Saturday, March 15, 2008

Kerjasama BN/Anwar, Surat Peribadi Mukhriz Mahathir..



Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:


UNTUK dapatkan kemenangan selesa, iaitu kemenangan 2/3 di parlimen bagi BN,( iaitu 2/3 dari 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, adalah sebanyak 148 kerusi) sedangkan BN kini memiliki 140 sahaja, maka BN perlu jalinkan hubungan kerjasama sekurang-kurangnya dengan salah satu dari parti-parti pembangkang yang menang, atau individi-individu dari parti tersebut yang boleh di’curi’ atau di’beli’ sokongan dan kerusinya.

Parti-parti yang menang itu, ialah Keadilan 31 P (kerusi Parlimen) & 40 N (kerusi Dewan Undangan Negeri) , DAP 28 P & 73 N, PAS 23 P & 83 N dan Bebas 0 P & 2 N. Oleh itu kalau BN nak selamat, BN kena cepat-cepat bertindak, sebelum pihak pembangkang bertindak dulu merampas parlimen dan menukar PM seperti dalam tulisan terdahulu ‘Teori Anwar Jadi PM Beberapa Bulan Lagi...’

Selepas tulisan itu keluar, ada seseorang memberitahu saya bahawa usaha-usaha sedang dijalankan ke arah itu, contohnya tawaran kepada parti-parti politik di Sabah seperti dalam komen pembaca di Tranungkite.Net (Iaitu tawaran royalti minyak yang lebih & satu jawatan TPM untuk Sabah) dan beberapa lagi. Tetapi dalam cubaan pertahankan negeri Perak nampaknya tindakan BN cukup cepat.

Saudara Tarmizi Mohd Jam pengendali Blog Sanggah Tok Sago menceritakan pada saya bagaimana beliau diminta jadi orang tengah dalam cubaan mem’beli’ 2 ADUN PAS di Perak. Alhamdulillah, nampaknya beliau tak termakan dengan sogokan ‘benda’ walaupun beliau bukan tergolong manusia jutawan atau serban besar. Begitu juga cubaan melalui Mufti Perak dan beberapa individu lain.

Saya juga ada menukilkan kisah sahabat saya, Saudara Adam Ahid bekas Pesuruhjaya PAS Serawak yang cuba di’beli’ dengan RM350,000 supaya tarik diri dari pencalunan dalam PRU 11 melawan Dato’ Sri Adenan Satem. (Sila lihat tulisan dalam blog saya ‘Wajah Tok Guru Halang Calun PAS Dibeli..’ pada 31Ogos 2007). Begitu juga semasa Kelantan hanya tinggal kelebihan 1 kerusi saja penggal lepas sebelum PRU 12, seorang ustaz biasa cuba di’beli’ dengan RM6juta tunai dibawa ke rumah beliau. Apa jawabnya?

“Mu pulanglah dengan wang sebanyak itu, kamu salah pilih orang!” Katanya dengan tenang.

Jadi, kalau BN boleh buat kerjasama dengan parti DAP, seperti yang terjadi kepada parti Gerakan (Gerakan juga pembangkang kuat sebelum masuk BN) pada tahun 1969, maka BN akan dapat memiliki semula Pulau Pinang (BN 11 + DAP 19 = 30 dari 40 kerusi yang dipertandingkan), Perak (BN 28 + DAP 18 = 46 dari 59 kerusi yang dipertandingkan) dan Selangor (BN 20 + DAP 13 = 33 dari 56 kerusi yang dipertandingkan).

Bagi kerusi Parlimen pula kedudukannya sudah melebih 2/3 iaitu BN 140 + DAP 28 = 168, sedangkan 2/3 kerusi parlimen cuma berjumlah 148 sahaja. Kedudukan BN tetap akan teguh semula.

Begitu juga kalau BN boleh buat kerjasama dengan PAS, seperti yang pernah berlaku pada tahun 1969, maka BN akan dapat memiliki semula Kelantan (BN 6 + PAS 38 = 44, dari 45 kerusi yang dipertandingkan), Kedah (BN 14 + PAS 16 = 30 dari 36 kerusi yang dipertandingkan), Perak (BN 28 + PAS 6 = 34 dari 59 kerusi yang dipertandingkan) dan Selangar (BN 20 + PAS 8 = 28 dari 56 kerusi yang dipertandingkan).

Kedudukan di Selangor jadi sama banyak, cuma perlu 1 lagi kerusi untuk memerintah. Kedudukan di parlimen juga selesa iaitu iaitu BN 140 + PAS 23 = 163, macam dengan campuran dengan DAP juga. BN juga boleh buat kerjasama dengan PKR. BN akan dapat memiliki semula Perak (BN 28 + PKR 7 = 35, dari 59 kerusi yang dipertandingkan) dan Selangar (BN 20 + PKR 15= 35 dari 56 kerusi yang dipertandingkan).

Kedudukan di parlimen juga selesa iaitu iaitu BN 140 + PKR 31 = 171, melebihi dari semua gabungan dengan parti-parti lain. Tetapi kalau mampu dibuat kerjasama dengan semua parti-parti pembangkang maka akan lebih selamat lagi, tetapi PM akan tetap menjadi milik BN, dan peluang Dato’ Seri Anwar jadi PM akan terlepas.

Sekiranya beliau masuk UMNO (atau pemecatannya dari ahli UMNO dulu dijadikan tidak sah) melalui Pak Lah dan PKR menyertai gabungan BN (samada sendirian atau bersama-sama parti pembangkang lain), di saat kem Pak Lah sedang teruk diserang lawannya, maka ada harapan beliau jadi PM. Kem mana yang menyerang kem Pak Lah sekarang? Anda akan tahu bila anda baca tulisan sebelum ini ‘Pertarungan 3 Tokoh, Teori 2 Anwar…’, yang peluru berpandu terbarunya adalah ‘Surat Peribadi Mukhriz…’ kini sedang gegar dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Pemuda UMNO sekarang...

Kita sambung lagi dalam sembang-sembang PRU 12 akan datang. Wallahu ‘aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 15-03-08. KL.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails