Thursday, July 01, 2021

Pelbagai pihak berkolaborasi tangani isu bunuh diri

 

KUALA TERENGGANU: Kerajaan melalui pelbagai kementerian dan agensi akan berkolaborasi untuk menangani masalah kemurungan yang semakin membimbangkan sehingga ada yang mengambil tindakan membunuh diri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata isu berkaitan kemurungan sehingga menyebabkan bunuh diri telah dibincangkan sejak beberapa bulan lalu oleh pelbagai pihak termasuk kementeriannya, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Kita akan juga berkolaborasi dan cuba sebaik mungkin. Sebab di sana ramai agamawan berkata cara merekalah yang terbaik, pihak kaunselor pula kata cara merekalah yang terbaik. Jadi bagi saya baik kita gabung semua,” katanya kepada ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh di sini, hari ini.

Zulkifli berkata beliau juga bercadang untuk bertemu sendiri dengan individu yang mengalami kemurungan  atau stres melampau untuk menyelami dan menyelesaikan masalah mereka. 

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan semalam meminta masyarakat untuk lebih cakna dan prihatin terhadap ahli keluarga dan orang sekeliling dalam mengenal pasti simptom awal kemurungan yang boleh menyumbang kepada tingkah laku membunuh diri.

Katanya pandemik Covid-19 memberi impak yang amat besar kepada kesihatan mental setiap individu di seluruh dunia dan tidak terkecuali rakyat Malaysia.

Malah, Dr Noor Hisham berkata sumber Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati terdapat peningkatan dalam kes bunuh diri yang dilaporkan pada 2020 iaitu 631 kes berbanding 609 kes pada 2019 dan sehingga Mac 2021, sejumlah 336 kes bunuh diri dilaporkan kepada PDRM.

Dalam pada itu Zulkifli berkata pelbagai kaedah boleh dilakukan bagi memastikan golongan sasaran segera dibantu dan masalah kemurungan akibat tekanan hidup dapat diatasi, termasuk memacakkan atau mengibarkan bendera putih di hadapan rumah.

“Kita buat semua. Doa kita buat, ikhtiar kita buat, turun padang kita buat dan yang paling penting kita hendak selamatkan seramai mungkin daripada terjebak dengan isu seperti tekanan melampau.

Setakat ni saya tak kata salah, saya tak kata tak salah (kibar bendera putih). Apa yang baiknya bagaimana bantuan kita boleh sampaikan kepada sasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kempen mengibarkan bendera putih di hadapan rumah sekiranya tiada makanan atau perlukan bantuan, yang tersebar luas di pelbagai platform media sosial.

Terdahulu Zulkifli menyampaikan 200 pek bantuan makanan dan barang keperluan daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) kepada Anggota Dewan Undangan Negeri Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim untuk diedarkan kepada penduduk yang memerlukan. – BERNAMA

1 comment:

Anonymous said...

Geng pencuri/pelompat/parti Islam extreme lah yg lembap urus covid.

Negara lain dah mula buka ekonomi. Klau tutup semula pun, kawasan tertentu sj. Bukan satu negara tutup.

Gila.

Orang kerja swasta. 1 bulan x kerja, tak da pendapatan

Sambung lagi mungkin 1 bulan, tak da pendapatan.

Bulan ketiga mungkin baru boleh mula kerja semula. Bagi yg bergaji tapi syarikat tak mampu bayar masa pkp. Kena kerja sebulan dan syarikat dapat hasil.

Hujung bulan ke3 bru dapat gaji. Itupun klau syarikat x bangkrap.

Boleh jadi 3 bulan bru ada pendapatan. Gila.

Mungkin x ramai yg kena mcm tu. Tapi kena sedar. Lepas buka pkp(tempoh yng terlalu panjang). Masalah ekonomi bukan akan selasai keesokan harinya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails