Wednesday, May 24, 2023

Angkasawan Saudi di bintang. PN mendarat di bumi M'sia. Jatuhkan!


Misi Axiom 2 (Ax-2) di atas kapal angkasa SpaceX Dragon, membawa empat anak kapal ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), berlepas dari Pusat Angkasa Kennedy, Florida, Amerika Syarikat pada 21 Mei 2023. (FOTO: REUTERS/Joe Skipper)

1. Angkasawan Saudi mendarat di antara bintang

RIYADH: Dua angkasawan Arab Saudi, Rayyanah Barnawi dan Ali Alqarni telah berjaya  melakukan pendaratan di antara bintang di ruangan angkasa raya melalui Misi Axiom 2 (Ax-2) ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selepas pelancaran kapal angkasa SpaceX Dragon di atas roket SpaceX dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida. 

Rayyanah Barnawi (kiri) dan Ali Alqarni (kanan) bersama-sama John Shoffner (dua dari kiri) dan Peggy Whitson di dalam roket SpaceX Falcon 9 dalam Misi Axiom 2 (Ax-2) ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada Ahad, 21 Mei 2023. (FOTO: Tangkapan skrin/Axiom)

Kedua-duanya berada dalam Misi Ax-2, yang dilancarkan pada jam 5:37 petang Ahad (waktu EDT di Amerika Syarikat), yang menyaksikan angkasawan AS, Komander Peggy Whitson dan perintis perniagaan dan juruterbang, John Shoffner juga merupakan sebahagian daripada misi itu, lapor Arab News.

Barnawi, 33, yang merupakan wanita Arab pertama yang mencapai orbit, merupakan lulusan dari Universiti Otago, New Zealand dengan ijazah sarjana muda dalam sains bioperubatan sebelum memperoleh ijazah sarjana dalam sains bioperubatan dari Universiti Alfaisal.

Sebagai pakar makmal penyelidikan, Barnawi mempunyai lebih daripada sembilan tahun pengalaman dalam kejuruteraan semula sel stem dan tisu. 

“Kami sangat bersemangat untuk meluncur ke angkasa lepas dan membawa pencapaian bersejarah kepada negara dan umat manusia,” kata Barnawi sejurus sebelum pelancaran  misi tersebut.

Alqarni, 31, pula merupakan graduan dari Akademi Udara Raja Faisal dengan ijazah sarjana muda dalam bidang sains aeronautik selepas memperoleh diploma  sains aeronautik dari Pangkalan Tentera Udara Vance di AS.

Beliau merupakan kapten dalam Tentera Udara Diraja Saudi dengan pengalaman lebih 12 tahun sebagai juruterbang jet. 

“Kami berasa bangga dan teruja kerana ini adalah kali pertama kami pergi ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS),” ujarnya. 

Kedua-dua angkasawan Saudi itu dijadualkan  menjalankan 14 eksperimen sepanjang selama lapan bulan berada di ISS; yang mana 11 daripadanya  adalah mengenai mikrograviti, termasuk kesan pada otak dan mata, dan tiga lagi merupakan eksperimen kesedaran pendidikan dengan penglibatan 12,000 pelajar dari seluruh Saudi. 

Empat angkasawan yang kini berada di angkasa (dari kiri) Peggy Whitson, John Shoffner, Ali Alqarni dan Rayyanah Barnawi. (FOTO: Axiom)

Sebelum misi tersebut dilancarkan, kedua-dua Barnawi dan Alqarni telah menjalani latihan intensif selama sembilan bulan di Axiom Space dan SpaceX, NASA Johnson Center, ibu pejabat SpaceX di Hawthrone, California, Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun dan Agensi Angkasa Eropah.

Mereka juga telah menghabiskan 12 hari dalam keadaan ruang simulasi, belajar tentang jisim tanpa berat dan berlatih terapung, kemahiran komunikasi semasa berada di orbit, kemahiran ekspedisi dan kemungkinan kesan sampingan penerbangan angkasa lepas.

Misi mereka adalah yang pertama dalam program Penerbangan Angkasa Manusia (HSF) yang telah dilancarkan oleh Suruhanjaya Angkasa Saudi (SSC) dan akan membuka jalan untuk program yang mampan dengan menghantar angkasawan Saudi masa depan dalam misi untuk tinggal lebih lama di angkasa raya bagi menjalankan lebih banyak penyelidikan dan mengembangkan sumbangan Saudi kepada sains.

Ia adalah sejajar dengan Wawasan 2030 Saudi dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran teknikal negara itu, dengan mengembang dan mempelbagaikan sektor ekonomi dan industri.

Bidang tumpuan penyelidikan dalam program HSF akan membolehkan misi masa depan ke bulan dan planet Marikh, selain sains fizikal, kesihatan manusia, biologi, bioteknologi, biofarmasi, sains bumi, pembuatan angkasa lepas dan pembangunan teknologi. 

Peluang penyelidikan akan memupuk kerjasama antarabangsa, meningkatkan lagi peranan Saudi di peringkat antarabangsa.

Ditubuhkan kurang daripada lima tahun lalu pada Disember 2018, SSC mewakili Saudi di forum antarabangsa, bekerjasama dengan agensi kerajaan, mengawal selia aktiviti dan dasar angkasa serta mempromosikan aktiviti penyelidikan dan perindustrian yang berkaitan dengan angkasa.

Kerajaan Saudi kekal komited untuk menyokong penerokaan angkasa lepas dan meningkatkan peranan negara itu dalam ruang dan teknologi melalui program Biasiswa Penjaga Dua Masjid Suci dengan kerjasama SSC.

Program ini menawarkan pelajar Saudi peluang untuk belajar bagi memperoleh ijazah sarjana muda dan siswazah dalam bidang berkaitan angkasa di universiti antarabangsa yang paling berprestij.

Jurusan angkasa lepas teratas termasuk astronomi dan sains angkasa, kejuruteraan aeroangkasa, astrofizik, fizik dan kosmologi relativiti am, reka bentuk dan kejuruteraan kenderaan, kejuruteraan aeronautik dan astronautik, kejuruteraan angkasa lepas, undang-undang dan dasar angkasa 

Krew misi ax-2, di stesen pelancaran Falcon 9, (dari kiri ke kanan) Rayyanah Barnawi, Peggy Whitson, John Shoffner, dan Ali Alqarni. (FOTO: Twitter/saudispace)

“Peluang biasiswa untuk program berkaitan angkasa lepas adalah salah satu strategi Jawatankuasa Tertinggi bagi Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi yang dilancarkan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman Al Saud untuk meningkatkan pasaran buruh dengan kader manusia,” kata Timbalan Menteri Pendidikan untuk Biasiswa, Amal Shuqair.

Minat kerajaan Saudi terhadap industri penerokaan angkasa lepas bermula pada tahun 1977, apabila kerajaan Saudi menubuhkan Pusat Sains dan Teknologi Kebangsaan Arab Saudi, yang menjalankan penyelidikan saintifik gunaan dalam beberapa bidang termasuk ruang angkasa.

Pada 17 Jun 1985, apabila putera raja yang juga bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Saudi, Sultan bin Salman Al Saud (ketika berusia 28 tahun) menjadi orang Muslim, Arab dan kerabat diraja Saudi pertama mengembara ke angkasa lepas (dengan kapal angkasa Discovery milik NASA) untuk melancarkan satelit kedua Saudi, nama pusat itu ditukar kepada Pusat Sains dan Teknologi Raja Abdulaziz. Ia kemudiannya berusaha untuk memajukan sektor dan merancang untuk pemindahan dan penyetempatan teknologi satelit.

Setahun selepas itu, negara itu telah menubuhkan Pusat Saudi untuk Penderiaan Jauh, dan ia juga menubuhkan Institut Penyelidikan Angkasa dan Penerbangan di Bandar Raya Raja Abdulaziz untuk Sains dan Teknologi pada 1997.

Sehingga kini, Saudi telah berjaya melancarkan 16 satelit Saudi dari 2000 hingga 2019, yang menyediakan teknologi komunikasi di kawasan separa terpencil.

Pelancaran satelit terakhir negara itu adalah untuk menghantar Saudi Geostationary Satellite 1, yang dibangunkan oleh pasukan dari Bandar Raya Raja Abdulaziz untuk Sains dan Teknologi.

Satelit itu menyediakan keupayaan telekomunikasi, sambungan internet yang lebih kukuh, dan TV serta komunikasi selamat di Timur Tengah, Afrika Utara dan Eropah. – HARAKAHDAILY 22/5/2023  


2. ISS alu-alukan ketibaan angkasawan Saudi 

Kumpulan kru di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) bersama-sama dua angkasawan Saudi, Rayyanah Barnawi dan Ali Alqarni pada 22 Mei 2023. (FOTO: Tangkapan skrin/Aksiom)

RIYADH: Ketibaan dua angkasawan Arab Saudi,  Rayyanah Barnawi dan Ali Alqarni di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada Isnin (22 Mei) telah dialu-alukan kru yang sudah berada di stesen yang berada sejauh 360 kilometer dari permukaan bumi itu.

Barnawi, seorang saintis yang menjadi wanita Arab pertama ke angkasa lepas, dan Alqarni, seorang juruterbang pejuang terlatih, tiba ke ISS dengan menaiki kapal angkasa SpaceX Dragon bersama angkasawan Amerika Syarikat, Peggy Whitson dan perintis perniagaan serta juruterbang, John Shoffner.

Mereka dialu-alukan oleh tujuh angkasawan yang sudah berada di atas kapal (tiga warga Rusia, tiga warga AS, dan seorang warga Emiriyah Arab Bersatu (UAE), lapor Al Ekhbariya pada Isnin.

“Kami kini mencapai impian yang tidak pernah kami jangka akan menjadi kenyataan. Perjalanan ini (dari bumi ke ISS) mewakili Saudi dan seluruh dunia Arab. Ia juga satu peluang untuk menerokai angkasa lepas,” kata Barnawi, sejurus tiba di ISS.

Sementara itu, Alqarni berkata beliau dan Barnawi akan menjalankan ‘eksperimen saintifik yang akan memberi manfaat kepada manusia’ semasa mereka berada di ISS.

Mereka menyasarkan untuk menjalankan 20 projek penyelidikan, antaranya ialah 14 projek yang dibangunkan oleh saintis Saudi meliputi pelbagai bidang seperti fisiologi manusia, biologi sel, dan pembangunan teknologi.

“Ia adalah perjalanan yang indah,” ulas pula Whitson, bekas angkasawan NASA yang telah membuat penerbangan ke angkasa tiga kali pada masa lalu, sambil menambah bahawa penerbangan kali ini adalah yang paling lancar pernah beliau rasai.

Kapal angkasa SpaceX Dragon dilancarkan di atas roket SpaceX pada hari Ahad (21 Mei) alu dalam misi Axiom-2 (Ax-2). – HARAKAHDAILY 23/5/2023


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Angkasawan Saudi di bintang. PN mendarat di bumi M'sia?

Blog ini bersetuju dengan Naib Presiden PAS Malaysia, Datuk Idris Ahmad. Soal mahu menjatuhkan kerajaan mesti dibuat melalui demokrasi, dengan berlunaskan undang-undang.

“Mana ada pembangkang yang sokong kerajaan? Kalau pembangkang yang sokong kerajaan, tu otak tak berapa nak betul. 

“Perlu ingat, cara demokrasi yang betul bukanlah dengan mengajak hadirin memegang senjata, tetapi dengan cara pilihan raya,” tegasnya.

Yang penting jatuhkan kerajaan melalui demokrasi!


Tuesday, May 23, 2023

Ini cakap kosong PMX, ajar dia..

 

Anwar dan Hamzah dalam sidang Parlimen Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada hari ini, 22 Mei 2023.

1.  Tiada dasar ekonomi baharu drastik sejak PMX kemudi negara

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mempunyai dasar ekonomi baharu dan drastik yang dilaksanakan sejak Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengemudi pentadbiran negara di Putrajaya.

Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, syarikat konglomerat dari dalam dan luar negara keliru terhadap usaha kerajaan bagi melonjakkan ekonomi negara pasca pandemik Covid-19.

Menurut beliau, pihak tersebut turut meminta langkah kerajaan untuk merancakkan sektor berkenaan dengan mengambil kira kebimbangan terhadap penguncupan ekonomi dunia ketika ini.

“Ini kerana ramai yang mengatakan tidak ada dasar ekonomi yang jelas, jadi mereka tertanya-tanya apakah dasar utama yang menjadi tunjang pembangunan ekonomi malaysia pada hari ini (sekarang).

“Belanjawan Madani yang diumumkan itu, bukan satu hala tuju sebenarnya kerana tidak mempunyai sasaran keberhasilan yang jelas,”  katanya pada Persidangan Dewan Rakyat di sini, pagi tadi.

Selain itu Hamzah berkata lagi, kekeliruan itu bertambah parah apabila kerajaan terus berdolak- dalik dalam masalah tender yang pernah diumumkan oleh kerajaan terdahulu, Perikatan Nasional (PN).

Beliau menegaskan, disebabkan keperluan mendesak projek tebatan banjir yang melibatkan beberapa buah negeri, seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor diluluskan secara tender terbuka.

Tambah Ahli Parlimen Larut itu, tindakan kerajaan mengubah daripada tender terbuka kepada kaedah fast track kemudian tender terhad menyebabkan banyak pihak keliru termasuk agensi pelaksana dan pelabur.

“Ketika keputusan untuk tidak mengadakan tender terbuka, tiba-tiba ada pulak yang mengatakan fast track akhirnya menjadi tender terhad. 

“Ini adalah menjadi sesuatu yang menyebabkan pelaksana sendiri keliru dan ini juga akan menjejaskan kepercayaan pelabur dari dalam dan luar negara sebagai contoh,” katanya.

Sebaliknya Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menafikan wujud kekeliruan tersebut kerana membandingkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Indonesia, Vietnam dan China pada suku pertama tahun ini.

Malah katanya, ekonomi negara turut berkembang lebih kukuh unjuran Bank Negara serta kadar pengangguran semakin menurun pada suku keempat tahun lalu meskipun ada runggutan.

Selain itu pelaburan diluluskan pada suku pertama 2023 mencecah RM71.4 bilion, iaitu peningkatan 60 peratus pada suku pertama tahun lalu termasuk pelaburan Geely, Tesla dan sebagainya.

“Maknanya ada dasar yang jelas yang mereka ketahui, begitu juga disebut umpamanya tentang rungutan biasa kita dengar dan saya boleh terima tiada masalah.

“Penyelesaian bukan muktamad, saya boleh ambil kira dan boleh buat penyesuaian yang perlu kerana yang penting adalah menjana pertumbuhan lebih rancak,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/5/2023   


2. PAS tidak tewas di desa, menjalar senyap meroboh tembok kota 


RUPANYA artikel yang ditulis oleh Murray Hunter di bawah ini yang mencuit pimpinan PH seperti P. Ramasamy, sehingga menulis beberapa artikel untuk menumpaskan Gelombang Hijau dan PAS. 

PAS bukan sahaja mengukuhkan tapaknya di kawasan kampung-kampung. 

Kini PAS dan PERIKATAN NASIONAL sedang menjalar dengan penuh ketenangan merempuh dinding-dinding penghalang di kawasan separa-bandar dan bandar. 

Wajah kepimpinan PAS yang pelbagai sama ada ulamak, profesional, pendidik dan aktivis parti telah menarik minat rakyat yang pelbagai jua. 

Kehadiran pimpinan parti lawan ke dalam PAS juga, pastinya menambahkan lagi kepelbagaian watak dan imej PAS. 

PAS dengar akar tarbiahnya perlu bersedia menerima kemasukan insan yang datang dari pelbagai latar, personaliti, penampilan dan juga pemikiran. 

Watak pelbagai itu satu anugerah, yang lebih besar adalah dasar perjuangannya adalah sama yakni Islam. 

Ustaz Mad, Dr Sam, Sanusi dan Cikgu Shukri mereka ini wataknya berbeza-beza, yang mampu menarik segmen rakyat yang berbeza. 

Namun, mereka menirus pada perjuangan yang sama yakni Islam. Ibarat ‘funnel’, muncungnya luas melebar namun dibawa menirus ke dasar yang sama. 

Akar perjuangan yang kukuh, menerima kepelbagaian watak dan pendekatan membuatkan PAS cukup bersedia menjadi parti yang meneduhi kepelbagaian rakyat. 

PRN ini nanti, kita bergerak ke gerbang jasa bukan hanya tidak tertewas di kawasan kampung malah menjalar menawan kawasan separa bandar dan bandar. Insya-Allah. 

AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 22/5/2023   


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Ini cakap kosong PMX, ajar dia..

Bagaimana mengajar seorang PMX yang kokoknya berderai-derai tapi ekor bergelumang najis?

Mudah saja, tolong kempen rakyat Malaysia supaya UNDI PAS/PN. Naikkan parti kebajikan rakyat bersih rasuah, parti Islam Agama bagi Persekutuan. Tolak pemimpin bernajis, karib perasuah!


Jom bangkit pertahan kalimah ALLAH! Begini...

 


1. Umat Islam bangkit pertahan kalimah Allah

SHAH ALAM: Umat Islam akan bangkit mempertahankan kalimah Allah sekiranya kerajaan Malaysia Madani gagal menguruskan isu tersebut dengan baik.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, perhimpunan aman yang diadakan hari ini sebagai membantah tindakan kerajaan menarik balik rayuan kes kalimah Allah.

“Agama Islam bukan ekstrem, tetapi kita mahu mempertahankan kalimah Allah daripada disalah guna oleh orang bukan Islam,” kata pada perhimpunan aman selepas solat Jumaat di pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini. (Foto atas)

Himpunan itu turut dihadiri jemaah masjid terbabit, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Geng Ustaz dan Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Turut hadir Penasihat UMMAH Kamaruzaman Mohamad, mantan profesor di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Kamaruzaman Yusoff dan Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia Khairul Nadzir Helmi Azhar.

Sebelum itu Mohd Zai mengadakan pertemuan dengan pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam sebelum perhimpunan diadakan.

Pada 15 Mei lepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Ekoran itu pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam Selangor dan bekas mufti membantah tindakan KDN menarik balik rayuan di Mahkamah Rayuan. – HARAKAHDAILY 19/5/2023 


2. Kalimah Allah: KDN pernah tolak permintaan Menteri DAP 


KETIKA saya menjadi Menteri Dalam Negeri dalam Kerajaan Pakatan Harapan (PH), ada Menteri daripada parti DAP yang meminta supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyelesaikan kes Jill Ireland di luar mahkamah. Saya tidak bersetuju dengan permintaan ini kerana apa yang dimaksudkan dengan penyelesaian di luar mahkamah itu ialah KDN menarik balik perintah rampasan cakera padat risalah agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah.

Pendirian KDN pada masa itu ialah kes ini mesti diputuskan oleh mahkamah mengikut proses undang-undang. Antara hujah utama KDN pada masa itu ialah penyebaran risalah agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam dan ini berkemungkinan menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Apabila Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill Ireland pada tahun 2021, Kerajaan PERIKATAN NASIONAL pada ketika itu berpendirian bahawa keputusan kes ini mesti dirayu ke peringkat Mahkamah Rayuan. Adalah menjadi kelaziman dalam mana-mana kes mahkamah, pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah boleh merayu ke mahkamah yang lebih tinggi.

Keputusan untuk merayu ke Mahkamah Rayuan juga adalah selaras dengan titah yang dizahirkan pada masa itu oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Sultan Selangor.

Saya kesal dengan keputusan Kerajaan PH-BN menarik balik rayuan dalam kes yang melibatkan sensitiviti umat Islam dan kepentingan awam ini. Sepatutnya, biarlah kes ini diputuskan menurut proses undang-undang di mahkamah sehingga selesai sebelum kerajaan membuat apa-apa keputusan dasar mengenainya.

Sekiranya keputusan mahkamah masih tidak berpihak kepada kerajaan selepas proses rayuan selesai, maka wajarlah bagi pihak kerajaan meminda undang-undang berkenaan demi memastikan tujuan undang-undang tersebut dikuatkuasakan, iaitu untuk menjamin keharmonian hubungan antara masyarakat berbilang agama dan memelihara ketenteraman awam di negara ini dapat dicapai.

Perlu diingat bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya manakala Raja-raja Melayu adalah Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing. Maka titah Raja-raja Melayu dalam hal ini hendaklah dijunjung oleh kerajaan.

TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN HAJI MOHD YASSIN
Pengerusi PERIKATAN NASIONAL
17 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 17/5/2023 


3. Isu kalimah Allah: Kepentingan Islam cuba dirobohkan  


SUSULAN perkembangan terbaharu isu penggunaan kalimah Allah di Malaysia, Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan Kerajaan PH-BN yang menarik balik rayuan terhadap keputusan mahkamah dalam isu ini.

Usaha yang dibuat oleh Kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) sebelum ini bagi melindungi kepentingan Islam, nampaknya mulai dirobohkan oleh Kerajaan PH yang ada sekarang. Perlembagaan Persekutuan Perkara 3 (1) secara jelas menyatakan Islam ialah agama rasmi Persekutuan, nampaknya kekuatan ini sedang dilapah dengan rakusnya oleh rejim pemerintahan yang ada sekarang. 

Jelas sekali Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersikap hipokrit dan sandiwara kononnya mempertahankan agama Islam dan Perlembagaan Persekutuan sedangkan

realiti sebaliknya. Hal ini samalah seperti episod terdahulu ketika melabelkan banyak pihak sebagai kaki rasuah dan marah dengan penyalahgunaan kuasa. Namun ketika berkuasa, Kerajaan PH sanggup menjilat semula air liur basi ini demi mempertahankan kuasa yang rapuh itu. 

DUPWP menyeru seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam untuk bangkit membuat bantahan terutama dalam media sosial masing-masing untuk membuktikan bahawa kita masih ada urat nadi sensitif dengan Islam apabila dicabul sedemikian rupa selain menterjemahkan protes masing-masing dengan menolak dan tidak sesekali memberikan undi kepada calon-calon dari PH-BN dalam pilihanraya di enam buah negeri kelak.

Orang Islam di negara ini perlu ingat, ini merupakan Nakhbah atau malapetaka dahsyat sedang melanda ummah di Malaysia. Manakala PH-BNlah yang terlibat dalam membuka akan pintu fitnah ini. Entah apa akan berlaku pada nasib anak cucu kita nanti pada zaman mereka. Apakah masih selamat aqidah mereka di saat itu?

USTAZ DR. AZAHAR YAAKUB 
Ketua Dewan Ulamak
PAS Wilayah Persekutuan – HARAKAHDAILY 17/5/2023 


4. Bubar BN atau PH ke arah sistem dua parti 

SEBELUM ini saya pernah menulis mengenai perlunya sistem dua parti di dalam politik Malaysia bagi memastikan kestabilan politik tidak tergugat, seperti yang pernah berlaku selepas PRU ke-14 tahun 2018. Dengan adanya dua parti atau gabungan parti utama memenangi Pilihan Raya Umum, situasi Parlimen tergantung seperti yang berlaku pasca PRU ke-15 dapat dielakkan.

Meskipun sistem dua parti bukanlah jaminan seratus peratus kestabilan politik negara tidak goyah, namun dengan adanya Akta Anti Lompat Parti akan memperkukuhkan sesebuah kerajaan yang dibentuk oleh sesebuah parti atau gabungan parti tunggal. Ia berbeza jika sesebuah kerajaan dibentuk oleh beberapa parti atau gabungan parti selepas Pilihan Raya Umum.

Kerajaan Campuran PH-BN (termasuk GPS dan GRS) bukanlah sebuah kerajaan yang stabil sebaliknya boleh tumbang bila-bila masa. Adalah diyakini, sekiranya Dato Sri Mohamad Najib Tun Abdul Razak tidak dibebaskan selepas PRU peringkat enam negeri pada Julai atau Ogos tahun ini, Kerajaan Campuran PH-BN kemungkinan besar akan berkubur.

Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang dianjurkan di WTC baru-baru ini hanyalah sebuah orkestra untuk menayangkan kepada masyarakat umum, hubungan gabungan parti-parti yang membentuk kerajaan adalah jitu. Hakikat sebenarnya hubungan antara mereka adalah rapuh disebabkan berbeza halatuju, melainkan jika parti-parti tersebut diikat dengan satu gabungan.

Untuk menjadi sebuah gabungan parti yang utuh, BN atau PH perlu dibubarkan, dan anggota-anggota parti dalam gabungan yang dibubarkan menyertai gabungan yang kekal. Contohnya, jika BN dibubarkan, Umno, MCA, MIC dan PBRS menyertai PH. Dengan langkah tersebut, PH selepas itu menjadi sebuah gabungan tunggal menjadi tulang belakang kerajaan. 

Selain daripada itu, boleh juga kedua-dua BN dan PH dibubarkan, kemudiannya sebuah gabungan baru diwujudkan. Langkah seperti ini boleh jadi lebih bersifat menang-menang, berbanding hanya satu gabungan sahaja yang dibubarkan. Malah, sekiranya gabungan parti-parti dari Sabah dan Sarawak dibubarkan, seterusnya menyertai gabungan baru, ia sebenarnya lebih baik.

Sistem dua parti seperti yang wujud di negara-negara maju, lazimnya tidak disusun oleh sesuatu perundangan. Ia wujud apabila ada dua parti atau gabungan parti yang utama mendapat sokongan besar dari pengundi. Salah satu antara dua parti atau gabungan parti tersebut boleh membentuk kerajaan selepas PRU, tanpa memerlukan sokongan dari parti-parti lain.

Sebenarnya tanpa disedari, situasi sistem dua parti ini telah wujud di Malaysia sejak PRU ke-10 tahun 1999, apabila wujud dua gabungan parti utama iaitu BN dan BA, kemudian BN dan PR. Oleh sebab itu, ramai pemerhati politik menganggap PRU ke-10 adalah titik tolak (turning point) kepada senario politik Malaysia seperti yang wujud pada hari ini. 

Bagaimanapun, senario ini berubah pada PRU ke-14 tahun 2018, apabila wujud tiga gabungan parti BN, PH dan GAGASAN. Meskipun GAGASAN adalah gabungan minor, tetapi PAS yang menjadi tonggak GAGASAN telah berperanan sebagai King Maker, sebaik sahaja krisis kepimpinan berlaku dalam PH pada tahun 2020. Krisis ini telah membawa kepada Perdana Menteri meletak jawatan.

Dalam PRU ke-15, kewujudan tiga gabungan parti utama semakin ketara iaitu PH, PN dan BN. Kesannya, berlaku situasi parlimen tergantung selepas pilihan raya. Melihat kepada kemeriahan Konvensyen Kerajaan Perpaduan baru-baru ini, sudah sampai masanya sama ada BN atau PH dibubarkan untuk membentuk satu gabungan tunggal yang menjadi tonggak kerajaan.
DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Jom bangkit pertahan kalimah ALLAH! Begini...
Begini, bagaimana? 
Dengan mengundi PN, anda telah bangkit menyelamat dan mempertahankan kalimat ALLAH!


Sunday, May 21, 2023

Penyanyi rap lobi Jho Low, apa PMX M'sia boleh buat?

 

Penyanyi rap kumpulan The Fugees yang memenangi Anugerah Grammy, Prakazrel 'Pras' Michel, yang berdepan tuduhan jenayah dalam kempen melobi secara haram, tiba bagi hujah pembukaan dalam perbicaraannya di Mahkamah AS di Washington, 30 Mac. Gambar: Reuters

AS tuduh penyanyi rap melobi secara haram bersama Jho Low

Pendakwa raya persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada Khamis menuduh penyanyi rap yang juga pemenang Anugerah Grammy, Prakazrel "Pras" Michel dari kumpulan hip hop The Fugees selepas secara haram mengambil puluhan juta dolar untuk melobi kerajaan negara itu bagi pihak ahli perniagaan Low Taek Jho dan kerajaan China.

Tuduhan itu dibuat pada permulaan perbicaraan 1MDB yang menurut pendakwa raya Nicole Lockhart akan mengaitkan Michel dengan pembiaya Jho Low, yang disyaki menggelapkan AS$4.5 bilion (RM19.90 bilion) daripada dana kekayaan negara 1MDB, dan kempen kerajaan China bertujuan membawa pulang penentangnya Guo Wengui.

Michel dibicarakan atas 11 pertuduhan jenayah termasuk pelbagai pertuduhan konspirasi untuk apa yang dikatakan pendakwa raya sebagai tiga skim lobi berasingan untuk mempengaruhi pentadbiran bekas presiden Barack Obama dan Donald Trump.

Michel bagaimanapun menafikan kesemua dakwaan tersebut.

"Ini adalah kes mengenai wang asing, pengaruh dan penyembunyian," kata Lockhart sewaktu kenyataan pembukaannya di Washington pada Khamis. 

Lockhart memberitahu juri kes itu akan menyerlahkan “muslihat politik, rundingan sulit... talian sementara dan penipuan."

The Fugees memenangi dua Anugerah Grammy bagi album terlaris mereka pada 1996, "The Score".

Namun menjelang 2012, pendakwa raya berkata, Michel sangat memerlukan wang tunai, dan beliau menemui penyelesaian kepada masalahnya melalui Low, yang diketahui membayar selebriti Hollywood untuk berpesta dengannya.

Dalam skim pertama yang didakwa, pendakwa raya berkata Michel bersetuju untuk menyalurkan kira-kira AS$2 juta daripada Low ke dalam kempen pemilihan semula Obama pada 2012.

Disebabkan undang-undang pilihan raya persekutuan melarang orang asing daripada memberi sumbangan politik kepada kempen AS, pendakwa raya berkata Michel menyembunyikan sumber dana dengan menggunakan pihak ketiga.

Sebagai pertukaran untuk membantu Low, kerajaan berkata Michel mengaut AS$18 juta.

"Melalui skim ini, defendan menipu kempen Obama," kata Lockhart kepada juri.

Beberapa tahun kemudian, pendakwa raya berkata tumpuan kempen melobi Michel beralih, apabila Jabatan Kehakiman AS memperhebat siasatannya terhadap Low berhubung penyelewengan yang disyakinya melebihi AS$4.5 bilion daripada 1MDB.

Low "memerlukan jenis bantuan berbeza," kata Lockhart, sambil menambah bahawa beliau membayar Michel berjuta-juta dolar lebih untuk cuba "mendapatkan pengaruh di peringkat tertinggi kerajaan AS" yang akan membatalkan siasatan. 

Michel dan Elliott Broidy, bekas pengerusi kewangan Jawatankuasa Kebangsaan Republikan, dan konspirator lain dituduh melancarkan kempen "saluran gelap" bagi meyakinkan pentadbiran Trump untuk menarik balik siasatannya terhadap Low. 

Pendakwa raya berkata mereka juga cuba melobi pentadbiran Trump atas arahan China untuk mengembalikan ahli perniagaan China yang dalam buangan, Guo Wengui ke China. 

Untuk kerjanya dalam dua kempen melobi ini bagi pihak Low dan China, pendakwa raya berkata Michel dibayar AS$70 juta. 

Pendakwa raya juga berkata Michel gagal mendaftar sebagai ejen asing seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.

Kemudian, selepas mengetahui beliau sedang disiasat atas tuduhan jenayah, pendakwa raya berkata Michel cuba menghalang siasatan dengan menghubungi saksi serta menghantar surat tuntutan kepada penderma daripada kempen 2012 yang mengancam mereka dengan tuntutan mahkamah jika mereka tidak membayar balik dana. 

Guo sejak itu didakwa atas tuduhan penipuan AS yang tidak berkaitan.

Low kekal sebagai orang dalam buruan bagi kes Michel.

Beliau juga berdepan tuduhan jenayah AS secara berasingan kerana bersubahat untuk melakukan pengubahan wang haram berbilion-bilion daripada 1MDB. 

Pada 2019, Jabatan Kehakiman memperoleh penyelesaian sivil yang berasingan daripada tindakan jenayah terhadap Low, dan beliau bersetuju untuk memulangkan aset bernilai kira-kira AS$1 bilion.

Broidy mengaku bersalah atas peranannya pada Oktober 2020, tetapi Trump memberinya pengampunan penuh sebelum kalah dalam pemilihan presiden. 

Pasukan pembelaan Michel pada Khamis memilih untuk menangguhkan kenyataan pembukaan mereka sehingga selepas pendakwa selesai memfailkan kes mereka.

Peguamnya dijangka berhujah bahawa Michel tidak mengetahui yang dirinya bertindak sebagai ejen asing dan percaya beliau melakukan untuk kepentingan AS. 

Kes itu dijangka menampilkan keterangan daripada saksi terkemuka yang mungkin termasuk pelakon Leonardo DiCaprio, serta bekas pegawai tertinggi ketika pentadbiran Trump. 

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Penyanyi rap lobi Jho Low, apa PMX M'sia boleh buat?

Untuk kepentingan rakyat Malaysia, apa PMX boleh buat? Ummah, sila pilih negara Islam dalam PRU akan datang.

 INI MODEL NAGARA ISLAM MALAYSIA..

Sila lihat model negara Islam Malaysia yang di bawa oleh PAS/PN 

(i) Ini, kerajaan Islam contoh di Malaysia.. Sila teliti!  

(ii) K'tan, pembangunan berpaksi Islam. Kekal & tawan S... 

(iii) Jom kreatif. K'tan -Tek-C hibrid solar. Turkiye -k...(iv) Indahnya Islam kerana sistem zakat. RM76 juta agih...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails