Wednesday, February 11, 2009

Politik Lompat Dalam Sejarah PAS, Saya Tunggu Buku Ini…

Allahyarham Haji Muhammad Asri mantan YDPA PAS ke 4 dan MB Kelantan ke 2.


Ibnu Hasyim Catatan Santai

SEDANG saya berfikir-fikir... untuk menulis mengenai lompat-melompat parti dan culik-menculik dalam sejarah PAS, seperti yang diminta oleh.. [ dun26bangi said...Salam Pak Mohd Hashim. Dulu YB Zulkfili Nordin diculik dan terbaru 2 YB dari Perak pula diculik. Teringat cerita bagaimana wakil rakyat PAS dulu diculik cuma kurang jelas butirannya. Dalam perbualan santai dulu masa kita buat buletin SEMASA, SEHATI dan Se yang lain. Boleh ulas sikit, mungkin dapat menjelaskan perancangan pihak BN terutamanya. February 1, 2009 1:24 PM’]

Tiba-tiba seseorang telah menghantar e-mail kepada saya, menyuruh saya lihat blog ini.. http://towardsmardhatillah.wordpress.com/ . Di dalamnya terdapat cebisan petikan buku ‘Steps Towards Mardhatillah (Langkah-Langkah Menuju Keredhaan Allah)’ yang masih lagi dalam proses penyusunan fakta dan bakal diterbitkan. Penulisnya adalah mantan setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan, Ustaz Solahuddin bin Abdullah. Begini sedutan petikan dari buku itu yang telah diizinkan kepada bloger tersebut menyiarnya..

[ Berpaling tadah berpatah balik atau ‘turn about about turn ialah peristiwa yang berlaku ekoran usaha memujuk beberapa orang ADUN PAS Kelantan untuk menyertai UMNO. Ia dijalankan oleh pihak berkenaan tidak lama sesudah selesai pilihan raya kecil kawasan Bachok Utara pada bulan April 1968. Usaha-usaha yang pada awalnya itu dijalankan secara berbisik-bisik akhirnya tersebar luas pada sekitar bukan Julai dan Ogos 1968.

Majalah ‘Siaran PAS Kelantan[1] melalui keluarannya Jilid III Biln6/8, Jun/Ogos 1968 menyiarkan berita berikut di muka depannya, dengan tajuk: “WAKIL-WAKIL RAKYAT DAKWA SURAT KHABAR”

Kota Bharu,4.8.1968 Beberapa orang Ahli Dewan Negeri dan Dewan Rakyat PAS Kelantan yang dilibatkan nama mereka menyertai UMNO oleh akhbar-akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia telah menyerahkan kepada peguam masing-masing untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar tersebut. Wakil-wakil rakyat itu ialah;Dato’ Haji Ishak Lotfi, Encik Abdul Rahman Awang Sulong, Tuan Guru Haji Daud bin Yusoff, Ustaz Wan Hasan b.Wan Daud, Hj.Wan Yusoff b.Wan Yaakob, Ustaz Abdul Kadir b.Mat Sa’ad dan Tengku Zaid b.Tengku Ahmad kecuali Ustaz Abu Bakar Hamzah yang sekarang sedang melawat Timur Tengah.

Dalam pertemuan dengan pemberita-pemberita akhbar di rumah Menter Besar Kelantan, di Kota Bharu hari ini, wakil-wakil rakyat yang berkenaan telah menyatakan bahawa perbuatan akhbar berkenaan melibatkan dan menyeret nama mereka seperti itu adalah terang-terang menjatuhkan maruah dan mencemarkan nama baik mereka di mata orang ramai. Yang demikian mereka telah menyerahkan kepada peguam masing-masing untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar-akhbar yang menyiarkan fitnah ke atas diri mereka. Nampaknya akhbar-akhbar memainkan peranan besar juga dalam cita-cita nak menumbangkan Kerajaan PAS. Waspadalah terhadap berita-berita yang memburukkan PAS dalam akhbar-akhbar . Jangan lekas mempercayainya.

Manakala majalah Bulan Bintang [2] menyiarkan berita mengenai kenyataan akhbar Dato’ Mohd. Asri menyentuh isu penyelewengan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan;

“Apa yang diberita oleh Utusan Malaysia hari ini 2.8.1968 mengenai apa yang dikatakan ucapan oleh Pesuruhjaya PAS Kelantan. Yang sebenarnya Pesuruhjaya PAS itu tidaklah mengesahkan tentang perletakkan jawatan oleh 4 orang Ahli Dewan Undangan Negeri PAS itu. Cuma apa yang diucapkan oleh beliau hanya sekadar menerangkan bagaimana kegiatan Perikatan hendak menumbangkan Kerajaan PAS sejak dari dulu dan bagaimana keadaan beberapa orang ahli itu. Khabarnya mereka sekarang ini berada di Kuala Lumpur”…

“Memang menjadi rahsia umum tentang usaha-usaha Perikatan Kelantan hendak menumbangkan Kerajaan PAS mengikut gaya mereka menumbangkan Kerajaan PAS Terengganu dahulu. Semenjak akhir-akhir ini khabar-khabar angin bertiup begitu kencang tentang beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri PAS telah ditarik atau sedang ditarik untuk menyeleweng. Dalam seminggu ini 3 orang Ahli Dewan itu telah pergi ke Kuala Lumpur dan seorang lagi telah diambil oleh Polis pada hari Jumaat yang lepas. Dan akhirnya diketahui umum jua bahawa dia telah dibawa ke Kuala Lumpur untuk bersama-sama dengan 3 orang ahli PAS itu”.

Walaubagaimanapun sehingga saat ini mereka belum lagi membuat pengumuman atau perisytiharan rasmi keluar dari PAS. Soalnya hanya bergantung kepada jiwa mereka sendiri sama ada mereka berupaya atau tidak mengatasi tekanan-tekanan terhadap jiwa mereka. Nampaknya dalam sehari dua ini pihak Perikatan begitu bernafsu (gelojoh) untuk merebut kuasa di Kelantan. Tetapi saya suka memberitahu kepada pemimpin-pemimpin mereka supaya berusaha secara terhormat sesuai dengan kehormatan yang ada pada diri mereka untuk mengambil kembali negeri Kelantan ini. Tunggulah saat yang dihalalkan oleh perlembagaan pilihanraya umum tahun hadapan”.

Berilah peluang kepada rakyat untuk memilih. Kalau rakyat memilih PAS janganlah mereka berkecil hati dan janganlah membalas dendam terhadap rakyat. Dan mereka hendaklah bersabar menerima hukum demokrasi. Tapi kalau hukum demokrasi itu mereka injak-injak kerana merasa diri mereka begitu berkuasa dan begitu kuat, itu terserahlah kepada mereka. Tetapi mereka jangan lupa bahawa tiap-tiap perkara yang batil itu ada batas waktunya. Saya bimbang takut mereka tidak sanggup menerima akibatnya kelak….”

“Kepada seluruh ahli dan penyokong-penyokong PAS terutama di Negeri Kelantan, saya berseru supaya sentiasa tetap teguh imannya di dalam menghadapi sebarang percubaan. Percayalah doa orang kena zalim selamanya dimakbulkan Tuhan sebab tidak ada hijab antara Allah dan mereka[3]..

Menyorot peristiwa bersejarah ini, mantan yang diPertua Agung PAS itu turut menyatakan dalam bukunya[4] seperti berikut:

Antara banyak riwayat tentang pertentangan dan pertarungan antara PAS dan UMNO(Perikatan) maka riwayat tentang kejadian lompat melompat atau turn about dan about turn adalah begitu menarik sekali. Dunia politik menjadi gempar dan masing-masing pihak menghadapi peristiwa itu dengan penuh debaran. Golongan PAS tentunya menunggu dengan penuh kesabaran bercampur kebimbangan. Mungkinkah kerajaan PAS Kelantan akan tumbang seperti tumbangannya kerajaan PAS Terengganu dalam tahun 1960(1961); sedangkan golongan UMNO juga dengan penuh debaran bercampur emosi yang memuncak mempunyai harapan yang menjulang untuk menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan seperti tumbangnya kerajaan PAS Terengganu.

“Peristiwa bersejarah itu telah digelar sebagai turn about, iaitu nama gelaran peristiwa berkenaan yang sangar popular pada masa itu. Untuk memudahkan peristiwa yang berlaku dalam tahun 1968 itu, maka saya cuba butirkan rangkaian peristiwa tersebut sedaya yang boleh.

“Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan yang terlibat dengan peristiwa itu ialah: Encik Saufi bin Idris, Ustaz Abdullah bin Haji Yusoff( Speaker atau Yang diPertua Dewan Undangan Negeri Kelantan), Ustaz Abdul Rahman Salleh (ahli Exco Negeri Kelantan),Encik Yusoff Abdul Latiff (Ahli Exco Negeri Kelantan) Encik Omar bin Muhammad. Kesemua mereka, kecuali yang kelima sudah pun meninggal dunia”…

“Pada suatu hari Jumaat, telah berlaku satu kejadian yang menggemparkan dan mereka yang tersebut ini telah ditahan oleh polis di beberapa sekatan jalan raya. Kemudian mereka dibawa ke Kuala Lumpur. Di sana mereka ditempatkan di sebuah rumah banglo di Jalan Pekeliling (kini Jalan Tun Razak), berhampiran dengan sebuah mes pegawai polis. Khabarnya selama lebih kurang sebulan di dalam tahanan, mereka sering didatangi oleh orang-orang tertentu. Mereka telah dipujuk dengan janji berbagai-bagai rupa supaya meninggalkan PAS dan menyertai UMNO. Mereka didatangi oleh pegawai-pegawai kerajaan serta diikuti pula oleh orang-orang politik termasuk tokoh-tokoh penting UMNO ketika itu”…

Jelas sekali apabila UMNO mengalami kekalahan pertama setelah merdeka (1959) UMNO Kelantan telah mengalami satu kemelut yang hebat, sehingga UMNO Pusat terpaksa mengambil alih pimpinan UMNO Kelantan. Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, telah dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan”…

Sebelum peristiwa turn about dan about turn berlaku, kejadian yang merupakan semacam konfrontasi antara UMNO dan PAS dalam usaha untuk mencari pengaruh di Kelantan berlaku. Antara cerita dan kejadian yang paling sedih ialah kejadian yang berlaku dalam bulan Julai 1967, seorang daripada wakil rakyat PAS ialah Abdul Samad Gul Ahmad Mianji (Allahyarham) telah terkorban dalam satu tragedi pukul curi sewaktu beliau sedang membuka pintu keretanya setelah selesai upacara Maulidur Rasul di Bangunan Perhubungan PAS Negeri Kelantan.

Dalam halaman 73 Dato` Mohd. Asri menulis lagi:

Kita kembali semula kepada cerita penahanan lima orang wakil rakyat PAS yang telah dibawa ke Kuala Lumpur. Mengikut wakil rakyat yang ditahan itu, kononnya mereka telah dijanjikan dengan hadiah wang. Sekiranya mereka menolak, mereka diugut dengan berbagai-bagai ancaman termasuklah tahanan di bawah ISA dan sebagainya”…

Sesudah lebih kurang dua minggu berada di Kuala Lumpur, pengawasan atas mereka agak longgar kerana mereka telah bersetuju untuk menerima tawaran tersebut. Hasil daripada kelonggaran tersebut, mereka telah mengambil kesempatan menghubungi Kelantan dengan telefon. Salah seorang tokoh PAS yang selalu dihubungi oleh mereka ialah Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim( bekas ketua PAS Pasir Puteh, bekas ahli Exco dan bekas Ahli Parlimen). Melalui telefon itu mereka memberitahu bahawa mereka telah bersetuju untuk membuat pengisytiharan keluar dari PAS dan menyertai UMNO”….

Manakala tiba hari dan tarikh yang ditetapkan radio dan teievisyen pun tiba untuk membuat liputan khas tentang keputusan mereka masuk UMNO. Malah akhbar-akhbar pun tidak mengsia-siakan kesempatan yang baik itu. Maka semua akhbar menyiarkan peristiwa tersebut di muka hadapan. Berita yang tersebar luas itu begitu menggemparkan masyarakat. Topik perbualan di kedai kopi tidak lain dari berita yang menggemparkan tersebut. Banyak orang yang menganggap bahawa kerajaan PAS akhirnya akan kecundang jua. Kad jemputan untuk memerhati mengikuti Persidangan Dewan Negeri telah ditempah dengan banyaknya oleh penyokong kedua-dua belah pihak”.

Tiga atau empat hari sebelum Dewan bersidang, kelima-lima orang ahli PAS yang ditahan di Kuala Lumpur itu dibawa balik ke Kelantan di bawah kawalan yang ketat. Rumah kediaman mereka juga dikawal dengan rapi. Dalam kejadian yang sedemikian gawat, Ustaz Abdul Rahman Salleh, iaitu salah seorang yang ditahan di Kuala Lumpur telah mencuri keluar melalui pintu belakang rumahnya kerana ternyata telah dikawal rapi oleh orang-orang yang tertentu. Kejadian itu berlaku selepas sembahyang maghrib. Dengan menumpang kenderaan kawan, beliau terus ke Pasir Puteh, ke rumah sahabatnya Ustas Wan Sulaiman Ibrahim. Kemudian mereka berdua terus berangkat ke Kota Bharu untuk menemui Datuk Haji Ishak Lutfi dan saya sendiri (masa itu berjawatan Menteri Besar)…

“Dalam perjumpaan dengan Ustaz AddulRahman Salleh, beliau telah menceritakan kepada kami berdua hal yang telah berlaku sambil menyatakan hasratnya untuk kembali ke pangkuan PAS. Kerana mengikut katanya beliau telah dipaksa membuat kenyataan di hadapan radio, televisyen dan akhbar di Kuala Lumpur. Pada malam itu juga Ustaz Abdul Rahman Salleh telah menandatangani surat kenyataan untuk diedarkan di dalam Dewan Undangan Negeri esoknya. Maka pada malam itu juga beliau telah dihantar pulang ke rumahnya di Cherang Ruku Semerak, juga melalui pintu belakang tanpa disedari oleh mereka yang diberi tugas mengawal di halaman rumahnya”…

Pada pagi hari sewaktu sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan itu diadakan, kawasan di hadapan Istana Balai Besar Kota Bharu telah penuh dengan gelombang manusia yang datang dari seluruh pelusuk negeri. Para penyokong UMNO datang bersama sepanduk yang tertulis dengan kalimat bahawa kerajaan Kelantan akan bertukar tangan mulai hari itu. Para penyokong PAS pula datang dengan perasaan dan pandangan berbelah bagi. Antaranya ada golongan yang berasa begitu yakin bahawa Kerajaan PAS Kelantan tidak akan tumbang. Golongan itu ialah daripada kalangan anggota PAS yang sempat mendapat maklumat tentang kejadian yang sebenarnya. Dalam pada itu ada juga golongan yang berasa bimbang bahawa kerajaan PAS akan tumbang; iaitu daripada kalangan mereka yang tinggal di kawasan pendalaman yang tidak mempunyai kesempatan untuk mendapat penjelasan”…

Manakala tiba saat sidang Dewan Undangan Negeri akan dimulakan, semua ahli dewan serta Speaker mengambil tempat dan seterusnya membuat pengumuman tentang persidangan Dewan, maka pada ketika itu Ustaz Abdul Rahman Salleh pun bangun dari kerusi bahagian pembangkang seterusnya melangkah dan mengambil tempat duduk bersama di pihak kerajaan dan serentak dengan itu surat kenyataan beliau pun diedarkan kepada seluruh para pemerhati dan para hadirin. Setelah selesai membaca doa dan kemudian mengesahkan peringatan mesyuarat Dewan yang lalu, maka Speaker pun terus mengisytiharkan bahawa persidangan Dewan Undangan Negeri ditangguhkan”…

Apabila Dewan Undangan Negeri ditangguhkan, saya pun terus menemui Ustaz Salahuddin Abdullah pada ketika itu memegang jawatan Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Kelantan agar beliau pergi menjemput Encik Omar bin Mohammad dan membawa beliau terus ke rumah saya (rumah rasmi Kerajaan) kerana pada ketika itu seluruh Ahli Dewan Undangan daripada PAS telah bersetuju berkumpul di rumah Menteri Besar. Langkah ini bukan kerana bimbang kena culik lagi, walaupun memang masih ada usaha untuk melakukan sedemikian; tetapi sebenarnya untuk memudahkan sebarang maklumat disampaikan sebelum tiba dari sidang Dewan Undangan Negeri Kelak… dan juga untuk sebarang perbincangan”…

“Setelah Encik Omar berhasil dibawa ke rumah JKR No.10, maka tugas membawa Encik Yusoff Latif [5] pula terpaksa dilakukan, yang merupakan satu tugas yang begitu mencabar. Oleh sebab pada masa itu beliau tinggal di rumah birasnya Nik Mahmud yang kebetulan rumah itu berjiran dengan seorang pegawai tinggi polis dan rumah itu sentiasa dikawal. Maka dengan pertolongan Allah Subhanahu wa Taala Encik Yusof pun berhasil dibawa keluar dari rumah birasnya itu sekalipun terpaksa melalui kawalan yang ketat”…

“Petang itu juga tiga orang wakil rakyat daripada PAS telah membuat pengisytiharan di hadapan wakil televisyen dan akhbar bahawa mereka sebenarnya masih tetap ahli PAS dan tidak jadi menyertai UMNO. Mereka ialah Ustaz Abdul Rahman Salleh, Encik Omar bin Muhammad dan Encik Yusof Latif. Manakala dua orang lagi, iaitu Encik Abdullah Yusoff (Speaker DUN) dan Encik Saufi Idris masih tetap dalam UMNO. Memanglah terlalu berat bagi mereka berdua ini untuk berpusing ke belakang kembali kerana penglibatan mereka dalam usaha menarik kawan-kawan lain daripada PAS telah begitu jauh mendalam, maka kekallah mereka dalam UMNO”…

Itulah antara fakta sejarah penting sepanjang perjuangan PAS yang dicatit oleh Dato` Mohd.Asri. Peristiwa ini juga ditulis oleh penulis sendiri bersama Allahyarham Ustaz Amaluddin Darus dalam majalah Siaran PAS Kelantan[6].

[1] Penulis diamanahkan sebagai pengarang dan penerbit majalah ini. [2] Bil.12 Tahun Pertama, Julai/Ogos 1968. [3] 3hb.Ogos 1968. [4] Memoir Asri Meniti Arus, hlm 73, 74, 75. [5] Penulis diamanahkan menjemput Encik Yusof Latif. [6] Siaran PAS Kelantan, bil.9 jilid iii, 1968 dibawa tajuk Kata dan Peristiwa mulai halaman 7,8,9 dan 11. ]

Begitulah kisahnya. Cubaan merampas Kerajaan PAS Kelantan, tetapi gagal setelah PERIKATAN (kerajaan Pusat) berjaya merampas Terengganu sebelumnya. Pemerintah Pusat tidak akan berdiam diri seterusnya membuat berbagai percubaan lagi di Kelantan. Kini mereka (sekarang BN) berjaya di Perak pula, dan saya yakin mereka akan terus berusaha di negeri-negeri lain yang dikuasai pembangkang.

Sebenarnya saya pernah dipanngil ke Kelantan untuk menemuramah tokoh-tokoh lama PAS, menulis kisah tersebut, dan sejarah PAS Kelantan setahun dua lepas, tetapi masih belum ada kesempatan. Sepatutnya satu team penulis sejarah PAS perlu digembelingkan.

Sekian. Allahu aklam.

ibnuhasyim.com
(e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com)
Feb 11, 2009. KL

Untuk mengetahui dan mengorek sejarah PAS anda boleh layari dalam blog ini…

1..Sejarah PAS siri 1 hingga siri 22 setakat ini.
2..Sejarah Politik B.Pulau siri 1 hingga siri 5.
3..Imbauan siri 1 hingga 8.
4..Dan banyak lagi, yang ada kaitan dengan sejarah.

2 comments:

Anonymous said...

Politik Lompat (PL) bukan perkara baru. Pengasas PL ialah koloni British zaman dahulu. Mereka praktik PL di Istana untuk mendiamkan para pembesar negeri. British kemudian dilantik sebagai penasihat dan guru kepada TAR dan UMNO yang baru nak belajar memerintah Malaya. PAS tak tahan dengan ajaran songsang ini lalu keluar Perikatan. Kiranya British & East India Co(the most corrupted company at that time!) adalah "Tok Ayah" kepada pucuk pimpinan UMNO. Budaya PL & Korup juga disemai kepada DSAI semasa zaman UMNOnya. Majoriti para pemimpin PKR berasal dari parti "kecewa UMNO".

Ungkapan "Once a Thief Will Always Be a Thief" dan "Once an UMNO Will Always Be an UMNO" amatlah sesuai untuk menggambarkan DSAI & bekas pemimpin UMNO dalam PKR. Cuba kira berapa ramai yang dah melompat keluar masuk UMNO-PKR!

Jangan biarkan darah UMNO dalam PKR menjadi barah di dalam PAS yang berintegriti dan berkepemimpinan mulia. Bila dah berjangkit terpaksalah anggota tubuh dipotong.

Yakinilah bahawa PAS akan lebih sukses tanpa PKR. Selagi "pakatan" dengan DAP dianggap simbiosis politik tanpa merosakkan ideologi Islam, nescaya PAS akan terus di mata rakyat. Wallahu Aklam.

Ibnu Hasyim said...

Juga suatu pandangan yang baik dan berani..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails