Saturday, February 28, 2009

ISU Bahasa Melayu, UMNO Akui Kesalahan?






Ibnu Hasyim Catatan Santai dari Parlimen

SAYA tertarik ucapan Tuan Haji Mohd Nor bin Othman YB Hulu Terengganu, dalam perbahasan di Dewan Rakyat Khamis Februari 26, 2009, bermula pada 4.18 petang. Saya petik sebahagian sahaja perbincangan tersebut dari http://www.parlimen.gov.my/ . Antaranya, setelah muqaddimah …

{ Tuan Yang di-Pertua, semua orang berkata bahawa satu ketika dulu pada abad yang ke-15, Bahasa Melayu merupakan bahasa lingua franca, bahasa perdagangan, bahasa yang dipertuturkan oleh 100 juta manusia. Perjuangan untuk menegakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sebagai bahasa rasmi negara kita, merupakan satu perjuangan yang perit yang telah mengorbankan titik peluh perjuangan yang sungguh-sungguh. Berdasarkan kepada Penyata Razak yang telah diusahakan oleh seorang Menteri Pelajaran pada waktu itu berjaya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar tunggal di sekolah-sekolah menengah di Malaysia ini.

Saya masih ingat bahawa Menteri Pelajaran kita pada waktu itu menerima dua biji peluru kerana berusaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar tunggal dan kemuncaknya dengan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970. Tuan Yang di-Pertua, perjuangan menegakkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar rasmi sekarang mula dipandang sepi. Kita akui bahawa bahasa Inggeris itu penting. Bahasa Inggeris itu bahasa perdagangan. Bahasa Inggeris itu bahasa global. Bahasa Inggeris itu mengangkat martabat modal insan di negara kita.

Namun demikian janganlah kerana keghairahan kita untuk mengangkat martabat meletakkan keutamaan kepada bahasa Inggeris ianya akan melenyek dan merendahkan kedudukan bahasa Melayu. Apalah gunanya kita berkata bahawa kita akan mengangkat tinggi kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi apabila anak-anak kita minta jawatan, minta pekerjaan, anda gagal kerana tidak fasih berbahasa Inggeris. [Tepuk] Apa maknanya kita mengutamakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama, dalam mesyuarat kita bercakap dalam bahasa Inggeris. Apa maknanya kita agung-agung bahasa Melayu tetapi dalam temu ramah, perbualan dan percakapan kita bercakap dalam bahasa Inggeris. Lain di bibir, lain di hati. Itu hipokrit yang berkata demikian….

Oleh yang demikian, saya bimbang kalau ini kita amalkan satu dekad, dua dekad nanti anak-anak kita yang belajar sejarah bahasa akan berkata pada masa itu, “Oh, satu masa dahulu, ada satu bahasa, bahasa Melayu tetapi sekarang hanya tinggal nama sahaja”. Perkara ini tidak mungkin tidak berlaku kerana sejarah telah mengajar kita bahawa ...bahasa Latin, bahasa Sanskrit yang tersebar luas di Eropah, yang tersebar luas di alam Melayu pada hari ini hanya tinggal nama sahaja. Jangan lupa bahawa surat khabar jawi kita telah tinggal nyawa-nyawa ikan sahaja. Oleh yang demikian, marilah kita kembali dengan erti kata yang sesungguhnya bahawa kita mengangkat martabat bahasa Melayu. Berilah keutamaan kepadanya dalam apa-apa keadaan, peluang dan sebagainya.

(Puan Hajah Zuraida Kamaruddin [Ampang] diberi peluang mencelah, katanya: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Adakah Yang Berhormat bermaksud bahawa dasar pengajaran PPSMI juga adalah satu dasar hipokrit daripada Menteri?).

Saya tidak kata dasar hipokrit, saya kata bahawa dalam keghairahan kita untuk meningkatkan pencapaian bahasa Inggeris, bukan dengan kita memperlekehkan bahasa Melayu. Mungkin kelemahan anak-anak kita menguasai bahasa Inggeris kerana kelemahan kita dalam pengajaran subjek yang berkenaan. Kita boleh cari mungkin kaedahnya tidak kena, mungkin pendekatannya tidak kena, mungkin pedagoginya tidak kena, mungkin kita terlalu mementingkan kepada grammarnya menyebabkan anak-anak kita rasa takut untuk berkata dalam bahasa Inggeris. Oleh yang demikian pada saya bahawa kita minta supaya pengajaran Sains dan Matematik itu dikembalikan kepada bahasa Melayu. [Tepuk] Tuan Yang di-Pertua..

(Tuan Zulkifli bin Noordin [Kulim Bandar Baharu] juga diberi peluang menambah: Pertama. Terima kasih Tuan yang di-Pertua. Pertama berkaitan dengan isu PPSMI iaitu pengajaran dan pendidikan Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Setuju atau tidak Yang Berhormat bahawa dalam untuk membuktikan kononnya pengajaran dan pendidikan Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris ini berjaya Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan statistik menyatakan bahawa pencapaian atau kelulusan pelajar-pelajar cemerlang dengan penambahan sedangkan maklumat yang kita perolehi daripada mereka yang telah membuat kajian apa yang berlaku Kementerian Pelajaran telah menurunkan markah kelulusan ke tahap yang sangat minima untuk meninggikan angka lulus.

Bukankah ini satu penipuan kepada rakyat? Satu. Kedua Yang Berhormat, Satu sahaja lagi point. Adakah Yang Berhormat masih ingat disebabkan dasar UMNO pada tahun 1960-an lah menyebabkan bahasa Melayu dalam tulisan jawi hari ini sudah hampir hapus. Adakah Yang Berhormat setuju?)

Tuan Yang di-Pertua, untuk maklumat semua sebenarnya UMNO Johor telah pun membuat keputusan supaya pengajaran Sains dan Matematik itu kembalikan kepada bahasa Melayu. Jadi oleh yang demikian bahawa kita tidak perlu mengaku atau merasa bersalah kalau kita buat silap, kita kembalilah kepada pengajaran Sains dan Matematik. Kalau asyik hendak mencelah, tidak ruang untuk saya habiskan ucapan saya ini.

(Dato’ Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran] pula diberi peluang menambah: Hulu Terengganu. Tuan Yang di-Pertua, saya hairan kadang-kadang bila kita membahaskan masalah bahasa. Kita perjuangkan bahasa. Jangan bila kita perjuangkan bahasa kita salahkan mana-mana pihak. UMNOlah. Masalahnya kita berpolitik sepanjang masa. Jadi saya minta pandangan Yang Berhormat. Ini suatu keadaan yang serius. Saya tidak kira UMNO ker, PAS ker, PKR ker. Apa dan sebagainya. Kita perjuang, perjuangkan. Saya kadang-kadang merasa kecewa Yang Berhormat Hulu Terengganu. Kita berbahas, membicarakan bahasa Melayu tetapi kadang-kadang perangai kita tidak menggambarkan etika orang Melayu. Etika ketimuran. Asyik hendak mengena orang. Apa salah kita buat betul-betul.)

Itulah saya katakan bahawa isu bahasa merentasi parti politik. Kalau pihak belah sana merasakan bahawa mereka yang memperjuangkan isu bahasa ini. Itu cuma omong-omong kosong sahaja. Mereka sebenarnya ingin mengambil kesempatan untuk meraih mileage politik. Itu sahaja. Tuan Yang di-Pertua, negara kita merupakan sebuah masyarakat majmuk. Berbilang bahasa. Berbilang agama. Berbilang kaum. Berbilang-berbilang dan macam-macam lagi. Keadaan negara ini yang berbagai berbilangberbilang kebudayaan itu kalau kita hendak bergaduh, siang malam kita boleh bergaduh. Negara yang satu bangsa sahaja pun seperti di Palestin, Hamas dengan Fatah pun bergaduh. Tetapi negara kita yang berbilang bangsa, berbilang bahasa, berbilang macam-macam kebudayaan lagi, kita boleh hidup. Hidup dengan aman damai.

Saya pergi ke kedai. Taukenya Cina, kulinya Melayu. Mereka hidup baik. Saya pergi ke kedai, yang Melayu beli di kedai Cina, yang India beli di kedai Cina. Tidak apa-apa pun. Yang masalahnya bahawa kita orang politik yang mengapiapikan supaya timbul rasa kebencian di antara satu sama lain. Kita cuba mengubah status quo yang kita terima bersama. Yang tidak patut kita minta, kita minta. Yang telah kita beri pada masa kontrak sosial dulu, yang diperjuangkan oleh pemimpin-pemimpin kita, kita ungkit dan kita bangkitkan. Bila satu kaum itu bangkit, bila kaum itu menuntut sesuatu yang bukan yang telah dipersetujui bersama, ini menimbulkan kemarahan kepada pihak yang satu lagi.

Tuan Yang di-Pertua, janganlah bermain dengan api. Kalau terbakar sakit. Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Bukit Gelugor telah mengadu dia telah menerima peluru. Kata kita salah. Kata Pemuda Umno salah. Siapa yang memulakan itu? Siapa yang memulakan. Saya tidak terima peluru. Bukit Gajah pun mungkin tidak terima peluru, yang lain pun tidak terima peluru kerana ada sopan, ada nilai, ada sesuatu menyebabkan orang rasa sakit hati dan marah. Jangan bagi orang marah. Sebab adat Melayu. Adat Melayu ini, hendak beritahu sedikit. Adat Melayu ini, kerja sendiri dikelek.. ..kerja Sultan dijunjung. Jangan timbulkan perkara-perkara sensitif yang menyakitkan hati pihak yang satu lagi.

Sebab itulah saya katakan jangan bermain api. Jangan roboh sosial kontrak yang telah kita persetujui selama ini. Memanglah, memang semua pihak, memang semua kaum ada merasakan yang tidak sesuai dengan cita rasanya, tetapi ambillah itu sebagai satu tolak ansur yang kita akui bersama. (Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah] minta laluan bercakap: Isu peluru, isu peluru.) Tuan Yang di-Pertua, tidak payahlah saya pun bukan setuju hantar peluru itu. Saya sudah kata bahawa jangan salah orang lain kalau kita berkelakuan demikian orang hantar peluru kepada kita. Tengok diri kita... (Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah] minta laluan: Ini bahaya Tuan Yang di-Pertua. Dr. Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja] pun minta: Laluan.)

Tengok diri kita apa yang kita buat. (Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee] berkata: Biarkan dia berucap Yang Berhormat. Dr. Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja] pun berkata: Sekolah menjadi.. [Bercakap tidakmenggunakan pembesar suara] ..Provokasi boleh ganas. Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee] menjawab: Tidak ada provokasi pun di sana. Yang Berhormat, tidak ada.) Sebab itu saya kata bahawa jangan asyik salahkan orang lain.

(Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee] menyokong: Dia tidak menyokong Yang Berhormat, dia kata dia tidak setuju Yang Berhormat. Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah] pula mencelah: Inilah orangnya memberi gambaran, beliau bersetuju...[Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara] Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat, dia tidak bagi jalan. Dia tidak bagi jalan Yang Berhormat. Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah] menambah: [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara] Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee] menambah: Yang Berhormat, dia tidak bagi jalan teruskan Yang Berhormat Terengganu. Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah] menambah: Sepatutlah minta polis menyiasat, bukan kata siapa mula. [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara] Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat, ya cukup Yang Berhormat, Yang Berhormat Hulu Terengganu teruskan.)

Bila saya kata saya bersetuju? Saya tidak setuju, tetapi jangan cari pasal. Itu saja. Itu saja. [Tepuk] (Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah] berkata lagi: Itu masalahnya. Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee] menjawab : Tidak boleh macam ini Yang Berhormat. Tidak boleh Yang Berhormat.) }

Pada saya, apakah pihak UMNO sudah terlanjur dengan isu PPSMI ini hingga sanggup menggadaikan bahasa sendiri? Atau hanya sanggup mengampu kepada pemimpin terdahulu? Atau terantuk baru tengadah? Kokok saja berderai-derai tapi ekor bergelumang ….

Sekian catatan santai bantai kali ini...

ibnuhasyim.com
e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com
Februari 28, 2009. KL.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails