Monday, May 19, 2008

3 Isu Dari Teresa Kok


Ibnu Hasyim:

Catatan Santai


KITA pilih pula pandangan Puan Teresa Kok Suh Sim Ahli Parlimen Siputeh Wilayah Peersekutuan dari DAP. Beliau berucap di Dewan Rakyat Parlimen ke 12 Penggal Pertama, Mesyuarat Pertama Bil 9, Selasa 13 Mei 2008, mulai jam 11.37 malam. yang disunting dari laman web Parlimen Malaysia…


{ “ … Oleh kerana kesuntukan masa, yang mana saya hanya diberi 10 minit sahaja untuk berucap, saya ingin terus masuk ke tajuk yang saya ingin bentangkan.


Isu pertama ialah berkenaan dengan projek Government Integrated Radio Network (GIRN). Mesyuarat Kabinet pada 6 Disember 2006 memutuskan bahawa projek Government Integrated Radio Network (GIRN) dianugerahkan kepada Sapura Research Sdn. Bhd. Persoalan saya ialah, adakah proses penganugerahan dibuat secara telus? Kenapa ianya hanya dibuat secara rundingan terus sedangkan agensi-agensi terlibat telah banyak menyoal isu teknikal Sapura. Apakah ini benar bahawa projek GIRN melibatkan kos yang melebihi RM5 bilion bagi tempoh konsesi 20 tahun.


Saya terima maklum balas daripada pengusaha industri tersebut bahawa projek tersebut hanya memerlukan kos yang kurang daripada RM2 bilion sahaja. Beberapa syarikat telah menghantar kertas cadangan skop kerja yang sama dengan Syarikat Sapura kepada EPU tetapi cadangan mereka langsung tidak dipertimbangkan. Apakah ini menunjukkan bahawa berlakunya ketirisan yang ketara dalam projek ini? Tuan Yang di-Pertua, saya difahamkan pada peringkat awal projek ini diberi kepada Special Purpose Vehicle (SPV) yang melibatkan beberapa agensi seperti EPF, Amanah Raya, Koperasi Polis dan LTAT.


Kenapakah ia kemudian dianugerahkan kepada Sapura, sebuah syarikat persendiria? Kenapakah pihak EPU terus menganugerahkan projek ini kepada Sapura tanpa kira tentangan daripada agensi-agensi terlibat, khususnya bantahan daripada Polis Diraja Malaysia yang menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap projek-projek GIRN kerana ia tidak sesuai bagi mereka. Tuan Yang di-Pertua, dalam jawapan Parlimen yang diberi oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kepada saya berkenaan dengan isu ini pada 12 Mei, ia berbunyi…


“Perjanjian penswastaan GIRN telah ditandatangani pada 4 Januari 2007 dengan kos projek yang dianggarkan sebanyak RM2.7 bilion. Jumlah tersebut adalah termasuk kos sewaan rangkaian sebanyak RM1,833 juta dan RM956.1 juta kos penyenggaraan bagi lima tahun pertama untuk tempoh konsesi selama 20 tahun.”


Soalannya, kos RM2.7 bilion cuma untuk peralatan dan kos penyenggaraan selama lima tahun sahaja tetapi konsesi GIRN adalah selama 20 tahun. Bagaimanakah kos penyenggaraan bagi baki 15 tahun berikutnya. Kenapakah kos penyelenggaraan 15 tahun ini tidak dimasukkan ke dalam kontrak nilai tersebut. Apakah ini merupakan kos tersembunyi ataupun hidden cost yang belum didedahkan bagi projek ini. Selain itu, saya juga meragui jawapan tersebut yang menyatakan, tawaran Sapura memberi litupan ke seluruh negara.


Saya difahamkan, dalam Kertas Cadangan Sapura, kawasan liputan Sapura hanya sekitar 60% sahaja manakala bagi PDRM kawasan liputan seluruh negara termasuk liputan yang merangkumi lebih daripada 95%. Soalannya ialah, kenapakah setelah kontrak ditandatangani selama 6 bulan, jumlah base station ditambah dua kali ganda untuk liputan Semenanjung Malaysia iaitu daripada 446 base station kepada lebih daripada 700 base station.


Bukankah ini merupakan kenaikan kos ataupun hidden cost bagi kerajaan. Jawapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kepada saya telah menjustifikasikan penggunaan GIRN, juga ia menyebut bahawa..


”Autonomi bagi agensi yang mana setiap agensi dapat mengendalikan kumpulan pengguna masing-masing melalui pengurusan dan pusat dispatch agensi masingmasing.”


Masalahnya mengikut Kertas Cadangan Sapura, Sapura akan mengawal dan menguruskan rangkaian tersebut. Di manakah autonomi bagi pihak agensi kerajaan dan PDRM dalam sistem ini. Selain itu, jawapan tersebut juga..., mengenai sistem, Sapura juga sebut bahawa sistem GIRN mempunyai ciri keselamatan yang tinggi seperti ‘user authentification’, air interface encryption dan end to end encryption bagi menjamin keselamatan suara dan data dari diintip oleh pihak ketiga. Tuan Yang di-Pertua, mengikut Pengurus Industri, teknologi ini tiada kemudahan end to end encryption.


Ini adalah di antara sebab kenapa Ketua Polis Negara ataupun PDRM tidak setuju dengan penggunaan rangkaian radio tersebut yang dikemukakan oleh pihak Sapura. Tuan Yang di-Pertua, di sini saya ingin minta pihak kerajaan untuk memberitahu Dewan yang mulia ini, siapakah yang membuat penilaian teknikal untuk projek ini. Apakah pihak agensi kerajaan seperti MAMPU terlibat dalam penilaian teknikal ataupun penilaian hanya dilakukan oleh syarikat yang diragui ketelusan.


Selain itu, jawapan diberi oleh Perdana Menteri tersebut berkata bahawa PDRM telah bersetuju untuk menggunakan GIRN. Ini adalah kenyataan yang tidak benar. Saya difahamkan bahawa Ketua Polis Negara pernah menghantar surat bantahan terhadap penggunaan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Keselamatan Dalam Negeri pada 5 Disember 2006 dan kepada Unit Perancang Ekonomi pada 10 Disember 2007. Di antara alasan bantahan yang dikemukakan oleh PDRM ini ialah, sistem GIRN ini tidak dapat memberi autonomi sepenuh kepada PDRM dan kemungkinan akan berlaku kebocoran maklumat.


Oleh itu saya ingin mencadangkan pihak kerajaan melalui EPU dan MAMPU melantik pihak ketiga untuk mengkaji semula Perjanjian Kontrak Konsesi GIRN yang telah dianugerahkan kepada Syarikat Sapura khususnya kajian dari segi kesesuaian teknologi yang digunakan dan juga harga kontrak yang ditawarkan kepada mereka. Ini adalah untuk memastikan tidak berlakunya ketirisan dan tiada hidden cost serta menjamin keselamatan negara.


Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membangkitkan isu kedua ialah masalah teksi bajet, KLIA dan LCCT. Yang Berhormat Segambut dan saya pernah berjumpa dengan sekumpulan pemandu teksi bajet LCCT yang mengadakan tunjuk perasaan di hadapan LCCT pada bulan lepas. Bantahan para pemandu teksi bajet ini adalah pertama, 70% daripada pemandu teksi di kalangan 20,000 pemandu teksi di Lembah Klang, terpaksa menyewa ataupun membeli teksi daripada syarikat-syarikat kroni Barisan Nasional.


Sedangkan permohonan permit teksi persendirian telah pun dibeku sejak tahun 2006. Jadi soalan mereka ialah, kenapakah pihak kerajaan membiarkan syarikat-syarikat besar untuk mengeksploitasi mereka manakala pemandu teksi yang mencari nafkah dinafikan permit teksi individu sehingga mereka terpaksa menjadi hamba abdi kepada syarikat-syarikat kroni Barisan Nasional yang dikawal oleh ahli-ahli politik Barisan Nasional. Dan mereka dipaksa membayar sewa teksi yang lebih kurang RM20 lebih tinggi sehari kepada syarikat-syarikat kroni Barisan Nasional tersebut.


Bantahan mereka yang kedua ialah pihak LPKP tidak mengenakan kawalan kereta dalam pasaran pengangkutan awam di lapangan terbang. Sekarang pemandu teksi bajet lapangan terbang terpaksa menghadapi saingan daripada kenderaan lain seperti van, bas AirAsia, bas yang diluluskan oleh Kementerian Pelancongan, limousin hotel, limousin KLIA dan juga teksi sapu persendirian. Jadi, pewujudan kesemua teksi dan bas ini menunjukkan para agensi kerajaan seolah-olah hilangnya koordinasi dan seolah-olahnya lebih mementingkan keuntungan syarikat kroni Barisan Nasional daripada pemandu teksi yang mencari makan....


Jadi akhirnya, saya ingin menyeru pihak kementerian untuk mendengar rintihan daripada pemandu teksi bajet sebelum mereka datang protes ke Parlimen, dengan menghentikan pengeluaran permit teksi kepada syarikat kroni Barisan Nasional, tetapi permit teksi harus diberi kepada kesemua pemandu teksi individu.


Akhirnya Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat.... ...Menteri Perumahan..., sedikit sahaja, ..Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang baru yang mewarisi jawatan daripada adiknya, berkata bahawa... Beliau hanya akan mengkaji kemungkinan untuk mengadakan Pilihanraya Kerajaan Tempatan. Jadi saya ingin tanya, apakah masalah yang menegah kerajaan untuk mengadakan Pilihanraya Kerajaan Tempatan dan apakah pihak kementerian telah menetapkan jadual ataupun time-line untuk mengadakan Pilihanraya Kerajaan Tempatan...


Supaya rakyat boleh memilih Datuk Bandar dan juga Ahli Majlis Kerajaan Tempatan... Dengan menggunakan undinya sendiri. Memandangkan kita sudah lima negeri telah pun dikawal oleh parti yang bukan daripada Barisan Nasional, dari Pakatan Rakyat... Jadi kalau adanya Pilihanraya Kerajaan Tempatan, jadi ahli-ahli politik dari Barisan Nasional juga boleh bertanding. Jadi saya cadangkan untuk kebaikan bagi negara dan juga demokrasi adalah lebih baik kerajaan memulihkan Pilihanraya Kerajaan Tempatan... Untuk memulangkan undi ketiga kepada rakyat. Sekian, terima kasih.” }


Sekian catatan dari Parlimen Malaysia, wallahu ‘aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 17-05-08. KL.

5 comments:

SYAHAMIN said...

Assalamualaikum...

saya cuma nak betulkan, Teressa Kok belum kahwin, jadi bole dipanggil Cik Teressa Kok aje...

thanks.

Ibnu Hasyim said...

Oh.. begitu. Terima kasih.

rem58 said...
This comment has been removed by the author.
Faz Fazrin said...

betul2, sokong2

Anonymous said...

http://bloggers.com/employee/talks

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails