Friday, September 21, 2012

Madrasah Khariah: Saleh Man Makan Ubi Kayu..



Salleh Man menyampaikan komputer riba kepada sekolah asalnya, Madrasah Khairiah Islamiah

TASEK GELUGOR: Lawatan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang ( MAIPP), Datuk Saleh Man ke Madrasah Khairiah Islamiah, Pokok Sena, Kepala Batas baru- baru ini boleh dianggap satu sikap 'mengenang budi' setelah menimba ilmu di situ bermula tahun 1970 sehingga 1978.

Sikap itu nyata disenangi oleh pentadbiran madrasah berkenaan walaupun kini telah seratus peratus berpindah tangan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia apabila pentadbir asal tidak mampu lagi menguruskan madrasah itu apabila bantuan perkapita dihapuskan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada penghujung tahun 1990 an lalu.

Ianya kini diterajui oleh Ustaz Khairol Anuar Musa seorang anak muda yang berwawasan di samping mendapat bantuan daripada anak pengasas lama yang sanggup menabur bakti pada sekolah yang pernah menjadi 'top' di era 60 dan 70 an.

"Bila melangkah ke sini saya terbayang lagi bagaimana saya bermain bola sepak bersama rakan di celah pokok kelapa.  Belajar di kelas berdindingkan papan dan menjadi penjaga kunci pagar sekolah yang memberinya kelebihan bertemu Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husein setiap hari, " ceritanya mengenang sejarah lampau.

Memakan ubi kayu sempena sambutan merdeka mengingatkan kesusahan di zaman Jepun.

Barangkali kerana sering bertemu wajah pengetua dan bersalam denganya setiap awal pagi membuatkan ilmu yang dipelajari mendapat keberkatan. Sebab itu katanya, walaupun sibuk setiap hari dengan tugasan kesempatan diambil jua untuk meninjau sendiri kawasan sekolah yang pernah menjadi tempat bermain dan belajar di samping bertemu sendiri dengan rakan lama atau guru yang pernah menjadi idolanya suatu ketika dulu.

Kedatangan beliau pagi itu bukan dengan tangan kosong sebaliknya menghadiahkan sebuah komputer riba dan projektor untuk kegunaan pihak sekolah terutamanya ketika menyampaikan taklimat. Saleh yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri memuji pihak sekolah terbabit kerana memperkenalkan tema 'ubi kayu' sempena program penutupan sambutan Kemerdekaan Yang Ke 55.

Ubi kayu merupakan bahan makanan asasi suatu ketika dulu menggantikan nasi kerana pengeluaran beras agak terhad dan sukar dikerjakan kerana terdedah dengan bahaya kezaliman tentera Jepun.

"Tidak sangka pihak sekolah begitu kreatif apabila menjadikan ubikayu sebagai tema sambutan Kemerdekaan Yang Ke 55 kali ini.

"Bagus juga pemikiran itu sebab boleh memperkenalkan produk kampung yang senang dikomesialkan jika pandai mengambil kesempatan, " ujarya ketika ditemui. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails