Sunday, May 18, 2008

Ir Khalid Abd Samad: Bukan Duniawi Sahaja...


Ibnu Hasyim:
Catatan Santai

KITA sedutkan pula sebagian dari ucapan Ir Haji Khalid Abd Samad adik kepada Menteri Kabinet Dato’ Sahrir Abd Samad. Beliau adalah Ahli Parlimen Shah Alam dari PAS, berucap di Dewan Rakyat Parlimen ke 12 Penggal Pertama, Mesyuarat Pertama Bil 9, Selasa 13 Mei 2008, semasa membahaskan junjung kasih ucapan dan Titah Yang Dipertuan Agong bermula pada jam 3.17 petang. Inilah ucapan beliau yang disunting dari laman web Parlimen Malaysia…


{“Pada hakikatnya, rakyat menyedari kebenaran dakwaan pihak Pakatan Rakyat kerana seperti mana peribahasa Melayu ‘Ada bau, ada bangkainya’ dan bau dari bangkai rasuah dan pembaziran Kerajaan Barisan Nasional telah memenuhi udara Malaysia sehingga ramai dari rakyat Malaysia telah menyatakan, enough is enough. [Tepuk] Kalau ada yang mengelirukan rakyat Malaysia... ...ianya adalah pihak Barisan Nasional...


...Melalui media yang dikuasai mereka yang mana telah menyelamatkan mereka untuk kali ini buat seketika. Sudah pasti sekiranya Barisan Nasional menghormati rakyat dan menghormati dasar-dasar demokrasi yang mewajibkan media yang adil dan bebas... ...merupakan ucapan sayonara kepada Barisan Nasional. Bagi kami dari PAS... [Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman YB Pasir Salak cuba mencelah] ...sukar diterima adalah pembelaan, penyelewengan dan rasuah ini dengan bertopengkan Islam.


Walaupun Islam Hadhari itu bukan anutan kami, begitu banyak lips service yang diberi terhadap Islam dan usaha-usaha meninggikan syiarnya semata-mata... ...sedangkan apa yang dituntut dan ditegaskan langsung tidak dihiraukan Kerajaan Barisan Nasional. Rasulullah SAW telah bersabda [Membaca sepotong ayat] ‘perasuah dan penerima rasuah di dalam neraka’ yang secara jelas menunjukkan sikap tiada kompromi terhadap amalan rasuah yang ditunjukkan oleh Islam namun rasuah terus ditegakkan dan dipertahankan oleh Barisan Nasional.


Sambil itu ada pula Yang Berhormat Barisan Nasional yang ingin mengambil berat soal murtad yang menimpa umat Islam di negara ini. Tidakkah jelas kepada mereka bahawa di antara faktor yang menyumbang kepada berlakunya murtad ini adalah kegagalan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional UMNO khususnya untuk menzahirkan corak kepimpinan yang menghayati Islam yang boleh dibanggakan oleh umat Islam? Gejala murtad ini akan dapat ditangani secara lebih berkesan sekiranya pemimpin di kalangan umat Islam menghayati sepenuhnya ciri-ciri kepimpinan Islam seperti adil, telus, amanah, berkebajikan, serta takut akan kemurkaan Allah.


Kemunculan kepimpinan sedemikian akan menambah kukuhnya keyakinan terhadap kebenaran Islam dan kemampuan Islam di kalangan umat Islam itu sendiri. Pentingnya soal pemimpin dalam soal ini jelas mengikut sebuah hadis [Bacaan hadith dalam bahasa Arab] ‘Manusia kebanyakan akan berada atas agama pemimpin-pemimpin mereka.’ Inilah sebab mengapa kepimpinan penting dalam Islam. Bukan sekadar pembangunan duniawi tetapi juga untuk menjaga kepentingan ukhrawi. Sambil itu usaha mendidik umat Islam perlu dijalankan tanpa apa-apa sekatan kepentingan politik.


Sebaliknya Barisan Nasional mengongkong Islam dengan mengenakan sekatan demi sekatan ke atas usaha membangunkan kefahaman Islam yang mantap di kalangan rakyat Muslim demi kepentingan politik UMNO sekolah-sekolah agama terabai, guru-guru agama diskriminasi dengan bayaran gaji yang rendah dan institusi-institusi seperti masjid dan surau dikongkong dan dikekang mengikut kepentingan UMNO. UMNO khuatir sekiranya rakyat Islam celik Islam, mereka akan menyokong PAS. Sebagai contoh sekiranya ingin melihat komitmen UMNO-Barisan Nasional terhadap pengajian Islam…


Bandingkanlah jumlah pelajar hafiz yang dibiayai, yang dihantar oleh Kerajaan Negeri Kelantan yang melebihi 1,000 pelajar setahun dengan jumlah dihantar oleh Kerajaan Barisan Nasional Selangor sebanyak 84. MasyaAllah ramainya! Sekolah-sekolah tahfiz di negeri Selangor yang berjumlah lebih dari 100 buah selama ini tidak diiktiraf dan tidak juga dibantu oleh Kerajaan Negeri Selangor-Barisan Nasional walaupun satu sen, sehingga naiknya Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di negeri Selangor baru-baru ini. Gejala murtad ini adalah gejala krisis keyakinan dan ianya tidak boleh ditangani melalui undang-undang semata-mata.


Undang-undang boleh melambatkan proses ini tetapi ianya bukan penyelesaian. Memilih pendekatan undang-undang memberikan gambaran yang negatif terhadap Islam seolah-olah Islam tidak mampu menangani krisis keyakinan ini melainkan dengan paksaan. Kecenderungan Barisan Nasional ke arah paksaan jelas apabila ISA itu sendiri yang merupakan undang-undang yang zalim dan bercanggah dengan prinsip keadilan Islam dipertahankan dengan menggunakan hujah-hujah yang meleset dan mengelirukan. Pendekatan paksaan adalah pendekatan golongan bankrap idea, bankrap hujah dan bankrap moral.


Saya ingin menyatakan syabas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang telah beberapa kali menyatakan hasrat beliau untuk mencontohi corak kepimpinan Umar bin Abdul Aziz. Saya ingin menyatakan dengan izin shame on you kepada UMNO-Barisan Nasional yang walaupun kecoh dengan retorik Islam Hadharinya tetapi hingga hari ini masih gagal menzahirkan kepimpinan seperti yang... [Tuan Yang di-Pertua mengingatkan masa cuma ada dua minit lagi] .....diperlukan oleh umat Islam. Saya doakan semoga kesedaran yang seperti mana yang ditunjukkan oleh Yang Berhormat Ketua Menteri Pulau Pinang akan dihayati juga oleh UMNO.


Saya juga terhibur dan inilah di antara sebab kenapa saya senyum. Yang Berhormat Pasir Salak tidak tahan tengok saya senyum. Dengan tayangan semangat kebangsaan... [Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman dari Pasir Salak mencelah, “Bagilah chance tanya dulu kalau...” tapi dipotong oleh Yang di-Pertua Dewan “Yang Berhormat Pasir Salak sebelum bercakap minta izin dulu!”] Yang berkobar-kobar oleh Ahli-ahli Parlimen UMNO apabila soalan DEB dibahaskan. Tambah dua minit lagi ya Tuan Yang di-Pertua, kerana dia ganggu!


[Dato’ Haji Tajuddin menjawab, “Dia sebut saya, saya mesti la respons”. Kata Yang di-Pertua Dewan, “Satu minit lagi Yang Berhormat, satu minit. Tidak apalah kawan-kawan, tidak apa. Satu minit lagi Yang Berhormat.”] Saya juga terhibur dengan tayangan semangat kebangsaan Melayu yang berkobar oleh Ahli-ahli Parlimen UMNO apabila persoalan DEB dibahaskan. Sebenarnya DEB telah lama diabaikan oleh UMNO Barisan Nasional dan telah lama secara senyap-senyap ditukarkan dengan satu dasar lain yang dinamakan DEC atau DEK iaitu Dasar Ekonomi Kroni. Laungan DEB hanya merupakan laungan berkepentingan politik yang bertujuan menimbulkan perasaan takut di kalangan masyarakat Melayu dan perasaan saling khuatir mengkhuatiri di antara kaum.




Terakhir, saya hendak gulungkan. Saya hendak bagi tahu untuk makluman Ahli Dewan saya telah berada di sebuah negara kecil iaitu Bahrain pada tahun 2005. Ini pasal hendak ambil seminit. Harga minyak petrol di Malaysia pada masa itu RM1.60 satu liter di Bahrain RM0.80 satu liter. Kerajaan Bahrain menjelaskan bahawa harga minyak di pasaran antarabangsa adalah harga untuk menjual ke pelanggan antarabangsa. Bukan untuk rakyat negaranya sendiri kerana rakyat adalah pemilik sebenar harta negara ini.


Baru-baru ini, tahun ini sahabat rapat saya iaitu isteri saya telah ke Bahrain. Dia menceritakan bahawa bukan sekadar harga minyak di stesen minyak kekal pada harga sama tetapi Kerajaan Bahrain memberikan bantuan kepada rakyat melalui kenaikan gaji sebanyak RM41... [Tuan Yang di-Pertua Dewan menyindir, “Terima kasih Yang Berhormat, lain kalilah kita cerita hal Bahrain.”] Sikit saja, pasal dia ganggu tadi. Terima kasih saya mencadangkan menyokong!”}


Itulah bezanya PAS dengan parti-parti secular lain, perjuangannya bukan semata-mata untuk duniawi semata-mata sahaja, tetapi disegandingkan dengan khidupan akhirat. PAS tidak lepas dari menangani soal murtad, soal ilmu berasaskan Islam seperti tahfiz dan lain-lain.


Sekian catatan dari Parlimen Malaysia, wallahu ‘aklam.


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 17-05-08. KL.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails