Thursday, August 09, 2007

DR. MOHD HASYIM TEGASKAN PAS BELUM LAMBAT…


DR. MOHD HASYIM TEGASKAN PAS BELUM LAMBAT…
CEPAT DEKATI KAUM CINA!


Oleh M. SHARBI KAMARULZAMAN
Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Kawasan Batu, KL


Padang Balang: Penganalisa politik, Dr. Mohd Hasyim menyifatkan belum terlambat lagi untuk PAS mendampingi orang Cina di negara ini bagi memikat mereka mengundi dan menyokong parti itu dalam setiap kali pilihan raya. Dulu, dakwanya, PAS mungkin merasakan sokongan padu orang Melayu sudah cukup untuk parti itu tetapi dengan kesedaran baru pimpinannya, sejak Almarhum Dato’ Fadhil Mohd Noor, telah mengorak langkah menjalinkan hubungan politik dengan masyarakat Cina melalui CCC pada tahun 1986.

Meskipun mendapat reaksi yang pelbagai dari dalam PAS waktu itu, sehingga kekalahan PAS dalam pilihan raya 1986 dikaitkan dengan kerjasama CCC tersebut, namun hari ini, PAS mengakui betapa pentingnya mengadakan hubungan politik dengan masyarakat Cina untuk membebaskan Malaysia dari cengkaman Umno BN.

“Hari ini, PAS sudah menubuhkan Lajnah Perpaduan Nasional yang dulunya tidak ada. Sekarang PAS sudah ada Kelab Penyokong PAS (Cina) dan (India) di setiap negeri,” ujar beliau dalam “Debat Kontemporari Siasah” bertajuk “Mengapa PAS Tidak Dapat Undi Cina?” di PASTI Padang Balang, dekat sini.

Tegas beliau, kemaraan PAS dalam menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat Cina dan India di negara ini menjadi petanda sihat untuk ahli dan pimpinan PAS terus mengenali budaya dan adat resam kedua-dua bangsa itu.

Dr. Mohd Hasyim yakin, tampuk pimpinan PAS suatu hari nanti akan diterajui oleh bangsa Cina yang Islam, moderet dan gigih dalam perjuangannya seperti kentalnya umat Islam di negara China mengamal dan memperjuangkan Islam sekalipun al-Quran diharamkan oleh pemerintah komunis.

“Inilah impian Tok Guru Nik Aziz. Dia berdoa akan ada di Malaysia ini orang Cina Islam yang berupaya menjadi pemimpin PAS suatu masa akan datang,” tegas beliau.

Dr. Mohd Hasyim yang juga pengasas GG Edar dan penerbit kaset-kaset jenama Ad-Dakwah pada era kebangkitan Islam menjadi pendebat undangan Lajnah Penerangan, Dakwah dan ICT PAS Kawasan Batu bersama gandingannya Ann Wan Seng, Setiausaha Agung PERKIM.

Debat tersebut diselenggarakan oleh moderatornya, Tarmizi Mohd Jam yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan. Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Haji Azharuddin Haji Husein.

Debat yang menjadi salah satu produk PAS Kawasan Batu itu, telah dilancarkan oleh Pengarah JPN Wilayah Persekutuan, Cikgu Haji Ishak Surin.

Membangun Bersama Islam Ke Arah Negara Berkebajikan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails