Friday, February 08, 2008

Sejarah PRU 1 Malaya (1955) Siri 5: Manifesto Parti Perikatan.



Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:




SEBAGAI memperlengkapkan tulisan ini saya masukkan juga ‘Manifesto Pilihanraya Federal Perikatan UMNO-MCA-MIC, di mana sebelumnya dipaparkan manifesto PAS. Kalau kita lihat dalam Al-Quran terdapat kisah-kisah perjaungan Nabi Musa AS, maka ditonjol juga perjuangan Firaun. Disebut juga perjuangan Nabi Muhammad SAW, ditonjol juga perjuangan kafir Quraisy… dan seterusnya.

Parti Perikatan: UMNO-MCA-MIC

1. Pentadbiran.

Berusaha mengisi sebahagian besar jawatan-jawatan tinggi dalam pentadbiran dengan anak negeri ini dalam masa tempoh perkhidmatan yang pertama.
Tidak membenarkan lagi pengambilan pegawai-pegawai berdagang dengan tidak setahu dan seizin Majlis Mesyuarat Kerja Federal.
Memberi kemudahan kepada pegawai-pegawai anak negeri berlatih untuk dinaikkan ke pangkat-pangkat yang lebih tinggi.
Memberi lebih banyak scholarship-scholarship lagi kepada pegawai-pegawai anak negeri dan kepada penuntut-penuntut yang baru lepas sekolah, dan melindungi hak-hak pegawai yang telah bersara.

2. Tanam-tanaman.

Menanam bahan-bahan makanan cukup untuk keperluan penduduk-penduduk negeri ini.
Memperbaiki cara jual beli, jalanraya-jalanraya dan pengangkutan untuk kepentingan petani-petani.
Membanyakkan jenis tanaman-tanaman, istimewa mengkaji bagaimana tembakau dan tebu boleh ditanam dengan cara besar-besaran.
Memberi pinjaman wang kepada pekebun-pekebun kecil bagi menggalakkan mereka menanam koko, kopi, teh, kelapa dan kelapa sawit.
Memberi bantuan kepada petani-petani seluruhnya menerusi bank tanah dan lain-lain alat pekerjaan.
Menjamin bank petani-petani itu atas tanahnya dengan mengubah cara memberi tanah-tanah kepada pekebun-pekebun kecil untuk menanam pokok-pokok getah baharu.
Menjamin pekebun-pekebun sayur hak dan tanahnya dengan mengubah cara memberi tanah kepada mereka dan cara mengeluarkan lesen sementara kepada cara geran pajak.
Memperbaiki perusahaan kelapa dengan memberi pekebun-pekebun kecil kelapa jenis yang lebih baik dan rancangan taliair yang lebih memuaskan hati.
Meneruskan dasar mencegah tanah dari lari dan menambahkan kesuburan tanah seperti memulihkan semula kawasan-kawasan kebun-kebun kelapa yang ditinggalkan oleh tuan-tuannya, dan memperhebatkan penyelidikan tentang tanam-tanaman, dan mendesak kerajaan-kerajaan negeri melaksanakan hasil-hasil penyelidikan itu, istimewa untuk faedah-faedah pekebun kecil.

3. Kewangan dan Ekonomi.

Berusaha supaya kewangan negeri berasaskan atas dasar ekonomi yang tegap dan anggaran belanjawan yang berimbangan.
Mengurangkan perbelanjaan dan menambahkan khazanah negeri.
Mengenakan cukai yang adil dan samarata pembahagiannya.
Memeriksa semula bayaran-bayaran cukai atas barang-barang masuk dan keluar.
Menarik modal luar negeri masuk ke dalam negeri ini.
Mendapatkan pinjaman wang dari rakyat negeri ini untuk meluaskan rancangan-rancangan kebajikan am.
Mendirikan sebuah bank pusat.
Mendirikan sebuah bank tanah.
Membanyakkan jenis-jenis tanaman-tanaman dengan bantuan bank tanah.
Menggalakkan pekebun-pekebun getah menanam semula dan menanam baharu kebun-kebun getah mereka dengan benih yang mengeluarkan hasil yang banyak.
Mengadakan satu dasar yang sama dalam semua negeri-negeri dalam Persekutuan berkenaan cara menguntukkan tanah-tanah bagi dilombong, menggalakkan penanaman modal dan mencari tanah-tanah bijih untuk dilombong dan memperbaiki cara-cara melombong.
Menambah kawasan tanah-tanah sawah yang cukup rancangan taliairnya dan bajanya serta menjamin penanam-penanam padi pendapatan yang adil atas jerih payahnya.
Meminda undang-undang cukai pendapatan bagi menggalakkan perusahaan-perusahaan baru ditubuhkan.
Berikhtiar memberi kuasa elektrik yang cukup bagi kegunaan perusahaan-perusahaan dan petani-petani seluruhnya.
Mengadakan pengangkutan jalan-jalan raya, keretapi dan udara yang murah, cekap dan tahan.
Berikhtiar memberi kerja-kerja kepada buruh seluruhnya, memberi kemudahan-kemudahan kepada buruh berlatih bagi menyesuaikan diri mereka dengan kerja yang mereka buat. Menukar kerja-kerja buruh kepada kerja-kerja yang lain pada waktu meleset untuk membantu penderitaan yang mereka alami dan…
Mengambil langkah bagi membantu orang-orang Melayu memperbaik kedudukannya dalam lapangan ekonomi.

4. Pelajaran.

Memberi perhatian yang istimewa kepada soal-soal pelajaran.
Mengubah corak pelajaran dengan memberikan corak Malaya.
Menambah bilangan orang yang tahu membaca dan menulis.
Menambah kemudahan-kemudahan pelajaran termasuk mendirikan bangunan-bangunan sekolah yang murah harganya dan memberi pelajaran pada sebelah pagi dan petang.
Menambah bilangan sekolah-sekolah menengah moden dan sekolah-sekolah latihan.
Memberi bantuan wang kepada sekolah-sekolah agama Islam.
Meluaskan perkembangan sekolah-sekolah anak negeri. Menghormati perkembangan sekolah-sekolah, bahasa-bahasa dan kebudayaan tiap-tiap bangsa yang tinggal dalam negeri ini.
Mengkaji semula undang-undang pelajaran tahun1952 dan kertas putih tentang pelajaran Majlis Mesyuarat Undangan Federal November 67 tahun 1954.
Mengkaji semula undang-undang melesen dan mendaftar syarikat-syarikat perniagaan dan perusahaan yang dijalankan kuatkuasanya bagi mendapatkan wang untuk pelajaran.
Melatih guru-guru dalam negeri ini.
Memberi pelajaran permulaan dengan percuma dengan secepat mungkin.
Menubuhkan sebuah jenis sekolah kebangsaan yang dapat diterima oleh rakyat ini, yang dapat menggalakkan perkembangan kebudayaan, ekonomi, sosial dan politik rakyat negeri ini ke arah mencipta suatu bangsa yang memakai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Menggalakkan geraka-gerakan di sekolah-sekolah seperti gerakan-gerakan pengakap lelaki dan perempuan dan pasukan-pasukan kedet.
Menggalakkan perkembangan sekolah-sekolah private dan rakyat.
Mendesak supaya diadakan lebih banyak kuliah-kuliah pengajian di Universiti of Malaya di Persekutuan.
Menggalakkan perkembangan-perkembangan universiti-universiti dalam negeri ini, dan memberi layanan yang sama kepada seluruh sekolah-sekolah bantuan kerajaan berdasarkan dengan keadaan kewangan Persekutuan.

5. Darurat.

Berusaha menamatkan darurat dengan seberapa segera dengan menawarkan kepada pengganas-pengganas komunis pengampunan beramai-ramai dan kalau tindakan itu tidak berjaya, akan mengumpulkan segenap tenaga dan meminta bantuan dari luar negeri bagi memperhebat perang melawan pengganas-pengganas.
Meminta Britian dan Amerika Syarikat bantuan wang yang lebih besar untuk perang melawan pengganas-pengganas, dan…
Mengkaji semula undang-undang darurat bagi memansuhkan fasal-fasal yang didapati berlawanan dengan kepentingan rakyat negeri ini.

6. Perikanan.

Mengadakan penyiasatan yang segera tentang kehidupan nelayan-nelayan dengan maksud menambah pendapatan mereka.
Berusaha membantu dalam menambah penangkapan ikan dengan cara yang lebih baik.
Memberi kemudahan-kemudahan menyimpan ikan-ikan dan pengangkutan bagi perusahaan ikan.
Memperbaiki cara jual beli dengan mendirikan lembaga-lembaga jual beli atau syarikat-syarikat kerjasama, dan…
Membantu mencarikan nelayan-nelayan pekerjaan dalam musim gelora.

7. Perumahan.

Menggalakkan pembangunan-pembangunan rumah-rumah yang murah untuk dijual atau disewakan kepada orang-orang yang berpedapatan rendah dengan syarat-syarat yang senang supaya membersihkan kawasan-kawasan sesak, dan…
Menggalakkan syarikat-syarikat perumahan bukan kerajaan mendirikan rumah-rumah.

8. Jabatan Perkhidmatan Penerangan.

Menggalakkan Jabatan Perkhidmatan Penerangan termasuk bahagian akhbar, penyiaran radio dan filem unit.
Menjadikan jabatan itu sebuah jabatan yang dikendalikan oleh kerajaan Persekutuan dan mengisi semua jawatan-jawatan yang tinggi dengan rakyat negeri ini.
Menjadikan radio Malaya sebuah lembaga seperti BBC di Britian.
Berusaha supaya filem unit dijadikan atas dasar perniagaan supaya ia tidak lagi bergantung kepada kerajaan atas perbelanjaannya.
Mengadakan suatu jabatan penerangan yang cekap di rumah Malaya, London, dan jabatan itu diketuai oleh seorang rakyat negeri ini.
Memberi nasihat dan pimpinan kepada rakyat menerusi bahagian perhubungan raya, dan…
Membuat penerangan-penerangan bagi menarik pelawat-pelawat mengunjungi negeri ini.

9. Buruh.

Menjamin buruh mendapat layanan yang adil.
Mengadakan kerja-kerja bagi semua buruh.
Memberi kemudahan-kemudahan berlatih kepada semua buruh, bagi membolehkan mereka memperbaiki tarafnya.
Menukar kerja buruh kepada kerja-kerja yang lain dalam masa meleset.
Mengkaji semua undang-undang provident fund buruh dengan maksud membolehkan mereka dapat mengambil wang simpanan mereka dengan segera kalau mereka perlu wang sangat-sangat.
Menggalakkan perkembangan-perkembangan kesatuan-kesatuan buruh yang sihat dan kuat bagi membolehkan mereka melindung kepentingan-kepentingan, dan…
Menggalakkan kedai-kedai syarikat kerjasama di kebun-kebun getah dan lain-lain kawasan, kalau dikehendaki diluaskan.

10. Tanah.

Mengadakan penyiasatan tanah di seluruh Persekutuan.
Membantu petani-petani mendapat tanah bagi bercucuk tanam.
Membantu petani-petani menerusi bank tanah dan lain-lain alat kerajaan.
Mengubah cara memberi tanah dari cara lesen sementara kepada cara geran pajak.
Meluaskan tanah simpanan Melayu kalau didapati tanah-tanah simpanan mereka tidak cukup atau tidak sesuai untuk bercucuk tanam.
Mendesak kerajaan-kerajaan negeri menguntukkan tanah-tanah simpanan itu bagi membolehkan orang-orang Melayu membuka kampong-kampung baru yang moden.
Memajukan tanah-tanah orang Melayu yang belum dibuka itu.
Mengkaji semula bayaran cukai tanah.
Menggalakkan petani-petani menambah jenis tanaman-tanaman dengan menurunkan bayaran cukai tanah kalau perlu dan mengadakan rancangan-rancangan memberi tanah kepada orang-orang yang tidak mempunyai tanah dan mengadakan mata pencarian bagi rakyat dengan bertani dalam masa meleset.

11. Pemerintahan Tempatan.

Menubuhkan majlis-majlis mesyuarat bandaran di bandar-bandar yang sekarang tidak mempunyai majlis-majlis mesyuarat bandaran dan yang difikirkan patut mempunyai majlis-majlis mesyuarat itu.
Mempercepatkan perlaksanaan undang-undang memberi hak kuasa kewangan kepada pemerintahan-pemerintahan tempatan.
Mendirkan majlis-majlis mesyuarat kampong yang semua ahli-ahlinya termasuk pengerusi-pengerusinya dipilih oleh orang ramai.
Mendirikan di tiap-tiap jajahan dua buah majlis mesyuarat, pertama Majlis Mesyuarat Bandaran dan kedua Majlis Mesyuarat Kawasan Luar Bandar.

12. Perubatan dan Kesihatan.

Menjalankan rancangan meluaskan dan memperbaiki perkhidmatan-perkhidmatan perubatan dan kesihatan secepat mungkin.
Menambah perkhidmatan-perkhidmatan perubatan dan kesihatan di kawasan-kawasan luar bandar.
Menambah bilangan hospital-hospital dan memperbaiki kemudahan-kemudahan di dalamnya.
Menjalankan gerakan secara besar-besaran terhadap penyakit batuk kering, untut, puru dan kekurangan zat makanan.
Mengadakan dari semasa ke semasa kursus latihan semula untuk doktor-doktor istimewa, doktor-doktor saudagar, jururawat, hospital assistan dan bidan-bidan.
Menggalakkan kerjasama yang rapat di antara doktor-doktor saudagar dan kakitangan-kakitangan hospital.
Menggalakkan doktor-doktor saudagar mendirikan kelinik.
Merancang rawatan-rawatan, pakar-pakar perubatan dan kesihatan bagi memberi nasihat tentang kesihatan kepada negeri ini.
Berusaha menambah bilangan doktor-doktor tempatan berlatih keluar negeri dalam ilmu kedoktoran yang tinggi.
Mengadakan hubungan yang rapat dengan pertubuhan kesihatan dunia bangsa-bangsa bersatu untuk mendapatkan bantuan dan nasihat.

13. Politik.

Mengekalkan dan memelihara kedudukan Raja-raja Melayu sebagai ketua-ketua yang berpelembagaan dalam negeri mereka masing-masing.
Mendesak supaya sebuah suruhanjaya istimewa yang bebas dilantik bagi menyiasat perubahan-perubahan perlembagaan dengan tidak mengusik kedudukan Raja-raja Melayu dan kepentingan-kepentingan orang Melayu yang istimewa.
Mengesyorkan supaya suruhanjaya ini mengkaji soal kerakyatan dalam negeri ini dengan maksud supaya soal ini dapat diselesaikan dengan memuaskan hati.
Memeriksa semua soal kemasukan orang-orang dagang dengan maksud kepentingan-kepentingan orang Melayu dan rakyat negeri ini yang bukan Melayu dapat dipelihara.
Menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dalam ertikata yang sebenarnya dalam tempoh 10 tahun, dan mendirikan Majlis Bahasa Melayu.
Memberi pengakuan bahawa rakyat negeri dan orang-orang yang bukan Melayu boleh memelihara bahasa-bahasa dan kebudayaannya.
Mentadbir dua buah dewan undangan. Pertamanya Dewan Orangramai yang semua ahlinya dipilih dan kedua Dewan Pertuanan. Berusahasa supaya Dewan Orangramai yang semua ahli yang dipilih itu didirikan dalam masa tempoh perkhidmatan yang pertama yang melindungi seberapa yang dapat hak-hak dan kepentingan-kepentingan kaum-kaum yang kecil bilangannya.

14. Perkhidmatan Kebajikan Masyarakat.

Memeriksa semua perkhidmatan kebajikan masyarakat yang ada sekarang ini dengan maksud memperbaiki dan meluaskan lagi sesuai dengan keadaan kewangan negeri ini dan keperluan rakyat seluruhnya.
Menggalakkan pemuda-pemuda mengambil kecenderungan yang bersungguh-sungguh dalam gerakan yang mendatangkan faedah bagi mereka dan negeri ini.
Menyokong pertubuhan-pertubuhan sukarela yang menyumbangkan pekerjaan-pekerjaan kebajikan untuk rakyat dan mengadakan sebuah pertubuhan pusat bagi menasihatkan kerajaan atas soal-soal sosial.
Menyusun semula dan memperbaharui alat-alat pentadbiran Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Mengisi jawatan-jawatan yang tinggi dalam Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan rakyat negara ini.
Memberi galakan supaya rakyat cenderung dalam suasana kemajuan masyarakat.
Mencegah jemaah-jemaah haji dari kena tipu dengan mengadakan kapal-kapal.
Mendirikan sebuah pejabat.
Memberi kemudahan-kemudahan kebajikan, kesihatan di Judah dan di Mekah serta di kapal-kapal, mendirikan hotel-hotel dan kantin-kantin di Judah dan di Mekah.
Melantik sebuah suruhanjaya bagi mengkaji soal-soal yang berhubung dengan jemaah haji.

15. Merancang bandar dan kawasan luar bandar.

Mengambil langkah dalam mengadakan perancangan bandar-bandar dan kawasan-kawasan luar bandar meliputi seluruh Persekutuan, dan mengadakan satu dewan perancang pusat bagi menyatukan kerja-kerja merancang yang dijalankan oleh pemerintahan tempatan dan mengadakan suatu rancangan kemajuan yang satu bagi seluruh negeri ini.

(Sumber: Warta Negara 16.7.1955)

Cukup. Wallahu ‘aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 06-02-08. KL

3 comments:

Anonymous said...

...please where can I buy a unicorn?

Anonymous said...

[url=http://buyaccutaneorderpillsonline.com/#1319]buy accutane[/url] - buy accutane online , http://buyaccutaneorderpillsonline.com/#19174 buy accutane

Anonymous said...

[url=http://buyonlinelasixone.com/#7630]buy lasix online[/url] - buy lasix , http://buyonlinelasixone.com/#12503 lasix online without prescription

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails