtera...

 

Darul Madani permulaan bandar metropolitan sejahtera

KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan terus mengorak langkah untuk menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai sebuah bandar metropolitan yang sejahtera berlandaskan acuan Islam.

Pesuruhjayanya, Ustaz Azhar Yahya berkata, perkara ini dikuatkan lagi dengan usaha pihaknya untuk membeli sebuah bangunan sebagai Pejabat Operasi dan Pengurusan BPPWP serta Pusat Tarbiyah Ilmuan Profesional yang dinamakan Darul Madani.

“Alhamdulillah pada hari ini (1 Januari) sempena sambutan tahun baharu, BPPWP telah secara rasminya memiliki sebuah pusat (Pejabat Operasi dan Pengurusan BPPWP) yang diberi nama Darul Madani menjadi milik penuh pihak BPPWP.

“Sebelum ini kita (BPPWP) hanya menyewa di bangunan Kohilal. Dengan usaha semua pihak melibatkan sumbangan daripada ahli PAS serta sumbangan persendirian kita mampu mempercukupkan jumlah RM400,000 untuk kita memiliki bangunan ini bagi memulakan gerak kerja membentuk Wilayah Persekutuan sebagai sebuah bandar metropolitan sejahtera,” katanya pada sidang media selepas majlis penerimaan sumbangan di Bangunan Darul Madani, di sini, hari ini.

Menurutnya, Metropolitan Sejahtera adalah agenda yang akan dibawa bagi gerak kerja dan Darul Madani akan menjadi permulaan kepada satu pusat pentadbiran yang sangat baik untuk Wilayah Persekutuan.

“Kita akan bangunkan sebuah penempatan manusia kependudukan metropolitan dengan asas agama dan bertamadun. Maka layaklah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor menjadi satu mercu tanda kepada PAS secara umumnya,” ujarnya.

Katanya, turut akan dibangunkan sekali iaitu sebuah Tahfiz Ilmuan Profesional serta pusat kemahiran bacaan Al-Quran kepada golongan dewasa yang akan berada di bawah pengurusan Darul Madani.

Hari ini, BPPWP telah menerima sumbangan sebanyak RM200,000 daripada syarikat Kim Koo Group Sdn Bhd dan beberapa sumbangan daripada PAS kawasan-kawasan bagi tujuan membeli bangunan berkenaan.

Menurut jurucakap kepada pihak Kim Koo, sumbangan berkenaan adalah bertujuan untuk membantu BPPWP bagi memiliki pusat operasi sendiri yang sistematik.

“Kami mendapat maklum bahawa BPPWP tidak memiliki pusat operasi sendiri. Jadi, ini adalah sumbangan sedikit daripada pihak kami dan mengharapkan rakan-rakan daripada syarikat swasta yang lain dapat membantu terutama kepada perjuangan PAS dalam menyebarkan syiar Islam khususnya di Kuala Lumpur,” katanya.

Turut hadir sama pada majlis tersebut adalah pengarah syarikat Kim Koo Group Sdn Bhd, Halim Lim Yoke Min bersama jurucakapnya; Ketua Dewan Muslimat PAS, Senator Ustazah Nuridah Salleh dan Ahli Jawatankuasa BPPWP serta beberapa Yang Dipertua PAS kawasan Wilayah Persekutuan. – HARAKAHDAILY 1/1/2020

IHtv

1 comment:

Hakikat Syariat said...

Syarikat swasta yg bukan bumiputra pon yakin akan perjuangan parti pas....Amin.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails