Thursday, April 20, 2023

Rundingan tuntutan China, Anwar gadai maruah.. -Muhyiddin. & DAP, Melayu toleran.

 


1. Anwar seperti gadai maruah, kedaulatan negara. Bidas kenyataan PM buka rundingan tuntutan China

DALAM sidang Dewan Rakyat bertarikh 4 April 2023, Perdana Menteri telah memaklumkan bahawa terdapat tuntutan bertindih di Laut China Selatan ‘terutama kebimbangan negara China kerana PETRONAS telah menjalankan satu kegiatan besar-besaran di satu kawasan yang juga dituntut oleh negara China’. 

Beliau menambah, ‘kalau negara China merasakan ini hak mereka, kita boleh buka untuk rundingan’.

Kenyataan ini adalah cuai dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Perdana Menteri. Implikasi kenyataan ini secara tidak langsung telah memperakui tuntutan negara China terhadap kawasan yang sudah sah merupakan wilayah Malaysia yang mesti dipertahankan. 

Pada hakikatnya, kawasan cari gali PETRONAS yang dirujuk oleh Perdana Menteri adalah dalam wilayah Malaysia dan tidak boleh dirundingkan walaupun dituntut oleh negara China.

Malaysia mesti tegas mempertahankan kedaulatan wilayah dan keselamatan negara bagi melindungi hak dan tuntutan wilayah negara. Kenyataan Perdana Menteri mengenai keterbukaan Malaysia untuk berunding ke atas hak wilayahnya telah mengundang risiko ancaman kedaulatan negara. Kenyataan Perdana Menteri yang dibuat di Parlimen ini adalah amat lemah, amat tidak bertanggungjawab dan kelihatan seperti menggadai maruah dan kedaulatan negara kepada kuasa asing. 

Keduanya, Perdana Menteri juga membuat kenyataan berikut di Dewan Rakyat:

‘…tentang kehadiran kapal dan sebagainya, itu diterangkan oleh negara China. Itu perairan Antarabangsa. Akan tetapi pihak kementerian luar akan terus memantau dan sekiranya ada pelanggaran, akan mengeluarkan bantahan.’

Dalam soal kehadiran kapal tentera laut China di kawasan perairan yang turut dituntut oleh tujuh negara termasuk Malaysia tetapi didakwa oleh China sebagai perairan Antarabangsa, Perdana Menteri sepatutnya tegas mempertahankan kedaulatan wilayah negara seperti yang termaktub dalam peta Malaysia 1979.

Sehingga kini, kawasan pertikaian di Laut China Selatan masih belum diputuskan dan ASEAN juga tidak mencapai konsensus mengenai pertindihan tuntutan di Laut China Selatan. Perlu diingat bahawa ASEAN menolak pengiktirafan 9 Dash Line yang dituntut oleh negara China, termasuk dalam wilayah perairan Malaysia.

Berkenaan pertindihan tuntutan, sebarang perbincangan mesti dibuat selaras dengan Konsensus ASEAN dan South China Sea Code of Conduct.

Sementara Malaysia mengiktiraf negara China sebagai kuasa ekonomi global, kedaulatan negara kita tidak boleh dikompromi sama sesekali. Mengambil kira kedudukan ASEAN sebagai gabungan sepuluh buah negara, Malaysia mestilah menangani isu maritim Antarabangsa secara lebih berwaspada berpandukan prinsip kedaulatan negara dan Gagasan ASEAN. 

TAN SRI DATO’ MUHYIDDIN MD. YASSIN 

Pengerusi PERIKATAN NASIONAL 6 April 2023 – HARAKAHDAILY 6/4/2023


2. Mengapa perlu DAP sebagai Exco Melaka? 


DALAM PRN Melaka ke 15 tahun 2021 BN-Umno menang besar menguasai 21 daripada 28 kerusi negeri iaitu penguasaan hampir 75 peratus.

Pembangkang cuma 7 kerusi iaitu DAP 5 dan BERSATU 2.

Tiba-tiba apabila naik Ketua Menteri baru Melaka dirombaknya Kabinet Negeri dan demi mahu menarik perhatian Presiden PKR dan Pengerusi PH iaitu Perdana Menteri ke-10 beliau ajak DAP masuk kerajaan. Dari 10 Exco Negeri, DAP diberi satu.

Langsung beliau lupa ketika berkempen dalam PRN dulu, PH dan DAPlah diserang dan disasar jentera BN sehingga pengundi Melaka bangkit menolak PH.

Bossku Datuk Seri Najib pun mengorbankan masa dan tenaga untuk gesa rakyat kikis dan buang keluar PH dari Melaka.

Justeru tidak ada keperluan pun untuk Melaka jemput DAP menjadi Exco. Berlainan Pahang dan Perak di mana kerajaan negeri terbentuk dengan sokongan PH.

Di Melaka tak perlu pun DAP tapi hairan kenapa Ketua Menteri Umno ghairah mahu angkat mereka?

Di Selangor tak dengar pula Kerajaan PH terlonjak-lonjak mahu contohi Kerajaan Campuran Pusat dan angkat ADUN Umno jadi Exco. Atau memang kepimpinan Umno sudah dicucuk hidung oleh PH hari ini?

Inilah puncanya bila keutamaan perjuangan diganggu oleh kepentingan dan agenda peribadi.

Kasihan orang Melaka undi BN dapat DAP! Kasihan bossku yang meringkuk dipenjara, tiada siapa minta pandangan.

Ikutilah di bawah ini sebagai pedoman: 

Watak Kapten Syers dalam filem Mat Kilau berkata: “Orang Melayu tidak pernah bersatu, sebab itu mereka senang untuk dijajah dan dipijak,  mereka saling menjatuhkan sesama sendiri!”

ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha Perhubungan
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 6/4/2023 


3. 
Melayu kaum paling toleran di tanah bertuah ini 
RAMAI agak terkejut dengan inti ucapan Perdana Menteri semasa Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan tempoh hari mengenai kaum majoriti dan sifat angkuh. 

Perdana Menteri ke-10 (PMX) seolah-olah memberi peringatan supaya kaum majoriti di negara ini jangan bersikap angkuh dan selesa. Siapakah kaum majoriti kalau bukan orang Melayu?

Kenyataan tersebut khabarnya disandarkan kepada pengamatan beliau di Kemboja. Menurutnya, Kemboja yang berpegang dengan ajaran Buddha, begitu meraikan masyarakat minoriti Muslim, bahkan telah melantik seorang Menteri beragama Islam. Oleh itu, beliau menyeru masyarakat di Malaysia mencontohi perkara tersebut.

Soalnya, mengapa asas di Kemboja itu menjadi kayu ukur untuk menempelak orang Melayu?

Hakikatnya, seawal tertubuhnya Malaya pada 1957, sehingga terbentuknya Malaysia pada 1963, bahkan sampai ke hari ini, orang Melayu tidak sama sekali bersikap angkuh sehingga mengesampingkan bangsa lain. 

Orang Melayu sangat toleran dengan bangsa lain. Dengan sifat itulah maka perpaduan kaum dan kerukunan masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini wujud dari generasi ke generasi.

Dalam pentadbiran negara sebagai contoh, barisan Jemaah Menteri adalah dari pelbagai kaum dan agama. Ini berlaku sejak merdeka. Tidak pernah ada di mana-mana masa Jemaah Menteri dimonopoli oleh orang Melayu sahaja.

Sifat toleran orang Melayu (yang pegangan agamanya adalah Islam) menjangkau sampai kepada amalan dan aktiviti agama penganut bukan-Islam. 

Mana pernah agama lain dihalang mengadakan aktiviti agama mereka. Bukan setakat tidak mengganggu, malah agama lain turut mendapat cuti umum dalam negara kita, atas maksud bahawa mereka bebas mengamalkan apa sahaja anutan mereka, selagi berlandaskan undang-undang negara. 

Sekiranya Melayu Muslim tidak meraikan masyarakat bukan-Islam, sudah pasti rumah-rumah ibadat masyarakat bukan-Islam tidak dibenarkan dibina di setiap inci tanah air ini.

Bukan setakat itu, betapa tingginya sifat toleran orang Melayu terhadap bangsa lain menjadikan bangsa bukan majoriti bebas menjalankan aktiviti ekonomi dan perniagaan. Bukan setakat ahli ekonomi dan perniagaan biasa-biasa malah sehingga mencapai jutawan dan multi-jutawan.

Lihat senarai 10 orang terkaya di Malaysia. Melayu atau bukan-Melayu? Mereka diganggu oleh orang Melayu kerana orang Melayu itu sifatnya angkuh?

Mengapa orang Melayu sangat toleran? Sebab orang Melayu berpegang kuat kepada Islam. 

Sudahlah sifat semula jadi orang Melayu itu lembut dan sopan, ditambah pula dengan ajaran Islam, menjadikan orang Melayu sangat toleran dan menghormati orang lain. Hargailah orang Melayu wahai Perdana Menteri-ku.

Salam Ramadan!

USTAZ MOHD SHAFIE NGAH
Yang Dipertua PAS
Kawasan Bangi – HARAKAHDAILY 6/4/2023


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Rundingan tuntutan China, Anwar gadai maruah-Muhyiddin. & DAP, Melayu toleran.

Itulah realiti politik di Malaysia, PMX cuba mengheret Malaysia ke arah kehancuran memusnahkan bangsa Melayu, bumiputera dan Islam. Masihkah mahu menjadi 'barua' parti-parti anti Islam?

Kuasa undi di tangan anda, jawaplah di hadapan Allah SWT di akhirat nanti...


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails