Friday, July 02, 2021

Wanita bujang mudah sakit mental

 

Wanita bujang berusia 35 tahun ke bawah, dikesan paling ramai alami masalah mental ketika pandemik COVID-19. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kajian pusat penyelidikan, The Centre mendapati wanita bujang berusia 35 tahun ke bawah, dikesan paling ramai mengalami masalah mental ketika pandemik COVID-19.

Kajian badan bukan kerajaan (NGO) yang dilaksanakan itu dikumpulkan menerusi tinjauan dalam talian terhadap kira-kira 1,000 peserta, pada 4 Februari sehingga 14 Februari lalu.

Kandungan hasil tinjauan bertujuan mengukur tahap mental berdasarkan penilaian kendiri individu itu boleh didapati di laman web The Centre dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.

The Centre dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil penyelidikan turut mengesan wanita bujang berusia 35 ke bawah itu cenderung merasa tertekan dan cemas berbanding mereka lebih berusia.

Kajian turut mendapati wanita lebih maklum berkenaan penanda aras kesihatan mental berbanding lelaki, selain mendapati tahap kesihatan mental wanita bujang masih rendah, berbanding yang sudah berkahwin.

"Berdasarkan kajian global pula, antara punca masalah mental dalam kalangan golongan muda itu kerana terlalu memikirkan masa depan, masalah kewangan, pengasingan sosial dan tidak mendapat tidur yang berkualiti.

"Kajian lain mendapati cabaran seperti keibubapaan ketika pandemik, pembahagian penjagaan rumah tangga yang tidak sama rata dan peningkatan risiko keganasan rumah tangga adalah beberapa penyumbang utama masalah kesihatan mental wanita, tahun lalu," katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, kajian oleh The Centre itu adalah sebahagian daripada siri penyelidikan empat bahagian bertajuk 'A Year of Living Under COVID-19', yang mengkaji kesan wabak itu terhadap kesihatan mental rakyat Malaysia, sejak setahun lalu.

Katanya, kajian itu turut mendapati masalah pendapatan individu dan isi rumah terkesan akibat pandemik juga dikatakan boleh menjadi antara punca masalah kesihatan mental yang signifikan.

"Individu dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM5,000 lebih cenderung mengalami tahap kegelisahan lebih tinggi berbanding berpendapatan lebih tinggi," katanya.

Bagaimanapun, ia bukan sesuatu mengejutkan kerana ada hubungan jelas antara kesihatan fizikal dan kesejahteraan mental.

Mereka didapati sudah mempunyai masalah mental sejak tahun lalu, turut dikesan mengalami kesihatan mental yang semakin merosot tahun ini.

Katanya, penyelidik The Centre sudah mengesyorkan supaya kumpulan golongan dikenal pasti paling banyak mempunyai masalah mental akibat wabak COVID-19, mendapatkan sokongan kesihatan mental dan ekonomi segera.

Kumpulan dikenal pasti adalah golongan muda, wanita, individu bujang dan mereka yang berpendapatan rendah.

"Ketika ini banyak hospital dan pusat perubatan menawarkan perkhidmatan kesihatan mental dan mereka perlu bijak memilih supaya sesuai dengan diri sendiri sekali gus mampu memulihkan tahap kesihatan mereka semula," katanya.

Kesan buruk pandemik COVID-19 akan nampak selama bertahun-tahun, bahkan boleh menjadi beberapa dekad yang akan datang.

"Justeru, kita perlu menangani cabaran sosial ini dengan lebih serius dari sekarang dengan cuba membantu mereka yang terkesan untuk menjalani hidup sama seperti sebelum negara berdepan pandemik," katanya.

Lihat siri Thaikini:

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails