Monday, February 04, 2008

Sejarah PRU 1 Malaya (1955) Siri 2: PAS Menang 1 Parlimen 1 DUN...


Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:


DALAM PRU I yang diadakan pada 27 Julai 1955, PAS juga cuba merebut 2 kerusi parlimen di Selangor tetapi gagal juga. Di kerusi Selangor Tengah terjadi pertandingan 3 penjuru, iaitu Ustaz Zulkifli Muhammad dari PAS, Hasan Cek Lenggeng dari Parti Negara dan Lee Eng Teh dari Perikatan. Calon PAS dikatakan berpotensi baik. Akhbar tempatan ‘Majlis’ pada 17 Jun 1955, sepuluh hari sebelum mengundi menyebutkan:

“Dengan kemunculan Zulkifli Muhammad seorang muda yang bijak bercakap, dan besar pengaruhnya dalam agama, dan memandang bahawa semua orang-orang Melayu beragama Islam sedang ia masuk di dalam soal itu, kemungkinan pihak Perikatan menag di kawasan itu adalah tipis.”

Tetapi ternyata keputusannya cuma dapat meraih undi sebanyak 1,311 sahaja, berbanding calon Perikatan sebanyak 5,652 dan calon Parti Negara cuma dapat 839 undi sahaja. Ramai orang Melayu Islam mengundi parti Perikatan, di mana calonnya adalah berbangsa Cina dari MCA. Begitu juga di Pulau Pinang, 4 kerusi dipertandingkan iaitu di George Town, Pulau Pinang, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan dalam pilihan raya Persekutuan itu. PAS cuma bertanding satu kerusi sahaja. Itupun, satu lawan satu di kawasan yang jumlah pengundi Melayu ramai.

Dari jumlah pengundi 23,238, pengundi Melayu berjumlah 15,576, Cina 5,027, India 2, 585 dan lain-lain bangsa berjumlah 50 orang. Jumlah pengundi bukan Melayu tidak sampai ½ dari pengundi Melayu. Walaupun begitu calon PAS Haji Zabidi bin Haji Ali kalah di tangan parti Perikatan melalui calon MCAnya berbangsa Cina, Tay Hooi Soo dengan kelebihan undi 12,172, di mana PAS peroleh 3,525 berbanding Perikatan beroleh 15,697. (Sila lihat akhbar Warta Negara 12.6.1055)

Mengapa jadi begitu? Mengikut keterangan Haji Zabidi sendiri, memang awalnya beliau yakin menang, memandangkan pengundinya ramai Melayu. Tapi, last minit baru dia nampak kemenangan di pihak lawan. Antara sebab-sebabnya menurut beliau…

‘…pihak Perikatan sendiri yang berjaya mengadakan satu jentera pilihan raya yang lebih berkesan. Ranting-ranting UMNO boleh dikatakan telah ditubuhkan dan bergerak di kawasan kediaman Melayu. Sumber kewangan Perikatan dan UMNO sendiri lebih kukuh berbanding dengan PAS. PAS pula tidak mempunyai jentera pilihan raya yang berkesan memandangkan kesulitan kewangan yang dihadapi olehnya.

Ini disebabkan parti PAS baharu sahaja ditubuhkan. Dalam hal ini PAS kekurangan tenaga kerja dan kemampuan untuk mempercekapkan organisasinya. Di samping itu ahli-ahli PAS tidak mahu diri mereka dikenali sebagai ahli PAS kerana pengaruh UMNO adalah kuat dan mungkin mereka dipulaukan sekiranya diketahui mereka ahli PAS.’

Keterangan oleh Allahyarham Haji Zabidi sendiri dalam temutanya di rumahnya pada 25-11-1976. (Sila lihat ‘Politik Melayu Pulau Pinang 1945-1957’. Oleh Md Salleh bin Md Gaus. Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka 1984).

Berbalik kepada kemenangan calon tunggal PAS satu di parlimen dan satu di negeri dalam kawasan Kerian Perak. Bagaimana boleh menang, sedangkan waktu itu jumlah ahli PAS tak lebih dari 100 ahli sahaja? Calon Persekutuan (parlimen) PAS yang menang Tuan Haji Ahmad Tuan Husin, waktu itu memegang jawatan Bendahari Agung PAS, datang dari Kampung Pokok Sena Kepala Batas, Seberang Perai. Beliau menjadi Tok Guru pondok di kampong tersebut.

Menurut Allahyarham Ustaz Uthman Hamzah, seorang bekas pemimpin Hizbul Muslimin (yang diharamkan pada Ogos 1948) dan petugas di pejabat Agung PAS hingga ke akhir hayat, tidak ada apa-apa rahsia kemenangan YB tersebut kecuali beberapa sebab berikut:

Pertama: Kerana pengundi bangsa asing amat kecil jumlahnya dari pengundi Melayu Islam berbanding di tahun 60an hingga sekarang.

Kedua: Perasaan mahukan kemerdekaan berlunaskan Islam masih bersih, tidak dijejaskan oleh sebarang kepura-puraan seperti yang disarankan kepada umum sekarang.

Ketiga: Keadaan dan sikap beliau yang begitu sederhana dan tawadhuk. Yang menarik, dikatakan beliau tidak pernah meminta dirinya diundi sepanjang kempen pilihan raya, kecuali menerangkan tujuan PAS menyertai pilihan raya. Iaitu hendak menyuarakan keinginan bangsa Melayu yang mahukan kemerdekaan berlunaskan Islam selaras dengan kehendak rakyat waktu itu, menyebabkan beliau lebih dihormati ramai.

Hal ini berbeda dengan calon Perikatan Tuan Haji Sulaiman Palestin, juga datang dari Seberang Perai tinggal di daerah Bukit Mertajam, dikatakan ‘bersikap bongkak’, ‘bermulut bacul’ dan suka merendah-rendahkan calon PAS. Pernah dikatakan calon PAS itu ‘buta bahasa Inggeris’ sedangkan di Dewan Rakyat hanya guna bahasa Inggeris. Tambahan pula, Tuan Haji Ahmad adalah bekas guru kepada Tuan Haji Sulaiman, menyebabkan ramai pengundi-pengundi bersimpati termasuk ahli-ahli UMNO sendiri.

Keempat: Dikatakan UMNO pada masa itu, ahli-ahlinya masih belum berani mengugut, belum ‘pandai menipu’ dan belum ada projek-projek yang hendak disogokkan kepada rakyat, samada bersifat keduniaan atau keagamaan.

Kelima: Ialah kerana Tuan Guru tersebut berketurunan Banjar, sesuai dengan jumlah pengundi terbesar di situ adalah suku-kaum Banjar di samping suku-kaum Melayu dan Jawa. Apalagi bila orang Banjar lebih cenderung kepada perjuangan Islam.

Perjuangan Tuan Guru Haji Ahmad adalah perjuangan PAS, kerana kasihnya pengundi-pengundi Kerian kepada beliau menyebabkan mereka juga sokong PAS. Mungkin itu juga sebabnya mereka sokong calon yang dipilih oleh PAS Encik Ahmad Kamal di dewan negeri, walaupun pengundi-pengundi itu masih belum jadi ahli PAS. Encik Ahmad Kamal juga menjadi YB tunggal di Dewan Undangan Negeri Perak, antara satu-satunya negeri yang dapat kerusi dalam PRU pertama 1955 di Malaya.

Insya Allah bersambung…

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 05-02-08. KL

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails