Thursday, February 07, 2008

Sejarah PRU 1 Malaya (1955) Siri 4: Manifesto PAS.


Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:



PAS dengan usahasama National Convention mencadangkan supaya diadakan pilihan raya pada tahun 1954, dan cadangan National Conference pada tahun 1956, menyebabkan akhirnya pihak British bersetuju mengadakannya pada 27 Julai 1955 iaitu satu tarikh di antara keduanya. Maka, pada 23 Januari 1955 PAS telah membentuk satu Jawatankuasa Khas Pilihanraya.

Pengerusinya adalah Dr Haji Abbas (Yang Dipertua Agung waktu itu) sendiri, setiausaha Abdul Hamid Sharif, dan Cikgu Ahmad Awang, Abdullah Akin, Haji Zabidi Ali, Tuan Guru Haji Othman Yunus, Ustaz Abdul Wahab Nor, Ustaz Hassan Adli dan Haji Mansor JP sebagai ahli jawatan kuasa bagi mengendalikan gerak kerja PAS dalam pilihan raya itu. Maka lahirlah manifesto pertama PAS. menggunakan simbol ‘tangan terbuka’ iaitu lima jari yang mewakili lima rukun Islam.

Bertajuk ‘Manifesto Persatuan Islam Se-Malaya’.

Siasah (Politik).

1. Menyemak dan menyusun semula perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bagi disesuaikan dengan hasrat rakyat.
2. Berusaha supaya sekalian ahli-ahli Majlis Mesyuarat, samada Majlis Mesyuarat Persekutuan, Negeri, Jajahan Selat dan Bandaran hendaklah semua sekali dipilih oleh rakyat.
3. Mengakui kedaulatan Duli-duli Yang Maha Mulia sebagai Raja-raja yang berpelembagaan.
4. Berusaha menghapuskan dasar pintu terbuka, yakni menahan kemasukan orang dagang ke Tanah Melayu yang merbahayakan kedudukan anak negeri.
5. Menjamin kebebasan beragama dan hak asasi manusia.
6. Berusaha dengan sungguh-sungguh supaya bahasa Melayu diamalkan benar-benar sebagai bahasa rasmi kerajaan dan kebangsaan.
7. Berusaha supaya tiap-tiap orang hanya mempunyai satu taraf kerakyatan sahaja.
8. Berusaha dan berikhtiar dengan bersungguh-sungguh bagi menjapai kemerdekaan Malaya dengan secepat mungkin.
9. Berikhtiar bersungguh-sungguh supaya peraturan-peraturan Islam dapat dijalankan dalam masyarakat dan urusan pemerintahan dari satu masa ke satu masa hingga terlaksananya cita-cita Islam.

Ikhtisad (Ekonomi).

1. Berikhtiar dengan bersungguh supaya dapat didirikan usaha-usaha untuk kemajukan pertanian, perusahaan, perniagaan dan pelayaran.
2. Menghapuskan perniagaan yang berupa pembolotan ekonomi (monopoli).
3. Berikhtiar supaya negara tidak berharap semata-mata kepada luar negeri untuk kehidupan rakyatnya.
4. Berikhtiar mengadakan rancangan dan usaha yang tegas membantu perkembangan ekonomi orang-orang Melayu.
5. Berikhtiar supaya penanaman modal luar dapat dihadkan.
6. Berikhtiar mengecilkan perbelanjaan negara dengan seberapa kecil yang boleh, dengan memotong segala perbelanjaan-perbelanjaan yang tidak mustahak.
7. Berikhtiar mengadakan peraturan-peraturan untuk melindungi hak-hak tani, nelayan, buruh, perniagaan, perusahaan dan sebagainya.

Ketenteraan.

1. Berusaha supaya diadakan satu askar kebangsaan sahaja untuk menjamin keselamatan negara.
2. Berusaha supaya askar-askar luar dikurangkan dengan seberapa banyak yang boleh dan tempatnya diganti dengan askar-askar kebangsaan sahaja.
3. Berikhtiar dengan sehabis tenaga supaya darurat dapat ditamatkan dan undang-undang darurat dimansuhkan.
4. Berusaha supaya diadakan perkhidmatan negara (Nasional Servise) untuk menjamin keselamatan negara.
5. Menggalakkan supaya rakyat suka mengambil bahagian dalam pertahanan negerinya (civil defence).

Pelajaran dan Pendidikan.

1. Mengambil langkah supaya tiap-tiap kanak mendapat pelajaran percuma yang bersesuai dengan kemajuan.
2. Pelajaran Agama Islam hendaklah diberikan kepada kanak-kanak yang beragama Islam.
3. Berikhtiar supaya pemerintah dapat mengadakan sekolah-sekolah dewasa dengan seberapa segera terutama pada bahagian pertukangan dan ekonomi.
4. Berikhtiar dan berusaha supaya sekolah-sekolah Melayu yang ada sekarang ini menjadi pokok bagi sekolah negara dengan memperluas dan mempertinggikan tingkatan darjah dan pelajarannya sesuai dengan dasar pelajaran.

(Sumber: Faridah binti Ali, Sejarah Awal Perkembangan Parti Islam Se Malaya (PAS) di Kelantan 1953-1959, Latihan Ilmiah Sarjana Muda, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1979.)

Selanjutnya akan diperlihatkan pula Manifesto Pilihanraya Federal Perikatan UMNO – MCA –MIC. Insya Allah.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 06-02-08. KL

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails