Tuesday, January 18, 2022

Bercanggah Dengan Islam: Hari Agama Sedunia & Pluralisme

 


1. Perayaan Hari Agama Sedunia bercanggah Islam

ISTILAH Perayaan Hari Agama Sedunia adalah bercanggah dengan Islam kerana mempunyai unsur pengiktirafan kepada kebenaran agama lain.

Sebagai Muslim, kita meletakkan segala kesetiaan dan ketaatan hanya kepada agama Islam dan berlepas diri (bara’ah) daripada sebarang unsur-unsur yang mengiktiraf agama lain.

Firman Allah S.W.T:

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّـهِ الْإِسْلَامُ

 “Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam.”

[‘Ali-Imran: 19]

Benar Islam adalah agama rahmat yang bersifat universal, penuh toleransi dan menerima hakikat wujudnya pelbagai agama (pluraliti) di muka bumi ini. Namun demikian, ia bukan bermakna Islam menyeru kepada kesamarataan agama dan mempercayai agama lain sebagai satu kebenaran seperti yang dipercayai dalam ajaran Pluralisme agama. 

Berhati-hatilah dalam bertoleransi, jangan sampai melebihi hak-hak yang sepatutnya. Semoga Allah menetapkan agar kita sentiasa berada di atas jalan-Nya yang lurus, dan menjauhkan kita daripada jalan yang menyimpang.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 17/1/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100050311487174/posts/485670036453375/

2. Pluralisme agama: Ancaman umat islam di akhir zaman -Dr Riduan Mohamad Nor


MENDIDIH hangat medsos hari ini serta kelmarin dengan isu ucapan selamat hari agama sedunia oleh seorang sosok penting NGO negara ini, mantan ketua wanita NGO pro DAP itu akhirnya memohon maaf dan menarik balik muat turun status beliau di muka buku. 

Penghujung Disember lepas, tukar video seorang pemimpin pembangkang yang juga Ahli Parlimen Muar berkaitan video santai ucap selamat sambutan perayaan krismas dengan seorang tokoh muda DAP di Selangor. 

Fenomena memandang mudah soal akidah seakan menjadi budaya dalam masyarakat terutama anak-anak muda negara ini. Lihat sahaja bagaimana dahsyatnya dai popular Ustaz Azhar Idrus diserang oleh netizen apabila menasihatkan anak-anak muda dalam isu membersihkan rumah ibadah agama lain.

Penyakit ini sedang mewabak dan bernanah dalam masyarakat, jika tak dibendung akan menyeret lebih ramai mangsa dalam kalangan kelompok anak muda yang jahil. Kesan berangkai fahaman ini akibat masyarakat Islam yang mula menjauhkan diri daripada ilmuan Islam, dibantu dengan dunia langit terbuka, masyarakat yang ingin membebaskan diri daripada sumber àutentik Islam. 

Ulama kontemporari wajib berani menyanggah wacana kelompok ini secara terbuka serta memanfaatkan kemudahan dunia digital masa kini.

Pluralisme agama adalah bayi dibidani daripada pemikiran neo muktazilah, dalam sejarahnya sangat bejat menyerang Indonesia semenjak zaman Bung Karno serta pintu banjir kesesatan Islam inklusif terbuka luas di zaman transisi pasca Mei 1998.

Dengan terjahan dunia langit terbuka kelompok ini dengan aktif menebarkan sikap serta pandangan mereka, bahkan secara terbuka mengadakan bantahan awam untuk berekspresi akan tuntutan-tuntutan mereka. Mereka secara terbuka menyerang institusi agama negara ini serta berkolabarasi dengan sesiapa sahaja yang menyokong perjuangan mereka.

Terjahan kepada Islam berlangsung sepanjang zaman dan menuntut umat Islam berdada dengan penyelewengan ini. Antara kebobrokan yang kian mendapat tempat dalam kalangan umat Islam yang jahil ialah fahaman Islam liberal, menyusup secara diam dan pantas dalam akar ummah di pelbagai posisi.

Isu ini semakin menjadi hangat dengan pihak berkuasa agama pernah  melarang wacana Mustapha Akyol, seorang sarjana Turki yang ingin menebarkan fahaman agamanya kepada rakyat negara ini, kita melihat bagaimana kelompok Islam liberal negara ini bersungguh-sungguh mempertahankan kewajaran cara fikir mereka.

Ciri-ciri fahaman islam liberal

1. Mereka menganut fahaman pluralisme

Iaitu fahaman yang menyatakan bahawa semua agama adalah sama yakni benar belaka. Orang Islam tidak boleh meyakini bahawa hanya agama Islam sahaja yang benar. Sebaliknya mereka hendaklah mengiktiraf agama lain juga benar dan betul. Urusetia Jaringan Islam Liberal, Ulil Abshar Abdalla dalam majalah Gatra (Indonesia) keluaran 21 Disember 2002 menyatakan: “Semua agama sama. Semuanya menuju jalan kebenaran”.

Dengan fahaman inilah, maka lahirnya ideologi Pancasila di Indonesia. Darinya juga, penganut fahaman Islam liberal menyeru agar dibenar perkahwinan campur antara agama kerana semua agama adalah benar dan betul dan perkahwinan sebegini sememangnya telah diamalkan di Indonesia menunjukkan kejayaan besar golongan Islam liberal di sana. Di Malaysia, penularan fahaman pluralisme dapat dilihat dalam kes-kes berikut:

a. Sambutan kongsi-raya iaitu menyambut perayaan agama secara bersama-sama di antara agama-agama di Malaysia (Islam, Hindu, Cina dan Kristian). Sekalipun telah ditegur oleh mufti dan para ulama dalam Muzakarah Ulamak 2006 (13 Jun) di Perak sebagai bertentangan dengan Islam, namun golongan Islam liberal menolak pandangan mufti dnya an ulama-ulama tersebut dan menuduh mereka jumud, kolot atau berpemikiran tertutup; dan

b. Kerana terpengaruh dengan fahaman pluralisme inilah maka beberapa Menteri Muslim dan sebuah NGO Muslim (iaitu Sisters In Islam) telah turut menyokong penubuhan InterFaith Council (IFC) atau Majlis/Suruhanjaya Antara Agama-Agama. Suruhanjaya Antara Agama ini dicadangkan oleh MCCBCHS atau Majlis Kristian Budha Hindu dan Sikh Malaysia melalui memorandum yang telah dihantar ke Majlis Peguam pada 21 Ogos 2001.

2. Mendesak agar diberikan hak kebebasan murtad untuk penganut Islam di Malaysia

Dalam isu murtad – seperti kes Lina Joy (yang nama asalnya Azlina Jailani), golongan Islam liberal di Malaysia antara yang mendesak agar penganut Islam diberi hak untuk murtad dari agama (Islam) tanpa sebarang tindakan undang-undang dan tanpa tertakluk dengan keputusan Mahkamah Syariah.

Bagi kelompok Islam liberal yang jahil ini mereka berhujah bahawa hak untuk murtad menurut mereka adalah kebebasan beragama yang juga diakui oleh al-Quran. Mereka menyalah tafsirkan ayat Allah yang berbunyi, “Tidak ada paksaan dalam agama”. (Al-Baqarah: 256)

Menurut tafsiran ulama tafsir yang muktabar, ayat di atas hanya terpakai bagi orang bukan Islam, yakni mereka tidak harus dipaksa untuk menganut Islam kecuali dengan kerelaan sendiri. Adapun bagi penganut Islam, maka mereka wajib beramal dengan segala tuntutan Islam termasuk tuntutan memelihara akidah dan iman.

Dalam kes murtad, orang Islam yang keluar daripada agama akan dikenakan hukuman yang berat di akhirat dan di dunia. Hukuman di akhirat ia akan dihumbankan Allah dalam neraka untuk selama-lamanya. Murtad membawa kepada implikasi hukuman mati berdasarkan perundangan Islam, sebagaimana hadis riwayat daripada Imam Bukhari.

Beratnya hukuman akibat murtad adalah manifestasi betapa Islam sangat menjaga kesucian akidah dan tidak berkompromi dengan nilai syirik serta kekufuran. Penekanan kepada soal menjaga akidah, batas batas Iman dan kufur wajib menjadi agenda utama kerajaan, gerakan Islam serta masyarakat Islam umumnya. Berwaspadalah dengan jarum halus musuh Islam melakar gerak kerja mereka menimbulkan kerancuan berfikir kepada umat. – HARAKAHDAILY 17/1/2022



Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.


Mulai 2022, 500 ribu penjawat awam, tentera & polis Indo, berpindah ke ibu kota baru..

 


Jakarta: Kerajaan menyasarkan seramai 500 ribu penjawat awam (PNS) kementerian dan institusi akan dipindahkan ke kawasan Ibu Kota Negara (IKN) baharu di Kalimantan Timur pada peringkat awal pembangunan bagi 2022-2024. tempoh.

Langkah itu selaras dengan pembinaan infrastruktur utama seperti istana presiden, bangunan DPR/MPR dan perumahan di peringkat awal pembangunan IKN.

"Pembinaan dan pengoperasian infrastruktur asas untuk peringkat awal 500 ribu penduduk," bunyi kenyataan di laman web rasmi IKN yang dipetik Selasa (18/1).

Presiden Joko Widodo (Jokowi) juga bercadang untuk menyambut Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Indonesia ke-79 di kawasan IKN pada 17 Ogos 2024. Dalam tempoh 2025-2035, fasa seterusnya bandar akan dibangunkan, seperti pusat inovasi dan ekonomi, dan melengkapkan pemindahan pusat kerajaan IKN.

Selain itu, pembangunan sektor ekonomi keutamaan, pelaksanaan sistem insentif bagi sektor ekonomi keutamaan, serta pencapaian matlamat pembangunan mampan juga akan dijalankan dalam tempoh ini. Bukan sahaja penjawat awam, kerajaan juga akan memindahkan anggota TNI dan Polri ke IKN baharu secara berperingkat mulai 2022 hingga 2024.

Proses pemindahan ASN disesuaikan dengan keperluan kerajaan yang akan berjalan secara berperingkat di ibu kota baharu. Menteri Pemberdayaan Aparatur Negara dan Pembaharuan Birokrasi (PANRB) Tjahjo Kumolo pada Jun 2021 berkata, beberapa ASN di kementerian/agensi dan agensi pusat telah berpindah secara berperingkat ke IKN baharu pada 2023.

Sasaran ini diputuskan, supaya menjelang 2024 IKN mampu menjalankan struktur kerajaan dengan sistem kerajaan pintar.

“Kami mahu sasaran pada penghujung 2023 bahawa sebahagian ASN kementerian, institusi dan agensi pusat telah beransur-ansur berpindah ke ibu kota baharu,” kata Tjahjo.

Ahli politik PDIP itu berkata, pihaknya sudah menyediakan pelan hala tuju berkaitan pelaksanaan kerajaan. Cuma, pelan hala tuju masih menunggu keputusan mengenai keputusan pemindahan ibu kota.

“Kami berhasrat pada 17 Ogos 2024 ini, upacara kenegaraan akan diperingati bersama oleh semua pegawai dan ASN kementerian, institusi, dan agensi pusat di ibu kota baharu,” katanya. (IH)

Lihat sebelum ini.. Siri Kalimantan: Kerjasama M'sia/Indo.

ADUN Sedili nafi lakukan gangguan seksual

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain

JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain menafikan sekeras-kerasnya tuduhan seorang wanita yang membuat laporan polis mendakwa diganggu secara seksual, semalam.

Rasman berkata, tuduhan berkenan bukan sahaja satu konspirasi politik malah fitnah serta cubaan untuk menjatuhkan maruah serta mencalarkan reputasi beliau selaku wakil rakyat.

"Pada jam 2 petang semalam (17 Januari), saya dimaklumkan bahawa terdapat satu laporan polis dibuat terhadap saya oleh seorang individu yang juga Ahli Jawatankuasa Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Kota Tinggi.

"Saya dengan ini menafikan dengan sekeras-kerasnya tuduhan dalam laporan itu. Ini adalah satu konspirasi politik, fitnah dan satu cubaan untuk menjatuhkan maruah serta mencalarkan reputasi saya selaku seorang wakil rakyat.

"Saya juga bersedia untuk memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan berjalan demi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

"Saya juga berbincang dengan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana individu yang cuba mencemarkan nama serta imej saya seperti ini," katanya dalam kenyataan, tengah malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan, polis menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang ADUN di Johor.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan dakwaan salah laku ADUN terbabit, terhadap wanita berumur 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi pada kira-kira 11.30 pagi.

Rasman turut menegaskan konspirasi politik seperti itu tidak akan sekali-kali melemahkan semangat beliau untuk terus berjuang dan menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya melalui mandat rakyat.

"Semoga kebenaran akan dirungkai akhirnya serta perjuangan saya ini dimudahkan dan diredai oleh Allah SWT," katanya. (BH)

Monday, January 17, 2022

Pihak berwajib diminta selesai masalah penduduk Kg Kelubi

 

TEMERLOH: Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang telah mengadakan ziarah mahabah dan menyantuni mangsa banjir dalam Misi Bantuan Pasca Banjir di Kampung Kelubi, Lanchang, di sini kelmarin dahulu.

Menerusi inisiatif ini, rombongan mengedarkan sumbangan seperti peralatan dapur memasak, kelengkapan tidur, set solat, set penyucian dan barangan makanan serta menyuntik semangat mangsa-mangsa banjir setempat.

Ketua Muslimat PAS Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor memimpin misi ini diiringi Ketua Muslimat PAS Kawasan Temerloh, Ustazah Alawiyah Kasdan dan Pengerusi Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Temerloh, Siti Zakiah Derani.

Menurut seorang penduduk, Mauji Md Diah, rumahnya dibina setinggi 20 kaki, namun semasa banjir air setinggi 18 kaki tinggi dan hampir mencecah atap rumahnya di mana para penduduk terpaksa berlindung di atas bukit berdekatan.

Menurutnya lagi, semasa banjir 4 tahun lalu telah memusnahkan surau di sini dan masalah tersebut telah disuarakan kepada pihak berwajib dan penduduk di janjikan pembinaan semula surau tersebut, namun penantian itu menghampakan.

Mereka juga mengadu, terdapat 14 rumah yang semuanya masih menggunakan air perigi digali hampir 45 tahun lalu dan tiada kemudahan jalan raya sempurna, turut tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berwajib. 

Selain itu, terdapat dua rumah hanyut dibawa arus banjir dan sebuah rumah beralih dari tiang asal rumah di mana buat masa ini para penghuninya berlindung di dalam khemah sumbangan daripada NGO yang datang ke sini baru-baru ini.

“Kita berasa terkilan dan sedih walaupun Malaysia sudah merdeka lebih 65 tahun, masih ada rakyat yang belum menerima sumber air paip yang bersih dan kemudahan jalan raya yang baik.

 “Dalam keadaan banjir seperti ini, tentulah air perigi menjadi kotor dan mereka sangat memerlukan air yang bersih. Saya akan suarakan isu ini kepada pihak berkenaan.

“Pihak berwajib perlu memastikan penduduk mendapat keperluan air paip yang bersih, membina jambatan konkrit yang kukuh dan selamat bagi menggantikan jambatan gantung yang sedia ada demi kebaikan ‘Keluarga Malaysia’ khususnya di DUN Lanchang,” kata Salamiah. 

Alawiyah pula dalam pada itu menyeru lebih banyak agensi-agensi, NGO, kerajaan negeri dan mana-mana negeri yang ingin membantu terutama dari sudut kebajikan untuk menyediakan kemudahan air di kampung itu.

“Begitu juga dari sudut kemudahan jalan raya tiada dan masih menggunakan jambatan gantung yang hanya boleh dilalui motosikal untuk menyeberang ke jalan utama yang mana laluan pantas anak-anak ke sekolah dan penduduk keluar ke bandar.

“Kepada kerajaan negeri, jangan rugi untuk memberi hak kepada rakyat kerana mereka berhak dan berilah bantuan sesegera yang mungkin.

“Moga Allah permudahkan urusan kerajaan negeri Pahang, ambil cakna dan mengambil berat kepada rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/1/2022

..

'Nusantara' Ibu negara baharu Indonesia.

 


JAKARTA: Ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur akan dinamakan sebagai Nusantara. Perkara itu diumumkan oleh Menteri Perancangan Pembangunan Indonesia, Suharso Monoarfa hari ini. Katanya, nama tersebut dipilih dan disahkan oleh Presiden Joko Widodo atau Jokowi.

“Saya baru terima pengesahan dan arahan daripada Presiden Jokowi untuk menamakan ibu negara baharu Indonesia sebagai Nusantara.

“Pilihan itu dibuat kerana Nusantara sudah diketahui sejak dari dulu lagi, selain menjadi ikon antarabangsa dan menggambarkan Indonesia,” katanya.

Namun, belum dapat dipastikan sama ada ibu negara baharu itu akan dijadikan sebagai wilayah atau bandar. Pada 2019, Jokowi mengumumkan ibu negara Indonesia iaitu Jakarta akan dipindahkan ke Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara di Kalimantan Timur.

Langkah itu dibuat berikutan keadaan yang semakin sesak di Jakarta, selain bandar raya itu dilaporkan semakin tenggelam. – AGENSI

Lihat sebelum ini.. Siri Kalimantan: Kerjasama M'sia/Indo.

TH, larangan pakai songkok, kopiah.. &remaja mencuri di masjid.

 

(Gambar fail) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad. - NSTP/ASWADI ALIAS

1. TH diarah selesaikan isu larangan pakai songkok, kopiah.

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) diarah segera menyelesaikan isu kakitangan TH Hotel Kelana Jaya (THKJ) dilarang memakai songkok dan kopiah ketika bertugas. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, menegaskan bahawa pemakaian songkok dan kopiah oleh kakitangan hotel ketika bertugas, tidak sepatutnya menjadi masalah.

Justeru, katanya, beliau sudah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin, semalam, dan meminta perkara itu diselesaikan dengan segera.

"Tiada masalah sebenarnya (memakai songkok dan kopiah ketika bertugas) asalkan bersih, kemas, selamat, tertib, menutup aurat dan seragam. "Saya meminta CEO TH segera menyelesaikan isu ini," katanya dalam satu hantaran melalui Facebook beliau, semalam.

Beliau mengulas satu memorandum bertarikh 14 Januari lalu dikeluarkan pihak pengurusan THKJ, yang antara lain meminta semua kakitangan hotel itu untuk tidak memakai songkok atau kopiah ketika bertugas, kecuali sewaktu menunaikan solat.

Tabung Haji Hotel Kelana Jaya (THKJ) mengeluarkan memorandum pemakaian ketika bertugas.- Foto Facebook Idris Ahmad

Memorandum itu turut meminta kakitangan THKJ untuk berpakaian kemas, termasuk memakai kasut bertutup serta menjaga kebersihan diri ketika bertugas. Memorandum itu yang turut dikongsikan Idris melalui Facebook, ditandatangani oleh Pengurus Hotel THKJ, Mohamad Nazrul Nazib Nasihin.

Ketika mendapatkan penjelasan daripada Amrin berhubung memorandum terbabit, Idris berkata, beliau dimaklumkan bahawa ia dikeluarkan tanpa maklum balas daripada pihak pengurusan TH terlebih dahulu.

"Lepas balik dari solat isyak, saya mendapat maklumat mengenai memorandum THKJ. Terus hubungi CEO TH.

"Ini maklum balas CEO kepada saya. Memo dikeluarkan oleh Pengurus Hotel tanpa maklum balas (pengurusan TH)," katanya.


2. Kenyataan Menteri Agama isu viral remaja mencuri di masjid

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad mengambil maklum terhadap isu tular mengenai pengurusan sebuah masjid memandikan seorang remaja yang mencuri di masjid baru-baru ini.

Katanya, ingin ditegaskan bahawa perbuatan mencuri atas apa alasan sekalipun adalah merupakan suatu perbuatan yang dilarang dalam Islam.

“Pesalah wajar dihakimi dengan seadil-adilnya,” ujarnya dalam kenyataan media, malam tadi.

Beliau menambah, perbuatan orang ramai termasuk pengurusan masjid yang mengambil sebarang bentuk hukuman sendiri terhadap orang yang disyaki adalah amat tidak wajar.

Katanya lagi, perkara seumpama itu sepatutnya diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

“Saya juga ingin menasihatkan orang ramai termasuk pihak pengurusan masjid agar tidak terjebak dengan sentimen tertentu atau cuba mengambil tindakan sendirian sehingga boleh menyebabkan kezaliman kepada orang yang disyaki,” ujar beliau.

Menurutnya, perbuatan merakam gambar orang yang disyaki bagi tujuan sebaran awam juga adalah merupakan suatu perkara yang amat tidak wajar.

“Masyarakat adalah diseru supaya sentiasa cakna terhadap anggota kejiranan dan sama-sama mengambil peranan dalam mencegah masalah sosial yang bertaku di sekeliling mengikut peranan masing-masing tanpa melampaui had.

“Semoga perkara ini menjadi pengajaran dan iktibar kepada kita semua dalam menyantuni masyarakat di sekeliling kita,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 15/1/2022

3. Hukuman remaja curi tabung masjid, diganti dengan khidmat masyarakat 

Mahkamah Tinggi perintah Daniel Iskandar buat kerja masyarakat. - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, mengenepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap remaja yang dimandikan seperti jenazah, atas kesalahan cubaan mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang minggu lalu.

Hakim, Datuk Abd Halim Aman, membuat keputusan terbabit terhadap Daniel Iskandar, 19 dan menggantikan hukuman itu kepada khidmat masyarakat selama 120 jam bagi tempoh enam bulan. Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Dalam kes itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat, manakala pesalah muda itu diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, Fahmi Abdul Moin, Azman Abdullah dan Ilyani Khszairy.

Turut peguam Haniff Khatri Abdulla, Muhammad Hariz Yusoff, Nur Fatin Syakinah Kamarudin, Ahmad Khalil Md Rofiee dan Muhammad Mustaqim Ahmad Huzaini bagi Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), manakala Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie sebagai peguam pemerhati bagi Masjid Al Islahiah, Kuang, Rawang.

Minggu lalu, media melaporkan seorang remaja yang tular selepas dimandikan seperti jenazah, dipenjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang kerana cuba mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang.

Ganda kekayaan ketika COVID-19, 'Keganasan ekonomi'? -Ini 10 mereka..

 

Bill Gates antara 10 individu terkaya dunia yang disenaraikan Forbes. - Foto fail AFP

10 lelaki terkaya dunia ganda kekayaan ketika COVID-19

PARIS: Sepuluh lelaki terkaya di dunia menggandakan kekayaan mereka selama dua tahun pertama pandemik COVID-19 ketika kemiskinan dan ketidaksamaan meningkat.

Menerusi taklimat yang diterbitkan sebelum sidang kemuncak mini pemimpin dunia secara maya sempena Forum Ekonomi Dunia, Oxfam berkata, kekayaan individu berkenaan melonjak daripada AS$700 bilion (RM2.92 trilion) kepada AS$1.5 trilion (RM6.27 trilion) pada kadar purata AS$1.3 bilion (RM5.43 trilion) sehari.

Oxfam, konfederasi badan amal yang memberi tumpuan bagi mengurangkan kemiskinan global berkata kekayaan bilionair meningkat lebih banyak ketika pandemik berbanding 14 tahun sebelumnya, ketika ekonomi dunia mengalami kemelesetan terburuk sejak Wall Street Crash pada 1929.

Ia menyifatkan ketidaksamaan itu sebagai 'keganasan ekonomi', selain menyumbang kepada kematian 21,000 orang setiap hari berikutan kekurangan akses kepada penjagaan kesihatan, keganasan berasaskan jantina, kebuluran dan perubahan iklim.

Badan amal itu berkata, pandemik menyebabkan 160 juta orang menjadi miskin dengan etnik minoriti bukan kulit putih dan wanita menanggung kesan susulan lonjakan ketidaksamaan.

Laporan itu susulan kajian kumpulan berkenaan pada Disember lalu yang mendapati saham kekayaan global individu terkaya dunia melonjak pada kadar rekod ketika pandemik.

Sehubungan itu Oxfam menggesa pembaharuan cukai dilaksanakan untuk membiayai pengeluaran vaksin di seluruh dunia serta penjagaan kesihatan, penyesuaian iklim dan pengurangan keganasan berasaskan jantina bagi membantu menyelamatkan nyawa.

Katanya, ia berdasarkan pengiraan kekayaan pada sumber data paling terkini dan komprehensif yang tersedia serta menggunakan Senarai Bilionair 2021 disusun majalah perniagaan AS, Forbes.

Forbes menyenaraikan 10 orang terkaya di dunia iaitu Ketua Tesla dan SpaceX Elon Musk, Jeff Bezos Amazon; Pengasas Google, Larry Page dan Sergey Brin; Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg; bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Microsoft, Bill Gates dan Steve Ballmer; bekas CEO Oracle, Larry Ellison; pelabur AS, Warren Bufet serta Ketua Kumpulan LVMH, Bernard Arnault. - AFP

Komen Weblog Ibnu HasyimHarta Dalam Islam.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran al-Karim, surah Luqman, ayat 20 yang bermaksud: 

Tidakkah kamu perhatikan, sesungguhnya Allah telah memudahkan untuk kepentinganmu apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi dan menyempurnakan untukmu nikmatNya lahir dan batin.

Islam meletakkan harta sebagai salah satu keperluan asasi di dalam kehidupan manusia. Bagi memenuhi tuntutan tersebut, Islam telah menyediakan beberapa sistem yang dapat merealisasikan kenyataan itu dengan baik dan berkesan, antaranya ialah sistem pengurusan dan pentadbiran harta.

Islam mengambil sikap yang jelas dan terbuka dalam soal pengurusan harta dengan berdasarkan nilai dan objektif untuk kebaikan dunia dan akhirat sekaligus menghindari segala keburukan dan kemudaratan.

Harta merupakan salah satu keperluan asas dalam kehidupan manusia. Allah Subhanahu Wa Taala menyediakan harta adalah khusus untuk menjamin kepentingan manusia supaya boleh hidup dengan baik dan sempurna. Harta yang diciptakan sebagai alat untuk kehidupan tidak seharusnya diselewengkan oleh pemiliknya atau sesiapa sahaja. 

Ia merupakan satu pertembungan dengan landasan yang telah ditetapkan oleh syarak. Justeru itu, al-Qur’an mencela sifat kedekut, bakhil, membazir, boros, mementingkan diri sendiri, tidak mengeluarkan zakat, memiliki mahupun membelanjakan harta dengan cara yang haram.

Pengurusan harta yang benar-benar menepati syara’ amat diperlukan untuk menjamin perkara-perkara berikut :

Memastikan harta beredar dan bergerak cergas di dalam berbagai-bagai sektor kehidupan sehingga memungkinkan pengembangan harta dan penggunaannya secara meluas dan menyeluruh mengikut garis panduan syarak. 

Memberi galakan kepada muamalah kehartaan hingga dapat memperluaskan skop peredaran harta dan kekayaan sehingga dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat secara adil. 

Mencari alternatif tertentu bagi mengelakkan berlakunya kesukaran-kesukaran yang boleh melemahkan kegiatan ekonomi seperti kelonggaran untuk tidak menggunakan saksi dalam urusan perniagaan secara terus. 

Pembekuan atau monopoli harta oleh beberapa pihak tertentu sahaja adalah suatu keadaan yang ditolak oleh Islam kerana akan menimbulkan berbagai-bagai gejala negatif dan bencana ke atas masyarakat dan negara. Dengan perhatian wajar dari sistem pentadbiran harta menurut Islam, peredaran harta akan berlaku secara sihat dan harmoni. 

Maka dengan sendirinya, nilai yang ada pada harta itu dapat dimaksimumkan melalui penggunaan terus atau pelaburan. Keadaan ini sudah tentu dapat meningkatkan taraf hidup umat Islam atau negara mereka. 

Harta untuk Akhirat.

Islam bukan sahaja meletakkan persoalan harta sebagai salah satu faktor penyumbang kepada kebahagiaan insan di dunia tetapi juga mengaitkan harta dengan sumbangan kebahagiaan insan di akhirat. 

Antaranya ialah:

Membelanjakan harta untuk keperluan diri sendiri bagi melaksanakan badat atau untuk kemudahan beribadat. Contohnya ibadat yang dimaksudkan ialah seperti ibadat zakat dan haji. Kedua-duanya tidak dapat dilaksanakan tanpa harta. Contoh kemudahan untuk beribadat pula ialah pakaian, tempat tinggal dan lain-lain keperluan. Perkara tersebut dianggap sebahagian daripada ibadat kerana tanpanya ibadat tidak dapat dilaksanakan. 

Membelanjakan kepada orang lain melalui beberapa saluran yang telah ditentukan oleh syarak seperti sedekah dan derma. 

Membelanjakan harta kepada sesuatu yang bersifat kebajikan umum seperti membina masjid, hospital dan sebagainya.

Jaminan Keadilan

Islam menjamin keadilan sebenar dalam hal-hal kehartaan. Ia bermaksud meletakkan harta pada kedudukannya yang sebenar sebagaimana asal ia dijadikan dan sepertimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. Bagi mencapai tujuan keadilan di dalam perbelanjaan, Islam telah menyediakan beberapa strategi iaitu:

Perbelanjaan mestilah secara betul dan bertanggungjawab. Maksudnya ialah membelanjakan harta mengikut arahan wajib dari syariah seperti mengeluarkan zakat wajib, membelanjakan untuk diri dan keluarga atau mengikut arahan tidak wajib seperti sedekah, derma, untuk melayan tetamu dan sebagainya. Melalui strategi perbelanjaan yang betul dan bertanggungjawab ini maka tugas dan peranan harta telah dilaksanakan dengan adil kerana hasil daripada itu ia telah menampung segala keperluan individu, masyarakat, negara dan umat seluruhnya. Itulah yang dikatakan menjamin keadilan dalam kehartaan. 

Menyekat sifat bakhil dan menghalang boros dan pembaziran sebaliknya mendokong kesederhanaan. Al-Quran dan al-Sunnah telah menyerang habis-habisan penyakit kedekut dan membazir harta. Sifat kedekut digambarkan sebagai sifat yang dibenci oleh Allah s.w.t. manakala sifat membazir pula digambarkan sifat yang dimiliki oleh saudara kepada syaitan. 

Malah punca kepada kehancuran umat juga bermula daripada sifat kedekut dan membazir. Melalui strategi kedua ini pengendalian harta dapat mencapai objektif keadilan kerana konsep kesederhanaan akan menguasai kegiatan ekonomi dan pengurusan harta. Apabila kesederhanaan dapat direalisasikan dalam kegiatan itu maka harta dapat berfungsi dengan baik dan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak dengan adil dan saksama. Inilah yang dikatakan sebagai keadilan melalui pengurusan harta dalam Islam. 

Memfungsikan harta orang kaya untuk keperluan yang diakui oleh syarak seperti keperluan yang mendesak di dalam negara. Imam al-Ghazali menyatakan harus bagi kerajaan mengambil kadar tertentu dari harta rakyat yang kaya berdasarkan keperluan negara misalnya bagi menjaga keamanan rakyat kerana negara mengalami masalah kekurangan wang dalam perbendahaarn atau baitul mal. 

Namun begitu ianya mestilah dilakukan dengan adil tanpa tekanan dan kezaliman. Ini bererti jika negara menghadapi bencana kemarau, banjir dan sebagainya sehingga memerlukan bantuan yang besar sedangkan negara tidak mampu menanggung jumlah tersebut maka disitulah adanya keadilan jika harta orang kaya difungsikan untuk mengatasi penderitaan orang ramai. 

Melindungi harta dari pencerobohan dan pengkhianatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti kecurian, rompakan, samun, pemusnahan, rampasan dan sebagainya. Sekaligus menjamin pemilik harta dari gangguan pihak yang tidak bertanggungjawab. 

Apabila pencerobohan harta tidak dikawal dan dibanteras, maka akan menyebabkan berlakunya kekacauan yang boleh membawa kepada kehancuran dan kemusnahan. Melalui pengurusan harta, harta dilindungi dengan baik sehingga dapat dimanfaatkan oleh pemiliknya dan seluruh masyarakat.

Perkara yang disebutkan tadi jelas menunjukkan kemantapan dan kesempurnaan syariah dalam pengurusan harta. Kemantapan dan kesempurnaan inilah yang dapat menjamin seluruh kepentingan dan kebaikan masyarakat. Namun begitu sekiranya ia tidak dihayati dan diamalkan, segala kebaikan yang ditonjolkan oleh syariat itu tidak memberi apa-apa erti. 

Sekian.


Sila lihat inspiasi bisnes sebelum ini..

-Ganda kekayaan ketika COVID-19, 'Keganasan ekonomi...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails