Saturday, September 23, 2023

Jom, PN terus gerakkan 'Koridor Hijau'. Selamatkan M'sia!



1. Kelantan tuan rumah persidangan pertama Koridor Hijau

KOTA BHARU: Kelantan bakal menjadi tuan rumah bagi persidangan kali pertama negeri Koridor Hijau yang membabitkan negeri diperintah PERIKATAN NASIONAL (PN) bersama Terengganu, Kedah dan Perlis.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, penganjuran tersebut telah mendapat persetujuan kepimpinan parti khususnya Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, pengabaian konsep federlisma pasca Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15) baru-baru ini oleh kerajaan memerlukan kerjasama strategik dalam gabungan Koridor Hijau.

“Satu gerak kerja yang tersusun ke arah mengaktifkan Koridor Hijau ini perlu dilakukan segera di saat negeri-negeri ini menerima tekanan yang sangat kuat oleh kerajaan pusat.

“Insya-Allah dengan persetujuan Presiden PAS, Kelantan bersedia memulakan langkah pertama ini dengan menjadi tuan rumah persidangan kali pertama negeri Koridor Hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan pembentangan kertas kerja ‘Penerusan Dasar Membangun Bersama Islam – Visi dan Misi pada Liqa Fikri PAS Kelantan di sini semalam.

Pada majlis yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) itu, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut membentangkan kertas kerja ‘Istiqamah Mengekalkan Kemenangan’.

Hadir sama Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob; Timbalan Pesuruhjaya, Dato’ Mohd Amar Abdullah, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan dan Dato’ Dr Johari Mat.

Mohd Nassuruddin yang juga Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Kelantan berkata, selepas PRU15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Koridor Hijau membentuk jajaran dalam peta Semenanjung.

Menurut beliau, negeri terbabit membentuk kerjasama dalam bentuk kepimpinan dan urus tadbir, ekonomi, pendidikan, agromakanan dan perkongsian tenaga pakar serta modal insan.

Sehubungan itu katanya lagi, dasar Membangun Bersama Islam yang menjadi teras pentadbiran Kelantan sejak lebih 30 tahun itu akan dipertahankan bukan sahaja di Kelantan.

“Maka dasar ini wajib dipertahankan untuk pastikan keletarian syariat islam bukan sahaja di Kelantan malah seluruh negara, serta menjaga kestabilan ummah dan syariat Islam.

“Ini supaya rakyat langsung melihat hasil dan merasai impaknya, harapan saya kita adalah satu mata rantai daripada mata rantai perjuangan Islam sejak awal hingga akhir,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/9/2023

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Jom, PN terus gerakkan 'Koridor Hijau'. Selamatkan M'sia! 

Lihat juga komen ini..

(i) Al-hamdulillah, jom selamatkan M'sia.


Di KL, Himpunan Aman Selamatkan Malaysia diadakan di sekitar Sogo petang dengan kehadiran ribuan peserta biarpun pada peringkat awal berdepan amaran polis.

Perhimpunan tersebut sebagai protes terhadap pembebasan oleh Mahkamah Tinggi terhadap 47 kes rasuah yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Peserta berkumpul di Masjid Kampung Baru bagi menunaikan solat Zohor berjemaah dan kemudian bergerak ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Peserta yang hadir turut melaungkan ‘dakwa Zahid’ sambil berarak sebagai tanda protes terhadap keputusan pihak pendakwa menarik balik kes tersebut yang sudah di peringkat prima facie.

Yang turut hadir ialah Pengerusi UMMAH Mohd Zai Mustafa, pemimpin Bersatu Dr Afif Bahardin, Pemuda PAS, Armada Bersatu dan beberapa NGO yang menyertai perarakan tersebut.

Perhimpunan aman tersebut diadakan sempena Hari Malaysia yang bertujuan menggesa kerajaan untuk tidak melindungi mana-mana ahli politik yang terlibat dalam kes rasuah.

(ii) Al-hamdulillah, tahniah pihak polis,  individu terlibat pelacuran ditahan..

Datuk Kamarul Zaman Mamat

Di Johor Bahru, polis menahan 17 individu disyaki terlibat dalam kegiatan pelacuran dalam dua serbuan berasingan di bandar raya ini, Khamis lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata dalam serbuan pada kira-kira pukul 10.40 malam itu, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki dan 13 wanita warga asing serta tiga lelaki tempatan, berusia 21 hingga 49 tahun itu.

Beliau berkata turut dirampas 22 telefon bimbit, 27 kondom, lima gulung tisu, empat helai tuala, tiga keping kad akses, dua botol pelincir dan wang tunai berjumah RM3,400 serta 50 dolar Singapura.

“Kita akan menjalankan operasi secara berterusan bagi mengawal dan mencegah kegiatan pelacuran di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 327A Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 372B KK, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan berkenaan boleh menyalurkannya kepada balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Polis Johor di talian 07-221 2999 atau 07-225 4677. – (rujuk BERNAMA)

(iii) Al-hamdulillah, pelbagai kaum sokong Hari Malaysia tajaan PAS..

Shafie (depan, empat dari kiri) di samping pelbagai kaum yang hadir dalam majlis Sambutan Hari Malaysia anjuran PAS Bangi di Tasik Chempaka, Bangi, Selangor pada hari ini, 16 Sept 2023. (FOTO: PAS Bangi Sg Ramal)

Di Bangi, sambutan Hari Malaysia 2023 anjuran PAS Parlimen Bangi dimeriahkan dengan kehadiran pelbagai kaum, termasuk ada yang muncul dengan pakaian tradisional masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal, Tuan Mohd Shafie Ngah tidak melepaskan peluang turun padang menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia yang berlangsung di Tasik Cempaka, di sini, hari ini.

Majlis itu turut diserikan lagi dengan pameran pakaian tradisional etnik di Malaysia.Antaranya pakaian bangsa Melayu lelaki seperti baju Melayu yang lengkap bersampin dan bersongkok, pakaian bangsa Cina lelaki iaitu samfoo, pakaian bangsa India lelaki iaitu dhoti, pakaian bangsa India perempuan iaitu sari. 


Turut dimeriahkan lagi pertunjukkan pakaian perempuan dari kaum Sikh iaitu salwar kameez. Tidak ketinggalan juga pameran pakaian lelaki dari suku kaum Kadazan Dusun iaitu gaung. Akhir sekali pakaian perempuan dari suku kaum Bajau Samah, Sabah iaitu baju sampit sinipah berserta skirt panjang corak sempangan.

Sekian.

Kesimpulan:

Terima kasih tuan-tuan pengundi. Tuan telah menggunakan tugas tuan sebaik-sebaiknya, bila menyokong perjuangan parti Islam/PN dan rakan-rakan. Umat Islam wajib mempertahankan agamaNya dengan menentang kezaliman pemerintah puak anti Islam.

Namun, hak orang bukan Islam di negara ini pun wajib dilindungi oleh kerajaan Islam yang memerintah. Sila lihat peraturan dan hukum 'Hak orang bukan Islam dalam negara Islam' yang sebenar. Lihat negeri Kelantan sebagai contoh awalnya. 

Terima kasih juga kepada kawan-kawan kita yang bukan dan belum Islam.

Sekian. Wassalam. 
Maaf zahir batin, dari rakan Islammu Ibnu Hasyim 014 400 2015.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails