Wednesday, February 27, 2008

Dah Nak Terberak Baru Korek Lubang...



Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:


BANYAK risalah-risalah dan buku-buku kecil diedarkan di majlis-majlis penerangan sekitar kawasan Parlimen Gombak. Antaranya yang sampai ke tangan saya ialah... ‘Buku Panduan Perhubungan Raya Dan Hubungan Inter-Personal (9 Kaedah Bagi Menjadikan Pengundi Selesa Dan Mesra Dengan Aktiviti PAS)’ dan “Buku Panduan Ahli Dan Penyokong Yang Akan Mengundi PAS Dalam Pilihan Raya Umum ke 12 (Langkah-langkah menggerakkan Jaringan Pendukung PAS Bagi Menjana Kemenangan).

Dua buah buku yang diterbitkan oleh Lajnah Penerangan PAS Selangor dengan kerjasama Jabatan Penerangan PAS Pusat, bertarikh 22 Ogos 2007. Satu lagi buku ‘Buku Panduan Strategi & Teknik Merayu Undi’, terbitan Lajnah Penerangan PAS Selangor dengan kerjasama Dewan Muslimat PAS Gombak, bertarikh 12 Februari 2008.

Pada saya buku ini amat sesuai untuk kader-kader PAS, bukan untuk umum. Kalau kita lihat sejarah perkembangan PAS dari buku Amaluddin Darus ‘Kenapa Saya Tinggalkan PAS’ (1977) terbitan Harimau Press Sdn Bhd., Kuala Lumpur dan perbincangan antara saya dengan beliau semasa beliau masih hidup, di mana Ustaz Amaluddin amat menekan soal perkaderan ahli-ahli dalam perjuangan PAS.

Menurutnya, beliau mula memimpin Jabatan Penerangan PAS Pusat mulai 1 Januari 1959 dalam mengharungi PRU 1 selepas merdeka (PRU sebelumnya pada tahun 1955), yang diadakan berperingkat-peringkat tiap negeri dalam bulan Mei 1959. Beliau terus menyusun rapat umum dan kursus perkaderan hampir setiap hari dan malam hingga ke hari pilihan raya.

Pada beliau itulah antara sebab kemenangan PAS menawan 2 buah negeri Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya tersebut setelah berada di bawah kepimpinan baru waktu itu, di bawah dua professor, iaitu Burhanuddin dan Zulkifli Muhammad. Seperti ucapan Zulkifli Muhammad sendiri kepada pegawai-pegawai dan jentera PAS sebelum itu…

“…. Ingatlah bahawa tidaklah ada kebenaran yang menang dengan tidak berkerja, dan tidak ada kejahatan yang kalah kalau dia berkerja.” (Sila lihat majalah rasmi PAS ‘Suara Islam’ isu pertama 17 Disember 1956 diterbitkan di Kota Bharu, Kelantan).

Cuma bila dilihat tarikh terbit buku keluaran PAS Selangor di atas (22 Ogos 2007 & 12 Februari 2008), nampak macam terlambat. Bayangkan kalau hal-hal tersebut telah dilaksanakan sejak lepas keputusan PRU 11 dulu, mungkin sudah ada ratusan atau ribuan kader-kader PAS yang bergerak dan mampu menumbangkan kerajaan BN Selangor yang ada sekarang. Apalagi bila Pesuruhjayanya adalah seorang ahli motivasi!

Satu lagi kalau tidak menjadi kesalahan, saya ingin menyarankan bahawa semua ilmu-ilmu seperti dalam buku di atas, perlu disusun semula, ditambah lagi mana yang perlu, disokong oleh ilmu-ilmu Al-Qur’an, hadith Rasulullah SAW dan dijadikan satu mata pelajaran khusus untuk ahli-ahli. Kita boleh namakan ilmu itu sebagai ‘Ilmu Politik Pilihan Raya’. Saya pernah ketengahkan pandangan ini dalam buku saya ‘1950-2000 Sejarah Kebangkitan Dan Masa Depan PAS Kuasai Malaysia?’ terbitan GG Edar 1993.

Antara saranan tersebut adalah seperti berikut…

‘…Oleh itu ilmu pilihan raya perlu diajarkan bersungguh-sungguh kepada umat Islam Malaysia dengan menjadikannya sebagai satu mata pelajaran penting, seperti juga ilmu feqah, sejarah, tauhid dan ilmu fardhu ain yang lain demi menyelamatkan Islam di negara ini.

Perlu diadakan ujian praktikal kira-kira 5 tahun sekali sewaktu pilihanraya umum, dengan mengembeling tenaga ke arah menyokong atau mewujudkan calun Islam (atau calun Parti Islam,walaupun yang bukan Islam) di tiap kawasan pilihan raya. Pelajaran teori dan praktikalnya bermula selepas pilihan raya umum, dengan kaji selidik keperluan dan kehendak rakyat tidak kira kaum, melaksanakan aktiviti-aktiviti kebajikan kepada mereka di samping ke arah memperkenalkan Islam, parti dan tokoh secara amali.

Penjelasan-penjelasan isu semasa, isu tempatan, ke arah daftar mengundi, penyemakan dan lain-lain hingga ke penamaan calun dan pilihan raya. Amal kebajikan yang disuruh oleh Islam seperti ziarah, menghaziri kenduri, menolong fakir miskin dan orang dalam kesusahan, adap berjiran dan lain-lain, semuanya boleh disegandingkan dengan kerja-kerja awal pilihan raya.’

Akhirnya saya mohon maaf, kerana saranan ini saya ketengahnya di saat-saat jentera PAS tengah sibuk menghadapi pilihan raya. Tetapi saranan ini adalah saranan untuk jangka panjang, supaya kita jangan jadi macam kata pepatah Melayu, ‘Dah Nak Terberak, Baru Korek Lubang...’

Itulah sembang-sembang PRU 12 untuk kali ini. Bertemu lagi, Insya Allah.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 26-02-08. KL

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails