Monday, September 01, 2008

Gadis Rusia: Mengapa Aku Minat Sejarah Islam?


Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:


APABILA rakan-rakan sebayaku mengetahui aku mengenali Islam melalui seorang pemuda Rusia yang baru pulang dari Saudi Arabia, dan memilih Islam sebagai cara hidupnya, mereka mula menjauhi diri dariku. Mereka seolah-olah curiga denganku. Aku jadi hairan, bilaku tanya, mengapa? Kata mereka, jangan dekati ‘pengganas’.

Aku mulai benci dan muak dengan sikap sosial muda-mudi Rusia. Bila ada pemuda-pemuda itu cuba mendekatiku, ku katakan kepada mereka, aku sudah ditunangkan dengan lelaki Islam. Menyebabkan mereka terus menjauhiku, dan menambah lagi curiga mereka. Inilah antara penyebab mengapa aku minat mengkaji sejarah kedatangan Islam di Rusia? Tertanya-tanya aku bagaimana dan mengapa begitu hebat Islam...

Terbaca aku, kisah penemuan harta karun di Rusia... antaranya mengandungi wang syiling Arab abad ke 8. Itu menjadi bukti bahawa pada masa itu Rusia telah menjalin hubungan dagang dengan orang Arab. Dalam catatan seorang ahli geografi masa itu, bernama Ibn Hardadbeh, terdapat pedagang ‘ar-rus’ yang membawa dagangan mereka ke Black dan Caspean Sea. Jadi hubungan pertama penduduk Rusia dengan dunia Islam, sebenarnya telah bermula antara abad ke 8 hingga ke 9.

Ada hubungan yang bersifat penentangan bersenjata, perdagangan, atau budaya, politik dan ekonomi. Bangsa Khazar yang selain agama Yahudi menganut agama Islam juga. Bangsa Cuman dan Bulgars menjadi bangsa-bangsa pertama yang memperkenalkan Islam kepada kepada Rusia zaman kuno. Setelah kejatuhan Khazar Khaganate pada abad ke 10, hampir seluruh kawasan Sungai Volga menjadi kawasan takluk orang Islam dari Khwarezm.

Waktu penaklukan Tartar-Mongol pada tahun 1237, Vladimiro-Suzdel Rus serta sebahagian besar dari Kievan Rus dimasukkan dalam Empire Mongol, dan setelah perpecahannya, dimasukkan ke dalam Golden Horde pula. Pada tahun 1256 (setelah 16 tahun penaklukan Rus) Muslim pertama Khan Barke telah naik tahta di Golden Horde. Namun sepenuhnya, Islam mula dianuti di situ pada tahun 1312 apabila Khan Usbek berjaya mengIslamkan semua penduduk kerajaan itu.

Sejak itu antara Rus yang beragama Kristian dan Horde yang beragama Islam, boleh dikatakan ada hubungan secara simbiosis. Walaupun Rus Kristian ditakluki Horde yang Islam, namun Rus tetap menganut agama Kristian. Malah ramai orang-orang kaya dari kalangan Mongol-Tartar yang enggan menganut Islam berhijrah ke Rusia dan menjadi pengasas keluarga elite di Rusia. Contohnya, dikatakan pada tahun 1329 Tzar Rusia, Ivan Kalita pernah mengupah Murza Cheta. Murza Cheta adalah dipercayai moyang kepada Boris Godunov, iaitu Tzar Rusia antara 1598-1622.

Pada tahun 1480, walaupun kerajaan Golden Horde telah jatuh, namun Rusia kini dikelilingi oleh negara-negara Islam. Penduduk dari bangsa Tartar pula mula menduduki Moscow pada awal abad ke 15. Jumlah mereka semakin meningkat. Mereka mempunyai beberapa kawasan khas di sini, utamanya Zamockvorechye. Kini, di sini terdapat sebuah masjid bersejarah. Pun sudah dibuka semula. Walaupun Rusia pernah menakluki Kazan, Astrakhan dan Siberian Khanates, namun nisbah kuasa mereka telah mula berubah.

Setelah kerajaan mula membabtiskan penduduk Tartar yang menganut Islam, mereka mula pindah dari kawasan Volga ke kawasan Ural dan menambah pengaruh penduduk Islam di situ. Sejak itu hubungan Rusia dengan dunia Islam mencatatkan banyak peperangan. Contohnya, Russo-Turkish War, Russo Iranian War dan Russo Caucases War. Semua ini merupakan tunggak sejarah pembentukan Rusia dan sikapnya terhadap Islam. Apakah tunggak ini menimbulkan masalah? Bagaimana tindakan seterusnya Rusia terhadap Islam?

Tiba-tiba seluruh dunia terkejut, kira-kira 5 tahun lalu Presiden Rusia Vladimir Putin melawat Malaysia pada 17 Oktober 2003, dan hadir pada persidangan ke 10 pertubuhan OIC di Putrajaya. Bahkan Rusia mohon jadi pemerhati dalam pertubuhan tersebut, dan diterima 2 tahun kemudian. Mengapa tiba-tiba Rusia seolah-olah jadi beralih arah begitu? Inilah yang menarik. Mengapa negara bekas Soviet ini ingin menjalin hubungan baik dan ingin berkerjasama erat dengan dunia Islam, dunia yang ramai rakyatnya diasuh dengan anggapan pengganas?!

Apa hubungan 2 agama utama Kristian Katholik dan Islam di Rusia? Bukan sahaja menarik perhatian dunia, bahkan menarikku untuk menelusuri sejarah Islam di Rusia. Dalam tulisan akan datang kita sama-sama mencari jawapannya...


ITULAH e-mail yang dihantarkan kepada saya (Ibnu Hasyim) oleh seorang gadis Katholik Kristian, dari sebuah universiti di Rusia. Maaf, setakat ini beliau tidak mahu namanya disebutkan...

Sekian catatan santai untuk kali ini, wallahu ‘aklam. Insya Allah bersambung.

Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
September1, 08. KL.

1 comment:

ibnuMarwan said...

Alhamdulillah..semoga sinar Islam terus bersinar..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails