Tuesday, February 14, 2017

Wanita Berhijab Dimaki Hamun, Diibaling Tin Bir..



WELLINGTON: Seorang wanita Islam yang memakai tudung dan rakannya menjadi mangsa maki hamun berunsurkan perkauman di sebuah hentian rehat selain dibaling dengan tin bir di New Zealand. 

Perunding komunikasi, Mehpara Khan, 28, dan empat rakannya kembali ke Auckland dari melancong apabila berhenti di Huntley untuk menggunakan bilik air dan dimaki seorang wanita lain yang berada di situ. 

Khan menyiarkan video itu di Twitter menunjukkan seorang wanita membaling tin minuman keras ke arahnya sambil memaki hamun mereka. 

"Tiba-tiba sahaja wanita itu keluar dari bilik air dan mula memaki hamun kami dan memanggil kami sebagai Islam anak haram, tidak layak berada di negara ini dan dihalau.

"Dia kemudian membaling tin bir ke arah saya dan dua daripada rakan saya. Saya dibasahi bir. Kami tidak berbuat apa-apa, malah pada awalnya tidak sedar dia bercakap dengan kami," Khan dipetik sebagai berkata oleh New Zealand Herald. 

Katanya, sebaik wanita itu menyebut perkataan Islam 'anak haram' baru mereka sedar dia menjerit kepada mereka dan Khan terus merakamkan aksinya. Wanita berusia 27 tahun yang melakukan serangan itu dirakamkan menghalau Khan dan rakannya keluar dari New Zealand. 

Jurucakap polis berkata, mereka sedar mengenai video itu dan aduan rasmi sudah dibuat. "Polis sedang menilai maklumat," katanya. 

Jurucakap Majlis Wanita Islam, Anjum Rahman, berkata beliau terperanjat, tetapi tidak begitu terkejut, dengan serangan itu. 

"Sebilangan kecil rakyat New Zealand berperangai seperti itu. Saya mahu bertemu wanita itu untuk membantu dia mengubah sikap terhadap umat Islam," katanya. 

Khan mendapat sokongan kuat selepas menyiarkan video berkenaan. (IH)



PERHATIAN:
Tawaran peluang kerja di Korea Selatan. Persiapan kewangan perlu hanya RM3,000 sahaja termasuk khidmat dan tiket pesawat.


Pembunuhan Ramai-ramai Dipenjara Syria, Dunia Masih Membisu..













AGENSI - GAMBAR menyayat hati menunjukkan keadaan mayat mangsa pembunuhan beramai-ramai di sebuah penjara di Damsyik yang disiarkan portal berita Daily Mail.

DAMSYIK – Jenayah perang Presiden Syria, Bashar Al-Assad semakin terbukti selepas gambar mang­sa pembunuhan beramai-ramai di penjara yang diuruskan oleh tentera rejim menjadi viral baru-baru ini.
Penjara-penjara di sekitar Damsyik itu menjadi kem tahanan rakyat Syria yang berani bangkit menentang Bashar. Mereka diseksa dengan kejam sebelum dibunuh.
Portal Daily Mail menyiarkan gambar menyayat hati menunjukkan mayat-mayat kurus ke­ring kerana kekurangan air dan kebuluran selain mempunyai kesan lebam akibat dibelasah.
Sebahagian gambar itu pula memaparkan mayat yang mempunyai kesan kelaran pada tubuh mereka akibat ditoreh dengan pisau, disimbah asid, terkena arus elektrik atau dicucuh api rokok.
Bagi menutup kekejamannya, rejim Bashar memaksa doktor di tiga buah hospital di Damsyik menandatangani sijil kematian yang mengesahkan mangsa-mangsa itu meninggal dunia akibat kegagalan jantung atau masalah pernafasan.
“Ia seperti adegan dari ne­raka. Kami tidak dibenar memeriksa jika mereka yang sudah mati. Saya telah melihat begitu banyak perkara dahsyat,” kata seorang doktor dikenali sebagai Nemer Hassan.
Nemer yang kini menetap di Jerman menceritakan pe­ngalamannya kepada Daily Mail minggu lalu. Katanya, dia terpaksa berkhidmat untuk melindungi keluarganya.
Menurut Nemer, mayat-mayat tahanan itu kemudian dibawa di sebuah kubur besar berhampiran dan ditanam tanpa pengetahuan keluarga masing-masing.
Beribu-ribu mangsa kekejaman rejim Bashar dipercayai ditanam di dalam kubur besar itu bagi menyembunyikan bukti jenayah perang.
Pada minggu lalu, pertubuhan hak asasi Amnesty Internatio­nal melaporkan bahawa 13,000 orang dibunuh di penjara-penjara Bashar.
Penulis bersama laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai kekejaman Bashar, Sir Desmond de Silva pula berkata, gambar-gambar itu mengingatkan kembali kepada kekejaman rejim Nazi di kem tahanan Auschwitz. – Agensi.
Namun dunia antarabangsa  masih tetap membisu..


PERHATIAN:
Tawaran peluang kerja di Korea Selatan. Persiapan kewangan perlu hanya RM3,000 sahaja termasuk khidmat dan tiket pesawat.

Pasangan Dicekup Berbogel Dalam Kereta, Persediaan Zina (Takzir).

Pasangan kekasih itu dicekup ketika berada di kerusi belakang dalam keadaan berbogel, dalam rondaan
Pasangan kekasih itu dicekup ketika berada di kerusi belakang dalam keadaan berbogel, dalam rondaan kira-kira jam 3.30 pagi, di Pantai Batu Burok, di sini, Jumaat lalu. - Foto Sinar Harian

KUALA TERENGGANU - Akibat tidak cukup wang untuk menyewa hotel, sepasang kekasih sanggup memilih bermalam di dalam kereta sebelum dicekup polis dalam keadaan berbogel di kawasan parkir awam tepi jalan Pantai Batu Buruk, di sini, Jumaat lalu.

Pasangan berusia 20 tahun dan berasal dari Kelantan itu ditangkap kira-kira jam 3.30 pagi ketika anggota polis sedang menjalankan tugas ronda cegah jenayah di sekitar kawasan tersebut sebelum diserahkan kepada penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim berkata, pasangan yang masih berstatus pelajar itu ditahan selepas anggota polis yang membuat rondaan keselamatan menemui sebuah kereta berada dalam keadaan mencurigakan.

“Suasana di persekitaran tersebut agak gelap menyebabkan anggota bertugas terpaksa menggunakan lampu picit bagi menyuluh melalui cermin hadapan dan cermin sisi belakang kenderaan itu untuk membuat pemeriksaan.
“Bagaimanapun, sejurus disuluh, anggota ternampak pasangan kekasih itu berada di bahagian kerusi belakang yang mana si lelaki dalam keadaan berbogel manakala pasangannya hanya memakai baju tanpa seluar,” katanya.

Wan Mohd berkata, terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa, pasangan kekasih itu kelam kabut mencari pakaian masing-masing sebelum membuka pintu kereta untuk disoal siasat.

“Hasil siasatan mereka mengaku tidak mempunyai sebarang ikatan sah dan datang dari Kelantan semata-mata untuk bermadu asmara di sini bagi mengelak daripada dihidu ahli keluarga.
“Mereka juga mengaku terpaksa memilih tidur di dalam kereta kerana tidak mempunyai wang untuk menyewa hotel,” katanya.

Kedua-duanya ditahan mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 kerana persediaan melakukan zina.


PERHATIAN:
Tawaran peluang kerja di Korea Selatan. Persiapan kewangan perlu hanya RM3,000 sahaja termasuk khidmat dan tiket pesawat.

Monday, February 13, 2017

Keluar Parti Bukti Parti DAP Berpecah-Belah - Tiong Lai



BENTONG: Kepimpinan dalam DAP kini sedang berpecahberikutan tindakan tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan seorang anggota Parlimen DAP Melaka keluar parti.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, situasi berkenaan turut menggambarkan kekalutan politik dalam kalangan pemimpin DAP.

"Ini bukan sahaja sedang berlaku di Melaka malah di tempat lain", katanya kepada pemberita dekat sini, Ahad.

Tiga Adun itu ialah Lim Jak Wong (Bachang), Chin Choon Seong (Kesidang) dan Goh Leong San (Duyong) serta Anggota Parlimen, Sim Tong Him (Kota Melaka).

Tindakan itu disahkan Pengerusi DAP Melaka Tey Kok Kiew pada sidang media di pejabat DAP Negeri di Melaka pada Ahad.

Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan berkata, tindakan empat wakil rakyat DAP itu menunjukkan sikap sebenar kepimpinan parti itu yang membuat keputusan untuk kepentingan diri tanpa mengambil kira pihak lain.  -Bernama
PERHATIAN:
Tawaran peluang kerja di Korea Selatan. Persiapan kewangan perlu hanya RM3,000 sahaja termasuk khidmat dan tiket pesawat.

PAS-PPBM Tidak Akan Bekerjasama Selagi... -A.Hadi


PETALING JAYA: PAS tidak akan bekerjsama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kerana parti itu ada hubungan dengan DAP dan Parti Amanah Negara, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Kami mempunyai pendirian yang mudah sekali, iaitu tidak akan bekerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan DAP dan Amanah.
"Kami telah buat keputusan untuk tidak bekerjasama, juga dengan rakan mereka. Jadi tidak perlu tunggu sehingga sebulan kerana apabila mereka bersama Amanah dan DAP, jadi semuanya sudah berakhir," katanya ketika menghadiri majlis di Ampang, Ahad.
Hadi berkata demikian susulan kenyataan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamd yang memberikan tempoh sebulan untuk PAS memutuskan sama mahu bersama Pakatan Harapan, gabungan pembangkang yang diwujudkan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.
Mengenai sama ada PAS akan pertimbangkan untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin PPBM bagi membincangkan isu berkenaan, Hadi berkata, ia tidak perlu selagi PPBM masih bekerjasama dengan DAP dan Amanah.
"Malah untuk PKR juga, kami akan membuat keputusan segera. Sebenarnya kami terbuka kepada semua dan hanya melibatkan politik saya tidak kisah, tetapi kedua pihak ini (DAP dan Amanah) menumpukan RUU 355 yang tidak sepatutnya berlaku," katanya.
Pada Sabtu, Dr Mahathir berkata, PAS perlu membuat keputusan dalam masa sebulan sama ada mahu menyertai gabung pembangkang itu. (mStar)
PERHATIAN:
Tawaran peluang kerja di Korea Selatan. Persiapan kewangan perlu hanya RM3,000 sahaja termasuk khidmat dan tiket pesawat.

RUU 355, Dr Asri Keliru, Sebaris Golongan Liberal? -Dr Mohd Khairuddin



Saya merasa sangat bertanggungjawab untuk menjelaskan kekeliruan sahabat saya Dr Asri tentang RUU 355.

Beliau dilaporkan oleh media hari ini berkata bahawa yang dia pertikaikan tentang RUU 355 ialah "syarat untuk menghukum. Apakah kita sudah mencukupi syarat untuk menghukum?".

Kenyataan ini menunjukkan betapa kelirunya Dr Asri dan betapa dia mengelirukan umat Islam.

Fahami baik-baik. RUU 355 adalah cadangan pindaan undang-undang bagi Akta 355 khususnya membolehkan tiga kesalahan jenayah Islam; Minum Arak, Qazaf dan Zina dihukum menurut al-Quran dan Sunnah iaitu masing-masing 40, 80 dan 100 rotan dan meningkatkan hukuman bagi pelbagai lagi kesalahan Takzir daripada hanya terikat kepada 3 tahun penjara, 5 ribu ringgit denda dan 6 kali sebatan kepada maksima 30 tahun penjara, 100 ribu ringgit denda dan 100 kali sebatan Syarie.

Adapun isu pelaksanaan sama ada melibatkan syarat yang membolehkan hukuman dilaksanakan, itu adalah prosedur melibatkan Akta atau Enakmen Keterangan untuk menjatuhkan hukuman.

Ia adalah apabila sesuatu kes dibawa ke Mahkamah Syariah nanti. Ia tidak berbangkit pada peringkat sekarang. Itu peringkat pelaksanaan di Mahkamah Syariah. Setiap undang-undang ada prosedur Keterangannya di mahkamah. Ia dibincangkan dalam konteks Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah di negeri-negeri.

Saya menggesa sahabat saya Dr Asri berhentilah mengelirukan umat Islam dalam isu undang-undang jenayah Islam dengan pelbagai pandangan songsang sementelah kedudukan beliau sebagai mufti. Janganlah berdiri sebaris dengan golongan berfikiran liberal yang berusaha memandulkan sebarang usaha memperkasakan agama Allah.

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahad, 12hb Februari 2017 - 
HARAKAHDAILY 12/2/2017


PERHATIAN:
Tawaran peluang kerja di Korea Selatan. Persiapan kewangan perlu hanya RM3,000 sahaja termasuk khidmat dan tiket pesawat.

Pelajar 14 Tahun Bebas Seks, Tak Salah Sekolah & Sistem Pelajaran?

Imej yang berkaitan

MELAKA: Seorang remaja perempuan di sini mengaku telah melakukan hubungan seks dengan ramai lelaki di sekolah, rumah dan beberapa lokasi lain tahun lalu.


Kegiatan tidak bermoral pelajar Tingkatan Dua itu terbongkar apabila salah seorang rakan sekelasnya mendedahkan perkara itu kepada guru kaunseling. Pada Rabu, guru berkenaan bertindak menyoal pelajar berusia 14 tahun itu.

Hasilnya, pelajar itu mengaku telah melakukan hubungan seks sejak Tingkatan Satu dengan beberapa lelaki di pelbagai lokasi termasuk di kelas, bawah tangga, bilik solat, rumah terbiar dan juga kediamannya. Pelajar perempuan itu juga mengaku ia berlaku atas kerelaan dan persetujuan kedua pihak, malahan dia tidak pernah meminta wang selepas melakukan hubungan seks itu.

Selain rakan lelaki sekolah sama, pelajar itu mengakui pernah tidur dengan beberapa pelajar lelaki dari dua sekolah menengah dan lelaki lain. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, pelajar berkenaan telah dipindahkan ke sekolah di Ayer Keroh pada Jun 2016 kerana masalah disiplin.

"Sebaik mendapat maklumat terperinci mengenai kegiatan seksual pelajar itu, guru berkenaan telah membawa pelajar itu untuk membuat laporan polis," katanya. 

Pada Jumaat, polis telah menahan 11 pelajar sekolah berusia antara 13 dan 16 tahun dari tiga sekolah menengah dan dua lagi suspek berusia 21 tahun. Semua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 376 (1) dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana merogol dan melakukan persetubuhan di luar aturan tabii.

"Pelajar perempuan itu telah dihantar ke Hospital Melaka untuk menjalani ujian kesihatan dan seterusnya disarankan supaya melalui penilaian psikiatrik.
"Kami akan melengkapkan siasatan sebelum menyerahkannya kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya. 

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Dalam suasana begini, masih tak salah sekolah atau sistem pembelanjaran yang tidak Islamik di Malaysia?  (IH)


PERHATIAN:
Tawaran peluang kerja di Korea Selatan. Persiapan kewangan perlu hanya RM3,000 sahaja termasuk khidmat dan tiket pesawat.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails