Saturday, July 26, 2008

Pulihkan Cara Hidup Hakim... Dr Hatta Ramli


Ibnu Hasyim: Catatan Santai Dari Parlimen

(Gambar: Dr Mohd Hatta (tengah)pernah ditahan.. )

KITA pilih ucapan Dr Mohd Hatta Md Ramli dari PAS, di Dewan Rakyat Parlimen ke 12 Penggal Pertama, Mesyuarat Ke 2 Bil 32, Selasa 15 Julai 2008, disunting dari laman web Parlimen Malaysia…


“Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin tumpang sama berbahas di peringkat dasar ini mengenai rang undang-undang yang ada di depan kita ini. Disebutkan tadi mengenai pelantikan Judicial Commissioner dan juga hakim daripada kalangan orang-orang yang terlibat sebelumnya di dalam politik yang boleh menimbulkan percanggahan kepentingan ataupun conflict of interest dengan izin. Ini boleh berlaku apabila kadang-kadang hakim ini terpaksa berdepan dengan kes-kes yang melibatkan orang-orang politik di sebelah lawannya.


Dalam kes ini mungkin kita boleh berkata, kita boleh memohon supaya hakim-hakim ini menarik diri, excuse himself dengan izin daripada mengendalikan kes-kes ini. Akan tetapi ada juga kadang-kadang hakim-hakim ini memberikan penjelasan bahawa beliau tetap akan berlaku adil dan rekod-rekod politik sebelum ini tidak akan menjejaskan keadilan yang akan beliau hand down dalam mana-mana kes yang dibicarakan di hadapan beliau.


Saya menyebut ini bukan apa, kerana ada pernah berlaku sekali saya menyaman seorang OCPD, Ketua Polis Daerah kerana pada anggapan saya beliau dan juga pasukan polis ketika itu menahan, menangkap saya, meletakkan saya di dalam lokap kerana berceramah dikatakan tanpa permit tetapi telah dibuat di dalam premis yang pada fahaman saya dan dinasihatkan oleh peguam saya, memang boleh kita mengadakan ceramah itu dalam premis yang kita punya yang berpagar tetapi OCPD berpandangan lain.


Jadi untuk menyelesaikan perkara ini, saya bercadang untuk membawanya ke mahkamah supaya diberikan satu ruling, satu penghakiman untuk menjadi teladan dan juga petunjuk kepada kes-kes pada masa akan datang. Jadi hakim yang dicadangkan untuk mengadili kes ini pada ketika itu ialah hakim yang pernah menjadi Ahli UMNO seperti yang disebut oleh Yang Berhormat Wangsa Maju. Peguam saya telah berhujah bahawa kemungkinan kes ini tidak akan diberikan keadilan sewajarnya kerana yang diadili ini seorang daripada parti yang berlawan tetapi hakim itu menetapkan bahawa beliau akan berlaku adil.


Apabila berlaku perdebatan mulut begitu, hampir-hampir peguam saya ini termasuk dalam sempadan contempt. Jadi bila kata dah nak masuk contempt ini, maka peguam saya pun menarik baliklah bantahan itu. Walau macam mana pun akhirnya kes itu dibicarakan oleh hakim yang lain. Jadi tidaklah timbul masalah tetapi kalau berlaku hal itu, memang susahlah sikit saya untuk mengendalikan kes saya tersebut. Jadi, kesan daripada pelantikan hakim di kalangan orang-orang yang telah berkhidmat dalam parti politik ini cukup besar kerana mungkin pada masa akan datang ramai lagi ahli-ahli politik kita yang akan diadili atas apa-apa juga sebab, betul atau tak betul, fitnah atau tidak fitnah dan ini akan mungkin di hadapan hakim-hakim sedemikian.


Jadi saya nak mintalah supaya ada satu kaedah ataupun peraturan dalam pelantikan hakim-hakim ini tidak diambil daripada kalangan orang-orang yang pernah berkhidmat dalam politik. Tuan Yang di-Pertua, saya juga nak bertanyalah kepada menteri bahawa di Kota Bharu ini, beberapa tahun dulu saya dimaklumkan ada tiga orang hakim yang mengendalikan kes-kes di peringkat Mahkamah Tinggi. Dua Hakim Mahkamah Tinggi dan seorang Pesuruhjaya Kehakiman. Akan tetapi kebelakangan ini hanya ada seorang sahaja hakim yang mengadili kes-kes ini di Kota Bharu.


Soalan saya, apakah Kota Bharu ini sudah tidak ada kes-kes yang cukup banyak untuk diadili kerana keadaan sudah bertambah baik ataupun memang tidak cukup tenaga untuk dihantar ke sana? Jikalau ini berlaku sebenarnya, mungkin ini satu keadaan yang perlu diperbaiki kerana kekurangan hakim-hakim ini akan tentulah melewat-lewatkan pengadilan diberikan kepada orang-orang yang sepatutnya dibicarakan di depan hakim-hakim di peringkat Mahkamah Tinggi ini.


Jadi minta penjelasan tentang itu. Seterusnya yang ketiga saya nak bertanya oleh kerana kita baru-baru ini telah meluluskan rang undang-undang mengenai saraan menambah umur pencen kita daripada 56 tahun kepada 58 tahun. Jadi saya ingin bertanya sama ada kerajaan juga bercadang untuk mengemukakan cadangan supaya umur hakim juga yang dulunya daripada 65 tahun kepada 66 tahun akan dilanjutkan kepada 68 tahun. Mungkin tidak ada kepentingan di sana kerana umur 66 tahun itu pun kira dah panjang tetapi kalau... (Seorang ahli: [Menyampuk] 68 tahun, okey)


68 tahun okey? Ya, 68 tahun lebih baiklah. Nanti kalau ada pertambahan kakitangan kerajaan kepada 60 tahun, mungkin kita minta kepada umur 70 tahun pula. Cuma saya nak bertanya sama ada, ada dalam perancangan kerajaan untuk mengemukakan pindaan terhadap umur bersara para-para hakim ini. Seterusnya yang keempat dan terakhir Tuan Yang di-Pertua, kita mengetahui bahawa kehidupan para-para hakim ini kalau ikut maklumat yang kita ketahui, sangatlah membosankan. Kehidupan luar mahkamah bukan kehidupan dalam mahkamah. Dalam mahkamah memang hakim ini kira cukup meriahlah macam kedudukan Speaker juga. Memang seronok, memang ada...


(Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Pasir Salak menyampuk: Tuan Yang di-Pertua, saya hendak tanya Yang Berhormat Kuala Krai, mana dia tahu yang hakim-hakim ini kehidupan dia bosan ini? Pernah jadi hakim ke?)


Memanglah saya tidak pernah jadi hakim. Jadi doktor ini pun kadang-kadang membosankan juga. Cuma kita dimaklumkan hakim-hakim tidak boleh bergaul secara bebas dengan orang, pergi ke majlis-majlis yang dilihat bergaul dengan peguam-peguam yang mungkin satu hari akan berada di depan beliau. Jadi nampak macam tidak ada satu life yang interesting dengan izin kepada hakim-hakim ini (Seorang Ahli menambah: Kedai kopi pun tidak boleh?)


Kedai kopi tidak boleh. Pergi rock konsert lagi tidak boleh. [Ketawa] (Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak] mencelah lagi: Itu yang dia suka.) Jadi persoalan kita bagaimana kita nak mencadangkan satu imbuhan atau satu keadaan di mana hakim-hakim ini tidak terjebak dengan perkara-perkara yang nak melarikan diri daripada kebosanan ini sampai timbul pergi keluar ditanggung oleh lawyer, bercuti di...


(Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi Ahli Parlimen Batu Pahat mencelah: Pakai rambut palsulah) [Ketawa] Jadi saya nak bertanya ada tidak agak-agaknya kerajaan bercadang untuk memulihkan cara hidup hakim ini supaya interesting dalam court dan interesting juga di luar mahkamah. Jadi saya rasa itu saja untuk minta penjelasan. Terima kasih!”


Sekian catatan santai dari Parlimen Malaysia, wallahu ‘aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 17-07-08. KL.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails