Sunday, December 05, 2010

Air S'ngor: Perarakan Baju Merah Lwn Baju Hitam


KL 5 DIS 10: Penyokong baju merah sedang berarak menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum membantah kenaikan bayaran air di Selangor kepada Yang di-Pertuan Agong.

Mereka mula bergerak kira-kira jam 1.45 tengahari dan sejurus kemudian polis menembak sekurang-kurangnya dua gas pemedih mata ke arah mereka. Ia berlaku ketika mereka melalui bulatan di Jalan Hishammuddin berhampiran Masjid Negara.

Sebelum itu, penyokong baju merah mula berhimpun di Masjid Negara mulai jam 11 pagi tadi. Sehingga jam 1 tengahari tadi, lebih 1,000 orang yang memakai baju merah di lihat di sekitar kawasan masjid. Turut kelihatan mereka yang berpakaian biasa tetapi mengambil baju merah yang diedarkan di sekitar Masjid Negara.

Mereka dilihat membawa plakad bertulis 'kembalikan hak rakyat', 'tolak penswastaan' serta memakai ikat kepala bertulis 'kembali hak air rakyat'. Sebelum itu, kedengaran mereka bersorak 'hidup rakyat', 'kembalikan hak-hak rakyat', dan yang paling lantang ialah laungan kumpulan mahasiswa.

Mereka kemudiannya masuk ke masjid untuk menunaikan solat Zohor. Difahamkan, selepas itu mereka akan mengadakan solat hajat sebelum perhimpunan bermula. Turut kelihatan ialah beberapa pemimpin Pakatan, antaranya timbalan presiden PKR, Azmin Ali; pengarah strategik PKR, Tian Chua dan pemimpn PAS, Dr Zulkefly Ahmad serta timbalan ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.

Sedangkan kira-kira 200 penyokong Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) mula berhimpun di Stadium Merdeka mulai jam 11.50 pagi ini. Manakala pihak polis memberi mereka tempoh sehingga jam 12.10 tengahari ini untuk bersurai.

Mereka yang berkumpul itu kebanyakannya wanita dan golongan muda. Mereka yang berpakaian hitam itu melaungkan `1Malaysia' dan 'Daulat Tuanku'. Mereka merancang untuk berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum mengandungi dakwaan penyelewengan oleh Kerajaan Pakatan Selangor. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails