Thursday, September 04, 2008

Gadis Rusia: Di Tebing Sungai Volga..


Ibnu Hasyim: Catatan Santai


PADA bulan Ramadzan mulia ini, dalam suasana puji-pujian kepada Allah memenuhi jalanan bersalji, dari berpuluh-puluh menara masjid yang baru dibina, menyebabkan seseorang dari Moskow dengan mudah merasa bahawa dia bukan berada di Rusia lagi.

Allahu Akbar! Allahu Akbar!’ Itulah pujian-pujian kepada Allah pada tengahari Jumaat ini, satu suara lantang bergema di seluruh Kazan. Bandar terletak di tebing Sungai Volga yang membeku… Bandar yang susun aturnya, melahirkan sebuah imej dalam anggapan penduduk Rusia terhadap Volga sebagai ‘ibu tercinta, sungai Rusia’. Bandar tua masih mampu kelihatan seperti Rusia tua yang kurang dijaga dan dirawati.

Begitulah, kira-kira tulisan seorang yang menamakan dirinya ‘Abu Aqeedah’ kira-kira 10 tahun lalu. (di bawah judul ‘Mati Hanya Sekali, Jadikan Pada Jalan Allah.’- 06-06-1998). “Inilah suara iman yang sedang bangkit semula di bumi yang dianggap tanahair oleh Slavs di Moskow dan Vladivostok.” Tulis beliau lagi.

Malah, menurut penulis itu lagi, bagi kaum Tatar, penduduk utama kawasan ini, mereka tidak memanggilnya sungai Volga. Pada mereka, sungai ini adalah ‘Idel’, nama yang digunakan sejak zaman gemilang ketika Tatarstan ini jadi pemerintah Kazan. Pemusnahan ibu negara lama oleh 'Ivan the Terrible' pada 1552, diikuti pula dengan berkurun-kurun di bawah Tsar dan kemudian pemerintahan Komunis, tidak berjaya melenyapkan terus sebuah identiti budaya yang mengalu-alukan kejatuhan rejim Soviet.

Walaupun kebanyakan dari kaum Tatar ini tidak dapat bertutur dalam bahasa mereka sendiri dan hanya segelintir yang boleh membaca Al-Qur'an, tetapi yang menarik perhatian mereka kini adalah apa yang sedang berlaku 1400 Km di Selatan mereka, di bumi Caucasus. Walau apapun natijahnya, kebangkitan Islam yang melanda Rusia kini banyak dibentuk oleh kekerasan pihak Moskow kepada Chechnia yang menuntut kebebasan mereka.

Menurut Iskhak Lotfulla, seorang bekas pegawai tentera Soviet yang kini merupakan Imam di Masjid Zakabannaya, di Kazan ini…

Chechnia adalah kehendak Allah. Allah Yang Maha Kuasa mahu menunjukkan kepada kami bahawa sekiranya kami tidak menguatkan iman kami, kami akan terhina sebagaimana saudara-saudara kami terhina di Chechnia.”

Menurut mereka, kini sudah tiba masanya di mana hanya kata-kata Rasulullah SAW (hadith) menjadi sumber inspirasi di kalangan penduduk minoriti Rusia yang ingin kembali kepada cara kehidupan asal mereka. Kira-kira 200 Km di Timur Kazan, di bandar pembuatan trak Naberezhnye Chelny.. Fawziya Bairamova, 45 tahun, bersetuju dengan perkara ini, pemimpin Ittifak, sebuah parti nasionalis Tatar, berkata..

Kami telah cuba mengajak kepada semangat kesatuan Turki sebagai faktor penyatu untuk semua rakyat Rusia dari bangsa Turki, tetapi kami gagal. Sekarang, saya sedar, hanya dengan Islam kami akan berjaya."

Aku nukilkan tulisan yang sudah 10 berlalu di internet, untuk menggambarkan bahawa pemikiran seperti ini, berbeza langsung dengan pemikiran muda-mudi kawan-kawanku di universiti Moskow. Mungkin inikah sebuah pemikiran pengganas yang amat dibenci oleh pemerintah Rusia? Setelah ku kaji beberapa lagi tulisan seperti ini, barulah aku dapat jawapan, mengapa 5 tahun kemudian Presiden Rusia Vladimir Putin melawat Malaysia pada 17 Oktober 2003.

..Dan hadir pada persidangan ke 10 pertubuhan OIC di Putrajaya. Bahkan Rusia mohon jadi pemerhati dalam pertubuhan tersebut, dan diterima 2 tahun kemudian. Antara sebabnya, ialah Rusia perlu menyekat pemikiran Islam ala pengganas ini, dengan imbangan pemikiran Islam yang anti kepengganasan seperti di negara Malaysia, dan yang se faham dengannya..

Sekian coretan dari Moskow untuk kali ini...


ITULAH e-mail yang dihantarkan kepada Ibnu Hasyim untuk catatan santai, dari seorang gadis Katholik Kristian, di sebuah universiti di Rusia. Sekian, wallahu ‘aklam. Insya Allah bersambung.

Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com)
September3, 08. KL.

1 comment:

azzakwan said...

salam aleiyk.. bagaimana keadaan gadis tu sekarang?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails