Sunday, April 26, 2009

Selangkah Lagi, PAS Ke Arah Tarik Bukan Islam.

Drs Mohd Rashdi menangani masalah bersama..

By Asyok Kumar

TANJUNG KARANG Ahad April 26, 2009. PAS mengambil satu lagi langkah wajar dengan membenarkan calon bukan Islam menggunakan lambang parti itu ketika pilihan raya dalam usaha menarik lebih ramai penyokong bukan Islam.

Yang Dipertua (YDP) PAS Tanjung Karang, Drs Mohd Rashdi Deraman menyebutkan cadangan yang membolehkan calon-calon bukan Islam untuk mengggunakan lambang parti itu akan diputuskan secara muktamad oleh Majlis Syura Ulamak yang akan bermesyuarat selepas Muktamar tahunan parti bulan Jun ini.

“Perkara telah dibincangkan secara serius dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa PAS pusat minggu lalu, kenyataan mengenainya pun telah dikeluarkan, dan PAS Tanjung Karang menyokong penuh tindakan wajar itu kerana di Tanjung Karang ramai pengundi yang bukan Islam.” Kata beliau, yang juga Pengarah Jawatankuasa Pengurusan DUN (JPD) Sungai Burong, telah dilantik sebagai YDP PAS Kawasan Tanjong Karang bagi sesi 2009 / 2011, yang ditemui di pejabatnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, Majlis Syura mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak cadangan yang dikemukakan itu. Majlis Syura Ulamak PAS dianggotai oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Harun Din dan Abdul Ghani Shamsuddin. Difahamkan, pada pilihan raya umum ke-12 Mac tahun lalu, buat pertama kalinya PAS membenarkan calon bukan Islam dari Parti Keadilan Rakyat bertanding di kawasan kerusi yang diperuntukkan PAS, iaitu DUN Seri Medan, Johor. Bagaimanapun calon tersebut, Saja @ Mearaj Patani tewas kepada Ahmad Zahri Jamil dari BN dan Umno.

Ditanya adakah perkara tersebut akan mengubah perlembagaan PAS sekali gus membuka keahlian parti itu kepada masyarakat bukan Islam. "Setakat ini belum ada lagi. Namun kita tidak menolaknya. Kita perlu lihat kepada pendekatan politik semasa. Jika pendekatan itu mampu menyatupadukan rakyat tanpa mengira kaum mungkin ia akan dipertimbangkan.," Kata Drs Mohd Rashdi yang juga antara penyumbang tulisan kepada Blog Ibnu Hasyim.

“Pada saya, PAS boleh buka pintu kepada orang bukan Islam lebih luas lagi,” Kata Ibnu Hasyim yang turut bersama di situ. “Bukan sahaja menjadi ahli, bahkan boleh menjadi Presiden PAS sekalipun, apabila Majlis Syura Ulama berfungsi sepenuhnya terutama dalam perkara-perkara dasar dan penggubalan parti.” (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails