Monday, May 19, 2008

Dr Siti Mariah: Bunuh Tulisan Jawi, Bunuh Bahasa Melayu..


Ibnu Hasyim:
Catatan Santai


BANYAK isu-isu yang dikemukakan oleh Dr Siti Mariah binti Mahmud, Ahli Parlimen Kota Raja Selangor, dalam ucapan di Dewan Rakyat Parlimen ke 12 Penggal Pertama, Mesyuarat Pertama Bil 9, Selasa 13 Mei 2008, mulai jam jam 5.04 petang itu, tetapi kita muatkan sebahagian sahaja. Antaranya…


{ “Tuan Yang di-Pertua, saya ingin bergerak kepada satu lagi topik iaitu isu bahasa. Saya bekas tenaga pengajar UKM. Pada 18 Mei, UKM akan menyambut sempena 38 tahun penubuhannya. Universiti Kebangsaan Malaysia telah banyak berjasa kepada negara. Di antara matlamat penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia adalah untuk memartabatkan bahasa Melayu itu sendiri. Selama 13 tahun saya di sana, saya melihat sendiri dan terlibat dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Tidak ada satu subjek atau satu kursus pun yang tidak dapat diajar di dalam bahasa Melayu.




Kita ada istilah bahasa untuk semua kursus dan setiap kursus mampu diajar hampir 100% di dalam bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan yang telah diterima oleh semua bangsa di dalam negara kita sebagai bahasa Malaysia. Akan tetapi langkah kerajaan kita meletakkan program pengajaran sains dan matematik di dalam bahasa Inggeris, kononnya bahasa Inggeris itu adalah satu bahasa yang penting untuk ilmu dalam dunia yang bersifat global ini. Saya tidak menafikan kepentingannya, namun apabila kita menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar sains dan matematik, ini bermakna apabila penuntut-penuntut sampai ke peringkat universiti mereka sudah tak ada lagi kemampuan untuk belajar, dan mungkin kemudian Universiti Kebangsaan Malaysia tidak lagi boleh mengajar di dalam Melayu.


Maka kita dengan sendirinya, UMNO dengan sendirinya seperti apa yang telah mereka lakukan kepada tulisan jawi, telah membunuh tulisan jawi dan kini kita dalam proses untuk membunuh bahasa Melayu itu…. [Tepuk] Yang Berhormat sekalian, kita tidak menafikan bahasa Inggeris itu bahasa yang penting. Saya sendiri sebelum menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia berfikir di dalam bahasa Inggeris kerana saya datang daripada aliran Inggeris, tetapi oleh kerana rasa di dalam hati patriotisme yang kita ada, saya sanggup mempelajari semula semua istilah perubatan di dalam bahasa Melayu dan saya mampu melakukannya.




Jadi saya harap, janganlah kita memberi apa yang dikatakan dengan izin, double whammy atau double jeopardy kepada anakanak kita yang boleh memahami sains dan matematik lebih baik dengan bahasa ibunda. Kajian telah menunjukkan bahawa untuk kita belajar mata pelajaran yang abstrak seperti matematik dan sains, adalah lebih baik kita belajar dengan bahasa ibunda dan bukan bahasa asing, kerana anak-anak kita terpaksa daripada Darjah 1, pertama untuk memahami, kedua menterjemahkan pula bahasa itu di dalam otaknya untuk memahami apa yang diperkatakan di dalam kedua-dua mata pelajaran ini.


Maka kita telah memberi kesukaran yang amat sangat kepada mereka, tambahan di luar bandar ibu bapa tidak mampu untuk menolong mereka dalam sains dan matematik, apa lagi di dalam bahasa Inggeris. Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian kalau kita katakan, bahawa kita perlukan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar untuk mata pelajaran matematik dan sains, supaya sains dan teknologi kita capai kepada satu tahap yang tinggi, maka saya ingin bertanya.. Adakah negara-negara maju lain seperti Germany, Perancis, Jepun, Korea dan banyak lagi negara-negara lain China, Taiwan mengajar matematik dan sains di dalam bahasa Inggeris?


Tidak! Kalau kelemahan bahasa Inggeris itu adalah disebabkan oleh kelemahan metodologi pengajarannya, maka perbaikilah metodologinya. Sekiranya kelemahan dalam bahasa Inggeris itu tidak cukup gurunya, maka tambahlah gurunya. Bukan kita mendaulatkan atau membesarkan bahasa Inggeris dan kemudian membunuh bahasa Melayu. Kalau kita tidak melakukan sesuatu dari sekarang, maka dalam 10 tahun lagi anak-anak Melayu, anak-anak Cina, anak-anak India, anak-anak Kadazan tidak akan mengetahui istilah-istilah sains, matematik, fizik dan sebagainya di dalam bahasa Melayu.


Jadi saya mohon Kementerian Pelajaran membuat perubahannya sekarang. Janganlah mengambil 50 tahun seperti yang kita lihat, apa yang berlaku dengan tulisan jawi. Walau banyak mana pun kita bagi naskhah Utusan Melayu dengan percuma, kita tidak dapat menghidupkan kembali tulisan jawi itu sendiri….


Insya-Allah. Tuan Yang di-Pertua, satu isu lagi adalah, saya nak sebut sedikit mengenai doktor-doktor ataupun perkhidmatan kesihatan. Walaupun pun, saya mendapat jawapan daripada Kementerian Kesihatan bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk menswastakan perkhidmatan perubatan dan kesihatan, namun tindak-tanduk kerajaan sedikit demi sedikit yang kita tahu telah menswastakan pembekalan ubat-ubatan. Telah menswastakan perkhidmatan kejuruteraan. Telah menswastakan khidmat ambulan dan telah menswastakan kebanyakan perkhidmatan-perkhidmatan hospital. Dan terakhir sekali ialah menswastakan sebahagian daripada perkhidmatan doktor pakar itu sendiri.


Kita telah bermula di Hospital Selayang dan Hospital Putrajaya. Jadi kalau kita bayangkan doktor-doktor pakar ini, siapa jadi doktor dia tahu. Kalau dia jadi pakar dia bukan sahaja merawat pesakit, dia juga mengajar doktor-doktor pelatih, dia juga mengajar penuntut-penuntut perubatan. Bila masanya dia hendak melihat pesakit-pesakit swasta ini? Jawabnya, selepas waktu kerja. Dan kita tahu apabila seseorang itu mula bekerja daripada pukul 8.00 pagi hingga pukul 4.30 petang, disambung sampai pukul 7.00 malam, maka dia mesti mengekalkan endurance stamina dia. Maka, apa akan berlaku? Dia akan slow down, dia akan perlahan di dalam aktivitinya daripada pukul 8.00 pagi hingga pukul 4.30 petang.


Tanyalah di sini semua. Itulah sebabnya kita lihat kadang-kadang, pekerja-pekerja kilang ataupun pekerja- pekerja kerajaan juga sedikit masa dahulu buat kerja lambat semasa waktu pejabat kerana hendak ambil overtime kerana overtimenya ada bayaran…. Jadi inilah sinonim atau analogi yang ingin saya berikan. Sekarang ini, saya kena sebut ini, dengan penswastaan ataupun kita mengatakan dengan promosi kerajaan untuk mewujudkan pelancongan kesihatan maka brain drain ataupun dengan izin, doktor-doktor pakar ini akan berhijrah kepada pihak swasta kerana ganjaran di sana lebih baik.


[Timbalan Yang di-Pertua Dewan, Datuk Ronald Kiandee memberitahu masa berucap untuk Dr Mariah sudah habis.] Baik! Sebenarnya kami telah mengemukakan gerakan membantah perkhidmatan penswastaan. Perkhidmatan kesihatan telah menyampaikan memorandum kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebelum pilihan raya lagi, minta perkara ini dibincangkan sehalus-halusnya, selumat lumatnya, tetapi Perdana Menteri yang selalu berkata..


“Saya sedia mendengar, telinga saya besar!”


Tidak sekalipun mahu berjumpa gabungan NGO yang mempunyai 60 NGO… Kalau inilah yang ditunjukkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, kami menangis dahulu bagi pihak tuan-tuan dan puan-puan. Sebenarnya banyak lagi, saya harap kawan saya akan sambung. Wabillahi taufik, wassalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh.”}


Begitulah pandangan, saranan dan keluhan Dr Siti Mariah mewakili rakyat jelata kepada PM yang mengakui sendiri bertelinga besar.. Tetapi apa guna besar kalau tidak mampu mendengar.. Sekian catatan dari Parlimen Malaysia.



Wallahu ‘aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 17-05-08. KL.

1 comment:

Anonymous said...

Asalamualaikum,
Dr Mariah sebagaimana YB wanita PAS yang lain terutama di Selangor dan WP telah menunjukkan profesionalisme yang tinggi dan mampu menggerakkan wanita Islam di Malaysia.
Harapan saya semasa muktamar PAS tahun ini annti, kumpulan elit ini dapat bergabung ide dan tenaga dengan muslimah PAS graduan Timur Tengah bagi memastikan muslimat PAS kelak mendominasi pemikiran dan menjadi panduan wanita Melayu di seluruh negara.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails