Tuesday, June 19, 2012

Dr Mujahid Gesa Keluar Fatwa Alam Sekitar

 
KL: Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) mencadangkan agar Majlis Fatwa Kebangsaan turut menyenaraikan memelihara alam sekitar sebagai tanggungjawab syariat.

Mujahid berkata, alam sekitar merupakan anugerah ciptaan Allah dan ia perlu dipelihara dan dijaga sebaiknya.

"Saya cadangkan Majlis Fatwa Kebangsaan khususnya kepada Umat Islam, boleh menghuraikan permasalahan itu sekiranya mereka mengabaikan tanggungjawab terhadap alam sekitar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Kualiti Alam Sekitar (pindaan) 2012 di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, walaupun cadangan ini tidak ada lagi tetapi ia boleh diajukan memandangkan alam sekitar sekarang ini semakin hari semakin binasa kerana perbuatan manusia sendiri.

"Saya cadangkan tambah lagi satu, iaitu memelihara alam sekitar di mana agar Majlis Fatwa kebangsaan berani keluarkan fatwa bahawa jaga alam sekitar harus dipertahankan.

"Majlis Fatwa Kebangsaan buat ketetapan bahawa Malaysia memberi kuasa kepada majlis itu untuk keluarkan fatwa pelihara alam sekitar dan mungkin menjadi rujukan kepada negara lain selepas ini," katanyan yang juga AJK PAS Pusat.

Justeru katanya, badan bebas dan pemantau sama ada Majlis Alam Sekitar perlu terdiri dari kalangan ahli politik pembangkang dan kerajaan, badan bukan kerajaan serta badan agama yang boleh menegur dalam hal-hal yang berkaitan dengan alam sekitar.

Ahli Parlimen Kuala Kedah Ahmad Kassim ketika membahaskan rang undang-undang itu turut menyokong cadangan Mujahid sebagai langkah tegas dalam memelihara kualiti alam sekitar.

"Selain adanya tindakan dan undang-undang namun tindakan itu masih tidak menyeluruh, paling kurang apabila ia menjadi tanggungjawab umat Islam  sekurang-sekurangnya usaha memelihara alam sekitar terjaga," katanya. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails