Ramai pemerhati politik melihat Presiden Joko Widodo (Widodo) bakal mempertahankan jawatannya itu untuk penggal kedua.
Persoalannya kini lebih kepada debaran keselamatan di Indonesia ketika pencabarnya, Prabowo Subianto menolak proses pe­ngiraan undi Pilpres, yang didakwa berlaku penipuan.
Sekalipun warga Islam Indonesia menjalani ibadat puasa di bulan Ramadan, namun pemerhati politik dan pasukan keselamatan bimbang dengan gesaan pihak tertentu untuk mengadakan demonstrasi membantah keputusan Pilpres.
Lebih 30,000 anggota polis dan tentera Indonesia diarah meningkatkan kawalan lebih ketat di ibu kota Jakarta, berikutan kebimbangan berlakunya kejadian yang tidak diingini.
Setakat semalam, Densus 88 atau Pasukan Polis Khas Anti Kega­nasan Indonesia telah menahan 29 suspek yang dipercayai merancang untuk melakukan serangan bom pada 22 Mei ini.
Menurut kenyataan polis Indonesia, semua suspek itu ditahan di Jakarta, Bekasi, Karawang, Tegal, Nganjuk, Bitung dan Bogor, dan Densus 88 turut me­rampas pelbagai senjata seperti senapang, peluru, bom, pisau dan risalah jihad.
Berdasarkan laman rasmi KPU, setakat ini, proses pengundian telah mencakupi 714,781 daripada 813,350 tempat pembuangan suara (TPS) atau pusat pengundian.
Jokowi dan gandingannya untuk jawatan Naib Presiden, Ma’ruf Amin selesa mendahului dengan kelebihan 15.7 juta undi, mengatasi pencabarnya Prabowo dan gandingannya, Sandiaga Uno.
Pada 17 April lepas, sebanyak 77.5 peratus daripada 192,828,520 pengundi yang layak, mengundi pada pemilihan umum. – BERNAMA