Lembah Bilut yang mengambil nama sempena ikan ‘bilut’ atau belut, sejenis ikan air tawar seterusnya ditukar kepada nama Lurah Bilut apabila seramai 616 peneroka mula berpindah ke rancangan tersebut pada Ogos 1959.
Menurut Tunku Shamsul Bahrin dalam buku Kemajuan Tanah dan Penempatan Semula di Malaysia (1986), Lurah Bilut menjadi projek pertama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 dengan objektif membasmi kemiskinan melalui pembangunan tanah dan penempatan semula masyarakat di luar Bandar.
Lurah Bilut merupakan kawasan lembah paling subur di Banjaran Titiwangsa bersempadan dengan Sungai Bilut dan Hutan Simpan Klau yang mula dibangunkan pada 1 April 1958 dan ditadbir di bawah Perbadanan Kemajuan Lurah Bilut mengikut peruntukan Ordinan Kemajuan Tanah 1956 seksyen 42
Menurut laporan Utusan Malaysia 3 April 2009, Felda Lurah Bilut dipilih sebagai projek rancangan Felda pertama yang berkonsepkan peneroka secara berdikari iaitu mereka membina rumah sendiri secara bergotong royong dan menjayakan kawasan pertanian yang dikhaskan ditanam pokok getah dan dikerjakan secara berkumpulan.
Peneroka sendiri yang terlibat menebas dan menebang hutan di Lembah Klau itu melibatkan 616 peneroka awal semasa berhijrah ke tanah rancangan tersebut pada 1959.
“Sewaktu mula-mula datang tidak ada rumah disediakan sepertimana dinikmati oleh peneroka selepas kami. Waktu itu Lurah Bilut dipenuhi de­ngan hutan dan pokok-pokok kayu yang telah tumbuh semula selepas ditebang pada 1955.
“Melihat keadaan itu ramai peneroka yang menangis dan tidak kurang pula yang berhasrat untuk pulang semula ke kampung masing-masing. Dalam kumpulan saya, 10 orang lari balik ke kampung dan hanya mereka yang kuat semangat sanggup tunggu bagi mengusahakan dan memajukan Lurah Bilut,” cerita seorang peneroka awal, Adi Ahmad, 82 (Utusan Malaysia 3 April 2009)
Menurut laporan Utusan Malaysia lagi, peneroka sendiri yang bergotong-royong me­nebang dan membersihkan hutan sebelum proses mena­nam benih pokok getah. Mereka juga bergotong-royong membina rumah masing-ma­sing seperti sebuah bangsal kereta sebagai tempat ber­teduh sementara.
Kini hanya 29 peneroka asal masih tinggal meneruskan sisa-sisa hidup mereka di tanah rancangan tersebut. Sebahagian besar penghuni Lurah Bilut sekarang adalah generasi kedua yang terdiri dari anak-anak dan cucu cicit peneroka yang telah meninggal dunia (Utusan Malaysia 3 April 2009).
Populariti Felda Lurah Bilut semakin meningkat apabila Pengarah Bade Haji Azmi mengarahkan filem Bilut (2006) yang mengangkat perjuangan peneroka bernama Yazid (lakonan Rosyam Nor) yang terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran dan segala tekanan perasaan semasa mula-mula berhijrah di Felda Lurah Bilut, Pahang pada 1959.
Yazid menjadi lambang seorang peneroka gigih meskipun menghadapi bahaya apabila masih ada saki-baki komunis di kawasan hutan itu berkeliaran sehingga menakutkan penduduk.
Menurut Felda, pengambilalihan projek rancangan Lembah Bilut oleh Felda dari kerajaan negeri Pahang bermula pada 1958.
“Tanah Lembah Bilut su­bur dipenuhi hutan yang kaya dengan kayu kayan berharga. Imigran dari Minangkabau merupakan populasi awal yang mendiami sepanjang Sungai Bilut sejak kurun ke-16 lagi. Aktiviti utama mereka ialah mencari emas dan bijih timah.
“Kajian oleh Pahang Natural Resources Board (PNRB) mendapati Ulu Kelau, Hulu Klau dan Lembah Bilut berpotensi untuk dimajukan. Lembah Bilut yang kemudiannya dina­makan Lurah Bilut dibangunkan pada 1 April 1958 “ (www.felda.net).
Bagi yang masih hidup, pembangunan Felda Lurah Bilut tidak dapat dipisahkan dengan peranan yang dimainkan oleh Tun Abdul Razak bagi menjayakan harapan dan cita-cita untuk membantu rakyat di luar bandar terutamanya orang Melayu yang ketika itu masih dibelenggu kemiskinan.
Projek Lembah Bilut dicetuskan oleh Tun Abdul Razak bertujuan untuk membaiki taraf hidup rakyat miskin yang tinggal di kawasan pedalaman.
Semasa hayatnya, Tun Abdul Razak sentiasa mengambil berat soal pembangunan peneroka di Lurah Bilut dan beliau sendiri sering mengadakan lawatan kerja setiap tahun kerana tidak mahu melihat rancangan Felda pertama yang dirintisnya itu menemui kegagalan. (UTUSAN ONLINE)