Tuesday, June 14, 2011

PAS S'ngor Tanpa Hasan Ali Sebagai Ketua


KL 14 Jun 11: The Malaysian Insider melaporkan, selepas 10 hari hari muktamar tahunan ke-57, arena politik domestik menyaksikan satu lagi perkembangan mengejutkan banyak pihak dalam dan luar PAS. Walaupun perkembangan itu bersifat mikro, di peringkat Selangor tetapi bahangnya dirasai di peringkat nasional.

Meskipun sudah lapan tahun mengetuai PAS Selangor dan di sebalik suasana tidak senang yang banyak diperkatakan mengenai kepimpinannya, difahamkan Datuk Dr Hasan Ali tidak menawarkan diri atau meminta beliau digantikan sebagai ketua peringkat negeri. Rata-rata pengikutnya pula masih terkejut dengan langkah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggugurkan beliau sebagai pesuruhjaya negeri. Selain Selangor satu lagi negeri yang menjadi perhatian ialah Terengganu.

Awal tahun lalu, Hasan (gambar) yang dipanggil jawatankuasa disiplin PAS memutuskan untuk mengenakan hukuman amaran. Bekas timbalannya Khalid Abdul Samad yang turut dipanggil panel itu digantung daripada memegang jawatan selama enam bulan.

Kedua-dua mereka bertanding kerusi ahli jawatankuasa kerja pusat parti 3 Jun lalu dan menang.

Malah, tindakan Hadi turut mengejutkan komponen PAS dalam Pakatan Rakyat dan juga pesaing politik perikatan itu khususnya Umno.

Dalam reaksinya Ketua Pembangkang Selangor Datuk Satim Diman menggesa kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim melakukan rombakan barisan exco susulan pelantikan pesuruhjaya baru PAS. Maksud yang hendak disampaikan wakil rakyat Umno tidak jelas tetapi membawa pengertian tersirat dan boleh difahami.

Lebih mengejutkan keputusan itu diambil ketika pilihan raya umum ke-13 dikatakan semakin hampir tiba. Bagi Pakatan Rakyat, Selangor dilihat sangat penting. Dan, ia juga menjadi idaman pentadbiran Najib. Berdasarkan pengikutnya, Hasan, Exco Kerajaan Negeri Selangor, telah menyusun jentera pilihan raya parti sejak beberapa bulan yang lalu.

“Selalunya pelantikan ini dibuat oleh presiden parti atas kuasa beliau sebagai presiden, itu hak presiden. Tetapi di Selangor kami agar terkejut,” kata Iskandar A. Samad yang juga Exco Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun, Iskandar yang sebelum ini merupakan timbalan pesuruhjaya PAS Selangor berkata, “kita berharap keputusan melantik pesuruhjaya yang baru ini akan membawa kebaikan kepada PAS dan juga kepada Pakatan Rakyat di Selangor.”

“Kami berdoa ia akan membawa kebaikan,” kata Iskandar kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi.

Beberapa pemimpin PAS yang dilihat rapat dengan Hasan tidak dapat memberi sebab-sebab yang membawa kepada keputusan Hadi menggugurkan Hasan.

Sebagaimana Iskandar, mereka juga kelihatan terkejut dan tidak dapat memberikan reaksi spontan yang konkrit.

“Kami agak terkejut,” ujar Iskandar lagi sambil menambah, “saya tidak tahu (sebab keputusan ini).”

“Ada (banyak) tafsiran, dan cakap-cakap politik,” kata beliau yang mengakui bahawa kemungkinan perancangan pilihan raya akan “tersekat” buat sementara waktu sementara menanti kepimpinan baru.

Dalam komen dibawa Sinar Harian hari ini, Hasan yang juga ADUN Gombak Setia mahu penggantinya Dr Abdul Rani Osman membuat persediaan awal jentera parti berdepan pilihan raya.

Menyifatkan keputusan menggugurkannya daripada terus menerajui PAS negeri sebagai perkara biasa, Hasan berkata, beliau tidak kecewa dan berharap ADUN Meru itu akan meneruskan perjuangan parti.

Sebelum dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri selepas pilihan raya umum ke-12, Hasan merupakan Timbalan Pengerusi Jabatan Agama Islam Selangor dan penceramah motivasi.

“Pemilihan berlaku dua tahun sekali dalam PAS, maknanya ada yang digugurkan, ada yang baru dan ada yang lama. Itu biasa.

“Mungkin masanya sudah tiba. Itulah sebabnya saya digugurkan. Suasana (saf kepimpinan) kini baru dan sesungguhnya kita memerlukan satu barisan yang baru, tenaga yang baru untuk menghadapi Umno dan BN pada pilihan raya umum akan datang,” katanya dilihat merujuk kepada keputusan pemilihan pusat 3 Jun lalu di mana kumpulan profesional menguasai barisan kepimpinan.

Hasan dilihat sebagai cenderung kepada kumpulan ulama. Malah, beliau juga dilabel sebagai antara mereka yang cenderung kepada idea kerajaan perpaduan Umno-PAS.

Ditanya sama ada penyingkiran beliau ada kaitan dengan pergeserannya dengan bukan sahaja di kalangan pemimpin PAS tetapi juga rakan dalam Pakatan Rakyat, Hasan berkata:

“Ini adalah pilihan presiden, yang mengutarakan nama itu dan kemungkinannya disokong oleh jawatankuasa PAS pusat, maka beliau dinamakan dan saya digugurkan.”

Hasan memegang kerusi pesuruhjaya selama empat penggal. “Bermakna sudah lapan tahun. Jadi, saya rasa sampai masanya, kalau hendak digantikan pun, eloklah digantikan selepas lapan tahun itu,” katanya.

“Walau apa pun saya menyarankan kepada yang baru dilantik supaya dapat betul-betul menyatukan PAS di Selangor ini dalam keadaan kita hendak menghadapi pilihan raya,” katanya.

Iskandar tidak melihat keputusan menggugurkan Hasan adalah ekoran perkembangan “tidak senang” dalam PAS negeri dan hubungan dengan komponen Pakatan Selangor sejak 2008.

“Saya tidak melihat begitu,” kata beliau dengan merujuk kepada isu yang menjadi perhatian iaitu kenyataannya mengenai status Selcat sudah diselesaikan.

“Nak kata isu arak, ia bukan keputusan Datuk Hasan seorang, tetapi keputusan pentadbiran negeri. Jadi, tak timbul isu ini,” kata Iskandar lagi.

“Saya pun tidak pasti, kita masih tercari-cari mengapa (perubahan) ini berlaku... mungkin dalam satu dua minggu akan jelas,” kata beliau.

Setakat ini, kepimpinan komponen Pakatan Rakyat kelihatan menyambut baik perubahan di peringkat PAS.

Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafiei berkata, pihaknya sentiasa meraikan pembaharuan rakan parti dalam Pakatan Rakyat demi keutuhan kesepakatan yang telah pun dicapai sebelum ini.

“Pembaharuan adalah perlu dibuat dalam memastikan tanggungjawab yang diberi oleh rakyat menjadi satu amanah yang tidak akan dikhianati. PKR Selangor sendiri sudah beberapa kali berubah kepimpinan pasca-2008 dan akan terus berubah demi rakyat,” katanya.

Ulas beliau, kecekapan Hasan menangani beberapa isu sensitif membuktikan beliau seorang pemimpin yang berwibawa dan berjiwa besar dan percaya pelantikan Dr Rani bakal memberikan satu “mimpi ngeri berpanjangan kepada seteru politik bersama iaitu Umno Selangor.”

ADUN Sri Muda ini menambah pelantikan itu juga memberi impak sangat besar kepada rakan dalam Pakatan Rakyat Selangor kerana hubungan baik beliau dengan pemimpin PKR Selangor dan barisan hadapan kepimpinan DAP Selangor.

“Komitmen beliau dalam kesepaduan Pakatan Rakyat turut dilihat dalam kesudian beliau hadir ratusan ceramah kempen Jelas — Tawan Malaysia! anjuran PKR Selangor dan gerak kerja kempen lain sebelum ini,” katanya lagi.

Seorang lagi pemimpin PAS Selangor yang mengekalkan kerusi ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat awal bulan ini, Dr Dzulkefly Ahmad berpendapat bahawa perubahan ini bukan soal ulama atau profesional tetapi PAS Selangor memerlukan kepimpinan yang boleh membawa jentera ke hadapan menghadapi pilihan raya umum dengan mantap.

“Ini soal kecenderungan dan pendekatan kepimpinan. YB Dr Rani dilihat sebagai seorang pemimpin yang boleh diterima oleh semua, dalam PAS dan luar PAS. Beliau seorang peka dengan isu orang Melayu, bukan Melayu, dalam PAS dan luar PAS,” kata Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.

Apa pun tempias kesan pemilihan pusat juga dirasai di peringkat negeri. Impaknya sudah pasti akan disaksikan.

Yang pastinya kedua-dua Pakatan Rakyat dan BN akan cuba menikmati manfaat daripada perkembangan terbaru di peringkat Selangor dalam pilihan raya umum ke-13. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails