Thursday, December 18, 2008

Himbauan Cerpen Ke Guangzhou..

Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan
HARI ini saya akan berangkat ke Guangzhou. Saya mencari-cari maklumat mengenai bandar Guangzhou. Tiba-tiba terjumpa dalam Google Groups ‘Komuniti Orang Kurang Upaya (Jun15,2008)’, cerpen berjudul ‘Eksploit 2 Versi’ Oleh Ummu Hani Abu Hassan. Tertarik juga saya menatapnya. Begini ceritanya…

[ SATU

“Maaf, kakak bercakap bagi pihak teman kakak, katanya suaminya seorang yang baik, tekun bekerja dan penyayang kepada anak dan isteri. Kakak percaya kerana di alis kakak, memang itulah yang kakak lihat pada suami teman kakak.” 
Angin mendesir terus membumbui kerudungku, beralun-alun di atas sepeda yang dinaiki kami. Semalam adikku ini menjadi penumpang pesawat Air Asia, hari ini memandu sepeda melerengi tanah felda yang tinggi mencacak. Semalam dia adalah warga korporat Kota Guangzhou, hari ini kembali menjadi anak kampung di ceruk hutan Changloon. Dunia telah diglobalkan menjadi begitu kecil. Esok jika kami mahu, boleh sahaja terbang ke Damsyik, Singapura, Pakistan atau Yangon.
“Kakak jangan percaya, itu semua tipu helah sang suami,” kata adikku yang sudah kekar tampan menjengah usia 20-an. Gaya pacuannya tidak seperti ketika menjadi juara rempit dahulu, sekarang bersopan-santun di jalan raya yang hanya dilalui lembu-lembu dan kambing-kambing kurus. Barangkali Kota Guangzhou telah mengajarnya menjadi pemandu berhemah, masakan tidak, motor pun diharamkan di kota perdagangan dunia itu.
“Suami teman kakak, dia miliki karismatik. Walaupun kaya raya tidak lupa menyumbang untuk pembangunan madrasah kampung kita,” kataku makin mengeratkan pelukan di pinggang adikku. Selepas ini, bila dia sudah berkahwin tidak merasalah aku memeluk pinggang itu kerana ada perempuan lain yang lebih berhak.
“Ah kakak! Di Guangzhou itu hanya ibu bapa sahaja yang tidak boleh dibuat perdagangan, apalagi janggut dan misai kosmetik, hari ini jika ada permintaan esok boleh sampai berkotak-kotak depan rumah. Lelaki sekarang banyak menggunakan topeng-topeng kosmetik untuk kelihatan baik dan unggul,” balas adikku ketika sepeda kami menyumbing ke tengah jalan kerana mengelak tahi lembu. Aku ketawa. Teruklah adikku dimarah lelaki-lelaki lain dengan pengakuan itu.
Nyiit! Tayar sepeda menekan tompok tahi lembu. Mujur hujung kaki seluar kami tidak terkena. “Perangai lembu-lembu membuang tahi di jalan sama sahaja dengan anak-anak jiranku di Congsan Pal. Di Zhong San, anak-anak kalau mahu kencing dan berak, suka hati sahaja buka seluar dan ‘jalan...’.” Adikku ketawa. Sepeda kami semakin mendaki bukit. Dari jauh, rumah besar temanku sudah gagah di hadapan mata.
“Bertuah Murni, berkahwin dengan suami kaya membuatkan hidupnya berubah total menjadi seorang permaisuri. Hai nasib orang cantik,” kataku di pelipis telinga adikku. Dia, melalui cermin sisi motor, mencebik kelat padaku. “Suami kaya kebanyakannya adalah bapa serigala tahu?” kata adikku. Entah jika didengar lelaki-lelaki kaya kenyataan itu, teruklah adikku dijahanamkan mereka. “Kakak, kampung harmoni kita bertuah kerana mengendongkan orang-orang yang lembut hatinya seperti kakak dan teman kakak. Tapi, kampung kita yang harmoni ini juga mengendongkan manusia kucing yang apabila ke luar negara, mereka menjadi serigala yang kelaparan,” kata adikku. Sepeda kami diparkirkan di hadapan rumah besar itu.
Temanku, suaminya dan anak kucing mereka menyambut kami di muka pintu. Adikku lebih dahulu menghulurkan tangan kepada suami temanku. Tidak ada lagi gusar umpatan seperti di atas sepeda tadi. Adikku di depan suami temanku bermuka manis dan peramah sekali. Ah! Dasar orang-orang berniaga.
“Bila kau mahu pulang ke Guangzhou?” tanya suami temanku. “Malam esok,” jawab adikku. “Kau pulang ke Changloon dua hari ini sebab apa?” tanya lelaki itu lagi. “Uruskan perkahwinanku,” kata adikku dalam gelak malunya. “Kau ni, bekerja di negara China, gadis Melayu Changloon juga yang kaucari,” balas suami temanku lagi. Tiada jawapan hanya ketawa di bibir adikku. “Ingat pesanku dulu,” lelaki itu kemudiannya berbisik sesuatu ke telinga adikku. “Biarkan mereka berbincang tentang perniagaan. Itu dunia orang lelaki,” kata Murni menarik tanganku ke dalam rumah.
Di atas sepeda, ketika kami pulang ke rumah, aku bertanya pada adikku, “Apa yang dibisikkan suami teman kakak tadi?” Adikku dalam tenangnya memandu sepeda, mengerling wajahku melalui cermin. “Kata suami teman kakak tadi, seorang suami apabila keluar saja dari rumahnya dia bukan lagi seorang suami dan ayah, tetapi seorang yang merdeka.” “Maksudnya?” aku bertanya kebodohan. “Kakak tahu serigala yang lepas bebas? Seperti itulah,” jawabnya tersengih.
DUA 

Sejak pesawat AirAsia sudah merapatkan hubungan Kuala Lumpur- Guangzhou, makin ramai orang Melayu buka minda menjadi penghijrah. Dulu, waktu mula–mula aku tiba di Tanah Besar China kira-kira tiga tahun lalu, dalam barisan penumpang pesawat dari Kuala Lumpur-Macau, hanya aku yang berkulit sawo matang, bermata bulat dengan hidung separuh tinggi. Yang berderet di belakangku ketika mengurus pasport di lapangan terbang Macau adalah orang-orang Cina tempatan dan luar yang tidak kisah dengan kewujudan seorang manusia Melayu di situ. Mujurlah masyarakat di Macau mahupun Guangzhou tidak terlalu peramah.
Aku dengan kebodohanku bertutur bahasa Mandarin, Kantonis dan Hokkien hanya tersenyum, mengangguk dan berkata ‘Malaysia’ kala ada mulut menyoal ‘nin hou’. Kisah tiga tahun lalu membuatkan aku bersyukur kerana dikurniakan pemikiran yang berbeza daripada pemikiran lazim para pemuda di kampungku. Kalau temanku ramai yang berhijrah ke medan perguruan usai sahaja kuliah di universiti. Aku dengan saki-baki wang pinjaman belajar, berani-berani membeli tiket penerbangan tambang murah kemudian terbang ke negara China, semata-mata mahu bekerja sambil mengutip semangat bangsa Cina pada perniagaan. Mengapa di sana? Kata cendekiawan Islam dahulu, tuntutlah ilmu hingga ke negeri Cina. Tentulah banyak hikmah dalam maksud kata-kata itu.
“Tuih!” Aku mengangkat kaki seluar. Ludah berlendir kahak hijau bertompok di tanah dan ada yang terpercik ke seluarku. Spontan itu juga, aku menggumal liur di kerongkong kemudian meludah di tempat yang sama. Lelaki muda bermata sepet segera mengetap bibir, tahu aku marah padanya. Walaupun kempen ‘jangan meludah di tempat awam’ sudah dilancarkan, masih ada rakyat yang tidak faham. Tabiat meludah di sini, samalah juga dengan tabiat orang-orang tua di Changloon mengunyah sireh. Sudah sebati.
Lelaki itu, mengangkat tangan padaku kemudian terus menyorong basikalnya ke jalan besar. Aku masih cegat di hadapan Hotel Garden menunggu dua usahawan Melayu berjaya. Salah seorangnya, suami teman kakakku yang tinggal sekampung dengan kami. Dia memang selalu ke sini mencari barang-barang untuk dijual di tanah air. Apa barang yang tidak ada di tanah Guangzhou ini? Sudah kukatakan, ibu bapa sahaja yang tidak boleh ditiru untuk dijual di pasaran. Aku berharap kedatangan dua usahawan itu terutama suami teman kakakku, membawa perubahan. Bukan seperti kali pertama dahulu yang membuatkan jantungku hampir berhenti berdegup.
“Kau ni, dah tiga tahun tinggal di Zhong San, besar lagi mata kau ya,” ejek suami teman kakakku yang baru turun dari bilik hotelnya. Dia dan lelaki di sebelahnya berpakaian kasual jenama mahal. Entahkan jenama mahal berharga murah. Aku senyum mafhum. “Aku pelik betul, macam mana pengotornya budak-budak tu meludah dan ‘membuang’ suka hati, bandar ni tetap bersih,” kata lelaki seorang lagi. Mata kami terarah pada seorang kanak-kanak yang selesai membuang najisnya di tepi taman. “Kita juga kena macam tu. Walaupun kotor tapi kelihatan bersih,” balas suami teman kakakku. Apa maksud pada kata-katanya?
“Kaukata baju-baju di sini murah. Aku nak beli buat hadiah untuk orang kampung, mana tahu kalau tahun ini mereka lantik aku jadi pengerusi JKKK, peluang jadi wakil rakyat pun besar,” kata suami teman kakakku yang sememangnya rajin menderma di kampung kami. “Di sini mereka guna istilah ‘by one’ atau ‘many’. Kalau encik beli ‘many’, berbaloilah datang ke Guangzhou ni,” kataku. “Jika ‘by one’?” Aku senyum sebelum menjawab, “Di Chow Kit Road atau di Changloon pun banyak.” Lelaki berdua itu tersengih. “Kami datang ke Guangzhou bukan nak memborong sahaja tapi ....” suami teman kakakku gelak-gelak kecil sebelum menyambung, “Kau tahulah lelaki kalau dah keluar rumah, bukan lagi milik keluarganya. Biar jauh, selesa sikit nak berhibur....” Dengan kata-kata itu, aku mula tidak sedap hati.
Malam itu, di Plaza Fuly dalam sebuah bar bertaraf lima bintang, peristiwa kali pertama aku menjadi pemandu pelancong kedua-dua lelaki itu berulang lagi. Malah, malam ini rakus mereka makin menggila, menyebabkan aku tiba-tiba menjadi benci kepada lelaki-lelaki kaya yang lupa diri. Suami teman kakakku tidak silu menggogok sebotol arak berharga RM700. Tiga botol arak yang sama, laju masuk ke perut buncitnya. Hingga dinihari, dua lelaki tua itu terkinja-kinja dengan gadis-gadis genit bermata sepet. Lama aku menunggu mereka di hadapan bar kerana memikirkan itu sebahagian daripada tuntutan kerjaku sebagai pemandu pelancong.
Hati yang meruap panas tidak boleh lagi dibiarkan. Suami teman kakakku, mukanya bukan lagi manusia tetapi seekor serigala, meratah dan melahap tubuh si genit. Itukah manusia yang selalu menderma di madrasah kampung kami? Itukah suami teladan yang sering disebut-sebut kakak dan temannya? Itukah lelaki yang bercita-cita menjadi pemimpin masyarakat dan negara? Shit! Aku tidak betah menunggu apalagi sayup azan Subuh bergegar di telefon tanganku. Guangzhou, aku datang ke sini dengan tekad seorang usahawan yang mahu memajukan bangsa dan tanah air. Biar bumimu penuh dengan lampu dan neon kelab malam, aku masih tahu ada tubuh sahabat Rasulullah SAW yang memberkati seluruh negeri China tertanam di sini.
Kala melerengi lorong-lorong hotel, aku seperti nampak Saad Abi Waqos RA melambai-lambai dan berkata padaku: “Saudara, biar mereka mengeksploit khazanah neraka di tanah ini, tetapi kau mesti tegar dengan Islammu kerana aku dahulu hanya berseorangan menyampaikan dakwah Islam di sini sehingga akhirnya ia bertebaran ke seluruh dunia.”
Aku tidak sabar memberitahu kakak bahawa bukan semua lelaki dan perempuan yang terzahir bersih itu suci walaupun dia seorang Muslim! ]

Begitu cerpennya. Semoga bermanfaat bagi kita bersama. Sekian, wassalam.

Dari
Ibnu Hasyim
(e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com)
Disember18, 08. KL

Lihat juga..
E-Buku IH-33: Catatan Perjalanan

E-Buku IH-33: Catatan Perjalanan
Dari Cina Ke M'sia, Ikut Jalan Darat

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails