Monday, April 05, 2010

Doktrin Bush Rumah Putih via Dagang S'tegik -B/Pulau


KL, 5 April 10: Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof merasakan akan wujud Doktrin Bush dari Rumah Putih melalui pembentangan Undang-Undang Perdagangan Strategik 2010 yang disifatkannya agak tergesa-gesa oleh kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya memperkasa sektor keselamatan rakyat bukannya sektor keselamatan negara.

"Apabila bercakap (soal) keselamatan, kerajaan bukannya berbincang soal keselamatan negara (semata-mata) tapi kena memperkukuh keselamatan rakyat," ujarnya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perdagangan Strategik 2010 untuk bacaan kali yang kedua di Dewan Rakyat petang ini.

Sehubungan itu, beliau menganggap sikap tergesa-gesa membawa undang-undang tersebut, seolah-olah mahu memperkukuhkan kedudukan kerajaan. "Rang undang-undang ini bukan untuk rakyat, lebih untuk memperkukuhkan kerajaan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kerajaan sepatutnya memperbaiki masalah kepincangan kerajaan, seperti kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E, rasuah dan ketirisan dalam pengurusan kewangan sendiri. Sekiranya tidak berbuat demikian, Undang-Undang Perdagangan Strategik 2010 boleh memberi imuniti kepada mereka yang terbabit.

"Kalau tidak ada kebertanggungjawaban dan liabiliti, Seksyen 54 (Undang-Undang Perdagangan Strategik 2010) memberi imuniti kepada pegawai tertentu kerajaan.

"Dengan adanya undang-undang ini, saya rasa akan wujud Bush Doktrin dari Rumah Putih. Iran dan Iraq diserang, tetapi di sana dikenal pasti ada senjata nuklear akhirnya," jelasnya.

Senada dengan Yusmadi, Dr. Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Liew Chin Tong (Bukit Bendera), Tian Chua (Batu) menganggap inisiatif tersebut dibuat secara tergesa-gesa demi memuaskan kepentingan pihak tententu di Rumah Putih, Amerika Syarikat. (AK)

Kencing Tikus Boleh Bawa Maut?


Tikus mula aktif seks seawal usia enam minggu dan boleh melahirkan sehingga 170 ekor anak sepanjang hayatnya. - Gambar hiasan

Seorang petugas Zoo Negara mengusap tikus terbesar 'Capybara' baru-baru ini. - Gambar hiasan

Dr Intan

BANYAK pihak terkejut apabila deejay dan personaliti radio dan televisyen popular, Din Beramboi dilaporkan terpaksa dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang setelah dipercayai dijangkiti kuman kencing tikus baru-baru ini.

Pelbagai teori tiba-tiba muncul apatah lagi Din jatuh sakit beberapa hari selepas dia menjalani penggambaran di Zoo Negara. Bagaimanapun, Din disahkan meninggal dunia akibat demam denggi berdarah. Jangkitan kuman kencing tikus atau leptospirosis yang jarang berlaku itu dipercayai menular daripada haiwan kepada manusia dan kebiasaannya terjadi secara kebetulan.

Menurut Pakar Perunding Veterinar, Dr. Intan Suriati Abdul Manaf, leptospirosis ialah penyakit berjangkit disebabkan bakteria Leptospira sp. yang sangat tipis dan berbentuk pilin seperti mata gerudi. Bakteria Leptospira juga boleh hidup dalam air tawar selama sebulan malah ia juga boleh membiak di air masin.

170 anak

“Banyak haiwan yang boleh menjadi pembawa kepada bakteria Leptospira, tidak kira ia haiwan peliharaan seperti kucing, arnab, lembu, babi, kuda, anjing dan haiwan liar lain seperti rakun dan serigala.

“Bagaimanapun, tikus dikesan sebagai penyebar utama bakteria ini kerana kitaran hidupnya yang suka makan dan tinggal di tempat kotor (menjadi tempat bakteria Leptospira membiak).

“Iklim negara yang lembap menjadi faktor terbaik kepada pembiakan bakteria ini. Malah, pada suhu sederhana ia boleh hidup lebih lama,” katanya.

Tambah Intan, kitaran hidup tikus yang cepat membiak dan sukar dikawal membantu penyebaran bakteria dengan lebih meluas.

“Jangka hayat tikus betina adalah di antara dua dan tiga tahun tetapi ia sudah boleh bunting dan aktif seks hanya dalam tempoh enam minggu.

“Setiap kelahiran, tikus boleh melahirkan lima hingga tujuh ekor anak tikus. Tikus betina boleh bunting sebaik melahirkan anak,” kata Intan.

Secara purata, dalam kitaran hidup seekor tikus betina, ia boleh bunting sehingga 28 kali dan melahirkan sehingga 170 ekor anak. Tikus gemarkan sampah dan air bertakung seperti di lorong belakang hotel terkemuka, kolong bawah tanah hinggalah ke petak sawah atau kandang kuda. Rumah yang dijaga rapi juga tidak terkecuali daripada menjadi sasaran makhluk perosak tersebut.

“Bakteria Leptospira akan tersebar melalui cecair yang dikeluarkan oleh tikus seperti air kencing, air liur, darah, air mani dan najis.

Rumput

“Malah, tikus betina yang bunting boleh memindahkan bakteria tersebut kepada anak dalam kandungannya.

“Bakteria daripada kencing tikus juga boleh tersebar melalui air atau tanah. Menyentuh pokok atau tanah lembap yang tercemar juga boleh memindahkan bakteria kepada manusia.

“Oleh sebab itu, saya mengesyorkan pemakaian sarung tangan sewaktu melakukan kerja-kerja berkebun dan basuh tangan menggunakan antiseptik,” kata Intan.

Menurut beliau, jangkitan terus bakteria Leptospira daripada tubuh tikus jarang dilaporkan sebaliknya terjadi apabila haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing meminum air dari lopak yang sudah dicemari dengan kencing tikus.

“Kebiasaannya kucing yang meminum air dari tempat bertakung yang telah dicemari kencing tikus berisiko tinggi untuk mendapat leptospirosis.

“Pemilik kucing yang membersihkan kucing dan tersentuh dengan kencing, air liur, tisu atau permukaan lembap lain juga akan terdedah kepada jangkitan ini,” ujarnya.

Gerudi

Simptom penyakit hanya akan muncul dalam masa empat hingga 12 hari selepas kuman atau bakteria Leptospira menjangkiti haiwan atau manusia.

“Lazimnya, bakteria ini boleh memasuki badan manusia melalui luka atau tisu lembut seperti dalam mulut, hidung atau mata. Jika kita pegang haiwan yang dijangkiti leptospirosis dan makan tanpa mencuci tangan, bakteria tersebut akan turut memasuki tubuh sebelum memasuki saluran darah.

“Bakteria ini akan menggerudi sel-sel dalam badan termasuk hati dan buah pinggang. Malah, dua organ tersebut adalah lokasi utama pembiakan bakteria ini.

“Akibatnya, sel-sel organ penting haiwan yang diserang bakteria ini akan rosak dan gagal berfungsi manakala pembuluh darah akan pecah sehingga membawa kepada kencing berdarah,” jelas Intan.

Dalam kes serius, leptospirosis boleh menyebabkan kematian. Tahap jangkitan berbeza antara individu atau haiwan mengikut daya ketahanan masing-masing.

“Sukar untuk mengenal pasti jangkitan ini pada peringkat awal kerana simptom yang ditunjukkan sangat umum.

“Pemeriksaan terperinci melibatkan ujian makmal, ujian darah, analisis air kencing dan beberapa ujian lain perlu dilakukan sebelum mengetahui ia berpunca daripada Leptospira,” ujarnya.

Kata Intan, simptom akan menjadi lebih serius apabila penyakit memasuki fasa kedua dan ketiga kerana ia boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang dan kerosakan hati.

“Apabila dijangkiti, biasanya bakteria Leptospira mengambil masa sekitar 10 hari untuk sampai ke organ penting sebelum menimbulkan gejala.

“Dalam tempoh ini, rawatan sewajarnya perlu diberikan untuk mengelak komplikasi tidak diingini,” kata Intan.

Seperti jangkitan bakteria lain, leptospirosis boleh dirawat dengan mengambil antibiotik seperti penisilin, streptomisin, eritromisin, tetrasiklin dan doksisiklin.

“Kos ujian mengenal pasti bakteria Leptospira tinggi sehingga menyebabkan kebanyakan pemilik haiwan yang dijangkiti kuman itu hanya mengambil rawatan berdasarkan simptom yang ditunjukkan haiwan peliharaan mereka.

“Untuk tujuan itu, antibiotik adalah pilihan utama namun ia tidak akan membunuh bakteria itu sepenuhnya sebaliknya hanya meredakan simptom jangkitan seperti demam panas, muntah, cirit-birit atau demam kuning.

“Malah selepas tiga bulan ia sihat secara klinikalnya, bakteria itu masih ada di tubuhnya,” jelasnya. (AK)

Untuk hadap serangga perusak, sila dapatkan khidmat nasihat dari..

  • http://diytermites.blogspot.com/search/label/Produk

Pelacuran Di Sabah: 'Kuasa Ghaib' Nafikan? Syabas sk!

Sunday, April 4, 10: KESUNGGUHAN Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim mengarahkan Pegawai Kanannya menjalankan siasatan rapi berhubung kes pelacuran yang disiarkan NTV7, amat membanggakan rakyat Sabah sekalipun kelihatan seolah-olah diarah oleh ‘Kuasa Ghaib’ yang menafikan ketepatan laporan NTV7.

Polis Sabah amat sinonim dengan bidalan bagaikan ‘penyamun menangkap pencuri’ seringkali melakukan amalan sonsang dengan menyiasat mereka yang membuat laporan dan membiarkan ‘penjenayah’ lepas bebas untuk merasuah polis bagi menutup kes berkenaan.

Walaupun dikatakan bagi memenuhi Standard Operation Prosedur (SOP), namun SOP yang dilakukan polis lebih kepada ‘menghukum dan memaksa mangsa’ mengaku salah atau ‘menutup kes’ yang dilihat sebagai mengkhianati amanah jabatan yang mendapat tauliah ‘Di Raja’.

Sabahkini.net, salah satu portal yang sering dimangsakan polis kerana laporan yang tepat dan sarat dengan bukti namun disifatkan sebagai ‘Fitnah’ oleh Polis Sabah yang gemar menjatuhi hukuman sebelum dihadapkan ke Mahkamah Undang-Undang.

Sebelum ini dilaporkan Polis Sabah begitu tekun menjalankan siasatan terhadap Editor Sabahkini.net berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh adik Datuk Seri Shafie Apdal, Hamid Haji Apdal berhubung artikel beliau mengenai Tun Sakaran Dandai; yang disifatkan cuba menutup latar belakang Tun Sakaran yang berasal daripada Indonesia dan mendapat kerakyatan Malaysia secara 'songsang.'

Lazimnya, jika seseorang ‘mangsa’ merasakan beliau difitnah, maka beliau hanya perlu membuat laporan polis dan membawa kes berkenaan ke Mahkamah; namun dalam kes Tun Sakaran, polis telah menyalahguna kuasa mereka dengan menyiasat Mutalib M.D sedangkan ‘penjenayah’ sebenar ialah Tun Sakaran yang telah memalsukan keterangan diri untuk membolehkannya menjadi Adun, Menteri, Ketua Menteri dan Yang Di Pertua Negeri Sabah.

Begitu juga dalam kes Tingkayu, para penulis Sabahkini.net sentiasa diburu dengan ancaman dan ugutan pegawai kanan polis; sedangkan penjenayah sebenar bebas dan terus melakukan jenayah di Tingkayu tanpa sebarang ‘halangan’ daripada Jabatan Siasatan Jenayah yang diketuai oleh seorang berpangkat ASP tetapi lebih berkuasa daripada DSP.

Kenapa Datuk Noor Rashid tidak menangkap Mantan Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar yang secara terang dan tanpa berselindung mengatakan; 40% polis Malaysia boleh ditangkap tanpa bicara kerana mereka terlibat dengan rasuah! Bukankah ini satu ‘Fitnah’?

Dalam pendedahan terbaru berhubung Skandal GRO dan Pelacuran di Labuan, Datuk Noor Rashid tidak berminat untuk mengarahkan pegawainya menjalankan kajian kerana Labuan, mungkin kerana Labuan bukanlah kawasan Ketua Menteri Sabah.

Senario ini agak mengejutkan kerana pihak berkuasa menutup mata berhubung pendedahan Sabahkini.net; terutama penglibatan seorang tokoh politik PBS, Peter, menjadi agen untuk menguruskan kemasukan dan menjamin lebih 1,000 orang GRO Filipina sebagai ‘Pelayan’ tetapi menjalankan tugas sebagai ‘Pelacur’ di semua pusat hiburan di Labuan.

Polis turut memainkan peranan menukarkan Labuan daripada Pusat Pelancongan dan IOFC kepada ‘Pusat Pelacuran‘ atau ‘Little Manila’ kerana gagal mengambil tindakan dan menguatkuasa undang-undang.

Sampai bilakah Polis Sabah akan mengamalkan SOP yang betul dan tidak sesuka hati menahan pembayar cukai tanpa reman dan menjatuhi hukuman sebelum di hadapkan ke mahkamah?

Anehnya, Polis Lahad Datu yang mendapat ranking ke-5 terbaik di seluruh Sabah takut untuk menangkap dan mendakwa seorang lelaki asing yang mendapat kad pengenalan projek walaupun laporan polis dan doktor telah diserahkan kerana mencederakan seorang pekerja wanita tempatan di khalayak ramai?

Rata-rata warga Lahad Datu bertanya, apakah Lahad Datu mengamalkan 'Bebas Tangkapan' bagi penjenayah sehingga rakyat beranggapan tidak guna lagi membuat laporan polis disebabkan penjenayah boleh melarikan diri ke Indonesia atau Filipina sebelum polis membuat siasatan atau tangkapan? (Oleh HAFIZ JAMAIL Sabahkini)

Komen Blog Ibnu Hasyim
: Syabas Sabah Kini. Tahniah atas usaha, gigih dan keberanian pihak tuan!. (AK)

APCO Ceroboh Negara, Raja Dirayu Campur Tangan.

KL, 5 April: Majlis Raja-raja Malaysia dirayu untuk campur tangan dalam pembabitan syarikat perunding antarabangsa APCO Worldwide (APCO) dalam pentadbiran negara kerana ia disifatkan mengajak orang luar ceroboh negara.

Mewakili Ahli Parlimen PAS, Nasharuddin Mat Isa (Bachok) berkata, perlantikan APCO tersebut seolah-olah mendedahkan keselamatan negara pada pihak asing.

"Kita minta Majlis Raja-Raja segera campurtangan (supaya) perjanjian ini dibatalkan kerana ia (seolah-olah) mengajak orang luar menceroboh Malaysia)," jelas beliau dalam suatu kenyataan media di Pejabat Majlis Penyimpan Mohor Raja-Raja Malaysia.

Beliau turut menafikan bahawa insiatif Ahli Parlimen PAS tersebut bertujuan untuk strategi politik sempena pilihan raya kecil di Hulu Selangor tidak lama lagi. Nasharuddin yang juga Timbalan Presiden PAS memaklumkan kepada Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja Malaysia, Datuk Sabtu Awwab bahawa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim Selasa lalu di Dewan Rakyat bahawa APCO mempunyai hubungan langsung dengan beberapa pemimpin strategik Zionis Israel.

Tambahnya, perlantikan APCO sebagai syarikat perundingan komunikasi nasional boleh mendedahkan keselamatan dalam negara kepada pihak luar. Kata Nasharuddin lagi, Sabtu berkata, YM Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah, Penyimpan Mohon Besar Raja-raja Malaysia tidak boleh menyertai majlis tertutup tersebut kerana uzur.

Ujar Nasharuddin lagi, Sabtu telah menerima memorandum yang diserahkannya itu hari ini bagi pihak Ungku Ibrahim. Sabtu berjanji untuk memanjangkan hasrat Ahli Parlimen PAS pada Majlis Raja-Raja Malaysia kelak. (AK)

2,780 Dera Anak, Puteri UMNO Masih Tak Ketahuan?

ROSNAH (dua dari kanan) beramah mesra dengan Chan Hui Xin, 7, ketika melawat Wad Pediatrik HKL selepas melancarkan Kempen Hidup Amat Berharga di Kuala Lumpur semalam.

KL APRIL 05, 10: Sebanyak 2,780 kes penderaan kanak-kanak dicatatkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat tahun lalu. Menurut Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, penderaan emosi, fizikal dan seksual itu meningkat berbanding 1,685 kes pada tahun 2008.

Menurut beliau, statistik itu tidak termasuk pelbagai kebejatan sosial lain seperti pembuangan bayi, sumbang mahram, pelacuran dan eksploitasi kanak-kanak.

"Apakah puncanya, adakah kurang didikan atau kasih sayang, jawapannya pasti ada pada kita semua dan penawarnya mesti segera dicari," katanya ketika merasmikan Kempen Hidup Amat Berharga yang bertemakan 1Malaysia 1Jiwa 1Cinta di Wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Sudah rasmi 'Kempen Hidup Amat Berharga' pun tak ketahuan punca lagi? Jawapan sebenarnya, kerajaan perlu kembalilah kepada cara hidup Islam. Politik, ekonomi, sosial dan seluruhnya. Kalau tidak, itulah hadiah UMNO kepada rakyat sepanjang setengah abad pemerintahannya. (AK)

Wanita Urut Lelaki L/Biasa -Bhg Agama Sila Siasat!

TERIMA TEMPAHAN...Lia menerima panggilan telefon daripada  pelanggan lelaki yang mahukan perkhidmatan urutan batin.
Lia menerima panggilan telefon daripada pelanggan lelaki yang mahukan perkhidmatan urutan batin.

APRIL 05, 10. KL myMetro: 'Saya bukan pelacur'

DIA
cukup dikenali di kalangan artis lelaki tempatan termasuk pelakon dan penyanyi daripada program realiti serta golongan korporat kerana kepakarannya memulihkan masalah lemah tenaga batin. Wanita ini bukan calang-calang tukang urut kerana mendakwa mempunyai kepakaran khusus bagi menambah kekuatan syahwat lelaki berikutan ilmu dipelajari melalui beberapa `guru’ berpengalaman.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Lia, 43, mendakwa langsung tidak berasa jijik terhadap kerja dilakukan dengan alasan tugasnya hanya untuk membantu lelaki yang menghadapi masalah lemah tenaga batin. Lebih mengejutkan, apabila suaminya yang bekerja di sebuah badan berkanun langsung tidak mengetahui aktiviti dilakukan kerana menyangka wanita terbabit sekadar bekerja sebagai bidan serta tukang urut wanita baru bersalin.

Lia berkata, kerjayanya sebagai tukang urut bermula kira-kira 12 tahun lalu selepas diajak bekerja oleh rakannya di sebuah pusat urutan di Pandan Jaya, Ampang. Menurutnya, dia yang ketika itu masih muda dan naif tertarik dengan pekerjaan itu selepas ditawarkan pendapatan sehingga RM2,000 sebulan.

“Saya mulanya menyangka ia sekadar urutan tradisional biasa, namun terkejut apabila pemilik pusat urutan tradisional terbabit memberitahu saya perlu melakukan urutan batin bagi mendapatkan lebih komisen.

“Walaupun kekok dan malu, selepas diajar serta diberikan `kelas’ bimbingan oleh beberapa pekerja senior, saya mulai biasa dengan tugas itu,” katanya selepas dipujuk wartawan menceritakan pengalaman kerjayanya.

Menurutnya, bagi setiap bayaran urutan batin dilakukan, pelanggan membayar tambahan RM50 selain kos urutan RM60.

“Daripada bayaran RM50 bagi urutan batin, saya menerima komisen RM20 manakala baki RM30 lagi diambil tauke.

"Ada kalanya ada pelanggan lelaki datang bukan untuk mengurut badan, namun semata-mata untuk merasai urutan batin hingga sanggup membayar sekali ganda harga perkhidmatan ditetapkan,” katanya.

Namun, selepas bekerja selama lima tahun, dia berasakan kerjayanya seolah-olah dikongkong, apatah lagi dengan gaji yang masih di takuk lama selain keuntungan diperoleh hasil komisen `dirembat’ tauke.

“Atas nasihat rakan saya berpindah dari satu rumah urut ke rumah urut lain sebelum akhirnya mengambil keputusan bergiat secara solo berikutan sudah mempunyai ratusan pelanggan tetap yang hanya perlu menghubungi saya melalui telefon.

“Saya akan dihubungi melalui telefon bimbit untuk tempahan sama di bilik hotel, pangsapuri atau di pusat urut milik rakan di Greenwood, Gombak,” katanya.

Menurutnya, dia hanya menawarkan urutan badan dan batin tanpa membabitkan hubungan seks.

“Bukan tiada pelanggan sanggup membayar lebih jika saya bersetuju melakukan aksi ranjang, namun saya menolak dengan baik kerana tidak mahu merosakkan profesion dan dilabelkan pelacur.

“Saya masih ada maruah dan hanya melakukan tugas mengurut tubuh terutama bahagian saraf tertentu pada kemaluan lelaki yang mampu memulihkan keinginan syahwat `lembik’ selain mengembalikan kejantanan,” katanya.

Menurutnya, ada antara artis lelaki yang datang berurut dengannya mengalami masalah `mati pucuk’ ketika usia muda kerana terlalu kerap melakukan onani atau terbabit seks bebas sejak usia belasan tahun.

“Selepas tiga hingga lima kali menjalani rawatan, kebanyakan mereka mampu pulih seperti sedia kala dan berpuas hati dengan khidmat saya,” katanya sambil sibuk mengangkat panggilan telefon daripada pelanggan.

Lia berkata, ramai masyarakat tersalah anggap kerana menyangka kerjayanya tidak ubah seperti `pelacur’ berikutan sanggup memegang kemaluan lelaki untuk melakukan urutan batin.

“Semua yang saya lakukan (urutan batin) bukan ‘semberono’ kerana ia dilakukan mengikut langkah demi langkah dimulai dengan urutan pada bahagian perut, paha, pinggang dan bahagian bawah pusat menggunakan minyak urut khas.

“Ia diikuti urutan pada bahagian pangkal kemaluan yang dilakukan dengan berhati-hati bagi memastikan urat darah yang tersimpul kembali lancar,” katanya.

Menurutnya, dia mampu memperoleh sehingga RM100 bagi pelanggan biasa dan RM200 bagi pelanggan istimewa terutama di kalangan selebriti. Adakalanya dia mampu memperoleh pendapatan sehingga RM4,000 sebulan hasil kerja itu.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu bagaimanapun cukup berahsia dan enggan mendedahkan identiti pelanggan di kalangan artis yang pernah mendapatkan khidmat urutan batin dengannya kerana berpegang kepada janji dan prinsip.

“Jika saya sebut nama artis berkenaan, pasti satu Malaysia mengenalinya, namun saya sudah berjanji merahsiakan nama mereka atas dasar bisnes,” katanya. (AK)

Komen Blog Ibnu Hasyim: Bahagian Agama Islam di negara ini atau lain-lain yang bertanggung jawab sila buat siasatan dan kajian, apakah kerja begini mulia dari sudut agama.. Jangan sudah parah baru nak siasat. Kalau baik biar menjadi ikutan remaja sekarang..

Antaranya..

1. 'Wanita ini bukan calang-calang tukang urut kerana mendakwa mempunyai kepakaran khusus bagi menambah kekuatan syahwat lelaki berikutan ilmu dipelajari melalui beberapa `guru’ berpengalaman.' Hebat sungguh ke. Apa hebatnya?

2. 'Lebih mengejutkan, apabila suaminya yang bekerja di sebuah badan berkanun langsung tidak mengetahui aktiviti dilakukan' Isteri bekerja tanpa pengetahuan suami, muliakah kerja ini?

3.'Walaupun kekok dan malu'. Mengapa sehingga kekok dan malu, ada apa-apa ke?

4. ' ..bukan untuk mengurut badan, namun semata-mata untuk merasai urutan batin hingga sanggup membayar sekali ganda..' Merasa urutan batin.. ??

5. 'sanggup memegang kemaluan lelaki'.. ?

6. Bagaimana pakaiannya? Dan lain-lain..

Mahukah isteri atau anak gadis anda kerja begini? (2MA)

Vettel Twn Sepang. Sama Sukan Kuda Zaman Nabi?

SUKAN

Red Bull, Webber (kiri) dan Vettel mencatat kemenangan 1-2 pada GP Malaysia di Litar Sepang semalam

APRIL 05, 10. TUAH akhirnya memihak kepada Sebastian Vettel apabila pemandu Red Bull Racing itu berjaya mengecapi kejayaan sulungnya dalam perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini dengan menjuarai Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Sepang semalam. Selepas kecewa pada dua perlumbaan awal musim (GP Bahrain dan Australia) berikutan masalah teknikal, Vettel akhirnya mencatat kejayaan dinanti- nantikannya itu.

Sebaik sahaja memintas rakan sepasukannya, Mark Webber pada selekoh pertama se- awal pusingan pertama, pemandu muda kelahiran Jerman ini tidak lagi menoleh ke belakang.

Webber pula meneruskan penguasaan Red Bull di Litar Sepang dengan menamatkan saingan di tempat kedua, sekali gus menghadiahkan kejayaan 1-2 pertama buat Red Bull musim ini.

Lebih menarik, kejayaan 1-2 Red Bull itu juga bagai- kan amaran awal buat pasukan handalan lain seperti Ferrari, McLaren dan Mercedes GP.

"Terima kasih kepada seluruh kru pasukan ini kerana di atas usaha mereka, saya berjaya mengecapi kejayaan pertama di Malaysia," kata Vettel selepas mencatat 1 jam 33:48.412 saat dalam 56 pusingan semalam.

"Kami sememangnya tidak begitu panik apabila gagal dalam dua saingan awal kerana musim ini masih lagi panjang. Bagaimanapun, untuk menang di Malay- sia dalam cuaca yang panas dan mencabar ini, ia satu perasaan yang istimewa.

"Mark pula berjaya menduduki tempat kedua dan ia satu bonus buat kami kerana ia memberi banyak mata kepada pasukan. Saya sangat gembira dengan kejayaan kami."

Webber pula berkata: "Walaupun gagal muncul juara tetapi kejayaan menduduki tempat kedua sudah dianggap baik. Kami telah membuktikan penguasaan Red Bull dalam sai- ngan musim ini.

"Saya mahu mengucapkan tahniah kepada Sebastian kerana berjaya muncul juara pada perlumbaan kali ini," kata Webber yang bermula di petak hadapan pada perlumbaan akhir semalam.

Pemandu Mercedes GP, Nico Rosberg yang bermula di petak kedua pula memenangi tempat ketiga selepas mencatat masa 1:34: 01.916s.

Tempat keempat dan kelima masing-masing milik pemandu Renault, Robert Kubica dan Ad- rian Sutil dari pasukan Force India yang berjaya mengatasi juara dunia 2008, Lewis Hamil- ton (McLaren) di tempat keenam.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Sekadar buka minda, samakah sukan di atas dengan sukan lumba kuda di zaman Nabi Muhammad SAW, di zaman awal kelahiran Islam pimpinan beliau?

Pertandingan Kuda:

Ibnu Umar menyatakan bahawa, Rasullullah SAW sering menganjurkan pertandingan lumba kuda dan baginda memberi hadiah kepada pemenang. Semua ini dilakukan oleh baginda untuk mengembang sukan berkuda, melatih kepintaran berkuda serta kesihatan tubuh badan.

Iman Ahmad bin Hanbali telah meriyawatkan dalam kitabnya 'Masnad' dimana Anas telah ditanya " Adakah Rasulullah SAW memasuki pertandingan kuda?" Anas menjawan "Ya"
"Demi Allah, baginda berlumba dengan kudaNya bernama Subbah. Kuda tersebut memenangi perlumbaan dan baginda amat gembira." Hadith Bukhari diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar.

Rasullullah saw mengadakan pertandingan kuda dari Ath-Thaniya sehingga Masjid Banu Zurayk. Abdullah bin Umar juga menyatakan bahawa beliau juga menyertai pertandingan tersebut.

Jarak Pertandingan

Rasullah saw tidak melarang pertandingan lumba kuda, malah baginda sendiri memberi nasihat aturcara pertandingan, antaranya baginda pernah menganjurkan perlumbaan kuda di Madinah diantara:-

Dari Hafiya ke Thaniyyat al-Wada (60 ghalwa = 5 hingga 6 batu) untuk kuda dewasa
Dari Thaniyyat al-Wada ke Banu Zurayk (10 ghalwa = 1 batu) untuk kuda muda.

Banginda sendiri menyertai pertandingan tersebut dimana kuda baginda pernah memenangi pertandingan beberapa kali. Rasullullah saw amat gemar menunggang kuda dan mengalakkan pertandingan lumba kuda.

Berikut adalah beberapa keratan tentang minat bagida terhadap kuda, antaranya:-

" Terdapat banyak keberkatan dalam pemeliharaan kuda" (Kitab Masnab)
" Belajarlah memanah dan menunggang kuda" ( Hadith Muslim)
(2MA)

Rujukan:

Diantara kitab-kitab yang menyatakan perihal kuda ialah:-

1. Kitab Al-khayal oleh Attabi
2. Kitab Al-Khayal al-kabir oleh Ahmed Abi Tahir
3. Kitab Khalq al-faras oleh Asmai
4. Kitab al-sarj wal-lijam oleh Asmai
5. Kitab khalq al-faras oleh Washsha
6. Kitab Khasyl al-saghir & Kitab al-sarj wal-lijam oleh Ini Durayd
7. Kitab al-khayl bi khatt al-Kufi oleh Ahmed Habib
8. Kitab al-khayl al-sawabik oleh Khawlani
9. Kitab nasab al-khayl oleh Muhammad bin Ziad
10. Kitab al-khalq as faras oleh Ibrahim al-Zujaj

Terdapat lebih dari 30 kitab-kitab lain yang menceritakan tentang kuda.

(2MA)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails