Tuesday, August 09, 2022

Perjuangan 'ayam kampung, itik penelur' & mahkamah syariah..

 


1. Majukan ternakan ayam kampung, itik penelur atasi isu sekuriti makanan  -Prof Madya Dr Ahmad Zubir Ibrahim

Ramai tertanya-tanya apakah harga siling ayam standard pada harga RM9.40 sekilogram dan telur ayam berdasarkan gred A, B serta C ditetapkan hingga 31 Ogos ini akan disemak semula atau diapungkan seperti dicadangkan sebelum ini.

Ini tentu memberikan tekanan kepada golongan berpendapatan rendah apatah lagi peningkatan indeks makanan menunjukkan negara masih berhadapan peningkatan kos sara hidup dan ia menjadi penyumbang utama kepada inflasi yang dijangkakan berlarutan beberapa bulan.

Justeru, negara memerlukan usaha dan strategi lebih berkesan, sama ada dalam jangka pendek atau panjang untuk meminimumkan kesan ditanggung rakyat.

Oleh itu, ternakan ayam kampung dilihat pilihan alternatif mampu memenuhi permintaan dalam negara. Industri ayam kampung perlu diperkasakan semula dengan kapasiti pengeluaran penternak sedia ada dipertingkatkan melalui sokongan sumber modal atau pembiayaan dengan kadar pembayaran semula pada kadar faedah rendah.

Pembabitan penternak ayam kampung akan merancak semula penawaran ayam di pasaran, manakala rantaian bekalan ayam dikawal penggerak industri dapat dipecahkan dengan persaingan ternakan ayam kampung.

Kebanyakan penternakan ayam kampung dilakukan secara kecil atau sederhana. Sehingga 2019, sejumlah 11.4 juta ayam kampung diternak berbanding

ayam daging (179.9 juta). Perbezaan ini disebabkan tempoh matang ayam kampung selepas 60 hari setiap pusingan dengan berat 1.5 hingga 2 kilogram seekor, berbanding ayam daging mempunyai matang 28 hari dengan berat 1.8 kilogram.

Namun, prestasi ayam kampung boleh ditingkatkan dengan memberi makanan mengandungi protein dan tenaga tinggi dalam tempoh tumbesaran dengan nilai protein tidak kurang 20 peratus semasa permulaannya.

Bagi mengurangkan kebergantungan sumber makanan sepenuhnya kepada dedak, sumber alternatif boleh dibangunkan seperti penggunaan tanaman contohnya bayam brazil dan rumput napier tanpa bergantung sepenuhnya makanan tradisional seperti nasi serta hampas kelapa.

Permintaan tetap tinggi

Permintaan ayam kampung tetap tinggi dalam kalangan pengguna, walaupun harga runcit dilaporkan melebihi RM16 sekilogram. Namun, sekiranya pengeluaran ayam kampung dipertingkatkan dan dilaksanakan bersepadu, sudah pasti harga jualan dapat dikurangkan, terutama pengurusan bahan makanan dibeli secara pukal.

Kejayaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menghasilkan pembiakan anak ayam kampung asli melalui ayam jantan dan induk betina terpilih didapati lebih pejal berbanding ayam kampung kacuk atau ayam kampung biasa perlu diperluaskan.

Kadar tumbesarannya mencecah berat 1.5 kilogram dalam tempoh 12 minggu secara tidak langsung dapat menyumbang kepada pengeluaran bekalan ayam negara.

Bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam kampung, penternak sama ada secara kecil mahupun sederhana perlu digabungkan di bawah satu entiti bagi memudahkan urusan pengoperasian, sekali gus dapat mengurangkan kos pengeluaran bahan makanan ayam susulan pembelian pukal.

Pembukaan ladang ternakan baharu perlu bagi menampung permintaan bekalan ayam dalam negara. Tambahan pula, ternakan ini mempunyai daya saing tinggi dengan kadar pulangan dalam (IRR) sebanyak 87 peratus menjelaskan ternakan ini mempunyai potensi dibangunkan dalam skala besar.

Begitu juga penternakan itik telur perlu dikomersialkan lebih teratur dan sistematik untuk menampung keperluan telur di pasaran. Dengan pengeluaran telur itik dalam skala besar, pengguna mempunyai pilihan serta jaminan barangan keperluan itu.

Berdasarkan statistik Jabatan Perkhidmatan Verterinar pada 2019, sebanyak 2.1 juta itik penelur diternak di 204 ladang di seluruh negara dengan pengeluaran lebih 163.3 juta telur atau 11,434 tan setahun.

Harga runcit telur itik ketika ini mencecah 80 sen sebiji berbanding 45 sen sebiji telur ayam gred A menunjukkan perbezaan agak ketara. Namun, perancangan khusus perlu dilakukan bagi meningkatkan ternakan itik penelur bagi menstabilkan

harga di pasaran, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada telur ayam.

Pengeluaran telur itik juga dipengaruhi corak pemakanan diberikan yang sekiranya itik penelur diberi makanan komersial, purata pengeluaran telur sehari sekitar 70 hingga 75 peratus berbanding makanan campuran dilakukan penternak purata pengeluaran telur dianggarkan sebanyak 60 hingga 65 peratus daripada jumlah itik telur.

Bagi memastikan kelangsungan pengeluaran telur itik dalam jangka panjang, kebersihan reban dan air minuman perlu dijaga rapi. Itik penelur tidak mudah dihinggapi penyakit dan lebih tahan daripada tekanan persekitaran jika dibandingkan dengan ayam.

Walaupun kos ternakan itik penelur dikatakan tinggi kerana tempoh tumbesaran panjang bagi tujuan pengeluaran telur, ia tidak boleh dijadikan alasan sekiranya pengeluaran telur itik dapat menampung permintaan telur dalam negara di samping telur ayam.

Jika dilihat telur ayam dan itik turut menyumbang 113.6 peratus kepada kadar sara diri (SSL) negara pada 2019 dengan penggunaan 21.3 kilogram pertahun. Peratusan ini menunjukkan telur itik turut menjadi penyumbang pencapaian SSL negara di bawah komoditi telur.

Walaupun industri ternakan ayam atau itik mempunyai tahap SSL tinggi, industri berkenaan perlu beralih ke arah sistem reban tertutup untuk meningkatkan kemampanan dan mencapai tahap produktiviti lebih tinggi.

Perlu pelaburan berterusan

Bagi memastikan kelangsungan pengeluaran telur itik, pelaburan berterusan harus dilakukan dengan pembabitan kerajaan, penternak dan penggerak industri. Ini penting bagi memastikan pengeluaran telur itik tidak terjejas di samping kos pengeluaran dapat diminimumkan.

Kawalan kos bahan mentah dan kos lain di sepanjang rantaian pengeluaran telur itik perlu diperkukuhkan bagi mengelak kebocoran.

Dalam hal ini, institusi pengajian tinggi (IPT) mempunyai kepakaran agromakanan perlu dibabitkan supaya pengetahuan dan teknologi dapat dipindahkan kepada komuniti.

Antara program boleh dimanfaatkan, Program Community Resilience Experiential Learning (CARE) di bawah Kerangka Experiential Learning And Competency Based Education Landscape (EXCEL) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Melaluinya, pelajar akan memperoleh pengalaman pembelajaran mendalam menerusi hubungan rapat dengan komuniti memfokuskan keperluan masyarakat dan mewujudkan perubahan sosial positif.

Melalui pemantauan dan pembabitan berterusan, proses pemindahan pengetahuan dan teknologi dapat dilakukan, sekali gus menyumbang kepada pengeluaran makanan negara.

Malah, sesetengah komuniti mempunyai tanah terbiar dapat dioptimumkan melalui kerjasama ini.

Hubungan dua hala ini bukan sahaja dapat membentuk kemenjadian pelajar berdaya saing, berketerampilan dan mampu mencipta pekerjaan, bahkan meningkatkan hasil pendapatan rakyat.

Penulis adalah Pengarah Institut Kajian Kerajaan Tempatan, Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM)


2. Usaha pemerkasaan peguam syarie, mahkamah syariah -Oleh SENATOR DATUK IDRIS AHMAD

APA lagi ungkapan yang boleh saya katakan, setinggi kesyukuran kepada Allah SWT atas Persidangan dan Mesyuarat Pemilihan Anggota Majlis Peguam Syarie Wilayah-wilayah Persekutuan yang pertama.

Perjuangan tiga dekad. 24 tahun secara spesifik.

Sejarah panjang bagi usaha untuk memartabatkan perjuangan institusi Mahkamah Syariah.

Usaha untuk mewujudkan Akta Profesion Guaman Syarie telah bermula sejak tahun 1984 lagi.

Pada tahun 1995, Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil telah meneruskan usaha penggubalan Rang Undang-undang Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) sehingga selesai.

Akta Profesion Guaman Syarie 2019 (Wilayah-Wilayah Persekutuan) [Akta 814] telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 dan Dewan Negara pada 31 Julai 2019.

Akta 814 juga telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 15 November 2019 dan seterusnya telah mula berkuat kuasa pada 21 Jun 2022 yang lalu.

Di Wilayah Persekutuan sahaja, lebih 700 anggota Peguam Syarie yang berkelayakan dan berkepakaran, dan saya mengharapkan inilah pemangkin untuk negeri-negeri lain untuk bersama dalam perjuangan menggubal enakmen yang sama seperti Akta 814.

Saya yakin kewujudan akta ini akan disambut baik oleh semua negeri berkenaan dengan memartabatkan Mahkamah Syariah dalam negara kita.

Setelah mengaktifkan semula Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah yang dipengerusikan Tan Sri Othman Mustapha dan diurussetiakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), saya kita agenda kita hari ini, Mesyuarat Pemilihan Anggota Majlis Peguam Syarie Wilayah- Wilayah Persekutuan Yang Pertama adalah cukup besar dan ianya sangat besar untuk umat Islam dalam negara kita.

Sungguh, saya cukup terharu!

Perjuangan untuk memartabatkan undang-undang syariah adalah perjuangan saya sejak berada di luar kerajaan dahulu lagi.

Maka saya berkata pada diri saya, sementara Allah beri amanah dan ruang ini kepada saya, saya bertanggungjawab untuk melaksanakannya.

Insya-Allah, martabat Mahkamah Syariah akan lebih tinggi selepas ini. Doakan semua! – HARAKAHDAILY 8/8/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Perjuangan 'ayam kampung, itik penelur', & mahkamah syariah.. Itu juga termasuk dalam perjuangan Islam. Itulah yang diperjuangkan PAS. Biarlah kita sehidup semati bersama Islam! Undilah PAS dalam PRU 15 ini.

Hibur Hibur Sikit

H2S Pilihan: 02 -Muslim Rap-Soldier of Allah.

Soldiers Of Allah 1924 Rap, Learn your history


Soldiers Of Allah (No Compromise)


Soldiers of Allah - Vocal Nasheed - Muhammad & Ahmed Muqit 



Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Mat Sabu, Chin Tong sanggah Najib, Hishammuddin &...

 

Model kapal Litorial Combatant Ship (LCS)

Mat Sabu, Chin Tong sanggah Najib, Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bahawa kapal pertama daripada enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang ditempah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan siap dalam tempoh satu hingga dua tahun, disifatkan tidak realistik kerana reka bentuk terperinci kapal yang sepatutnya dimuktamadkan pada November 2016 itu, hanya siap kira-kira 80 peratus.

Dalam satu kenyataan bersama, bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, mendakwa reka bentuk terperinci berkenaan perlu mendapat kelulusan Naval Group dari Perancis selaku pihak berkuasa reka bentuk sebelum pembinaan kapal, namun firma itu masih mendapat bayaran.

"Bagi tujuan kawalan mutu, reka bentuk LCS yang dihasilkan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tertakluk kepada kelulusan Naval Group, diikuti pemeriksaan dan pengesahan oleh Bureau Veritas, sebuah badan bebas antarabangsa bagi memastikan reka bentuk kapal perang menepati syarat seperti yang ditetapkan dalam kontrak.Menurut kontrak asal, fasa reka bentuk terperinci sepatutnya dilaksanakan dari 6 Ogos 2014 hingga 29 November 2016, namun fasa itu berterusan sehingga hari ini dan masih belum selesai.

"Proses reka bentuk adalah proses yang paling penting dalam pembinaan LCS. Tanpa reka bentuk lengkap yang diluluskan Naval Group dan Bureau Veritas, projek LCS tidak dapat diteruskan dan sebarang status siap kerja yang lain adalah tidak bermakna," katanya.

Semalam, Hishammuddin ketika sesi soal jawab di Dewan Negara, memaklumkan kapal pertama LCS diharap dapat disiapkan dalam tempoh satu atau dua tahun lagi untuk diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Katanya, buat masa ini, beliau tidak dapat memberi tempoh sebenar bagi enam kapal LCS itu untuk siap sepenuhnya kerana Kabinet memberi tempoh enam bulan kepada kementeriannya untuk memobilisasi usaha menghidupkan semula projek pembinaan kapal berkenaan.

Kedua-dua Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) itu turut menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bahawa projek LCS terbengkalai kerana kerajaan PH menangguhkan projek itu pada September 2019 sambil menyifatkan ia hanya bertujuan untuk mengelirukan rakyat.

Katanya, pada 11 Februari 2020, PH membuat keputusan berhubung hala tuju projek itu, berdasarkan laporan siasatan LCS oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika itu memutuskan mereka yang terbabit dengan salah laku mesti dibawa ke muka pengadilan, pasukan pengurusan BNS dirombak dan projek itu dianggap sebagai projek sakit serta akan menerima suntikan dana bagi mengganti semula dana yang didakwa diseleweng.

"Kementerian Pertahanan diarah membentang kertas Jemaah Menteri dalam masa terdekat. Malangnya, apa yang dirancang tidak berlaku berikutan Langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan PH.

"Najib sedang cuba mengelirukan rakyat dan menyalahkan PH, sedangkan beliau sendiri dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (bekas Timbalan Perdana Menteri) yang bertanggungjawab atas kegagalan projek LCS, kerana meluluskan projek ini tanpa rundingan teliti dengan pakar terdahulu," dakwanya.


2. 'Menteri Pertahanan setuju tukar rekabentuk LCS ikut cadangan kontraktor, bukan keputusan TLDM'  

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesan percanggahan dalam keterangan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan pada 2011, mengenai pertukaran reka bentuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) dari SIGMA kepada GOWIND.

Berdasarkan laporan prosiding bertarikh 25 Oktober tahun lalu, Presiden UMNO itu memaklumkan pertukaran reka bentuk itu seharusnya dipertanggungjawab oleh pengguna akhirnya dan bukannya dipikul menteri.

Menurut Ahmad Zahid, reka bentuk yang diubah daripada SIGMA kepada GOWIND adalah keputusan yang dicapai susulan dari cadangan dan syor kontraktor kapal LCS iaitu Boustead Naval Shipyard (BNS) dan Naval Group.

Jelasnya, kedua-dua syarikat mengemukakan penjelasan kelebihan reka bentuk GOWIND dan menunjukkan reka bentuk sedemikian adalah yang terbaik dalam memenuhi keperluan serta penggunaan kapal-kapal LCS di Malaysia.

Selain itu, katanya perubahan reka bentuk kapal LCS tertakluk kepada pilihan kontraktor pembinaan kapal iaitu BNS dan Naval Group dan bukan atas pilihan termasuk keputusan Menteri Pertahanan ketika itu.

"Saya sebagai Menteri Pertahanan tidak ada latar belakang teknikal terutama dari segi menentukan reka bentuk kapal itu.

"Ini kerana pertamanya, reka bentuk yang dibuah sebagaimana Yang Berhormat sebut daripada SIGMA ke GOWIND adalah keputusan yang dicapai susulan cadangan dan syor daripada kontraktor pembinaan kapal LCS iaitu Boustead Naval Shipyard (BNS) sendiri dan juga French Naval Group yang memberikan khidmat nasihat kepada BNS.

"Faktor kedua, perubahan reka bentuk kapal LCS adalah tertakluk kepada pilihan kontraktor pembinaan kapal. Saya sebutkan tadi BNS dan French Naval Group dan bukan atas pilihan dan keputusan Menteri Pertahanan ketika itu.

"Ketiga, keputusan perubahan reka bentuk tidak akan dibuat sewenang-wenangnya tanpa cadangan dan syor daripada pasukan arkitek pembinaan LCS. Ia disyorkan oleh kumpul arkitel naval. Ia bukan daripada menteri," katanya.

Ahmd Zahid turut menjawab soalan dibangkitkan seorang anggota PAC, Nurul Izzah Anwar mengenai adakah apa yang disebutkan dalam surat BNS itu juga mewakili pengguna akhir selain terdapat suara dalaman mewakili syarikat sama dalam surat kepada Menteri Pertahanan dan juga Perdana Menteri.

Menjawab soalan itu, Ahmad Zahid menjelaskan, Pengerusi Eksekutif BNS dijawat oleh bekas Panglima Tentera Laut yang mengetahui tentang keperluan pengguna akhir.

"Dalam hal ini, pada hemat saya, pengerusi ketika itu yang mempunyai latar belakang yang terlalu luas di dalam bidang kelautan dan keperluan perairan di sini setelah mendapat pandangan daripada end user (pengguna akhir) tentunya mencadangkan supaya perubahan reka bentuk itu dibuat.

"Jadi, saya ingin ulang sekali lagi bahawa pihak kementerian, menteri, KSU (Ketua Setiausaha) dan lain-lain mengikut apa yang telah dicadangkan oleh pihak end user," katanya.

Dalam prosiding sama, Ahmad Zahid turut mengakui beliau tidak tahu mengenai butiran perubahan reka bentuk LCS kerana keputusan dibuat di peringkat kementerian berdasarkan keperluan pengguna akhir.

Beliau juga tidak mahu membincangkan mengenai pertembungan personaliti yang berlaku dalam TLDM. 

Kapal Tempur Pesisir (LCS) sewaktu upacara penamaan dan pelancaran di dermaga Boustead Naval Shipyard, pangkalan TLDM Lumut, pada 24 Ogos 2017. - Foto fail NSTP

Timbalan Ketua Sekretariat Jawatankuasa Khas Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), Guna Arulalan David, ketika memberi keterangan pada 1 Disember 2020 berkata, pada asalnya TLDM bersetuju dan mengkehendaki reka bentuk SIGMA.

SIGMA ialah LCS daripada Belanda yang pada asalnya dipersetujui oleh pihak pengurusan atasan MINDEF dan Menteri Pertahanan ketika itu.

Namun begitu, disebabkan cadangan dikemukakan BNS, maka reka bentuk asal ditukar kepada GOWIND iaitu dari Perancis.

"Ya pada 26 Mei 2011, kita dapati Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju dengan cadangan TLDM untuk reka bentuk SIGMA dan Sistem Pengurusan Kombat yang berkaitan adalah daripada Palaise, Perancis.

"Pada 11 Julai 2011, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamiudi bersetuju pula untuk memilih reka bentuk GOWIND. Pada 26 September 2011, bersetuju untuk perubahan kepada Sistem Pengurusan Kombat daripada yang asalnya taktikal ditukar kepada SETIS. Jenis SETIS dari Perancis juga atas syor syarikat BNS," katanya.

Arulalan David berkata, TLDM juga tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan tetapi terpaksa menerima memandangkan keputusan dibuat pihak pengurusan atasan MINDEF.

"Sebenarnya TLDM tidak bersetuju dengan cadangan tersebut, malahan kita juga dapati ada surat daripada Panglima Tentera Laut pada masa itu yang menyatakan dengan jelas, saya memetik, tidak pernah berlaku pemilihan reka bentuk yang ditentukan oleh kontraktor utama dan bukannya oleh pihak pengguna.

"Ini adalah ayat daripada surat yang dikemukakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar pada masa itu," ujarnya. (BH)

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Monday, August 08, 2022

'Musang King' filem M'sia-K/Pop, 'Patuh Syariah'?

 

Yusuf Bahrin dan Fimie Don bersama barisan pelakon filem bergenre aksi, The Lord Musang King arahan Lee Moon Ho. - NSTP/Rohanis Shukri

HALAMAN HIBURAN

'Musang King' gabungan bintang Malaysia, K-Pop

KUALA LUMPUR: Berdasarkan 'kegilaan' rakyat Malaysia terhadap industri K-Pop dan mahu mempertingkatkan sektor pelancongan negara mendorong syarikat produksi, Hundred Years Popcorn Production menghasilkan filem aksi berjudul The Lord Musang King.

Apa yang menarik, ia bukan sahaja menyatukan dua negara iaitu Malaysia dan Korea Selatan, malah mengetengahkan raja buah iaitu durian berkualiti tinggi, Musang King sebagai duta menjayakan misi produksi berkenaan.

Memperincikan pembikinan filem itu, Penerbit Eksekutif, Ong Peng Chu, berkata impian menggabungkan dua negara dalam satu naskhah filem tercetus selepas dia dan pengarah filem, Lee Moon Ho yang juga warga Korea Selatan menikmati durian Musang King.

"Kami memang peminat durian Musang King dan ada makan bersama, dua bulan lalu. Melihat Moon Ho begitu berselera menikmati raja buah itu mencetuskan idea untuk menghasilkan filem usaha sama antara Malaysia dan Korea Selatan, sekali gus menjadikan Musang King sebagai subjek utama.

"Lagipun, kita belum ada filem yang menggabungkan Malaysia dengan Korea Selatan, berbanding negara serantau lain. Jadi, saya meminta Moon Ho mengarahkan filem The Lord Musang King memandangkan kami sudah lama berkenalan dan dia juga banyak menghasilkan filem di China.

"Walaupun agak sukar meyakinkannya, akhirnya dia bersetuju menerima tawaran selepas melihat kejayaan beberapa filem terbitan Malaysia seperti Paskal The Movie," katanya kepada BH Online.

Berbekalkan modal RM2.5 juta, Peng Chu berkata, filem The Lord Musang King itu akan menampilkan pelakon dari Malaysia dan Korea Selatan, manakala lokasi penggambaran akan dibuat sepenuhnya di Malaysia.

"Saya terharu, kebanyakan kru dan penggiat seni yang terbabit dalam pembikinan filem termasuk Moon Ho tidak meletakkan bayaran tinggi kerana mengenangkan persahabatan yang terjalin.

"Begitu juga bayaran pelakon dari Korea Selatan disifatkan sangat rendah. Walaupun kos pembikinan tidak semahal filem usaha sama lain, kami mengutamakan soal kualiti.

"Kami menggunakan peralatan diimport dari China dan teknik Imej Janaan Berkomputer (CGI) untuk filem ini.

"Bagaimanapun, saya memohon dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk promosi dan pemasaran," katanya pada majlis pelancaran filem The Lord Musang King di Park 28, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini. 

Zahidi (tiga dari kiri) ketika gimik majlis pra pelancaran filem The Lord Musang King di Mutiara Damansara, baru-baru ini. - NSTP/Rohanis Shukri

Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Filem menggunakan tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Korea ini menampilkan pelakon Malaysia seperti Yusuf Bahrin, Harissa Adlynn Halim, Fimie Don, Azri Sabri, Hafizuddin Fadzil dan Jay Iswazir, manakala pelakon dari Korea Selatan pula adalah Kim Bo Yeon dan Kwak Dong Hyuk.

Peng Chu berkata, dia menawarkan watak dalam filem kepada dua pelakon senior iaitu Datuk M Nasir dan Datuk Awie, tetapi mereka terikat dengan komitmen lain.

"Awie kelihatan berminat, tetapi akan menunaikan umrah pada 10 Ogos ini. Walaupun mengetengahkan muka baharu, mereka terlebih dahulu menjalani latihan yang agak ketat," katanya.

Ditanya sejauh mana keyakinan terhadap sambutan bakal diterima peminat dalam dan luar negara, Peng Chu bersikap positif dalam hal itu.

"Sejujurnya, pada peringkat awal saya juga sangsi apakah wujud keserasian di lokasi penggambaran.

"Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman membawa penyanyi dari Korea Selatan, Kim Dong Gyun ke Malaysia berduet dengan Wany Hasrita yang diterima ramai memberi keyakinan saya juga boleh melakukan perkara sama untuk filem ini.

"Situasi lain menambahkan keyakinan saya adalah apabila banyak platform Over-The-Top (OTT) dari luar negara, termasuk pengedar antarabangsa begitu berminat dengan filem ini selepas mengadakan perbincangan," jelas Peng Chu.

The Lord Musang King mengangkat kisah Haikal, anak pekebun durian yang berjaya, namun diperdaya dan dipenjarakan. Demi menyelamatkan Haikal, bapanya, Samad membuat perjanjian dengan syarikat perdagangan antarabangsa untuk membebaskan anaknya.

Namun, Samad dibunuh 'taikun' Korea Selatan ketika cuba membebaskan anaknya. Selepas menyedari kejadian sebenar, Haikal tampil menuntut bela atas kematian bapanya.

Penggambaran di Malaysia bermula Khamis depan selama 21 hari.

Komen Weblog Ibnu HasyimBerdasarkan 'kegilaan' rakyat Malaysia terhadap industri K-Pop dan mahu mempertingkatkan sektor pelancongan negara maka lahirlah filem 'Musang King' gabungan bintang Malaysia, K-Pop.

Apapun, disiplin 'patuh syariah' dalam dunia hiburan di negara umat Islam Malaysia ini perlu diambil kira. 

Insya Allah, berkat!


Hibur Hibur Sikit

H2S Pilihan: 02 -Muslim Rap-Soldier of Allah.

Soldiers Of Allah 1924 Rap, Learn your history


Soldiers Of Allah (No Compromise)


Soldiers of Allah - Vocal Nasheed - Muhammad & Ahmed Muqit 



Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails