Saturday, December 04, 2010

Bas Untuk Wanita: Tahniah Rapid KL - Ibnu Hasyim


KL 4 DIS 10: Weblog Ibnu Hasyim antara pelbagai pihak, termasuk PAS, mengalu-alukan langkah terbaru Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) memperkenalkan bas khas untuk penumpang wanita di beberapa laluan sekitar ibu negara.

Weblog Ibnu Hasyim pernah mencadangkan melalui catatan santainya pada 23 Sept 2008 di bawah tajuk 'KL/Sel Perlu Adakan Teksi, Bas & Cabin LRT Untuk ...' antaranya menyebutkan..

"1..Sebagai menghormati kaum wanita, perlu dihidupi atau dirangka semula cadangan ‘satu laluan dan kaunter pembayaran asing disediakan di pasaraya-pasaraya khas untuk perempuan’ yang pernah dicadangkan di Malaysia suatu masa dulu.

2..Perlu dikembangkan cadangan tersebut kepada keperluan diadakan perkhidmatan teksi, bas dan cabin LRT untuk wanita.

3..Kalau Kerajaan Pusat tak mahu buat, maka kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat boleh mulakan, terutamanya di Selangor.

4..Jabatan-jabatan agama perlu sedar, hal ini juga termasuk dalam lingkungan tugas mereka ‘suruh kebaikan cegah mungkar’ yang akan dipertanggungjawab di akhirat kelak.

5..Jabatan-jabatan, NGO-NGO atau badan yang membela wanita perlu sokong dan membantu cita-cita murni ini."

Sementara itu Dewan Muslimat PAS Pusat menyifatkan langkah itu tepat pada masanya dan amat sesuai dengan senario semasa di mana ramai penjawat awam dan swasta dari kalangan wanita menggunakan perkhidmatan bas untuk pergi balik ke pejabat.

Pengasingan pengangkutan mengikut gender tidak syak lagi menghindari mereka daripada sebarang kemungkinan menjadi sasaran gangguan seksual, terutama tatkala bersesakan dengan penumpang lelaki pada waktu puncak.

Difahamkan perkara itu memang menjadi antara dorongan pihak Bas RapidKL memperkenalkan bas khas itu. Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain, pihaknya kerap menerima aduan daripada pengguna terutama wanita yang terpaksa berhimpit dan terdedah kepada gangguan seksual.

Justeru, katanya, perkhidmatan khas itu bertujuan memberi keselesaan dan memastikan keselamatan penumpang wanita ke destinasi masing-masing. Untuk itu, katanya, tempoh percubaan perkhidmatan itu dilaksanakan sebulan bermula Rabu. Ia melibatkan tujuh laluan yang mempunyai jumlah penumpang ramai dengan dua sesi perkhidmatan, iaitu di sebelah pagi jam 6.45 dan 7.30 manakala di sebelah petang pada jam 6 dan 6.45.

Laluan yang terbabit pada sesi pagi ialah U1 (Hab Pinggiran Batu Caves), U8 (Hab Damansara Damai), U22 (Hab Sri Nilam), U40 (Hab Terminal Kajang), U60 (Hab Puchong Utama), U80 (Hab UiTM Shah Alam) dan U81 (Hab Subang Suria). Bagi sesi petang, laluannya ialah U1 (Hab Medan Pasar), U8 (Hab Medan Pasar), U22 (Hab Jalan Hang Lekiu), U40 (Hab Pasar Seni), U60 (Hab Pasar Seni), U80 (Hab Pasar Seni) dan U81 (Hab Pasar Seni).

“Tahniah atas perkhidmatan bas Rapid KL khusus untuk wanita. Satu peningkatan yang terpuji dan akan memberi faedah yang banyak kepada kaum wanita. Teruskan usaha-usaha baik ini," demikian pula reaksi Ahli Parlimen Titiwangsa dari PAS, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali, sepertimana dipetik Harakahdaily.

Dewan Pemuda PAS Pusat juga menyifatkan langkah itu sebagai bijak dan mesra wanita sekaligus memberi sumbangan besar kepada keselamatan dan kesejahteraan kaum hawa. "Saya percaya ia mampu mengurangkan kadar jenayah seperti jenayah seksual, ragut dan sebagainya," kata ketuanya, Nasrudin Hassan.

"Alhamdulillah, orang ramai sudah mulai sedar." Kata editornya Dr Hj Mohd Hasyim sewaktu dihubungi dar Jakarta sebentar tadi. "Ini bukan pertama kali. April lalu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan komuter khas untuk golongan wanita bagi menjamin keselamatan dan keselesaan mereka. Indonesia pula mendahului negara lain melancarkan perkhidmatan bas eksklusif untuk wanita, pada 2007.."

Menurutnya, perkara ini kalau hak buat bukan susah sangat. Sebenarnya telah diperkenalkan beberapa negara termasuk Rusia, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Brazil, Mexico, Iran dan India sejak awal 2007. Manakala sebuah syarikat penerbangan Jepun pada tahun sama memperkenalkan pengasingan tempat duduk wanita dan lelaki dalam pesawat-pesawatnya.

"Salah satu sebab punca keruntuhan moral remaja masa kini, ialah hasil dari tarbiah jahat penjajah yang berusaha menerapkan pergaulan bebas melalui penghapusan pengasingan antara lelaki dan wanita bukan muhrin bermula dari bangku sekolah lagi." Jelas Hj Mohd lagi. (by ASYOK KUMAR)

Lihat sebelum ini...

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails