

Ibnu Hasyim: Catatan Santai
PADA suatu hari Khalifah Umar Abdul Aziz berpidato di hadapan rakyatnya.. Seperti biasa pidatonya amat menarik, tetapi kali ini agak canggung. Beliau sering mengibas-ngibaskan bajunya, sesekali ke kanan dan sesekali ke kiri. Membuat orang ramai mulai sedar tidak sesuai antara gerak tangan dengan kandungan pidatonya.
Akhirnya lepas ceramah baru mereka tahu, rupanya baju yang dipakai Khalifah baru saja dibasuh dan belum kering lagi. Kerana tiada baju lain lagi, maka baju itu dipakai juga. Oleh itu beliau selalu mengerak-gerakkan bajunya ketika berpidato agar cepat kering.
Suatu ketika lain, kakak kepada Fatimah Abdul Malik isterinya, datang menemui adiknya itu dan melihat Khalifah yang sedang sakit, berkata, “Fatimah! Basuhlah pakaian Khalifah itu… Sekejap lagi orang ramai akan masuk menemuinya”.
“Demi Allah, beliau tiada lagi pakaian lain kecuali yang dipakai itu", jawab Fatimah, isterinya yang setia.
Pernah seorang perempuan Mesir telah datang ke Damsyik kerana ingin bertemu dengan Amirul Mukminin Khalifah Umar Abdul Aziz. Dia bertanya-tanya di mana istana Khalifah dan orang ramai pun menunjuknya. Se sampai saja di rumah itu, lalu bertemu dengan seorang perempuan berpakaian lusuh dan buruk bersama seorang lelaki yang bergelumang dengan tanah, sedang memperbaiki rumahnya.
Terkejut besar wanita itu, bila bertanya dan mengetahui yang ditanya itu adalah Fatimah isteri Khalifah sendiri.. yang berpakaian tidak seperti permaisuri kepada raja yang berkuasa. “Mengapa puan tidak menutup diri dari lelaki tukang bancuh pasir itu?” Tanya wanita Mesir itu, yang dilayani baik oleh isteri Khalifah.
“Tukang bancuh pasir itulah Amirul Mukminin (Khalifah)!” Jawab Fatimah tersenyum. Sekali lagi tetamu itu terkejut dan beristighfar, kerana lelaki itu adalah suami Fatimah, iaitu Khalifah sendiri.
Sebenarnya Khalifah Umar tidak mempunyai pelayan kecuali seorang kanak-kanak lelaki. Dialah satu-satunya pelayan di rumah Umar. Fatimah memberinya makan kacang setiap hari sehingga bosan. “Kacang.. Kacang. Hari-hari kacang," rungut pelayan itu.
Inilah makanan tuanmu Amirul Mukminin, wahai anak!" kata Fatimah.
Umar juga pernah sediakan 2 lilin di rumahnya, satu untuk guna negara dan satu lagi guna keluarga… Begitulah berhati-berhatinya beliau dengan harta, terutamanya yang melibatkan harta rakyat. Terdapat banyak lagi riwayat dan athar sahabat-sahabat yang menceritakan tentang keluruhan budinya. Pada zaman pemerintahannya dianggap oleh ahli sejarah merupakan zaman yang paling adil dalam kerajaan Bani Umaiyah.
Beliau mangkat pada tahun 720 Masihi (25 Rejab 101 Hijrah) kerana termakan racun semasa berumur 39 tahun. Beliau memerintah selama 2 tahun 5 bulan 4 hari. Pun begitu, dikatakan Khalifah Umar juga bersifat tidak mahu menakluk negeri-negeri asing, walau beliau telah berusaha menghantar pendakwah-pendakwahnya keluar tanah Arab ke timur atau ke barat.
Sehingga ada ulama-ulama yang bila ditanya perbandingan Umar Abdul Aziz dengan Muawiyah Abu Sufian (Khalifah pertama Bani Umaiyah) dalam politik pemerintahan… “…nak dibandingkan dengan debu yang lekat di kaki kuda (ada yang sebut sepatu) Muawiyah pun masih tidak sama…” Ertinya, jauh lebih hebat pemerintahan Muawiyah lagi.
Mengapa sampai begitu?
Muawiyah masuk Islam bersama ayahnya Abu Sufian ketika pembukaan Makkah oleh Nabi SAW. Setelah berhijrah ke Madinah, beliau dilantik sebagai jurutulis wahyu. Iaitu orang kepercayaan Nabi SAW.
“Muawiyah adalah seorang yang panjang akal, cerdik cendakia lagi bijaksana, luas ilmu dan siasatnya, terutama dalam urusan dunia, pandai mengatur pekerjaan, ahli hikmah, lemah lembut, fasih lidahnya dan berarti tutur katanya. Siapa yang mendekat kepadanya, jarang tidak terikat oleh lemak manis mulutnya. Pemaaf pada tempat yang patut dimaafkan, keras pada tempat yang patut keras, tetapi lebih banyak maafnya dari marahnya. Dermawan dan gila kekuasaan.” Tulis Prof Dr HAMKA dalam bukunya ‘Sejarah Umat Islam’ Terbitan PN-1994.
Muawiyah terpilih sebagai Khalifah agak luar biasa, bukanlah atas kehendak umum sebagaimana terpilihnya Khalifah yang 4, iaitu Abu Bakar, Umar (moyang Umar Abdul Aziz), Usman & Ali. Beliau menumpukan kepada perluasan kekuasaan, termasuk ke negeri yang baru, sebelah timur tanah Arab, seperti Qaigan. Menghantar tentera menyerang Sind bersempadan Hindustan, Bannah dan Lahore.
Menyerang kerajaan Romawi dengan angkatan darat dan laut. Ditakluknya pulau-pulau di hadapan Yunani, Rhodesia dan Cyprus. Tahun 48H cuba menyerang Constantinopel. Tahun 50H mengerahkan Uqbah bin Nafi’ dengan 10,000 tentera mengalahkan negeri-negeri Afrika dan berhasil baik (ramai bangsa Barbar, bangsa asli Afrika Utara memeluk Islam). Ada ahli sejarah menyebutkan Muawiyah telah pun merancang untuk menakluk kerajaan-kerajaan (bukan Islam) di Asia Tenggara tetapi tak sempat.
“Ada orang kata Muawiyah menggunakan ‘politik menghalalkan cara, gaya Michelvelli’, politik jahat yang bukan dari ajaran Islam..” Kata kawanku sambungan dalam catatan santai lepas ‘Siapa Guan Eng Berbanding Umar Abdul Aziz?’
“Hang cakap baik-baik! Takut terhina sahabat Nabi seperti dalam ayat Quran Surah At-Taubah 9: Ayat 100…
‘Dan orang-orang yang mendahului yang mula-mula daripada Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang menuruti (jejak) mereka dengan kebaikan itu, Allah ridha kepada mereka dan mereka pun ridha kepadaNya, dan Dia telah menyediakan untuk mereka berbagai Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dalam keadaan mereka kekal di dalamnya. Yang demikian itulah kejayaan yang besar.’
Muawiyah adalah sahabat Nabi yang dipercayai kejujurannya, kalau tidak takkan beliau dipilih sebagai jurutulis wahyu Nabi. Rosak wahyu, rusaklah agama. Jangan sampai kita menghina beliau.” Kataku pula.
Kawanku berkata lagi, “Berbalik kepada yang aku tanya, selain mengemas kinikan pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang dari rasuah, pulihkan ekonomi rakyat (Umar Abdul Aziz cuba hapuskan kemiskinan sehingga tiada lagi orang yang mengaku layak terima zakat) dan lain-lain macam Umar Abdul Aziz, aku tak nampak pun Guan Eng berjimat macam Tok Guru mula perintah Kelantan dulu… Aku dengaq ada lagi Orang No1 pemimpin negeri-negeri diperintah Pakatan Rakyat masih terima elaun duit rakyat sampai RM50,000 sebulan?? Kedah pun aku tak nampak ikut macam Kelantan. Cuba bandingkan 100 hari PAS perintah Kedah dengan 100 hari PAS perintah Kelantan dulu!?”
“Maaf. Itu soal lain. Yang penting dalam suasana sekarang (masalah ekonomi rakyat tertekan) Guan Eng lebih mudah dan sesuai mengikut ciri-ciri Khalifah Umar Abdul Aziz dalam pentadbiran, dari gaya pentadbiran Muawiyah. Bukan Guan Eng saja, tetapi juga negeri-negeri lain dalam Pakatan Rakyat!!”
Kita sambung di catatan santai akan datang. Insya Allah.
Catatan santai:
ibnuhasyim.com
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
Ogos13, 08 KL.
|









