Sunday, February 13, 2011

Valentine: Melebel Kristian 'Tradisi Berdosa', Biadap -Guan Eng



KL 13 Feb 11: Tindakan melabelkan ajaran Kristian sebagai “tradisi berdosa” adalah satu tuduhan tidak bertanggungjawab dan biadap.
Dakwa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, mengenai kontroversi sambutan Hari Kekasih baru-baru ini. Bahkan ianya adalah mainan politik Barisan Nasional (BN) yang mahu menimbulkan kebencian antara kaum dan agama negara ini.

“Jelas sekali ada pihak tertentu yang cuba mencari populariti di kalangan umat Islam dengan menjalankan kempen anti-Hari Kekasih seakan-akan satu kempen menyelamatkan Islam daripada dosa-dosa yang diamalkan di kalangan bukan Islam.


“Jelas sekali, ini adalah suatu permainan politik BN dengan taktik talam dua muka untuk menimbulkan kebencian di kalangan kaum dan agama masing-masing,” katanya berucap pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Tahun Arnab Anjuran PKR Cabang Tanjung hari ini.
Seperti dilaporkan oleh The Malaysian Insider.

Teks ucapannya dikeluarkan di sini.

Tambah Ketua Menteri Pulau Pinang itu, sikap talam dua muka yang dimainkan BN itu berbeza dengan pendirian Pakatan Rakyat yang sentiasa bertindak adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Sandiwara talam dua muka BN ini berlainan dengan Pakatan Rakyat yang bertindak adil kepada semua kaum dan agama dengan mempromosikan kesederhanaan, kesefahaman, dan saling hormat-menghormati serta bantu-membantu di antara satu sama lain.

”Sekiranya mereka (BN) ingin mempertahankan Islam, mengapa mereka tidak menjalankan kempen ke atas pemimpin BN yang menyerang calon wanita PAS sebagai ekstremis kerana calon wanita itu memilih untuk tidak salam dengan kaum lelaki? Mengapa mereka tidak menjalankan kempen ke atas pemimpin BN sama yang melabelkan negara-negara Islam sebagai mundur, miskin, korup dan tidak demokratik?” soal Lim.

Jelas beliau, Hari Kekasih yang disambut setiap 14 Februari bukan sebahagian daripada fahaman dan ajaran Kristian. Sebaliknya, beliau berkata ia adalah satu amalan popular yang tidak menggalakkan perbuatan zina.

“Jelas sekali permainan perkauman dan ekstremis ini bertujuan untuk pecah-belahkan rakyat dengan melaga-lagakan antara agama agar pemimpin BN boleh terus memerintah dan skandal rasuah yang kian berleluasa,” katanya.

Justeru, Lim menggesa rakyat supaya menolak tuduhan yang berbaur perkauman yang melabelkan orang bukan Islam sebagai berdosa.

“Khususnya dalam media yang dikuasai BN, kerana menyebarkan maklumat palsu bahawa amalan tradisi Kristian dan Hari Kekasih adalah berdosa.

“Pada masa yang sama ada pemimpin BN yang melabelkan negara-negara Islam sebagai mundur, miskin, korup dan tidak demokratik,” katanya sambil menegaskan Pakatan Rakyat berpegang kuat dengan kepercayaan bahawa kesederahaan adalah keadilan.

Kelmarin Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz, menasihatkan orang ramai khususnya yang beragama Islam supaya menjauhi sebarang acara atau majlis yang bertemakan sambutan Hari Kekasih bagi mengelakkan mereka terlibat dengan gejala maksiat.

Terdapat beberapa versi sejarah sambutan Hari Kekasih, termasuk yang dikaitkan dengan pesta sambutan Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia, kisah mubaligh Kristian Saint Valentine dan juga sempena musim mengawan burung pada 14 Februari.

Bersandarkan beberapa hujah yang jelas, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 2005 telah memutuskan bahawa sambutan Hari Kekasih adalah haram bagi seluruh umat Islam. Wan Mohamad berkata, “amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam.”

Sebelum ini, Weblog Ibnu Hasyim, memberi komen berasaskan tuntutan Pemuda Majlis Gereja-Gereja Malaysia (Pemuda CCM) mempertikaikan satu kenyataan oleh seorang selebriti sebuah siaran tv tempatan..

Menurut blog ini,

"Inilah titik-titik pertemuan antara agama. Benda-benda yang tidak fakta dan tidak ada dalam agama perlu ditolak, apalagi jika ianya mengundang perpecahan. Jangan dikaitkan dengan agama. Maka perlu dicari kejernihan.

"Contohnya, isu orang bukan Islam sebut nama 'Allah', masalah azan guna pembesar suara dan orang bukan Islam masuk masjid, semuanya ada jalan selesai. Jadi perbedaan pendapat adalah suatu perkembangan keilmuan yang baik dan sihat, jika diuruskan dengan baik. Ianya mampu membawa perpaduan." Lihat, Valentine: Berita Ini, Bukti Ada Kesamaan Islam-Kr...(IH)

Ada kaitan...

Chai Fong Ying, Juara Berganda Seni Pertahan Diri


SUKAN

CHAI Fong Ying bukan lagi nama asing dalam dunia sukan seni mempertahankan diri , wushu. Namanya semakin meningkat naik hingga ada yang menyamakannya dengan Ho Ro Bin, jaguh wushu yang pernah mengharumkan nama Malaysia suatu ketika dulu.

Sejak merangkul gelaran juara berganda selepas impian mempertahankan emas di Sukan Asia Doha, empat tahun lalu berjaya dilaksana di Guangzhou, Fong Ying, 25, kini bukan saja menjadi tonggak harapan skuad kebangsaan malah turut menjadi tumpuan negara.

Komitmen penuntut jurusan perakaunan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu tidak perlu dipersoal apabila pernah menangguhkan pengajiannya empat kali demi mengharumkan nama negara. Ikuti temubual wartawan Metro Ahad dengan beliau.

METRO AHAD (MA): Sejak bila aktif dalam sukan tempur wushu?

CHAI FONG YING (CFY): Saya mula jatuh cinta dengan sukan wushu atau digelar kungfu sejak kecil dan mula aktif seawal usia empat tahun. Wushu adalah hidup saya.

MA: Apakah pencapaian terbaik anda?

CFY:
Pastinya ketika meraih emas di Sukan Asia Doha 2006 dan mengulangi kejayaan dan pingat pertama untuk Malaysia di Guangzhou tahun lalu. Namun, dalam sukan ini, Kejohanan Dunia Wushu amat penting demi mengukur prestasi menentang atlet wushu dunia dan saya tidak ketinggalan meraih kejayaan apabila menyumbang pingat emas dua kali, iaitu pada 2005 dan 2007 untuk negara.

MA: Siapa yang mendorong anda?

CFY:
Ayah saya jurulatih wushu, bapa saudara (sebelah ayah) turut memberi sokongan. Pendek kata, kami sememangnya berasal dari ‘keluarga’ yang mengamalkan wushu.

MA: Siapa idola yang menjadi inspirasi anda?

CFY:
Terlalu ramai, saya menghormati semua jaguh tempur wushu dan bagi saya, mereka hebat. Bukan mudah mengamalkan wushu, seni mempertahankan diri yang berasal dari China kerana ia memerlukan fokus tinggi. Tetapi saya memandang tinggi pelakon kungfu bangsa Cina yang berjaya di Hollywood, kerana mereka, sukan wushu semakin dimartabatkan.

MA: Anda menangguhkan pengajian demi wushu. Hingga kini, berapa kali anda menangguhkan pengajian dan sanggupkah menangguhkannya sekali lagi sekiranya perlu?

CFY:
Ketika ini saya menuntut di UPM dalam jurusan perakaunan dan setakat ini sudah empat kali menangguhkan pengajian. Keluarga tidak menghalang keputusan itu dan memahami tanggungjawab saya untuk negara.

Saya juga tidak keberatan menangguhkan pengajian sekali lagi andai perlu, demi Malaysia, saya sanggup lakukan apa saja.

MA: Apakah rahsia atau amalan pemakanan untuk mengekalkan kesihatan?

CFY:
Tidak seperti sukan lain, sayur-sayuran dan daging perlu untuk setiap atlet wushu kekal cergas dan sihat. Ada sesetengah sukan mengurangkan pengambilan daging, tetapi kami tidak. Daging penting untuk sumber protein dan karbohidrat.

Selain itu saya turut mengambil makanan yang mempunyai zat besi serta mengamalkan pengambilan buah dengan kerap. Namun, saya elak daripada memakan buah kering terlalu banyak kerana makanan sukar hadam boleh mendatangkan kesan untuk kesihatan.

MA: Sasaran tahun ini?

CFY:
Walaupun mendapat pujian melangit serta dilimpahi anugerah, masih banyak perlu saya lakukan untuk meningkatkan prestasi demi menaikkan lagi nama Malaysia di mata dunia, sekali gus merapatkan jurang dengan China.

Setiap atlet akan berkorban demi mengharumkan nama Malaysia. Bagi merealisasikan sasaran itu, pastinya saya perlu menggondol lebih banyak pingat. Itu misi saya.

MA: Ada teman istimewa atau mungkin merancang ke gerbang perkahwinan?

CFY:
Tidak, saya tidak ada teman lelaki. Saya belum terfikir mengenainya. Tumpuan saya adalah pada wushu semata-mata.

MA: Berapa lama lagi anda akan aktif mewakili negara kerana anda sudah mencecah usia 20-an.

CFY:
Wushu ‘teman istimewa’ saya. Oleh itu, saya akan berada di dunia wushu selama-lamanya, walaupun sampai ke tua. Saya akan bertahan mewakili negara selagi terdaya dan mungkin meneruskannya sebagai jurulatih. Apapun, saya akan terus berkecimpung dalam sukan wushu, kerana ia hidup saya.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sukan ilmu pertahankan diri amat digalakkan dalam Islam. Tuan Guru Nik Aziz MB Kelantan pernah menyuruh mewanita-wanita kita belajarnya (myMetro)

E-Buku IH-31: Minda Baru PAS?

E-Buku IH-31: Minda Baru PAS?

Bab I

Akan disingkapkan lagi pemikiran-pemikiran baru dalam PAS.

Kebebasan Rakyat Lebih Penting Dari Tegakkan Syariah.


KL 13 Feb 11: Mempertahankan kebebasan rakyat lebih penting daripada membentuk sistem Syariah (hukum Islam), meskipun kebebasan tetap bahagian dari Syariah. Kata Shaikh Yusuf al-Qardhawi pada Jumaat malam dalam sebuah wawancara dengan jaringan tv Al Jazeera.

Al-Qardhawi, yang merupakan pemikir Islam berpengaruh dan presiden Kesatuan Cendekiawan Muslim Antarabangsa yang sangat rapat dengan Ikhwanul Muslimin, kelompok pembangkang terbesar di Mesir.

Baru-baru ini, beberapa anggota Ikhwan telah cuba meringankan kebimbangan orang ramai, bahawa mereka ingin mendirikan negara Islam dengan menegaskan Ikhwan tidak mengejar kekuasaan, atau menetapkan pemerintahan Islam di Mesir.

Al-Qardhawi juga menekankan tentara perlu melindungi bangsa dan hak-hak rakyat, bukan mengatur negara. Dia menekankan hak protes damai demi kehidupan lebih baik diberikan oleh Islam, dan yang diakui oleh setiap konvensyen hak asasi manusia. Beliau mengucapkan selamat kepada rakyat Mesir dan bangsa Arab dengan kepergian Presiden Hosni Mubarak setelah 18 hari perjuangan revolusioner rakyat Mesir.

Beliau menggambarkan kaum revolusioner muda sebagai warga Mesir terhormat yang telah menjalankan panggilan tugas untuk wujudnya keadilan nasional. Al-Qardhawi menyatakan keyakinannya bahawa Allah telah membantu mereka yang melakukan pengorbanan dalam rangka mewujudkan keadilan.

Beliau menambahkan, "Saya yakin Allah akan membantu para revolusioner. Saya di dalam khotbah Jumaat selalu menyatakan bahawa Allah akan segera membantu pemuda ini , dan memang itulah kenyataan yang terjadi. "

Presiden yang digulingkan bertanggung jawab atas pertumpahan darah, beliau mengatakan bahawa "Allah ingin memberikan penghargaan kemenangan ini kepada orang-orang Mesir" dan mencela dakwaan bahawa rakyat Mesir adalah pelayan dan hamba.

Katanya lagi, Tahrir Square telah menjadi universiti untuk mendidik kebajikan dalam pengorbanan diri, dan menyarankan dataran itu ditukar nama menjadi "Dataran Revolusi 25 Januari." Al-Qardhawi memuji media independen yang berani mengungkapkan fakta-fakta dan mengungkap kebohongan media pemerintah, media yang sengaja menyesatkan informasi.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sebenarnya penegakkan Syariat adalah perlaksanaan kebebasan rakyat. Itu yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan-kerajaan yang mengaku Islam. (IH)

Wardina, Artis Contoh, Baik Rupa & Akhlak?

HALAMAN HIBURAN

Wardina pernah mencetuskan kontroversi apabila memberikan pendapat selebriti Malaysia tidak layak digelar ikon

PETALING JAYA:
Pengacara Wardina Saffiyah agak terluka dengan komen-komen yang menyakitkan hati oleh pelayar Facebook setelah bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin memujinya sebagai artis contoh yang memiliki rupa dan akhlak yang baik.

Selepas pujian itu ditulis oleh Dr Asri menerusi Facebook miliknya Khamis, ramai yang memberikan pelbagai komen sama ada yang baik dan yang buruk. Bagaimanapun, ia dipercayai telah di padam oleh Dr Asri sendiri setelah perkara tersebut menjadi kontroversi.

Biarpun begitu, Wardina menganggap kritikan negatif itu sebagai lumrah yang perlu dilalui oleh seorang public figure sepertinya.

“Saya tidak sempurna, tapi saya mahu menjadi yang lebih baik dan maafkanlah kesalahan saya.

“Saya tidak dapat menerima komen-komen yang menyakitkan hati itu. Buat pengetahuan semua, saya tidak minta dipuji kerana saya merasakan diri ini jauh dari kesempurnaan.

“Bagaimanapun, saya menganggap komen negatif itu sebagai peringatan kepada saya supaya tidak terbuai,” katanya kepada mStar Online.

Jika ada yang tidak tahu, pelakon dan model iklan itu bersahabat baik dengan Dr Asri. Dia menganggap Dr Asri sebagai idola yang mampu memberikan pendekatan dakwah yang berbeza dan berani.

“Walaupun kami berkawan baik, saya tidak menganggap pujian Dr Asri itu sebagai sesuatu yang membanggakan. Tetapi saya tetap berterima kasih dan rasa dihargai kerana beliau berfikiran seperti itu.

“Saya berharap beliau terus memberikan panduan dengan penuh hikmah untuk saya menjadi seorang yang lebih baik,” ujarnya lagi.

Kenyataan Dr Asri yang ditampal oleh salah seorang pengikut Facebook Wardina.

Sebelum ini, Wardina pernah mencetuskan kontroversi apabila memberikan pendapat selebriti Malaysia tidak layak digelar ikon.

Selain bergelar seorang pelajar dalam jurusan psikologi, Wardina turut menjadi pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3, duta tudung Ariani, pelakon iklan ubat gigi Mu’min dan susu Anmum.

Ibu kepada tiga orang anak ini turut meluangkan masanya menulis buku dan menghadirkan diri untuk program kemasyarakatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). (mStar)

Bangunan Mesra Alam

CANGGIH... Menara Taiwan mengikut lakaran artis.
CANGGIH... Menara Taiwan mengikut lakaran artis.

JOM KREATIF

PERKHIDMATAN Internet tanpa wayar menyeluruh, jalan raya hanya untuk kenderaan pengangkutan awam, tiada kereta, sampah atau pengeluaran karbon. Ia bagaikan satu impian yang sukar dicapai pada masa depan tetapi tanpa disedari banyak pihak, situasi ideal itu sebenarnya sudah wujud.

  • UNTUK PIALA DUNIA... Stadium al-Khor di Qatar akan menjadi lokasi pertandingan Piala Dunia 2022, menggunakan tenaga solar untuk menggerakkan penyaman udara bagi memastikan suhu berada di bawah 26° Celsius.

Masdar City — terletak hanya beberapa kilometer dari Abu Dhabi — akan beroperasi sepenuhnya menjelang 2020. Mengikut pelan asal, bandar raya itu akan mengitar semula hampir semua air digunakan, selain kenderaan mengeluarkan asap diharamkan dan diganti dengan sistem pengangkutan berasaskan bateri.

Langkah sama turut dilaksanakan di bandar Dezhou, utara China, yang mencipta ‘lembah suria’ apabila semua lampu jalan dan kolam renangnya dipanaskan hasil haba daripada matahari. Kira-kira 80 peratus daripada bangunan di situ juga memanfaatkan kuasa suria bagi memanaskan air.

Isu trafik pula memang satu daripada masalah terbesar di mana-mana bandar raya dalam dunia. Di China, biasanya kerumitan itu cuba diatasi dengan penggunaan 50,000 basikal yang digunakan dalam skim perkongsian bersama.

Di Curitiba, Brazil, perkhidmatan bas Rapid Transit digunakan empat perlima populasi bandar itu melalui sistem prabayar.

Di Tallinn, Estonia, langkah kerajaan memberi akses Internet menyeluruh bagi membolehkan semua tempat awam, termasuk taman rekreasi, muzium, kafe dan kereta api, menjadi pusat sambungan ke dunia maya.

Bandar raya Minneapolis pula memiliki kawasan seluas hampir 95 kilometer persegi yang mempunyai sambungan Internet walaupun sesetengah penduduknya masih membayar bagi perkhidmatan berkenaan.

Kemudian, ada pula rancangan membina bangunan luar biasa oleh sekumpulan arkitek yang membayangkan sebuah dunia dipenuhi menara pokok, piramid terapung serta rumah yang dibina di atas air.

Sebahagian daripada reka bentuk paling menakjubkan turut dicadangkan dibina di Timur Jauh, dengan Jepun dan China bakal mendahului negara lain bagi mewujudkan sebuah model bandar bersih masa depan.

Pada masa sama, Britain juga berusaha ke arah itu. Bandar The Shard kini dibangunkan sebagai mercu tanda baru dan pusat pembangunan masa depan di South Bank. (IH)

E-Buku IH-10: 'Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik..' ..klik gambar

E-Buku IH-10: \

Pelacur Lelaki, Bahagian Agama, Sila Ambil Perhatian.


KL 13 Feb 11: Kosmos Online hari ini mendedahkan kisah pelacur lelaki atau gigolo di celah-celah bangunan di Jalan Raja Laut, KL. Begitu juga kisah seorang tukang urut lelaki yang menyediakan khidmat seks selain urutan badan di sebuah premis di Klang, Selangor.

Menurut berita itu, begitu ketat kawalan tempat-tepat tersebut, "Pelanggan perlu memberikan kata laluan untuk menaiki tangga ke sebuah ruang di tingkat kedua. Selain dilengkapi dengan kawalan kamera litar tertutup, premis ini turut dikawal rapi oleh seorang lelaki di sekitar kaki lima."

Bahagian agama yang bertanggung jawab, sila ambil perhatian, biar peka jangan pekak. Tugas yang diamanahkan untuk menyelamat umat.. Tugas blogger sekadar pesan memesan. Lihat lanjut..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails