Tuesday, November 30, 2010

Ajaran Sesat Skuad Berani Mati?

ANGGOTA penguat kuasa JAIS merampas dokumen milik kumpulan itu di  Kampung Sungai Tangkas, Kajang, semalam.
ANGGOTA penguat kuasa JAIS merampas dokumen milik kumpulan itu di Kampung Sungai Tangkas, Kajang.

KAJANG, 30 Nov 10 — Mahkamah Rendah Syarie Kajang hari ini mendakwa 21 individu yang disyaki pengikut ajaran sesat Islam Jamaah (IJ) termasuk enam warganegara Indonesia dan dua rakyat Bangladesh yang ditahan di sebuah surau di Sungai Tangkas, Kajang Jumaat lepas.

Namun Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah membebaskan kesemua mereka dengan diikat jamin dan menetapkan 28 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut. Kesemua 21 individu yang berumur antara 29 hingga 50 tahun itu dibenarkan diikat jamin antara RM1,000 hingga RM8,000 dengan syarat penjamin terdiri daripada majikan, pegawai kerajaan, rakan dan ahli keluarga terdekat.

Lapan warganegara asing terbabit dikehendaki menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah. Memandangkan kes ini masih dalam siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Abdul Halim meminta semua yang dituduh memberikan kerjasama dengan memberikan keterangan sekiranya dipanggil oleh penguat kuasa Jais untuk membantu siasatan.

“Disebabkan kes ini masih berada di tahap siasatan dan ada yang belum memberikan kenyataan kepada pihak penguat kuasa, saya minta supaya kerjasama diberikan sekiranya dipanggil untuk memberikan keterangan,” katanya.

Kesemua 21 individu itu akan didakwa mengikut Seksyen 12(c) dan 13(1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor kerana melanggar fatwa Jabatan Fatwa Selangor dan bagi setiap kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan menggunakan bangunan bagi perkara yang hanya boleh digunakan di masjid, mereka dituduh mengikut Seksyen 97(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) di mana boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semalam Pengarah Jais Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata kesemua mereka akan didakwa di Mahkamah Syariah Kajang hari ini kerana kesalahan menunaikan solat Jumaat tanpa kebenaran serta mengikut imam yang tidak mendapat tauliah dari jabatan agama Islam negeri itu.

Kushrin berkata ketua ajaran itu Abdul Wahab Jantan, 41, masih diburu Jais kerana beliau dipercayai berada di Solo, Indonesia bagi tujuan mendalami ajaran berkenaan semasa serbuan dilakukan. Beliau berkata Jais telah melakukan pemerhatian terhadap gerakan ajaran sesat itu sejak setahun lepas dan menunggu masa serta bukti yang sesuai untuk melakukan serbuan.

Katanya, beberapa barang bukti dirampas untuk tujuan pendakwaan seperti teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan sendiri IJ, mimbar, set pembesar suara, risalah Islam Jemaah serta 15 keping surat pernyataan taubat yang dibuat dalam upacara “taubat”.

Selain itu, ajaran berkenaan turut dipercayai menjadi sindiket ejen nikah tidak sah berikutan penemuan beberapa dokumen mengenai pasangan yang mahu dinikahkan oleh pemimpin kumpulan berkenaan.

“Kita percaya terdapat kira-kira 1,000 pengikut ajaran IJ yang masih aktif di negeri ini yang dipercayai beroperasi di Sungai Tangkas, Kajang, Padang Jawa dan Sungai Udang, Klang, Bagan Hailam, Pelabuhan Klang dan Bandar Baru Hicom, Shah Alam,” katanya.

Dipercayai ajaran IJ diperkenalkan di Jawa Timur, Indonesia pada tahun 1941 oleh pengasasnya yang dikenali sebagai Haji Nurhasan al-Ubaidah atau nama sebenarnya, Mohd Madigol Ab Aziz.

Antara ciri-ciri ajaran sesat ini adalah pengikut IJ adalah orang Islam sebenar dan orang lain dianggap kafir, najis mughallazah seperti najis anjing tidak perlu disamak, binatang yang mati dalam kawasan kampung orang Islam tidak perlu disembelih dan halal dimakan dan tulang babi tidak haram.

Ajaran itu juga percaya dosa boleh diampunkan dengan mengisi borang tebus dosa yang disahkan oleh pemimpin. Lapor The Malaysian Insider.

Sementara itu ada pihak yang melaporkan ianya satu kumpulan ajaran sesat yang merekrut ‘Skuad Berani Mati’ untuk sebarang urusan jihad termasuk dikatakan sanggup menjalankan kerja membunuh ditumpaskan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam serbuan di sebuah surau persendirian di Kampung Sungai Tangkas, di sini semalam. (AK)

1 comment:

Pak Oncu said...

bukan kah yg di tahan dan di tangkap itu suku sakat Mohamed Khusrin Munawi dari indonesia ???

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails