Saturday, July 26, 2008

Warga Kota & Minyak,.. Tan Seng Giaw


Ibnu Hasyim: Catatan Santai Dari Parlimen




KITA pilih ucapan Dr Tan Seng Giaw Ahli Parlimen Kepong dari DAP , di Dewan Rakyat Parlimen ke 12 Penggal Pertama, Mesyuarat Ke 2 Bil 33, Rabu 16 Julau 2008, semasa membahaskan RANG UNDANG- UNDANG PERBEKALAN TAMBAHAN (2008) 2008 Bacaan Kali Kedua. Inilah ucapan beliau yang disunting dari laman web Parlimen Malaysia…


Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Semalam, saya sebutkan betapa perlunya 144 kerajaan tempatan, majlis tempatan perlu sensitif kepada penderitaan rakyat di seluruh negara. Ini termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kerana sebagai mana yang disebutkan oleh saya semalam, ketika rakyat warga kota mengalami kesusahan dengan terjatuhnya perniagaan 50%, 70% di kawasan-kawasan yang sebelum ini tidak kutip bayaran letak kereta, sekarang di beberapa tempat, di Kampung Baru, Sungai Besi, Kepong Baru, semua dikenakan kutipan bayaran letak kereta.


Saya menyeru supaya pihak DBKL memberhentikan kutipan bayaran ini supaya kita dapat meringankan beban kepada warga kota. Begitu juga bagi semua kerajaan tempatan. Jangan waktu ini, kita kenakan kutipan hasil atau bayaran yang ditambah. Inilah, bagi ruang sedikit bagi rakyat Malaysia...


(Ir. Hamim bin Samuri Ahli Parlimen Ledang Ledang dibenarkan memberi penjelasan: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih YB Kepong. Tadi YB Kepong menyebut tentang penderitaan warga kota. Saya hendak tanya kepada YB Kepong, apakah ukuran bahawa warga kota itu menderita. Seolah-olah di kota, kereta tak bergerak, ramai peminta sedekah, kedai-kedai jam, tak ada urus niaga, kedai makan pun tutup dan sebagainya. Akan tetapi, kalau kita tengok di bandar, di kota, ukuran warga kota yang mengatakan itu menderita, tidak wujud. Jadi apakah maksudatau ukuran kepada warga kota menderita tadi. Sekian, terima kasih.)


Patutlah YB Ledang di utara Johor itu, utara Johor. Dia tak dapat pembangunan di situ, kawasan Iskandar bukan di situ. Itulah malangnya, tak tahu, tapi di Ledang, ada ladang-ladang kelapa sawit, pekebun kecil dan sebagainya. Jadi, dia tak nampak sangatlah, siapa yang menderita. Harga minyak kelapa sawit pun tinggi sekarang, getah pun harga tinggi. YB Ledang, dia tak tahu lah itu, masalah, kasihan padanya... [Ketawa].




(Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali Ahli Parlimen dari Titiwangsa juga dibenarkan memberi penjelasan: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih YB Kepong. Saya juga agak hairan dengan apa yang dibangkitkan oleh YB Ledang. Apakah kita hendak tunggu warga kota bawa tempurung, bawa tupperware merata untuk.... , baru kita hendak ukur bahawa warga kota ini menderita? Apakah kita hendak tunggu perniagaan sehingga dah tutup semua, barulah kita masa itu sedar bahawa rakyat begitu terhimpit dan susah? Jadi, saya kira, ini bukanlah satu kenyataan yang menunjukkan prihatin dengan rakyat. Sebelum perkara itu berlakulah, maka kita perlu mengambil tindakan terutama dari segi menambahkan penderitaan rakyat melalui penambahan parking meter dan sebagainya. Minta penjelasan.)


Itu memang, YB Titiwangsa, kerana ada titi, dia hendak tolongkan... [Ketawa] Hendak tolong warga kota, itu betul juga YB Titiwangsa. Yang Berhormat Ledang itu, di sini YB Ledang, di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di sini pun meminta RM20 juta untuk subsidi bantuan makanan tambahan kepada warga di luar bandar. YB Ledang pun dapat manfaatlah daripada subsidi ini kerana di dalam rang undang-undang ini, nampaknya subsidi sahaja sampai RM18 bilion, termasuk RM20 juta untuk luar bandar. Saya berharap, kerajaan tempatan termasuk DBKL mengambil sikap prihatin kepada rakyat dan dengan ini, memberhentikan segala kutipan dan tambahan kepada rakyat jelatanya. Dan...


(Dato’ Kamarudin Jaafar Ahli Parlimen Tumpat diberi laluan penjelasan: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih sahabat saya YB Kepong. Saya masih lagi terganggu dengan soalan kawa saya, YB Ledang dan apa yang disebutkan oleh YB Titiwangsa. Saya fikir, yang diminta penjelasan daripada YB Kepong ini, ialah penderitaan YB sebutkan di kota ini, mana yang lebih teruk, penderitaan di kota atau penderitaan di kampung, penderitaan di Ledang, penderitaan di Kinabatangan, penderitaan di Langkawi, penderitaan di Arau, di Batu Pahat, di Kuala Krau, penderitaan yang mana?... [Disampuk] Ya, di Tumpat... [Dewan riuh]. Penderitaan yang mana yang lebih teruk? Penderitaan di kota ataupun di kampung-kampung? Terima kasih.)


Memang YB Tumpat, soalan itu tepat juga kerana penderitaan itu berlaku di seluruh negara. Akan tetapi, jenis penderitaan itu di Kuala Lumpur misalnya, tidak serupa. Kalau di Ledang, seseorang itu seperti YB, kawan -kawan dia, kalau seorang dapat RM3000 sebulan itu, di Ledang memang boleh hidup dengan lebih selesa. Akan tetapi, kalau dapat RM5000 di Kuala Lumpur itu, susahlah YB. YB pun tahu, inilah masalah perbezaan yang diminati oleh YB Ledang itu, di Kuala Lumpur itu, pengemis-pengemis itu diimport daripada luar. Ada sindiket yang mengimport. Kalau YB Ledang hendak tahu, saya akan bawa dialah. Tiap-tiap kali adapasar malam, sindiket itu bawa pengemis-pengemis daripada luar negara kita, kudung situ, kudung sini, mendakap anak dan sebagainya, kerana rakyat Malaysia, warga kota pun sangat belas kasihan lah itu, kerana itulah. Saya berharap YB Ledang tidak terlibat dengan sindiket sedemikian... [Ketawa].


Di sini, kerana saya nampak subsidi yang terlalu banyak sangat, ini sememangnya Perbekalan Tambahan ini perbekalan subsidi, hampir RM18 bilion yang dimintakan dan sekarang ini saya hendak membincangkan sesuatu perkara yang penting kerana sekarang di Amerika Syarikat, mereka bukan sahaja menghadapi masalah sub prima yang disebut oleh YB Tambun semalam, bahkan juga dua bank yang besar, yang sekarang pun menghadapi kesusahan, perlu dibantu, diselamatkan oleh Kerajaan Amerika Syarikat. Apa yang pentingnya ialah bank-bank ini mendapat bon.


Saya pun tidak tahu sama ada Malaysia membeli bon untuk kedua-dua bank itu tetapi saya nampak negara China dia beli sampai USD1,700 juta untuk bon-bon bank seperti ini. Ini bermakna apa sahaja yang berlaku di Amerika Syarikat, dengan kesusahan yang dihadapi oleh bank-bank yang besar ini akan menjejaskan ekonomi dunia termasuk di Malaysia. Walaupun Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush dan juga Pengarah Federal Reserve, ada mengatakan bahawa ekonomi Amerika Syarikat tidak begitu teruk, namun kita nampak Amerika akan mengalami kesusahan kemerosotan ekonomi. Ini akan menjejaskan kita.


Walaupun YB Menteri dan timbalannya sudah mengatakan bahawa ia tidak menjejaskan sangat kerana eksport kita ke Amerika sekarang ini tidak sampai 20%, yang selebihnya sebanyak 50% dieksport ke China, India dan sebagainya. Itu memang betul juga kerana kita perlu mempelbagaikan eksport kita. Walau bagaimanapun ini tidak bermakna kita tidak akan menghadapi kesusahan. Di sinilah saya hendak bertanya mengenai pemberian subsidi yang begitu banyak ini.


Pertamanya, berapakah jumlah subsidi yang akan diberi kepada rakyat Malaysia sekarang ini. Pada sesi yang lepas pihak YB Menteri Kewangan II sudah menyebutkan hampir RM60 bilion subsidi kita iaitu RM58 bilion. Di sini kita hendak tahu berapakah jumlah untuk subsidi-subsidi termasuk makanan, minyak masak dan sebagainya bagi tahun ini. Dari segi ini kita mesti bersama-sama. Semua rakyat mesti berusaha bekerjasama untuk menghadapi masalah krisis ekonomi yang kita akan hadapi kerana kita belum tahu lagi sama ada pertumbuhan ekonomi kita akan mencapai 6% seperti yang dianggarkan ataupun tidak. Sekarang ini inflasi kita dianggarkan 5%.


(Dato’ Haji Ab. Halim bin Ab. Rahman Ahli Parlimen dari Pengkalan Chepa mencelah: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih YB Kepong. Penganalisis menjangkakan bahawa dengan kenaikan global harga minyak dunia ini, krisis dunia akan berlaku dan recession ini akan bertambah. Saya hendak bertanya pada pandangan YB Kepong, adakah YB bersetuju untuk meredakan ini supaya kerajaan memperuntukkan RM5 bilion atau RM6 bilion untuk meredakan harga minyak ini supaya harga barang dapat dikawal dengan baik. Adakah YB bersetuju supaya kerajaan memperuntukkannya?)


Tuan Yang di-Pertua, memang kerajaan mesti mempertimbangkan dengan cara bukan tidak memberi subsidi tetapi corak subsidi ini diubah sedikit seperti yang saya sebutkan semalam menjadi rebat. Rebat, kalau rebat itu penghalang di kampung-kampung dengan pokok-pokok yang tumbang. Rebat itu tidak serupa tetapi ejaannya serupa juga. Saya mengharapkanlah rebat ini tidak menjadi rebat. Kita mesti mempertimbangkannya.


(Dato’ Haji Ab. Halim bin Ab. Rahman [Pengkalan Chepa] menambah: Saya minta laluan, sikit lagi. Bukan rebat sahaja tetapi yang pentingnya untuk meredakan kenaikan harga barang ini perlu subsidi bagi minyak diesel. Ini pandangan YB Menteri Perdagangan Dalam Negeri. Apakah YB bersetuju dengan pandangan itu?)


Tuan Yang di-Pertua, subsidi adalah perkara yang sangat rumit kerana sebagaimana yang saya sudah sebutkan semalam, kita senang untuk memberi subsidi tetapi susah untuk memberhentikannya. Kita mesti mempertimbangkan cara-cara untuk memberi subsidi supaya pada suatu hari kelak kita dapat mengurangkan subsidi kerana negara tidak boleh menampung subsidi untuk selama-lamanya. Semua negara pun seperti itu. Kita mestilah peka kepada masalah ekonomi negara kerana semua Ahli Parlimen pun berhasrat untuk mewujudkan negara yang aman dan makmur. Dengan ini kita semua, Ahli Parlimen mestilah sedikit sebanyak faham mengenai ekonomi dunia. Di sini...


(Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi Ahli Parlimen Batu Pahat mencelah dengan izin: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya hendak bertanya kepada YB Kepong. Kalau begitu pada pandangan YB, antara kedua-dua pilihan ini iaitu tambah lagi subsidi untuk turunkan harga minyak, adakah tidak baik berbandingkan kita menstrukturkan subsidi minyak supaya orang yang lebih patut menerima faedah akan mendapat faedah, bukannya tambah lagi subsidi tetapi turunkan harga minyak. Mana yang lebih penting sama ada menstrukturkan subsidi minyak ataupun turunkan harga minyak dengan menambahkan pula subsidi?)


Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Batu Pahat ini, ‘rumah batu siap pahat berbunyi’, memanglah macam itu. [Dewan riuh]… Memang macam itu. Tadi YB Muar dan dia bangun untuk menghalang saya memberi laluan kerana dia hendak masa untuk berucap tetapi YB Batu Pahat sendiri...


(Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli Ahli Parlimen Kuala Krai mencelah dengan izin: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua dan YB Kepong. Lanjutan daripada soalan YB Batu Pahat tadi, soalannya adakah YB Kepong bersetuju dalam usaha untuk penstrukturan semula subsidi ini rakyat didedahkan kepada satu bencana apabila dengan serta-merta diturunkan sebegitu besar tanpa persediaan yang cukup sampai rakyat menderita dan kalau kita hendak memperbaiki semula terpaksa mengadakan beberapa pelan penstrukturan yang lain yang nampaknya kerajaan yang ada ini tidak mampu buat, tetapi orang lain yang mampu buat. Terima kasih.)


(Tuan Salahuddin Ayub Ahli Parlimen Kubang Kerian juga diberi laluan berucap: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan YB Kepong. Sebentar tadi YB Kepong menyebut bahawa negara akan mencapai pertumbuhan lebih kurang 6%. Bank Negara mengunjurkan 5.1%. Akan tetapi barubaru ini Financial Research House seperti Asian Bankers telah pun meramalkan akibat kenaikan minyak ini inflasi akan mencapai 71%. Jadi, adakah YB Kepong bersetuju bahawa tindakan kerajaan menstrukturkan subsidi minyak ini banyak mudarat daripada manfaatnya.)


(Ir. Haji Hamim bin Samuri [Ledang] juga mencelah: Boleh jawab sekali gus? Sikit sahaja. Maksudnya begini, saya berminat sangat bila YB Kepong sebut tentang menstrukturkan semula subsidi seperti yang disebutkan oleh Ahli Parlimen yang lain tadi. Maknanya adakah YB Kepong bersetuju kalau subsidi ini tidak di struktur semula, orang kaya bertambah kaya, yang miskin bertambah miskin? Sekian, terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.)


Tuan Yang di-Pertua, memang Yang Berhormat Ledang, YB Batu Pahat dan sebagainya. Saya berharaplah itu tujuan dia baik. Saya berharaplah itu, dan rebat kita ini satu jenis subsidi juga kalau kita naikkan harga petrol dengan terlalu mendadak, ini memang menambahkan beban kepada rakyat termasuk YB Batu Pahat, YB Ledang, YB Muar yang tak suka hendak dengar, ini memang, sebenarnya YB Muar pun sependapat dengan kita... Tuan Yang di-Pertua, kita mesti mengkaji sama ada itu yang disebutkan sebagai kononnya restructure semula, penstrukturan semula. Sama ada ini penstrukturan atau menambah beban. Ini memang satu perkara.


(Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad Ahli Parlimen Shah Alam mencelah: Terima kasih YB Kepong. Saya hendak tanya pandangan YB berhubung dengan kenyataan yang dibuat malam tadi, yang mana mengatakan kalau harga minyak itu rendah maka inflasi akan tinggi. Maka untuk mengatasi inflasi dicadangkan seolah-olahnya mencadangkan kita naikkan harga minyak lagi tinggi. Lagi tinggi harga minyak lagi rendah inflasi. Adakah teori ini satu teori YB pernah dengar di sekolah atau universiti kah? Ataupun mungkin dalam buku komik mungkin ada la kot. Terima kasih YB.)


Kita dengar semalam, memang satu teori baru untuk ekonomi... [Dewan ketawa] Satu teori baru. Saya nampak YB Tambun pun dia ketawa juga, satu teori yang baru mengenai inflasi. Inflasi ini melibatkan pelbagai faktor Tuan Yang di-Pertua. Bukan kerana kita turun naik. Kalau turun harga minyak, kita akan mewujudkan inflasi yang lebih tinggi dan sebagainya, tidak semestinya. Ini melibatkan banyak faktor dan di sini kita tak dapatlah hendak bincangkanlah kerana YB Muar pun dia sudah gatal hendak bangunnya... [Dewan Ketawa] (Tuan Yang di-Pertua mengingatkan tentang masa.)


Di sini lah mengenai itu subsidi, inflasi, masalah yang dihadapi oleh negara kita. Saya berharap YB dapat memberitahu kita macam mana kita dapat menghadapi tekanan daripada Amerika Syarikat kerana kegagalan bank-banknya sekarang. Apakah strategi kita untuk menghadapinya? Dan juga setakat ini bagaimana, setakat mana kita dapat menjimatkan penggunaan tenaga kita, yang pertama. Yang kedua itu, setakat mana kita dapat memupuk budaya berjimat cermat dan mengelakkan pembaziran dan juga dengan keadaan sedemikian, adakah kita dapat meningkatkan kecekapan dan daya saing industri.


Di sini Tuan Yang di-Pertua, semalam kita ada dengar itu keuntungan Petronas sudah meningkat RM61 bilion dan juga pemberian kepada kerajaan pun sudah meningkat. Apakah itu strategi pihak kerajaan untuk menggunakan ini seperti yang disebutkan oleh YB Tasik Gelugor bahawa pemberian daripada Petronas sekarang itu sudah lebih daripada RM332 bilion? Bagaimanakah pihak kerajaan menggunakan wang begitu banyak untuk negara kita. Saya berharap tidak akan berlakunya itu pembaziran lagi. Dan juga ini ada terlibat dengan itu integriti. Saya berharap tindakan seperti dua, tiga hari yang lepas, kita dapat menahan orang-orang daripada misalnya daripada Ketua-Ketua Pengarah dan Timbalannya daripada Jabatan Imigresen ditahan.


Saya tak tahu sama ada mereka itu salah atau pun tidak. Walau bagaimanapun, ini memang kita mesti mempertingkatkan usaha untuk mencegah rasuah dan penyelewengan-penyelewengan yang lain.

Tidak mudah misai dicukur,
Susahlah hidung terluka,
Sudah terdorong kepada kukur,
Tinggallah tempurung sahaja.


Di sini Tuan Yang di-Pertua kerana ada ramai yang hendak berucap, saya berharap itu YB dapat menjawab tindakan-tindakan yang sudah diambil oleh pihak kerajaan, termasuklah pasukan petugas khas menangani kenaikan harga kitanya kerana dengan kenaikan harga petrol, semua barang pun memang ikut menaik. Apakah keberkesanan pasukan petugas khas menangani kenaikan harga dan juga Jawatankuasa Khas Kabinet membendung inflasi? Bagaimana hal ini dapat dilakukan termasuklah penyeragaman ke atas harga barang-barang perlu yang mendapat subsidi, serta diselaraskan harga barang kawalan di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak?


Apakah peruntukan yang diberi untuk penyeragaman dan penyelarasan yang dihasratkan oleh pihak kerajaan, dan juga setakat ini, apakah senarai barangan yang perlu diberi subsidi oleh kerajaan? Saya berharap YB dapat memberitahu kepada Dewan yang mulia ini supaya kita tahu senarai barangan yang diberi subsidi setakat ini. Saya banyak lagi perkara Tuan Yang di-Pertua, setakat ini saya berharap semua rakyat, semua parti dapat bersama-sama kita menghadapi kesusahan yang akan kita hayati tidak lama lagi kerana dunia akan menghadapi satu krisis ekonomi. Kemerosotan ekonomi dunia dan akan menjejaskan ekonomi kita dan kita mestilah bersama-sama untuk menghadapi cabaran seumpama ini. Sekian terima kasih.”



Demikian catatan santai dari Parlimen Malaysia, wallahu ‘aklam.
Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 17-07-08. KL.


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails