Naib Presidennya, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, MCA kelihatan ‘tidak cukup seksi’ berbanding DAP kerana MCA tidak memainkan sentimen perkauman dan mengeksploitasi emosi masyarakat Cina sebagaimana yang dilakukan DAP.
Sebaliknya, kata beliau, MCA mempunyai kekuatan sendiri yang tidak ada pada DAP iaitu semangat tolak ansur kaum yang terbina hasil kerjasama parti itu dengan parti kaum lain sejak sekian lama.
“Sejak pilihan raya umum yang lepas, MCA telah memulakan proses mentransformasikan diri. Akan tetapi, usaha kami dilihat sebagai ‘tidak cukup seksi’ jika dibandingkan dengan DAP yang kerap mengeksploitasi emosi majoriti kaum Cina.
“Ini kerana pemimpin-pemimpin MCA tidak bermain-main ataupun mengejek kawan atau lawan , atau pun menggunakan bahasa kasar untuk membakar hati pengundi Cina seperti DAP,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Lian Ker turut mendakwa, DAP sukar untuk diterima oleh masyarakat Melayu kerana sikap dan tingkah laku mereka yang mencerminkan sikap ‘ultra-Cina’.
Tambah beliau, MCA juga sudah menunjukkan rekod baik menguruskan pelbagai isu melibatkan semua rakyat Malaysia termasuk pendidikan dan bantuan masyarakat.
“MCA tidak ada masa membuat jenaka atau lawak sebagai badut seperti pemimpin DAP untuk mengejek dan memprovokasi kebencian terhadap parti lain atau pemimpin.
“MCA tetap memperjuangkan integriti politik dan integrasi nasional dan bukannya eksploitasi politik perkauman seperti mana yang dibuat veteran DAP, Lim Kit Siang ataupun bermulut celupar seperti Superman Hew (Kuan Yau),” katanya. - UTUSAN ONLINE