Friday, March 25, 2022

AS tercabar pertahanan Iran, gesa tekan Israel & boikot

 

1. AS ‘tercabar’ dengan kelengkapan canggih pertahanan Iran

DOHA: Kor Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRCG) telah mencetuskan ‘kemarahan’  Amerika Syarikat apabila mempamerkan model peluru berpandu dan senjata pertahanan lain yang canggih pada pameran pertahanan maritim di DIMDEX Qatar 2022 yang turut disertai AS.

Komander IRGC dilihat mengadakan mesyuarat di gerai pameran mereka, yang memaparkan poster gergasi bot laju yang dipenuhi dengan komando, manakala pegawai yang lain berlegar-legar di sekitar pusat pemeran pertahanan maritim antarabangsa berkenaan.

Jurucakap Negara AS, Ned Price pada Khamis (24 Mac) berkata, negara itu menolak kehadiran Iran di pameran pertahanan maritim berkenaan dengan mendakwa Iran mengancam kestabilan maritim di seluruh wilayah Teluk.

Sehubungan itu, pegawai kerajaan Qatar dalam kenyataannya pula mendakwa IRGC tidak dijemput ke acara pameran yang berlangsung selama tiga hari di sini dari Isnin (21 Mac) hingga  Rabu (23 Mac) lalu.

“Penyertaan dalam acara ini adalah oleh Kementerian Pertahanan Iran dan tiada jemputan dihantar kepada IRGC,” ujar kenyataan tersebut.

Model peluru berpandu Iran pada pameran DIMDEX 2022 di Doha, Qatar, pada 23 Mac 2022. (FOTO AP )

Pada pameran itu, perwakilan Iran dilihat berada dilihat berhampiran komander Armada Kelima Tentera Laut AS, mengambil gambar kapal pengangkut kakitangan berperisai Itali dan mengendalikan mesingan Turki.

Pameran DIMDEX Qatar 2022 menarik banyak  syarikat pertahanan antarabangsa yang berharap dapat meningkatkan jualan peralatan pertahanan kepada negara-negara Teluk yang  kini sedang mengembangkan keupayaan ketenteraan masing-masing.

Model peluru berpandu sistem pelancaran Iran pada pameran DIMDEX 2022 di Doha, Qatar, pada 23 Mac 2022. (FOTO AP)

Di gerai bersebelahan pameran peralatan pertahanan Iran, pembekal AS General Atomics mempamerkan dron pemangsa MQ-9B yang direka bentuk untuk menjalankan peperangan anti-permukaan, termasuk pengawasan maritim dan peluru berpandukan ketepatan. 

Jabatan Negara AS telah membenarkan syarikat itu menjual 18 dron kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam perjanjian bernilai AS$2.9 bilion. – Arab News

2. Dana cukai AS$400 juta: Palestin gesa tekanan Bank Dunia ke atas Israel

Perdana Menteri Palestin, Mohammed Shtayyeh. (FOTO AFP)

RAMALLAH: Pihak Berkuasa Palestin (PA) menggesa Bank Dunia campur tangan dalam pertikaiannya dengan Israel berhubung lebih AS$400 juta hasil cukai tertahan.Sumber kanan pentadbiran Palestin dalam kenyataannya berkata, seruan itu dibuat di tengah-tengah amaran ‘ancaman wujud’ kepada PA kerana sokongan kewangan yang semakin berkurangan daripada Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU) dan negara-negara Arab, serta kekurangan  dana dalam pendapatan cukai.

Perdana Menteri Palestin. Mohammed Shtayyeh dan Menteri Kewangan, Shukri Bishara  yang mengadakan pertemuan dengan  Pengarah Kanan Bank Dunia di Ramallah pada Selasa (22 Mac) lalu dan sehubungan itu menggesa bank berkenaan memberi tekanan ke atas Israel berhubung hasil cukai yang disekat kuasa rejim tersebut.

“Potongan Israel daripada cukai yang dikutipnya bagi pihak PA mencecah AS$400 juta pada tahun lepas, 42 peratus daripada defisit bajet tahun ini,” kata Bishara.

Cukai yang dikutip oleh Israel menurutnya, telah membentuk kira-kira separuh daripada pendapatan PA. 

“Walau bagaimanapun, di bawah undang-undang 2018, Israel mengira berapa banyak yang mereka percaya PA telah membiayai secara tetap kepada ketenteraan Palestin, dan memotong jumlah itu daripada cukai yang dikutipnya.

“Kekurangan dalam hasil cukai, dan penghentian sokongan kewangan daripada AS, EU dan negara-negara Arab untuk PA telah membawa kepada ‘krisis kewangan yang membentuk ancaman wujud kepada kelangsungannya’ di Palestin,” dedah pula seorang pegawai kanan Palestin.

Pada pertemuan di Ramallah, kedua-dua pemimpin Palestin turut membincangkan tentang sokongan Bank Dunia untuk projek di wilayah Palestin, dengan mengatakan bahawa pembangunan adalah penting untuk mewujudkan peluang pekerjaan dalam kalangan belia dan graduan universiti.

Shtayyeh menyemak pembaharuan pentadbiran dan kewangan, sambil berkata: “Usaha ini mesti disertai dengan tekanan antarabangsa ke atas Israel untuk menghentikan pemotongan yang tidak adil daripada dana kami, melepaskan dana yang ditahan dan meneruskan sokongan antarabangsa untuk Palestin.”

“Penyelesaian politik diperlukan untuk memastikan penambahbaikan yang berkesan dan praktikal dalam keadaan hidup,” tegasnya.

Sementara Bishara memberitahu pegawai Bank Dunia bahawa kepimpinan Palestin bekerja di bawah ‘keadaan luar biasa tidak seperti yang dihadapi oleh negara lain’.

Pegawai PA menunjukkan  bahawa pencerohan Israel jelas telah menghalang kemajuan pembangunan dan kewangan di wilayah Palestin.

Bank Dunia sebelum ini menguruskan bantuan yang diberikan oleh beberapa negara Eropah dan Arab yang enggan memberikan sokongan secara  langsung kepada PA, yang menyokong keluarga berpendapatan rendah, dan menampung gaji pekerja sektor awam dan beberapa projek kecil melalui tabung amanah.

Walau bagaimanapun, terdapat laporan yang belum disahkan bahawa dana itu semakin berkurangan kerana banyak negara telah menamatkan sokongan kewangan mereka untuk PA.

Dalam pada itu,  bekas Timbalan Menteri Kewangan Palestin, Samir Hulileh berkata, sebagai tambahan kepada program pembiayaan yang Bank Dunia yang disalurkan kepada PA, sebanyak AS$40 hingga AS$50 juta setiap tahun, laporan dan ulasan bank tersebut mengenai prestasi PA sangat mempengaruhi negara-negara penderma  mengenai sokongan kewangan selanjutnya.

“Bank Dunia menyediakan laporan berkala tentang prestasi PA dari segi kewangan dan pertumbuhan ekonomi. Ia memainkan peranan penting dalam mengarahkan penderma untuk menyokong projek dalam PA,” ujar Hulileh. – Arab News

3. Pelajar global protes seru universiti boikot syarikat sokong Israel 

Pelajar di seluruh dunia mengadakan tunjuk perasaan bagi menyeru universiti tempat mereka belajar untuk menarik semula pelaburan dalam syarikat-syarikat yang dimiliki Israel. (FOTO Friends of Al-Aqsa)

LONDON: Pelajar universiti di seluruh dunia mengadakan tunjuk perasaan di kampus masing-masing, menyeru universiti mereka untuk menarik balik pelaburan dalam syarikat yang terlibat dalam jenayah perang dan dasar aparteid Israel.

Protes diadakan di lebih 70 universiti pada Rabu (23 Mac), dengan pelajar juga menghantar surat kepada naib canselor mereka sebagai sebahagian daripada inisiatif, yang dianjurkan oleh Friends of Al-Aqsa (FOA) yang berpangkalan di United Kingdom, sebuah organisasi bukan keuntungan yang prihatin dengan mempertahankan hak asasi manusia Palestin dan melindungi Al-Aqsa di Baitul Maqdis.

Menggunakan hashtag #Divest4Palestine di media sosial, pelajar-pelajar berkenaan menyeru universiti mereka untuk memboikot pelaburan dalam syarikat termasuk Rolls-Royce, BAE Systems, HP dan Booking.com.

“Rolls-Royce dan BAE menghasilkan senjata yang digunakan untuk menyerang rakyat Palestin yang tinggal di bawah sekatan di Gaza, dan HP menyediakan teknologi yang digunakan di pusat pemeriksaan Israel.

“Booking.com mengiklankan penginapan di penempatan haram Israel, di atas tanah yang dicuri daripada rakyat Palestin,” ujar FOA dalam satu kenyataan.

Pelajar di Universiti Warwick di UK, Sima berkata bahawa sebagai pelajar di  Warwick, mereka  terkejut kerana wang dari kampus tersebut digunakan untuk mengekalkan negara apartheid, dan meminta naib canselor untuk ‘melupuskan’ syarikat berkenaan tanpa teragak-agak. 

Sementara, pelajar di Universiti Nottingham, Manal pula mempersoalkan: “Bagaimanakah naib canselor universiti kami boleh fikir ia suatu perkara yang boleh diterima untuk melabur wang dalam syarikat yang terlibat dalam jenayah perang? 

“Terdapat banyak perbincangan mengenai ‘menyahjajah’ (decolonize), tetapi kita perlu melihat beberapa perubahan sebenar jika ini benar-benar akan berlaku.”

Ketua Hal Ehwal Awam FOA,  Shamiul Joarder pula menegaskan, kerajaan Britain pada masa ini cuba menyekat kebebasan kita untuk memboikot, melepaskan diri dan memberi sanksi kepada Israel (BDS), tetapi kempen #Divest4Palestine menunjukkan bahawa pelajar dan ahli akademik, bersama-sama dengan warga British semakin meningkat dalam menunjukkan bahawa mereka tidak mempunyai toleransi terhadap komplikasi dalam jenayah perang dan  dasar apartheid Israel.

Inisiatif FOA itu adalah sebahagian daripada Hari Tindakan Antarabangsa, yang turut menyaksikan 25 ahli akademik menandatangani surat terbuka kepada universiti di seluruh dunia bagi menyokong perjuangan #Divest4Palestine bermula Rabu (23 Mac).

Surat terbuka itu diselaraskan oleh FOA dan gabungan persatuan pelajar universiti UK. Ia juga ditandatangani oleh aktivis Palestin, Mohammed El-Kurd. – Arab News

2 comments:

Anonymous said...

ni nak tanya mung geng demo ni dok sokong sosma ke aritu. yang 85 ore tu masuk geng demo ko. mung tengok apa kes dengan siti aishah atam budak dungung tu. kes bawah sosma. agaknya budak tu ada kes lagu tu ko. saje tanye pasal geng mung dok sokong sokmo..

Anonymous said...

Kat malaysia, parti yg x boleh dirasuah ada satu jer. Senang nak tangkap perasuah. Tapi kalau parti tu terkait rasuah, susah nak tangkap perasuah. Perasuah pandai manipulate bukti. Aku tolong kau, kau tolong aku. Ada mou. Macam wak ngan ajib. Atau abam ngan eng guan. Ni contoh parti jahanam dan pemimpin jahanam. Jahanam dan menjahanamkan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails