Tuesday, July 19, 2011

Dua Pegawai Kanan Polis Letak Jawatan


PAUL STEPHENSON berjalan keluar dari pejabat Polis Metropolitan selepas dia meletakkan jawatan sebagai Ketua Polis di London kelmarin.

LONDON - Dua pegawai tinggi polis di London meletakkan jawatan dalam tempoh kurang 24 jam berhubung skandal penggodaman telefon untuk mendapatkan maklumat oleh wartawan dan rasuah yang melibatkan akhbar tabloid, News of The World.

Ekoran peletakan jawatan itu, Perdana Menteri, David Cameron semalam meminta satu persidangan tergempar Parlimen diadakan. Dua pegawai polis yang meletakkan jawatan itu ialah Ketua Polis Metropolitan London, Paul Stephenson dan Penolong Komisioner Polis Metropolitan, John Yates. Stephenson meletakkan jawatan kelmarin manakala Yates semalam.

Yates merupakan pegawai polis yang membuat keputusan dua tahun lalu tidak membuat siasatan berhubung penggodaman telefon dan rasuah yang diberikan oleh wartawan-wartawan akhbar tabloid. Namun, para detektif membuka semula siasatan pada awal tahun ini dan menyatakan terdapat 3,700 mangsa dalam kes penggodaman tersebut.

Akhbar News of The World yang dimiliki bilionair dari Amerika Syarikat, Rupert Murdoch ditutup dua minggu lalu selepas skandal itu terbongkar. Bekas pengarang akhbar itu, Rebekah Brooks yang ditangkap polis berhubung skandal itu mengaku bahawa polis dibayar untuk mendapatkan maklumat.

Namun, dia menyatakan tidak mengetahui sebarang skandal penggodaman telefon semasa menjadi pengarang antara tahun 2000 hingga 2003. Penggodaman telefon itu dilakukan bagai membolehkan wartawan mendapat sumber berita yang menarik untuk disiarkan. - Agensi

Mahkamah Tolak Lelaki Guna Nama Wanita

Gambar fail, Mohd Ashraf Hafiz (kanan) menutup mukanya sebaik menyedari kehadiran media di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Mei lalu. – Foto ihsan Sinar Harian

KUALA TERENGGANU, 18 Julai 11: Hasrat seorang lelaki yang mahu menukar nama dalam MyKad kepada nama wanita selepas menjalani pembedahan tukar jantina dua tahun lepas ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini.

Ketika membacakan keputusannya, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa berkata permohonan Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 25, yang mahu menukar namanya kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz ditolak selepas memengambil kira tiga faktor iaitu:

  • kromosom,
  • kewujudan alat kelamin semasa pemohon dilahirkan,
  • dan kewujudan organ dalaman.

Ashraf yang membuat permohonan itu pada 25 Mei lepas telah melakukan pembedahan menukar jantina di Thailand pada 2009 setelah disahkan layak daripada segi psikologi oleh Pusat Perubatan Pantai. Permohonan itu dibuat bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan untuk menyambung pelajaran dan kesukarannya menjalani kehidupan sebagai seorang wanita.

Menurut laporan Bernama Online, Ashraf yang berasal dari Kuala Terengganu bagaimanapun tidak hadir di mahkamah dan hanya diwakili peguamnya, Horly Isaach. Hakim Mohd Yazid berkata keputusan mahkamah menolak permohonan itu juga kerana mengambil kira hujah Peguam Kanan Persekutuan, Aida Adha Abu Bakar yang mewakili Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, yang telah berjaya meyakinkan mahkamah bahawa permohonan berkenaan tidak wajar diluluskan kerana pemohon bukanlah wanita tulen.

Katanya walaupun pemohon telah menjalani pembedahan tukar jantina, perkara itu tidak boleh dijadikan hujah untuk mendapatkan kebenaran mahkamah. Selain itu, katanya, tiada laporan lengkap daripada pihak hospital bersabit pembedahan jantina yang dibuat terhadap Ashraf dan sepanjang prosiding berlangsung, tiada seorang pun doktor dipanggil untuk memberi keterangan.

“Setelah kes ini diperhalusi dan diteliti dari semua aspek dan mengambil kira implikasi kepada masyarakat, mahkamah menolak permohonan pemohon.

“Mahkamah juga tidak mempunyai kuasa untuk membuat pengisytiharan deklarasi bersabit penukaran gender dan tiada sebarang peruntukan undang-undang dalam negara ini yang membenarkan permohonan pemohon untuk menukar status jantina dalam MyKad dan dalam dokumen pengenalan diri lain pemohon,” katanya. (Sumber The Malaysian Insider)

Kekuatan Lo'Lo' Luar Biasa -Thuraiyan

KL 19 Jul 11: "Allah berikan dia kekuatan luar biasa. Walaupun sudah dua tahun bergelut dengan penyakit itu semangat dia tetap kuat, dia berkhidmat sampai ke akhir hayat."

Demikian luahan hati kakak kepada Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali, Thuraiyan Nadzrah, 60, ketika ditemui pemberita di perkarangan Masjid Al-Akram di sini berhubung pemergian adik kesayangannya akibat penyakit kanser paru-paru pada malam Ahad.

Menurut Thuraiyan, Allahyarham mempunyai semangat yang kuat untuk melaksanakan tanggungjawabnya kepada rakyat meskipun menghidapi penyakit kanser sejak dua tahun lalu.

"Bukan saya mahu memuji adik sendiri tetapi Allah beri dia rezeki untuk berkhidmat... mudah-mudahan Allah terima," katanya.

Anak kedua daripada lapan beradik itu memberitahu, Lo'Lo' menerima rawatan di Hospital Selayang sejak dua minggu lalu dan berada dalam keadaan kritikal.

Katanya, arwah sempat berpesan supaya meneruskan perjuangan Islam kerana Allah walaupun beliau sudah tiada.

"Dia minta semua berjuang kerana Allah. Dia tidak mahu jangan kerana dia tiada, perjuangan terbantut," ujarnya.

Sementara itu, anak kedua Allahyarham, Muhd Fawwas berkata, ibunya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri pada malam terakhirnya akibat implikasi ubat.

"Namun kali terakhir dia boleh berbicara, dia sentiasa menyatakan keprihatinan terhadap akhlak anak-anak muda masa kini. Dia juga minta para ulama dan pemimpin supaya turun padang untuk membantu masyarakat terutamanya golongan muda," katanya.

Muhd Fawwas berkata, ibunya turut berpesan kepada ahli keluarga dan kawan-kawan supaya sentiasa mengingatinya dalam doa dan apa jua perkara yang dilakukan.

Mengulas mengenai penderitaan yang dialami ibunya, Muhd Fawwas berkata, beliau disahkan menghidap penyakit kanser paru-paru setelah menjalani diagnosis pada Ogos 2009.

"Selepas mengetahui perkara itu, dia menjalani rawatan kimoterapi dan kembali sihat. Namun selepas pemeriksaan imbasan CT kali kedua, tumor sudah merebak ke bahagian lain.

"Setahun kemudian dia tidak begitu sihat... namun dia tetap berjumpa masyarakat. Semangatnya mengatasi tenaga fizikal yang dimilikinya," katanya.

Tambah Muhd Fawwas, adik-beradik, ahli keluarga dan sanak-saudara turut berada di sisi ibunya ketika beliau menghembuskan nafas terakhir tepat pukul 10.20 malam, Ahad. (Diangkat dari mSar Online)

Pengikut Ayah Pin Menuntut Hak Menganut Agama?


Gambar; Pengkhianat atau pembelot kerajaan Uthmaniyah dari keturunan Arab...

PUTRAJAYA 19 Jul 11: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan seorang pengikut ajaran sesat, Ayah Pin, untuk mendapatkan perisytiharan bahawa dia mempunyai hak dan kebebasan mengikut Perlembagaan Persekutuan untuk menganut mana-mana agama.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Datuk Azhar Ma”ah dan Datuk Clement sebulat suara menolak dengan kos rayuan bekas ustazah, Kamariah Ali, 60.

Panel hakim tersebut bersetuju bahawa keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Tan Sri Md Raus Shariff (kini hakim Mahkamah Persekutuan) bahawa perkara itu terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah mengikut Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa eksklusif kepada Mahkamah Syariah untuk membuat keputusan mengenai perkara berkaitan Islam.

Mahkamah itu menolak rayuan Kamariah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 30 Disember 2005 mengetepikan saman pemula dan permohonannya untuk merujuk persoalan berkaitan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan.

Hakim Azhar berkata, oleh kerana perkara yang dibawa kepada Mahkamah Tinggi ialah murtad maka ia terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, bukan Mahkamah Sivil. – Bernama

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kalau dalam sebuah kerajaan Islam sebenar, bolehkah menuntut hak murtad sesat, kerana dia dulu adalah seorang Islam? Seseorang itu bebas memilih pakej agama. Tetapi bila sudah pilih pakej Islam, kena ikut semua syarat-syaranya. Kalau sudah masuk, tetapi dia ingkar, berpaling tadah, tidak mahu ikut perauran Islam, dia sebenarnya mempermain-mainkan agama, pembelot atau 'musuh dalam selimut' Islam, yang merbahayakan Islam.

Di zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar kaum murtad (hanya kerana tidak mahu bayar zakat selepas kewafatan Nabi SAW) itu diperangi. Sekarang di Malaysia dia menuntut hak, hak apa? Hak dipancung?

Lihat sebelum ini...

Pemukiman PAS, Roadmap To Putrajaya -Abd Hadi


KL 18 Jul 11: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan, pemukiman yang dibuat oleh PAS telah mempersiapkan PAS menghadapi pilihan raya umum akan datang melalui projek Roadmap to Putrajaya.

"Kita telah berbincang panjang berdasarkan kajian dan perbentangan yang dibuat dan kita gembira sekarang kerana mempunyai fokus yang jelas dalam mempersiapkan diri kita menghadapi PRU ke 13," kata Abdul Hadi dalam wawancara khas dengan Harakah dan Harakahdaily hari ini.

Wawancara itu diadakan selepas pemukiman khas yang diadakan oleh PAS selama dua hari bermula 17 Julai hingga hari ini di sebuah hotel dekat Ampang.

Ia melibatkan semua pimpinan utama PAS khasnya AJK PAS Pusat dengan dipimpin oleh Abdul Hadi sendiri. Dalam mencapai hasrat ini, katanya, PAS akan melaksanakan dua pendekatan iaitu memulihkan demokrasi dan memecahkan kebuntuan maklumat bagi mempastikan maklumat sampai ke peringkat akar umbi.

"Pertama kini akan gunakan sepenuhnya sumber tenaga manusia yang kita ada dan kedua menggunakan sepenuhnya saluran media alternatif," kata beliau.

PAS, katanya, akan menggunakan sepenuhnya ahlinya yang berjumlah kira-kira satu juta bagi mempastikan maklumat yang hendak di sampaikan PAS sampai ke bawah. Untuk itu, katanya, PAS akan memperkuatkan jentera di semua peringkat.

"Tentu kita memerlukan tenaga dan wang yang banyak dan yakin ahli kita dapat memberikan sumbangan sewajarnya untuk menjayakan projek ini," kata Abdul Hadi penuh yakin.

Bagi beliau, kejayaan PAS di Kelantan, Kedah dan sebelum ini di Terengganu adalah hasil kekuatan jentera PAS di negeri itu.

"Kita tidak mahu lagi menang hasil dari kelemahan musuh," katanya.

Untuk mencapai hasrat itu juga, katanya, PAS sedang menyusun langkah untuk menggunakan sepenuhnya media alternatif dengan seluas mungkin. Berhubung dengan media, Abdul Hadi meminta orang Melayu khasnya mencontohi kekuatan media di kalangan orang Cina dan India.

"Media berbahasa Melayu tidak mengembangkan minda tetapi terikat dengan agenda pemimpin BN semata-mata. Sebab itu, isu-isu di kalangan orang Melayu tidak ke mana berbanding dengan isu-isu di kalangan orang Cina," katanya.

Beliau merujuk kepada beberapa isu yang sama di kalangan orang Cina yang sangat berkesan namun ia tidak ke mana apabila berlaku di kalangan orang Melayu. Misalnya isu kematian Teoh Beng Hock menjadi isu besar tetapi kematian pegawai Kastam, Ahmad Sarbani yang juga jatuh dari bangunan SPRM tidak ke mana.

Begitu juga kematian Allahyarham Baharudin Ahmad tenggelam di celah asap gas pemedih mata yang ditembak ke dalam kawasan hospital Tung Shin. (IH)

Monday, July 18, 2011

Bersih 2.0: 7 Hari Tempuh Siasat Kematian Baharuddin

KL, 18 Jul 11: Keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad, yang meninggal dunia semasa perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu, memberi tujuh hari kepada kerajaan pusat untuk mengadakan prosiding khas menyiasat punca kematian ahli PAS itu.

Menurut balunya Rosni Melan, 55, tempoh tujuh hari itu berkuat kuasa sejak semalam. Selain itu, Rosni yang juga Ketua Wanita PKR Setiawangsa memberitahu beliau juga berharap agar peserta yang menyaksikan insiden yang menimpa suaminya itu agar tampil memberikan maklumat.

“Kami memohon dan berharap agar saksi-saksi yang berada dan mengetahui apa yang sebenarnya berlaku pada hari itu sehingga menyebabkan kematian beliau tampil menolong kami untuk mencari kebenaran dan keadilan.

“Kami telah membuat laporan polis semalam dan memohon agar satu prosiding khas bagi satu siasatan mengenai kematian beliau dibuat dalam masa tujuh hari dari tarikh laporan dibuat,” katanya pada sidang media di sini.

Jelas Rosni, peguam keluarga juga akan mengambil tindakan susulan sekiranya Putrajaya enggan berbuat demikian. “Peguam kami sedang mengkaji dan akan membuat tindakan susulan dalam perkara ini,” katanya.

Ditanya mengenai langkah polis yang mahu mengadakan pasukan bebas khas untuk menyiasat kematian suaminya, Rosni bagaimanapun enggan memberi sebarang komen berhubung perkara itu. “Tiada komen,” jawabnya ringkas.

Kelmarin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata pihaknya akan mengadakan pasukan bebas khas untuk menyiasat kematian Baharuddin, 56. Ku berkata pasukan itu akan menjalankan siasatan berhubung kematian Baharuddin di Hospital Kuala Lumpur selepas dilaporkan pengsan di kawasan KLCC ketika cuba melarikan diri daripada tindakan polis yang melepaskan gas pemedih mata dan air berasid. (IH)

Hiburan: Seruan Nik Aziz Pada UMNO

Oleh Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

SAYA mengikuti perkembangan yang berlaku di Kedah iaitu yang melibatkan isu arahan penutupan pusat-pusat hiburan sepanjang bulan Ramadhan. Seperti biasa, media massa yang dimiliki oleh UMNO terus menerus menghentam PAS dan melaga-lagakan di antara pimpinan Pakatan Rakyat dalam isu ini.

Utusan Malaysia yang menjadi lidah rasmi UMNO pula mengambil kesempatan untuk membina keyakinan palsu di benak pembaca dengan tajuknya PAS Tunduk Kepada DAP.

Saya kira UMNO sudah lupa bahawa mereka sendiri yang meluluskan Enekmen Hiburan Dan Tempat-tempat Hiburan 1997 yang mana di dalam dalam Jadual C, muka surat 150 dinyatakan dengan jelas syarat am no.8 seperti berikut:

… Jenis-hiburan yang tersebut di atas tidak boleh diadakan pada bulan Ramadhan atau pada hari Jumaat (iaitu, antara jam 6 petang hari Khamis dan jam 2.30 petang hari Jumaat)kecuali izin bertulis daripada Pihak Berkuasa Negeri diperolehi.

UMNO sudah lupa bahawa pada tahun 1997, mereka masih lagi menjadi kerajaan di Kedah dan sehingga tahun 2011 ia baru dikuatkuasakan di bawah pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Layakkah UMNO bertempik sorak pada hari ini kononnya PAS tunduk kepada DAP? Jika demikian, selama ini UMNO tunduk kepada siapa? Simpati sungguh saya kepada kaedah permainan politik kampung yang dimainkan oleh UMNO pada hari ini. Barangkali mereka masih terbawa-bawa dengan politik zaman purbakala yang mengharapkan rakyat di’butatulikan’ pancaindera mereka dengan hanya menerima maklumat sehala sahaja.

Berkali-kali saya nyatakan, PAS sangat berbeza dengan UMNO dalam hal bertahaluf dengan non muslim. Di antara PAS dengan DAP misalnya, PAS sentiasa melontarkan dasar-dasar yang selari dengan prinsip Islam. Berbeza dengan UMNO yang bertempik sakan mahu memelihara Islam, alih-alih bukan sahaja tidak mahu menutup pusat hiburan, bahkan melanjutkan masanya dari jam 2.00 pagi kepada jam 3.00 pagi!

Ini telah diputuskan di Melaka melalui mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Melaka pada 7 Julai 2011. Saya menurunkan kata-kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam ketika mengumumkan perkara ini,

“Keputusan ini diambil sebagai memenuhi permohonan pengusaha terbabit kerana mereka mendapat permintaan pelanggan yang sebahagian besarnya datang bercuti dan mahu berhibur hingga lewat pagi” (Lihat Utusan Malaysia, 8 Julai 2011).

Di Kedah, sewaktu Datuk Seri Azizan mengumumkan bahawa operasi rumah hiburan sepanjang Ramadhan 100% untuk bukan Islam, dan penarikan lessen serta merta akan dilakukan jika terdapat pengunjung muslim, Utusan Malaysia melompat tinggi melatah seolah-olah langit sudah runtuh. PAS dikatakan tunduk kepada DAP sedangkan apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri Kedah ialah memberikan hak kepada bukan Islam dan juga memastikan umat Islam terhindar daripada perkara-perkara yang menjejaskan ibadah sepanjang bulan itu.

Namun apabila kerajaan negeri Melaka mengumumkan untuk melanjutkan tempoh operasi pusat hiburan, di mana Utusan Malaysia? Di mana NGO-NGO yang hebat membela Islam? Sudah hilangkah darah segala pendekar Melayu yang siap mengatur pencak membela kesucian agama mereka?

Hakikatnya, UMNO tidak pernah meletakkan akhirat menjadi agenda dalam perjuangan. Di mana-mana sahaja tempat UMNO berkuasa dan menjadi majoriti, tidak pernah agenda Islam menjadi keutamaan. Berbeza dengan PAS yang ditohmah menjadi alat DAP, PAS mengambil ruang dan peluang yang ada untuk sentiasa melontarkan dasar yang selari dengan Islam. Di Melaka, siapakah yang menjadi majoriti jika bukan UMNO? Jika PAS dikatakan menjadi alat DAP, UMNO alat siapa? Alat nafsu?

Sayangnya, UMNO menjadi majoriti langsung tidak menguntungkan Islam. Barangkali itulah sebabnya tangan mereka sentiasa menggapai PAS. Saya katakan, turun sahajalah UMNO dari takhta kuasa, bertenggek di situpun tiada apa yang boleh ditumpang bakti.

Apapun, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri Kedah. Usah dipeduli nista dan cerca pihak yang berkokok berderai-derai dengan ekor yang memalukan.

Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan Darul Naim.

Bertarikh: 18 Julai 2011

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails