Friday, February 03, 2012

Cubaan Bunuh T/P'jaya PAS Johor, Polis Dicabar?

Bahagian bawah rumah yang terbakar
KL, 3 Feb 12: Sebuah kereta mewah milik Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor Dzulkefly Ahmad hangus terbakar dalam satu kejadian yang dipercayai perbuatan khianat di rumah miliknya di Taman Universiti, Gelang Patah, Johor, awal pagi tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.40 pagi tadi turut mengakibatkan bahagian bawah rumah Dzulkefly terbakar. Memetik Harakahdaily, Dzulkefly berkata ketika kejadian berlaku beliau dan enam anggota keluarganya sedang tidur di tingkat atas.

“Ketika itu kami semua sedang tidur. Tiba-tiba terdengar satu letupan kuat. Saya kejut isteri dan saya lihat enjin kereta BMW terbakar dan ada api di tingkat bawah rumah.

“Tidak lama kemudian satu lagi letupan kuat berlaku. Kami kejut semua anggota keluarga dan buat keputusan untuk keluar ke pintu belakang dan terus menghubungi pihak bomba,” katanya.

Menurutnya, pihak bomba yang tiba kira-kira beberapa minit kemudian berjaya memadamkan api daripada terus marak. Ekoran kebakaran itu kereta BMW miliknya itu hangus manakala bahagian ruang tamu tingkat bawah juga turut terbakar.

“BMW keseluruhannya hangus, sebuah lagi kereta Camry yang diletak disebelahnya, separuh terbakar tapi saya rasa masih boleh dibaiki.

“Bagaimanapun saya bersyukur sebab tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya sambil memaklumkan telah membuat laporan polis.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS pusat Mazlan Aliman dalam respon segera kepada The Malaysian Insider berkata beliau tidak menolak kemungkinan kejadian itu adalah cubaan membunuh.

“Kereta dalam garaj dipercayai disimbah minyak meletup. Api marak ke ruang tamu.

“Beliau dan ahli keluarga sempat keluar ikut pintu belakang. Botol minyak tanah lima liter ditemui,” katanya.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Apakah ini cubaan bunuh Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor? Apakah ada motif politik? Puluhan tahun lalu juga pernah ada cubaan membunuh Pesuruhjaya PAS Johor Hj Hasan Husin.. Perkara-perkara seperti ini tidak boleh dibiarkan lepas begitu sahaja. Ke'profesional' polis sudah dicabar lagi.. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails