MB Perlis Mohd Shukri Ramli, baru 7 bulan tadbir, mampu tarik pelaburan bernilai RM2.5 bilion.
Perlis tarik pelaburan bernilai RM2.5 bilion
KANGAR: Dalam tempoh tujuh bulan Kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) Perlis berjaya menarik pelaburan mencecah lebih RM2.5 bilion ke negeri itu.
Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata, kejayaan tersebut dianggap begitu memberangsangkan bagi mempertingkatkan lagi ekonomi negeri.
“Penting usaha kerajaan negeri menarik sebanyak mungkin pelaburan yang berpotensi menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat, di samping mengukuhkan ekonomi negeri.
“Insya-Allah, sikit masa lagi ekonomi negeri Perlis dapat seiring dengan negeri-negeri yang lain,” katanya di sini.
Beliau juga berkata, pentadbiran kerajaan PN Perlis sentiasa dipantau Mursyidul Am PAS Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin dan Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Tuan Guru Ahmad Ali.
Menurutnya mereka sentiasa menjadi rujukan dan penasihat kepadanya sebagai ketua kerajaan dalam menjalankan amanah mentadbir Perlis.
“Saya bersyukur dengan adanya dua tokoh ulama tersebut sentiasa disanjungi dan disayangi rakyat,” katanya.
PN mentadbir Perlis selepas memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke1-15 (PRU15) November lepas.
Hanya DUN Indera Kayangan terlepas ke tangan Pakatan Harapan (PH) yang dimenangi Gan Ay Ling.
Perlis sebelum ini merupakan kubu kuat Barisan Nasional sejak merdeka. – HARAKAHDAILY 10/7/2023
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Perlis-Kedah, gerak ekonomi. S'gor bagaimana?
Ya, jom lihat seterusnya.
(i) Kedah mahu berada sebaris negeri maju di Lembah Klang, insya Allah!
KXP juga tidak akan menjadi saingan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) kerana fungsinya berbeza.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, KXP tidak akan menjadi saingan, sebaliknya pelengkap kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Malah ia juga berpotensi untuk menjadi ‘economic game changer’ pada masa hadapan.
“Pembangunan KXP amat signifikan dalam konteks pembangunan ekonomi Wilayah Utara,” katanya pada program Libat Urus dan Road Show Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli di Kedah Royal Club di sini semalam.
Oleh itu Sanusi berkata, kerajaan negeri amat berharap beliau diberi peluang menjelaskan kepentingan projek tersebut kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan jemaah menteri.
Begitu juga pembangunan Kedah Aerotropolis perlu mendapat pertimbangan kerajaan Persekutuan bagi mengukuhkan lagi ekosistem industri dan pengangkutan di negeri itu.
Aerotropolis merangkumi Aerocity dan Sidam Logistics, Aerospace & Manufacturing Hub (SLAM) selain KXP sendiri.
“Kedah bercita-cita untuk meletakkan negeri ini sebaris dengan negeri-negeri maju lain terutamanya di sekitar Lembah Klang.
“Saya yakin Kedah juga mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri maju lain,” ujarnya.
Menurutnya juga kawasan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) sekarang dalam proses pembesaran kepada Fasa 4A dan Fasa 5.
Beliau juga berkata, bermula tahun 2021 hingga suku tahun pertama 2023, Kedah berjaya meraih secara komulatif pelaburan bernilai RM82.57 bilion dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.
“Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang positif pada kadar 3.2 peratus (2021) dan meningkat kepada 7.2 peratus pada 2022,” jelas beliau.
(ii) Tapi jumlah pelaburan S'gor merosot suku pertama 2023..
Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dalam tempoh tersebut Wilayah Persekutuan mencatat jumlah pelaburan tertinggi iaitu RM22 bilion dan diikuti Johor RM11 bilion.
“Belum pernah Selangor jatuh ke kedudukan seperti itu, namun ia berlaku di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya pada Program Jelajah Selangor Baharu Kita Bangkit! Selayang di Simpang 4 Taman Selayang Mutiara Kampung Bendahara malam tadi.
Turut hadir Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi, mantan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar dan Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia dan MIDA, Selangor mencatatkan pelaburan sebanyak RM7 bilion sepanjang tempoh tersebut.
Azmin yang juga bekas ahli parlimen Gombak berkata, apabila pelaburan merosot, anak-anak muda akan hilang peluang pekerjaan.