Wednesday, September 19, 2012

Wanita Bom Syahid Di Kabul, 12 Korban

BEBERAPA pegawai keselamatan memeriksa lokasi serangan pengebom berani mati di Kabul, Afghanistan semalam.

Serangan berani mati di Kabul
KABUL, Afghanistan - Seorang pengebom berani mati perempuan menyerang sebuah van di sini dengan menyebabkan 12 orang termasuk lapan warga Afrika Selatan terbunuh dalam serangan bagi membalas dendam penerbitan filem anti-Islam, Innocence of Muslims di Amerika Syarikat (AS).

Penyerang dilaporkan meletupkan dirinya di dalam sebuah kereta semalam. Pengeboman di sebuah lebuh raya menuju ke lapangan terbang antarabangsa Kabul itu merupakan serangan berani mati kedua di bandar ini dalam tempoh 10 hari.

Serangan tersebut membangkitkan persoalan berhubung kestabilan Afghanistan selepas Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara menyegerakan pengunduran askarnya dan menyerahkan kawalan keselamatan kepada tentera Afghanistan menjelang penghujung 2014.

Seorang jurugambar agensi berita AFP melihat sekurang-kurangnya enam mayat terbaring dalam van berkenaan dengan sebuah lagi kenderaan masih terbakar di tengah lebuh raya akibat letupan tersebut.
"Pada sekitar 6.45 pagi, seorang pengebom berani mati yang memandu sebuah kereta sedan meletupkan dirinya di lebuh raya menuju ke lapangan terbang di Daerah 15," kata polis dalam satu kenyataan.
SEJUMLAH wanita Muslim menyertai tunjuk perasaan anti filem Innocence of Muslims di depan Kedutaan Amerika Syarikat di Bangkok, Thailand semalam. 

"Seramai sembilan pekerja sebuah syarikat asing dan tiga penduduk tempatan maut manakala dua anggota polis cedera dalam serangan ini," tambah kenyataan tersebut. Seorang pegawai Afghanistan dan Barat memberitahu, sembilan warga asing terbunuh dalam pengeboman kali ini.

"Semua warga asing itu bekerja untuk sebuah syarikat persendirian di lapangan terbang Kabul," kata seorang pegawai tempatan.

Kumpulan Hezb-i-Islami mengaku bertanggungjawab melakukan serangan tersebut. Sementara itu di Indonesia, penduduk negara berkenaan mengadakan demonstrasi bagi menuntut AS menghukum penerbit filem biadab itu. Sekitar 200 penunjuk perasaan membakar bendera AS dan beberapa buah tayar di luar Pejabat Konsulat AS di bandar ketiga terbesar di Indonesia, Medan semalam.

Sebahagian mereka membawa kain rentang yang menyatakan: "AS pergi ke neraka". Para penunjuk perasaan itu menuntut Washington menghukum pembikin filem tersebut. Di sebuah lagi negara rantau Asia Tenggara, Thailand, sekitar 400 orang mengadakan bantahan aman di luar Kedutaan AS di Bangkok.
Sekitar 700 anggota polis dikerahkan di lokasi tunjuk perasaan semalam bagi memastikan penunjuk perasaan mematuhi undang-undang.

Bantahan berkenaan dianjurkan oleh sebuah kumpulan yang menamakan diri mereka Persekutuan Al Quds Antarabangsa Thailand. Sementara itu, sebuah cawangan Al-Qaeda di Afrika Utara mendesak para diplomat AS diserang bagi membalas dendam terhadap filem tersebut. Cawangan itu, Al-Qaeda di Tanah Islam Maghreb mengancam melakukan serangan di Algeria, Tunisia, Maghribi dan Mauritania. Tunjuk perasaan turut berlaku di Srinagar, India yang menyebabkan sebuah kereta polis dibakar.  (Kosm0)

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Melihat latar belakang perjuangan Islam Afghanistan, mereka adalah  'pengebom syahid' (Kumpulan Hezb-i-Islami), bukan 'pengebom berani mati' atau 'bunuh diri'. Perjuangan mereka adalah hendak membebaskan dan menuntut hak Islam di buminya sendiri.

Apalagi bila maruah agama Islam diinjak-injak melalui penghinaaan kepada Nabi Muhammad SAW. Bukan perjuangan 'balas dendam' seperti yang dilebelkan musuh-musuh Islam.(IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails