Saturday, June 25, 2011

Juara Maharaja Lawak: Tentukan Arah & Matlamat.

Kumpulan Sepah menjadi juara Maharaja Lawak yang diadakan di Stadium Malawati,Shah Alam, Jumaat.

HALAMAN HIBURAN

SHAH ALAM: Selepas 13 minggu bertanding, akhirnya gelaran juara Maharaja Lawak berjaya menjadi milik kumpulan Sepah apabila mereka memperoleh markah tertinggi, dalam pertandingan tersebut yang berlangsung di Stadium Malawati, di sini malam Jumaat

Kemenangan Sepah yang terdiri daripada Mamat, Shuib dan Jep melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM350,000 dan sebuah trofi sumbangan Astro.

Gelaran naib juara pula dimenangi oleh kumpulan Jozan (Johan dan Zizan)dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM250,000 berserta sebuah trofi manakala Nabil mendapat tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM150,000 dan sebuah trofi.

Finalis Maharaja Lawak menerima hadiah masing-masing.

Bagaimanapun, kumpulan Jambu yang dianggotai oleh Yus dan Tauke terpaksa akur dengan kedudukan di tangga keempat. Mereka mendapat wang tunai sebanyak RM50,000 berserta trofi. Kesemua peserta peringkat akhir dikehendaki membuat dua persembahan bertemakan konsep bebas dan komedi muzikal.

Para peserta telah diadili dengan sistem pemarkahan yang masing-masing mewakili 50 peratus undian penonton di rumah dan juga juri yang terdiri daripada Mamat Khalid, Ahmad Idham serta Saiful Apek.

Sementara itu mengulas kemenangan mereka Sepah berkata, mereka turut berhadapan dengan masalah mencari idea setiap kali membuat persembahan. Bagaimanapun sikap yang sentiasa mahu berbincang bersama-sama adalah antara formula kejayaan kumpulan itu.

“Idea kami tersangkut juga tetapi syukurlah dengan bantuan Dia (Allah), kami dapat mengeluarkan idea yang baik,” kata mereka.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengurus Saluran Astro Warna & Prima, Nizam Sani. Pertandingan Maharaja Lawak bersiaran secara langsung setiap Jumaat, pukul 10 malam menerusi saluran Astro Warna (Saluran 132) sejak 1 April lalu.

Komen Wenblog Ibnu Hasyim: Sepatutnya lawak di Malaysia perlu disuntik dengan idola dan pemangkin matlamat yang jelas. Jelas ke arah pembangunan manusia rohani dan jasmani, sesuai dengan negara kita yang menjadikan Islam sebagai agama persekutuan. Jelas membawa generasi muda ke arah pembangunan yang sebenarnya.

Bukan hanya lawak dan gelak tak kering gusi semata-mata. Lawak yang bermutu, dan jelas ke mana arah yang anak-anak muda kita nak dibawa.. Di barat sudah wujud, kumpulan dakwah melalui lawak... Contohnya..26 -OMAR Regan Halal Comedy Bukan lawak yang tidak tentu arah dan matlamat.

Mari kita lihat lawak dalam Islam...

Bagaimana Rasulullah SAW bergurau?

Seorang wanita tua berkata kepada Nabi, “Tolong berdoa kepada Allah supaya Dia memasukkan saya ke dalam syurga.”

“Ya ibu, orang tua tidak boleh masuk syurga...” Jawab Nabi. Perempuan itu pulang sambil menangis-nangis.

Tetapi kata Nabi lagi, ertinya.. “Sila beritahu kepadanya, dia tidak akan masuk ke syurga dalam keadaannya yang masih tua. Allah berfirman ”Sesungguhnya Kami mencipta wanita-wanita syurga dengan penciptaan yang baru. Kami jadikan mereka dalam keadaan masih dara, yang amat menyintai suaminya dan sebaya pula sesamanya.” (Hadith riwayat Tirmizi dan al-Baihaqi dgn Sanad yang hasan)

Abu Hurairah telah meriwayatkan: Para sahabat berkata, " Ya Rasulullah, kamupun bergurau dengan kami...”

"Ya aku bergurau, tetapi aku tidak berkata melainkan perkara yang benar!" Jawab Nabi. (Hadis riwayat Tirmizi dan Ahmad – sanadnya hasan)

Dr Yusuf Qardawi meletakkan lima etika yang perlu dipatuhi dalam lawak atau bergurau..

Pertama: Tidak menggunakan perkara yang bohong sebagai alat untuk manusia tertawa. Nabi SAW bersabda: "Celaka orang yang bercakap kemudian berbohong supaya manusia ketawa. Celakalah dia dan celakalah dia!" (Hr Ahmad dan Ad-Darimi – sanadnya sahih)

Kedua: Gurauan yang tidak menghina orang lain, kecuali diizinkan oleh orang tersebut. Firman Allah, "Wahai orang-orang beriman, janganlah satu puak itu menghina puak yang lain, mungkin orang dihina lebih baik dari yang menghina. Janganlah wanita menghina wanita yang lain , mungkin wanita dihina lebih baik baik dari wanita yang menghina… ” (11 : Al-Hujarat)
Nabi SAW bersabda, “Cukuplah seorang itu melakukan kejahatan apabila dia menghina saudaranya semuslim.” (Hadis riwayat Muslim – sahih). Termasuk juga dalam menghina, ialah dengan meniru perbuatan orang lain.

Aisyah RA berkata “Aku telah meniru perbuatan seorang manusia.” Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Aku tidak suka meniru perbuatan orang lain.” (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi – sanad sahih)

Ketiga: Melawak yang tidak menakutkan orang lain.
Nukman bin Basyir RA berkata: Sesungguhnya kami bersama Rasulullah SAW dalam satu perjalanan. Seorang lelaki mengantuk di atas tunggangannya. Seorang lelaki yang lain mengambil anak panah dari busurnya dan mengejutkan lelaki yang mengantuk yang menyebabkan dia terperanjat. Rasulullah saw bersabda; “Haram bagi seorang lelaki menakutkan orang Islam.” (Hadis riwayat Thabrani – sahih)

Keempat: Jangan ambil barang orang dengan niat melawak. Nabi SAW bersabda: "Jangan kamu mengambil barang kepunyaan saudara seIslam dengan niat melawak atau pun betul-betul.” (Hadis riwayat Ahmad – sahih)

Kelima: Jangan melawak ditempat yang serius dan jangan serius di tempat melawak. Dalam Islam ada 3 perkara yang dianggap diambil hukumnya walaupun dalam keadaan melawak. Nabi SAW bersabda, “Tiga perkara yang mana diambil hukumnya samaada dalam keadaan melawak atau serius: 1. Nikah 2. Cerai 3. Membebas hamba.

Jadi, anda kajilah sendiri, bagaimana hukumnya, melawak seperti yang di dalam pertandingan merebut Raja Lawak dalam persembahan di tv, pementsan sekarang dan lain-lain. Wallahu 'aklam. (IH)

Lihat sebelum ini...

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails