Friday, March 17, 2023

Ini dia pemfitnah, RM2 juta... & Jahatnya Hannah, gereja, epal, oren.

 

Ahli Parlimen Kepong dan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng. - Foto Bernama

1. Ahli Parlimen Kepong diperintah bayar ganti rugi RM2 juta kerana memfitnah

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng hari ini diperintahkan Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi kesemuanya berjumlah RM2 juta kepada sebuah firma e-dagang MonSpace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya, Datuk Seri Jessie Lai.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati Lip Eng bertanggungjawab memfitnah Lai dan MonSpace yang bertindak selaku plaintif pertama dan kedua dalam tuntutan saman difailkan mereka. 

Lai dan MonSpace memfailkan saman terhadap Lip Eng (defendan) pada Jun 2019, kerana mendakwa defendan mengeluarkan kenyataan fitnah yang diterbitkan dalam akhbar berbahasa Inggeris dan Cina bahawa mereka menjalankan perniagaan haram dan menipu pelabur dari negara China.

Lai berkata, Lip Eng membuat kenyataan itu pada Mei 2017 dan November 2018 apabila beliau membawa sekumpulan individu, yang dikatakan pelabur MonSpace, ke pejabat Lai dan kemudiannya membuat laporan polis terhadapnya.

Beliau mendakwa kenyataan itu memberi tekanan kepada pihak berkuasa, termasuk polis, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), untuk mengambil tindakan terhadapnya.

Dalam penghakimannya hari ini, Akhtar memerintahkan Lip Eng membayar ganti rugi sebanyak RM500,000 kepada Jesse dan RM1 juta kepada MonSpace serta ganti rugi teruk berjumlah RM500,000 kepada kedua-dua plaintif.

Hakim juga memerintahkan Lip Eng mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada kedua-dua plaintif dalam akhbar vernakular dan media sosial dalam tempoh tujuh hari selepas penghakiman.

Dalam penghakiman ringkasnya melalui prosiding secara online, Akhtar berkata, mahkamah mendapati Jesse dan MonSpace berjaya membuktikan tuntutan mereka terhadap Lip Eng dan berhak untuk mendapatkan permohonan maaf serta ganti rugi.

Hakim itu berkata, Lip Eng tidak menafikan membuat kenyataan itu yang secara jelas ditujukan kepada kedua-defendan dan membayangkan mereka merasuah pegawai kanan kerajaan dan menjalankan aktiviti haram serta menipu pelabur China.

Beliau berkata, kenyataan itu jelas mencemarkan nama baik plaintif dan menjatuhkan reputasi mereka.(BH)


2. PAS kesal kenyataan Hannah Yeoh 


PADA asasnya PAS menyambut baik semua usaha mewujudkan persefahaman dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di negara ini sebagai suatu matlamat murni yang perlu dihayati oleh semua golongan malah ia mampu mengelakkan unsur kesalahfahaman dan konflik berikutan perbezaan-perbezaan itu.

PAS mengambil maklum mengenai Projek Artikel 11 yang dianjurkan oleh Impact Malaysia, iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meliputi program Jom Ziarah yang melibatkan lawatan ke tempat-tempat ibadat pelbagai agama yang dikatakan bertujuan memberi pendedahan kepada pesertanya mengenai aspek-aspek agama-agama berbeza di negara ini seterusnya ke arah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang mampu hidup secara harmoni dan lebih bertoleransi.  

Dalam hal berkaitan, PAS menggesa agar program tersebut sekali-kali tidak merupakan program Evangelisme dan ia juga tidak akan melibatkan belia-belia beragama Islam sebagaimana jaminan yang diberikan oleh Menteri KBS Hannah Yeoh di Parlimen pada Selasa (14 Mac 2023). 

Selain itu semua pihak termasuk Menteri berkenaan perlu akur mengenai kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan larangan tegas yang ditetapkan oleh undang-undang terhadap penyebaran agama bukan-Islam dalam kalangan orang Islam.  

Bagaimanapun PAS amat dukacita apabila Menteri KBS memetik kenyataan-kenyataan Presiden PAS Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam jawapan beliau di Parlimen sebagai sandaran atau justifikasi kepada program berkenaan. 

Adalah amat nyata apa dipetik tersebut dibuat tanpa menjelaskan konteks ianya dibuat dan tanpa penerangan tepat berhubung kenyataan-kenyataan itu sama ada oleh individu terbabit secara langsung atau pihak-pihak yang mewakili mereka.  

PAS ingin menyatakan apa yang paling penting difahami dalam hal ini adalah kenyataan-kenyataan tersebut dibuat dalam konteks bahawa semua bentuk hubungan, keterlibatan, lawatan atau sebagainya antara orang Islam dengan bukan-Islam, baik secara individu atau kumpulan, hanya dibenarkan dalam perkara-perkara yang bukan ritual atau keagamaan, bukan pula terbuka penyertaannya tanpa syarat, dan segala usaha mesti dibuat bagi memastikan syarat-syarat itu tidak dilanggar.  

Selain itu, PAS juga berasa amat kesal apabila Menteri KBS memetik kenyataan-kenyataan itu secara tidak adil atau tidak bermaruah dengan menggunakannya sebagai ‘senjata politik’ bertujuan menimbulkan pertelagahan antara PAS dengan parti BERSATU yang merupakan komponen dalam PERIKATAN NASIONAL (PN). 

Tindakan tersebut menjadi lebih terserlah motifnya apabila beliau tidak memberi ruang kepada wakil PAS ataupun BERSATU untuk memberi respons terhadap kenyataan beliau itu. 

Apatah lagi Menteri berkenaan tampak bercakap mengenai peri pentingnya keharmonian dan persefahaman dalam masyarakat, seolah-olah ia merupakan subjek eksklusif yang tidak terpakai atau melibatkan pihak-pihak lain yang dilihat tidak sealiran dengan beliau.

Justeru itu PAS menegaskan program yang dirancang tidak sewajarnya diteruskan oleh pihak berkenaan andainya ia dibayangkan bukan sahaja tidak dapat mencapai hasrat yang dinyatakan malahan berkemungkinan meluaskan lagi jurang perbezaan yang sedia wujud dan boleh pula mengundang kepada bantahan terbuka yang jauh lebih membimbangkan.

TAKIYUDDIN HASSAN 
Setiausaha Agung PAS
16 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 16/3/2023


3. Ziarah Gereja: Ahli Parlimen PN kata jangan samakan ‘epal’ dan ‘oren’ 
Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata tindakan NGO terbabit menurunkan iklan program 'Ziarah Gereja' di laman Facebook rasminya, menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena.

TINDAKAN sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didakwa memperoleh dana Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menurunkan atau memadam hantaran program ‘Ziarah Gereja’ kepada orang bukan Kristian, mencetuskan kebimbangan baharu.

Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata tindakan NGO terbabit menurunkan iklan program berkenaan di laman Facebook rasminya, menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena.

Menurutnya program berkenaan sepatutnya dipantau kerana dikatakan mendapat peruntukan KBS dan perlu selari dengan aspirasi kerajaan, selain perlu mendapatkan kerjasama agamawan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Program ini bukanlah tidak baik dari sudut asasnya, tetapi memerlukan penyertaan daripada golongan agamawan seperti kerjasama dengan JAKIM.

“Ini kerana ada isu, kalau kita bawa khususnya belia beragama Islam ke gereja, walaupun tujuan asalnya adalah untuk mengenali antara agama satu sama lain,” katanya ketika membahas Bajet 2023 peringkat jawatankuasa KBS di Dewan Rakyat, hari ini (14 Mac 2023).

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS dan PN berkata, perkara ini mencetuskan kebimbangan dan berdasarkan maklumat dalam Facebook rasmi NGO terbabit, mengiklankan program ke gereja pada 18 Mac (Sabtu ini), tetapi kemudian diturunkan.

“Ini bermakna ada satu benda yang mungkin tidak sesuai atau tidak kena pada pandangan masyarakat dan sebagainya.

“Walaupun mungkin KBS tidak mempunyai kaitan secara langsung, tetapi kerana dana ini ada dari KBS untuk NGO seperti ini.

“Walaupun mungkin dijawab pula ada program ziarah ke masjid dan sebagainya, tetapi ia tidak boleh disamakan dan tidak boleh dibandingkan ‘epal’ dan ‘oren’,” katanya.

Isu berkaitan ‘Ziarah Gereja’ itu dibangkitkan Pengerusi Penaja Muafakat Nasional Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin dalam laman Facebooknya semalam, yang mempersoalkan sama ada Kristian Evangelist sudah mula melakukan gerak kerja apabila bakal mengadakan program itu.

Susulan itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (DAP-Segambut) menyangkal dakwaan sebuah agensi di bawah kelolaannya, Impact Malaysia telah menjadi ‘Kristian Evengelist’, sebelum Setiausaha Politik KBS, Dayangku Norhazwani Awangku Marsal membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Bagaimanapun, Badrul Hisham dalam kenyataan hari ini membidas sikap membisu menteri dan wakil rakyat beragama Islam yang menyokong kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) berhubung program itu.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan Hannah yang menuduh ulasan beliau sebagai fitnah.

Komen Weblog Ibnu HasyimIni dia pemfitnah, RM2 juta... & Jahatnya Hannah, gereja, epal, oren.

Siapakah pemfitnah-pemfitnah itu? Dari parti anti Islam mana?

1 comment:

Anonymous said...

Orang pertama yang telah dilarang mengadakan kuliah agama tampa tauliah diTerengganu adalah Almarhum Hj Abdul Rahman, dan oleh itu beliau telah berhijrah dari Kuala Terengganu ke kg limbong kemaman hence beliau dipanggil hj Abd Rahman Limbong.
Beliau juga telah telah dilarang berkebun kerana tidak mempunyai permit untuk berkebun.
Semua itu adalah bilamana inggris telah memasuki kuala terengganu dan konon menjadi punasihat sultan terengganu.
Adalah diriwayatkan bahawa beliau dilarang mengajar dimasjid dan surau kerana pehak inggris berpendapat beliau kemunkinan turut bercakap soal politik di masjid dan itu boleh memecahbelahkan masyarakat menurut inggris.
Perbuatan beliau yg terus mengajar & berkhutbah jumaat itu telah dilaporkan oleh pegawai agama negeri kepada pehak inggris.
Mengetahui yg beliau akan diambil tindakan maka beliau telah membawa diri ke Kuala Berang dan disana dia telah berkoliasi dengan sekumpulan petani yg sedang merancang pemberontakan menentang inggris yg mana mereka turut tidak dibenarkan berkebun sebab tidak mempunyai permit.
Susulan dari itu berlakulah serangan yg mereka buat keatas ketumbukan penjajah inggris dan mereka berjaya membebaskan pekan kuala berang dari pihak inggris.
susulan dari itu Hj Abd Rahman telah pergi mengadap sultan memohon supaya baginda membatalkan undang2 baru tersebut.
Akibat dari kekalahan di K.Brang tersebut pehak inggris telah memanggil bantuan dari negeri2 selat dengan jumlah yg ramai dan mereka telah berjaya mengalahkan pasokan Abd Rahman yg cuma sedikit dan dia telah ditangkap dan telah dijatuhkan hukuman buang negeri dimana beliau telah dihantar ke pulau maldive,
disana beliau telah berjaya melepaskan diri dan dengan bantuan nelayan disana beliau berjaya berhijrah ke Makkah.
Disana beliau telah bekerja dikebun kurma (tampa permit)dan diwaktu senggang beliau mengajar agama di ruang Masjidil Haram Makkah (tampa tauliah) kpd kebanyakan nya masyarakat yg menunaikan haji dan umrah yg datang dari kepulauan Melayu.
Beliau ada bercadang untuk pulang ke Terengganu tetapi usia telah tidak mengizinkan kerana telah meninggaldunia sebelum sempat hasrat itu dicapai.

(sebahagian kisah hj Abd Rahman Limbong versi orang tua2 dahulu yg mengenali beliau).

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails