Friday, April 21, 2023

Berbanding PH-BN, AP PN lebih baik.. Ini, UMNO sembah rayu PH!

 


1. Prestasi Ahli Parlimen PN lebih baik berbanding PH-BN

DI SAAT rakyat Malaysia kecewa dengan kacau bilau pentadbiran Kerajaan Madani, Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) tampil dengan prestasi dan imej yang memberangsangkan berbanding Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) di Parlimen. 

Justeru, adalah tidak aneh andai rakyat Malaysia mendakwa bahawa PN ini lebih berwibawa berbanding PH-BN. 

Antara perkara positif yang membuatkan Ahli-ahli Parlimen PN lebih baik berbanding PH-BN ialah; 

1. Kualiti perbahasan.

Dalam sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini, Ahli Parlimen PN telah mengambil bahagian untuk berbahas dengan sangat aktif, membina dan berkesan seolah-olah mereka ini adalah Ahli Parlimen daripada pihak kerajaan. 

Prestasi yang membanggakan ini semestinya adalah natijah daripada inisiatif program Permukiman Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL, penubuhan Jawatankuasa Portfolio Ahli Dewan Rakyat Perikatan Nasional, Program Brainstorming Belanjawan 2023 oleh PERIKATAN NASIONAL dan pre-council Ahli-ahli Parlimen PN yang berterusan secara aktif. 

2. Kehadiran ke Parlimen.

Berdasarkan kepada rekod kehadiran dalam hansard (transkrip rasmi) Sidang Parlimen, Ahli Parlimen PN mencatatkan peratusan kehadiran terbaik dengan kadar kehadiran sebanyak 94.2 peratus berbanding Ahli Parlimen Kerajaan dengan kadar kehadiran sekadar 88.4 peratus. 

Ini adalah bukti yang rasmi daripada rekod yang rasmi bahawa Ahli-ahli Parlimen PN telah membawa suara rakyat mereka di Parlimen ini dengan penuh kesungguhan, disiplin dan dedikasi. 

3. Kesepakatan pasukan.

Selain daripada perbahasan yang berkualiti dan rekod kehadiran klasifikasi kelas A+, Ahli-ahli Parlimen PN juga berkhidmat di Parlimen dengan percaturan yang sangat strategik dan penuh dengan semangat berpasukan yang tinggi. 

Perbahasan mereka adalah sangat tuntas dan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. 

Tidak dilupakan juga, kod pakaian mereka yang sentiasa seragam dalam sesi-sesi penting berbanding Ahli-ahli Parlimen Kerajaan telah menambahkan lagi nilai imej mereka. 

Ahli Parlimen PN juga untuk rekod telah membuat ketetapan akan mengekalkan amalan pemakaian tali leher di Parlimen bersama dengan penjawat-penjawat awam yang lain. 

Tahniah Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL! Kalian adalah harapan dan aspirasi perjuangan rakyat! 

Sekian.

ZURK AHMAD 
Ketua Pengarah
Jabatan Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 9/4/2023


2. Cabaran PH-BN ulangi rekod prestasi ekonomi 2022


PASIR PUTEH: Ekonomi Malaysia mencatat prestasi memberangsangkan pada tahun 2022 dengan mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 8.7 peratus.

Bagaimanapun Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menjadi cabaran pentadbiran negara sekarang untuk mengatasi rekod tersebut dengan situasi ekonomi yang perlahan sekarang.

Malah katanya kerajaan pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilihat tidak serius menangani masalah ekonomi seperti peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barang keperluan harian.

“Ini bergantung kepada cepat atau lambat kerajaan bertindak untuk mengatasi masalah tersebut kerana ia akan membawa kesan lebih besar tidak lama lagi kerana faktor ekonomi dunia.

“Kalau kerajaan tidak bertindak segera untuk tangani masalah sebegini saya takut ekonomi dan kehidupan rakyat akan lebih teruk berbanding tahun-tahun sebelum ini,” katanya pada program penghayatan Nuzul al Qural dan Badar al Kubra yang diadakan di Padang Majlis Daerah Pasir Puteh di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, Setiausaha Majlis Syura Ulama, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ketua Penerangan PAS Kelantan Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.

Muhyiddin yang Ahli Parlimen Pagoh berkata, walaupun Malaysia sudah keluar dari pandemik Covid-19 tiga tahun lalu, namun masih lagi ada segelintir rakyat yang terjejas dengan wabak itu.

Beliau juga berkata langkah kerajaan memberi suntikan dana sebanyak RM1 bilion dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak akan menyelesaikan masalah ekonomi dalam negara.

Malah ketika pemerintahan Perikatan Nasional (PN) katanya, kerajaan sentiasa menerima pandangan pelbagai pihak untuk membuat pengeluaran dalam wang simpanan tersebut.

“Sewaktu saya mentadbir negara dahulu, memang ada permintaan dan selepas itu kerajaan mempertimbang cadangan tersebut dan kita luluskan seperti i-Citra dan i-Sinar.

“Tetapi selepas pandemik, ada lagi kelompok rakyat yang masih memerlukan untuk mereka mengeluarkan wang simpanan secara bersasar, dan ia tidak melibatkan peruntukan kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/4/2023


3. Umno terpaksa rayu kerusi selamat dari PH 


MENURUT laporan FMT besar kemungkinan DAP dan PKR akan korbankan beberapa kerusi ‘selamat’ mereka untuk ditandingi Umno di Selangor dalam PRN Selangor ke-15.

Khabarnya kerusi-kerusi Sungai Pelek, Kota Kemuning, Dusun Tua dan Dengkil yang merupakan kerusi campuran Melayu dan Cina akan dipertimbang untuk ditandingi Umno.

Umno sejak berkawan dengan PH khasnya DAP nampaknya terpaksa meletakkan dirinya begitu rendah sehingga sanggup menyembah rayu untuk dapatkan kerusi selamat.

Satu ketika dahulu Umnolah yang paling perkasa di negeri ini, melahirkan tokoh Melayu terbilang seperti Dato’ Harun Idris, Zaleha Ismail, Rahmah Osman, Abu Hassan Omar.

Malang hari ini semua telah tergadai sehingga mengemis hidup atas ihsan bukan-Melayu.

Mungkinkah Umno sudah tidak yakin pada sokongan Melayu?

Kecundang di kerusi-kerusi majoriti Melayu di Sabak Bernam, Sg Besar, Tg Karang dan Kapar baru-baru ini barangkali menjadi isyarat bahawa masa depan mereka ternyata gelap di negeri ini.

Kebetulan 4 dari kerusi DUN yang Umno pegang hari ini duduk bawah kerusi Parlimen yang PN tawan itu.

Jika ‘gelombang hijau’ yang mengangkat PN menjuarai undi Melayu termasuk anak-anak mudanya berterusan, Umno ternyata akan hilang sokongan teras Melayunya, mungkin kerana itulah terpaksa melutut pada DAP dan PKR untuk kerusi selamat.

Laporan ini jika benar ianya memberi isyarat pada umat Melayu Selangor bahawa perjuangan memartabatkan agama dan bangsa di Selangor hanya boleh diharapkan pada PAS dan BERSATU sahaja, tidak lagi Umno.

Bangkitlah umat Melayu bersama ‘gelombang hijau’ pertahankan maruah agama dan bangsa kita. PN Best.

ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha Perhubungan
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 10/4/2023 

Komen Weblog Ibnu HasyimBerbanding PH-BN, AP PN lebih baik.. Ini, UMNO sembah rayu PH!

Umno sejak berkawan dengan PH khasnya DAP nampaknya terpaksa meletakkan dirinya begitu rendah sehingga sanggup menyembah rayu untuk dapatkan kerusi selamat.

UMNO dulunya perkasa di negeri ini, melahirkan tokoh Melayu terbilang seperti Dato’ Harun Idris, Zaleha Ismail, Rahmah Osman, Abu Hassan Omar. Tapi hari ini sudah hilang perkasa jadi pekasam. 

Semuanya telah tergadai sehingga mengemis hidup atas ihsan bukan-Melayu. Kesiannya, kembalilah kepada Islam. Insya Allah selamat dunia akhirat!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails