Friday, January 27, 2012

Himpunan Hijau, Bantah Lynas, Selamatkan Rakyat!

KL, 27 Jan 11: Satu gabungan rakyat yang dinamakan Kumpulan HimpunanHijau akan mengadakan satu himpunan besar-besaran di Kuantan pada 26 Februari ini.

Himpunan Hijau 2.0 dengan tema Langkah Bestari "Pilihan di tangan kita" bertujuan membantah projek pembinaan Lynas Advanced Material Plant (LAMP) di Gebeng, setelah pelbagai usaha menyuarakan pandangan sebelum ini tidak diendahkan kerajaan.

Setiausaha Kumpulan HimpunanHijau, Bang Seet Ping berkata, pihaknya komited dalam keadilan alam sekitar dan kemanusiaan serta akan berusaha menyelamatkan rakyat Kuantan daripada berhadapan dengan risiko pembinaan LAMP.

"Kita semua adalah rakyat biasa yang mengambil berat masa depan generasi muda kita.

"Kita tidak akan membenarkan kedatangan sebuah syarikat asing yang membahayakan nyawa anak cucu kita. Tanpa persetujuan rakyat, kilang-kilang sedemikian tidak akan dibenarkan untuk beroperasi," kata beliau pada sidang media bersama beberapa pimpinan Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Sehubungan itu, Seet Ping berkata, Kumpulan HimpunanHijau mengajak semua pihak tanpa mengira kaum, agama dan parti politik menyertai himpunan tersebut yang berlangsung dalam keadaan santai. Ia dijangka berlangsung selama satu jam setengah bermula jam 10 pagi sehingga 11.30 pagi.

Selain itu, beliau mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat keputusan yang bijak untuk memberhentikan projek tersebut sebelum pilihan raya umum ke-13.

"Jika tidak, rakyat akan menolak mereka yang zalim dan memilih mereka yang bersama rakyat.

"Isu Lynas ini sudah lama diperkatakan. Seluruh komuniti Kuantan terpaksa hidup dalam keadaan tertekan dan tidak selesa. Kita berasa masa dan ruang yang diberikan sudah mencukupi. Berapa lama lagi rakyat harus hidup menderita?" soalnya.

Sebelum ini, HimpunanHijau 1.0 telah diadakan juga di Kuantan pada 9 Oktober tahun lalu dengan kehadiran kira-kira 7,000 ribu rakyat. Sementara itu, pada sidang media sama, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyeru seluruh ahli untuk turut serta dalam himpunan tersebut bagi menunjukkan sokongan terhadap rakyat Kuantan.

Syarikat Australia - Lynas Corporation - yang bercadang membuka loji penapisan bahan nadir bumi di Gebeng, dekat Kuantan tidak lama lagi, mahu sisa pepejal radioaktif dari kilang itu dibuang di sebuah pulau tidak berpenghuni di luar pantai Pahang.

Alternatifnya, sisa tersebut mungkin dilupuskan di kawasan di mana tidak terdapat pembangunan, kata Kuantan MP Fuziah Salleh, yang berkempen menentang projek loji nadir bumi itu. Cadangan tersebut terkandung dalam pelan pengurusan sisa Lynas yang dibuka untuk tatapan umum sehingga semalam, kata Fuziah yang juga naib presiden PKR. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails