Monday, February 14, 2011

Abu Bakar Biaya Pengganas Tubuh Negara Islam?

Abu Bakar Bashir dituduh lagi...

JAKARTA, 14 Feb 11: Ulama radikal Abu Bakar Bashir merancang mewujudkan negara Islam menggunakan apa jua cara termasuk keganasan, bermula dengan latihan paramilitari di Acheh, kata pasukan pendakwa raya hari ini.

Seorang pendakwa raya memberitahu mahkamah bahawa sekitar Julai 2009 Abu Bakar ada memberitahu pengikutnya bahawa “sebelum melakukan jihad, kita mesti menguasai sebuah wilayah, walaupun kecil tetapi memiliki kawalan penuh.”

Kertas tuduhan 250 halaman dibacakan di Mahkamah Daerah Jakarta Daerah pagi ini.

Abu Bakar (gambar) dituduh menghasut pengikutnya melakukan rompakan dan pembunuhan, untuk mendapatkan dana yang diperlukan bagi membiayai aktiviti jihad yang dikenali sebagai “fa'i” dan juga aktiviti keganasan.

“Defenden mengatakan... fa'i dilakukan ke atas orang kafir dan kerajaan yang penganutnya Islam tetapi tidak mengamalkan (prinsip) syariah,” kata salah seorang daripada 13 pendakwa raya Muhammad Taufik.

Bagi mewujudkan negara Islam, Abu Bakar menyarankan tindakan keganasan menggunakan senjata yang digunakan oleh musuh mereka termasuk senapang dan bom, katanya.

“Tujuan kegagasan ialah mewujudkan suasana panik dan untuk memecah belah rakyat dan kerajaan yang memerintah, sekali gus membuka laluan kepada usaha mengambil alih kerajaan,” katanya.

Kertas tuduhan menyebut yang Abu Bakar meluluskan perancangan yang dirangka oleh militan Dulmatin, Ubaid dan Abu Tholut untuk menjalankan kajian di Acheh dan menyediakan dana awal Rp 15 juta bagi tujuan tersebut.

Ulama itu juga dituduh menghubungi penderma-penderma bagi kem latihan di Acheh dan telah menghimpunkan sekurang-kurangnya Rp 1 bilion untuk membeli senjata dan untuk membiayai kem di wilayah itu. (IH)

Canselor Univ Industeri: Isteri PM Ditukar...



Masjid Universiti Industri Seangor

SHAH ALAM 14 Feb 11: Pro-canselor Universiti Industri Selangor Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dipilih menggantikan isteri perdana menteri Rosmah Mansor sebagai canselor baru universiti milik kerajaan negeri itu.

Menurut sumber, pelantikannya akan berkuatkuasa pada 21 Februari depan dan beliau dijadual menerima watikah daripada Sultan Selangor pada sebelum 9 Mac ini. Pelantikan itu dijadual diumumkan oleh exco pendidikan negeri Dr Halimah Ali di bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri di Shah Alam pada jam 3.30 petang ini. (IH)

Lihat kehebatan isteri PM ini..
E-Buku IH-29: Rosmah Mansur Bakal PM Wanita M'sia?
E-Buku IH-29: Rosmah Mansur Bakal PM Wanita M\

Sindiket Jerat Sembang Internet Dibongkar,


PENGGUNA

KL 14 Feb 11: Kini sindiket jerat sembang internet telah dibongkar. Lima ahli sindiket yang menyamar rakan sembang di beberapa laman sosial sebelum ‘menjerat’ mangsa dengan kata-kata cinta sejak lebih setahun lalu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di taman perumahan elit di Kepong, di sini, pagi kelmarin. Lapor myMetro hari ini.

Modus operandi sindiket terbabit yang terdiri daripada warga Nigeria, Thailand, Filipina dan warga tempatan berusia antara 20-an hingga 40-an termasuk tiga wanita itu dan seorang daripadanya baru melahirkan anak ialah melayan seberapa ramai pelayar dalam laman sosial di Internet menggunakan ayat-ayat cinta dengan tujuan memikat mangsa. Mereka akan menyamar sebagai kenalan dari luar negara.

Apabila mangsa sudah terpikat dan mabuk ‘cinta’, mereka akan memperdaya mangsa kononnya hendak menghantar barangan berharga sebagai tanda cinta. Ketika proses penghantaran itu akan muncul pula ahli sindiket sama menghubungi mangsa dengan memaklumkan barangan yang dihantar ‘tersangkut’ di lapangan terbang dan perlu membuat bayaran tertentu jika mahu barangan berkenaan dihantar terus kepadanya.

Menurut sumber, rumah mewah yang disewa sindiket terbabit diserbu sepasukan anggota termasuk pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman kira-kira jam 11 pagi kelmarin.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket terbabit menjadikan rumah teres tiga tingkat itu sebagai markas utama kegiatan mereka, malah seorang wanita yang juga ahli sindiket itu masih berpantang berikutan baru melahirkan anak dua minggu lalu, namun masih melayari laman sembang bagi memerangkap mangsa terbaru. (IH)

Kami Rindu Ustaz Hadi Yang Tegas Berkarisma -YB PAS


YB Iskandar Abdul Samad, Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan & ADUN Chempaka, Selangor D.E.

KL 14 Feb 11
: "KAMI amat merindui akan Ustaz Hadi yang tegas dan berkarisma (seperti) pada tahun-tahun 80'an dan 90'an. PAS perlu menjadi jurubicara ummah, tetapi sekarang ini dilihat hanya sebagai pelakon tambahan. Sekadar untuk membekalkan tenaga-tenaga kerja bila ada demonstrasi atau pilihan raya kecil."

Demikian kenyataan YB Iskandar Abdul Samad Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan & ADUN Chempaka, Selangor D.E., seperti tercatat dalam blognya 'Direct Free Kick', Sabtu lepas.

Sebelum itu katanya, "Percanggahan pendapat secara terbuka oleh pemimpin-pemimpin PAS akan hanya menyebabkan PAS kurang dihormati oleh rakan-rakan Pakatan. Lebih parah lagi jika berlaku hentam menghentam. PAS akan dianggap sebagai parti yang berpecah belah dan tidak bersatu. Presiden PAS perlu bertindak dan tidak hanya berdiam diri seperti sekarang. Disiplin dalam parti sudah seperti tidak wujud lagi." Tulisan di bawah tajuk 'Presiden PAS mesti tegas'

Terdapat 4 comments dalam blog itu sehingga ini..
Anonymous said...
YB Iskandar yg dihormati; Siapa sebenarnya Presiden PAS,Ust Hadi atau Mustaffa Ali........

Ibrahim Mohd Raja, Mantan YDP PAS Kaw Batu WP K.Lumpur
Anonymous said...
Entahlah. Aku nampak TGNA (Nik Aziz) lebih cekap pilih pembantu. Semuanya orang muda. Dia nampak relaks saja. Sekejap-sekejap ada idea baru orang tua tu. Bagi duit kat pelajar Mesir la, Saman Petronas la, dinar Kelantan la.

Tapi TGHH ni pembantu dia semua dah pencen. Lntik Mustapha Ali jadi SU. Lantik Ustaz Halim jadi pengarah pilihanraya. Nak harap kat Ustaz Idris sorang, tak terlarat kawan tu. Yang timbalan Presiden pun satu. Tak boleh nak jadi pembantu presiden. Asyik dok bergantung kat jubah presiden saja. Kesian aku tengok kat TGHH.
veteran pas said...

yb iskandar.. sebenar selain dr presiden,PJ selangor perlu di tukar dengan serta merta.PJ selangor terlalu lemah peringkat parti,spt tim presiden. permikran PJ selangor tidak selari dengan ahli pas peringkat bawahan kecuali pemimpin kawasan dan YB pas selangor(semua telah di "motivasi" kan oleh PJ.).sedarla hakikat ini.jangan bermesyuarat dgn pemimpin kawasan saja,tanya kami kader pas ini.

Anonymous said...
Cara YB tidak tepa, dan bukan saluran; http://iskandar56100.blogspot.com/2011/02/umno-gagal-sebagai-kerajaan-umno-gagal.html

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Weblog ini hanya menyambung suara rakyat, supaya pemimpin (semua pemimpin PAS) sekurang-kurangnya dapat membaca pemikiran pengikut-pengikut mereka.

Lihat ini..
E-Buku IH-31: Minda Baru PAS?
E-Buku IH-31: Minda Baru PAS?

DUN Sarawak Bubar Hujung Minggu Ini?

Taib Mahmud
KL, 14 Feb 11: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dijangka mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Jumaat ini untuk mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri, kata sumber-sumber.

Menurut sumber Astana Sarawak, pejabat ketua menteri telah pun menghubungi minggu lalu untuk mendapatkan tarikh pertemuan dengan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng bagi pembubaran, yang akan membuka laluan kepada pilihan raya negeri.

Satu lagi sumber kerajaan negeri berkata pegawai-pegawai daerah juga telah diminta agar membekukan cuti kakitangan mereka mulai 19 Februari ini iaitu kemungkinan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Jika Dewan Undangan Negeri dibubarkan bulan ini, kemungkinan pilihan raya akan diadakan akhir Mac atau awal April. Mandat semasa kerajaan negeri sepatutnya berakhir Julai ini dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari jika pembubaran diputuskan.

Difahamkan pilihan raya negeri Sarawak akan didahulukan dan dijangka berlangsung awal April ini atau kemungkinan akhir Mac. Mesyuarat Dewan Tertinggi BN Jumaat lalu turut membincangkan beberapa persediaan sebelum parti itu mengadakan Konvensyen BN Sarawak di Kuching pada 5 Mac ini.

Taib pula akan menyambut ulang tahun ke-30 mengetuai kerajaan negeri pada 26 Mac ini dan kemenangan kali ini akan menjadikan beliau ketua menteri paling lama berkhidmat. Taib dikatakan berhadapan dengan tekanan daripada rakan-rakan dalam BN agar berundur ekoran kemerosotan popularitinya di sebalik dakwaan salah guna kuasa.

Kemenangan DAP dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu Mei lalu, dilihat sebagai referendum ke atas kepimpinan Taib, telah menyebabkan BN mula bimbang mengenai tapak pengaruhnya di Sarawak, negeri yang selama ini dilihat sebagai deposit hayat perikatan itu.

BN Sarawak mempunyai 63 wakil di Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 71 kerusi dengan 35 dimenangi PBB, 12 dipegang Parti Rakyat Bersatu Sarawak dan lapan masing-masing oleh Parti Rakyat Sarawak dan Parti Demokratk Progresif Sarawak. Daripada baki lama kerusi, DAP mempunyai enam, PKR satu dan Bebas satu.

SPR mengumumkan kesediaan negeri itu mengadakan pilihan raya negeri Sarawak bila-bila masa dengan berkata pihaknya sudah lama membuat persediaan. BN dijangka mengekalkan negeri itu dengan majoriti selesa meskipun ada yang mengatakan DAP kemungkinan boleh memperoleh lebih banyak kerusi di kawasan-kawasan bandar.

Kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri hujung minggu ini, “Kami sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya negeri,” kata seorang pemimpin DAP negeri. (IH)

Bubar Parlimen, Gantung Perlembagaan -Tentera Mesir

SEJUMLAH penunjuk perasaan membawa bendera Mesir di Dataran Tahrir, Kaherah semalam.

KAHERAH, 14 Feb 11:
Pemerintah Tentera Mesir telah membubarkan parlimen dan menggantung perlembagaan negara itu, dalam pengumuman perubahan drastik demokrasi negara itu. Ianya dibuat berdasarkan refrendum popular yang diterima mereka.

Dalam pengumuman terbaru mereka semalam, pemimpin tentera yang menjalankan pemerintahan sementara selepas Hosni Mubarak dijatuhkan, berkata mereka akan memerintah Mesir dalam tempoh enam bulan atau sehingga pilihan raya parlimen dan presiden baru diadakan.

Mereka juga memaklumkan, Perdana Menteri, Ahmed Shafik akan terus mengetuai kerajaan sementara Mesir. Perkembangan terbaru itu memberi harapan baru buat rakyat Mesir yang masih lagi meneruskan protes mereka hari ini. Difahamkan beberapa orang daripada mereka ditangkap apabila bertembung dengan pihak tentera semalam.

Jumaat lalu, Mubarak akhirnya berundur selepas akur dengan tekanan rakyat yang mengadakan demonstrasi mendesak beliau meletak jawatan. (IH)

Lihat secara keseluruhan..
E-Buku IH-30: Ke Arah T/Tengah Yang Islamik?
E-Buku IH-30: Ke Arah T/Tengah Yang Islamik?

Dr Asri: M'sia Boleh Jadi Spt Mesir. Internet, Facebook & Twitter...


asri jais record statment colum upacara telan air ludah ustaz 100410 pc
KL 14 Feb 11: Tidak mustahil kuasa rakyat yang menumbangkan Presiden Hosni Mubarak di Mesir berlaku di Malaysia jika penduduk negara ini tidak tahan dengan kekangan dan penindasan.
Tegas Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainol Abidin.

TV Selangor memetik beliau berkata, walaupun Malaysia jauh makmur berbanding Mesir, namun, rasa tidak puas hati rakyat boleh dicetuskan oleh aspek lain seperti kebebasan bersuara yang terhakis.

"Dari segi kemiskinan kita tak sama, Mesir ada 42 peratus rakyat di bawah taraf kemiskinan. Dari segi faktor yang menyumbang ruang seperti Internet, mungkin Malaysia lebih.

“Tapi ketidakpuasan hati rakyat itu berbeza mengikut negara. Negara miskin mungkin tak puas hati kerana tak ada makanan. Negara yang lebih 'educated' mungkin tak puas hati kerana tiada kebebasan menyuarakan pendapat," katanya.

Justeru Asri berkata, mana-mana kerajaan termasuk di Malaysia terdedah kepada menghadapi kuasa rakyat di jalanan jika terlampau mengekang dan menindas penduduk khususnya bersabit hak asasi mereka.

Internet: Pengajaran Dari Mesir

Asri berkata Mesir menjadi contoh bagaimana sebuah kerajaan kuku besi dijatuhkan semata-mata menerusi penduduk yang tidak menggunakan kekerasan, mereka hanya berbekal tekad dan iltizam untuk mengubah nasib mereka.

"Kalau ada faktor-faktor tidak puas hati itu merebak ke dalam rakyat, saya rasa tak mustahil perkara yang sama boleh berlaku. Kerana kejadian perubahan di Mesir beri pengajaran kepada semua pemerintah bahawa perubahan boleh berlaku bukan dengan cara dulu tapi dengan cara baru, kuasa rakyat turun di jalan tanpa senjata, tanpa peluru dan hanya menzahirkan pendapat mereka," katanya.

Asri menegaskan pengaruh Internet dan keluhan generasi muda tidak boleh diambil ringan dalam era globalisasi sebagaimana yang terbukti dalam kes Mesir.

"Bermula dari mereka dididik untuk meluahkan perasaan di facebook, di blog mereka, mereka luahkan di jalan raya. Tak perlu nak rosakkan harta awam, tetapi mereka turun demi kepentingan rakyat beramai-ramai. Tentera dilatih hadapi orang bersenjata tapi dilatih hadapi rakyat tak bersenjata. Jadi mereka terpinga-pinga di hadapan kuasa rakyat yang tak bersenjata," kata Asri.

Lewat malam Jumaat lalu, kerajaan Mubarak tumbang apabila melancarkan tunjuk perasaan dan demonstrasi jalanan berterusan kerana hilang kepercayaan ke atas pentadbiran presiden itu yang didakwa dicemari rasuah dan salah guna wang rakyat .

Dengan menggunakan rangkaian media seperti Facebook dan Twitter, sentimen anti kerajaan menular dengan luas ke seluruh negara ibarat api yang merebak. Tindakan selama 18 hari itu berjaya menyaksikan Mubarak akhirnya tunduk dan meletakkan jawatan.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Shah Iran dijatuhkan dengan revolusi rakyat dan kaset-kaset ceramah Ayatullah Khomeini, maka Presiden Mubarak di Mesir juga dijatuhkan melalui Revolusi, media Internet, Facebook dan Twitter. (IH)

Lihat secara keseluruhan..
E-Buku IH-30: Ke Arah T/Tengah Yang Islamik?
E-Buku IH-30: Ke Arah T/Tengah Yang Islamik?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails